Monday, December 20, 2010

THE TWO POMEGRANATES ..........

Which of the two pomegranates below is sweeter? Is it the yellow one? Or could it be the red one? 

I bought the yellow pomegranate, imported from Spain, during my recent MAHA exhibition trip, for RM5.00. The other one, the Californian Red, was purchased at a shopping complex in Bangi for RM3.99.



 
 
 
 
 
 
 
 







It is quite obvious that the Californian pomegranate has a more vibrant color. And the fruit looks more attractive and appealing. But you might like the Spanish pomegranate better, although it has a less striking color and costs you more.

Anyway, can you judge their sweetness by merely looking at their looks?

Saturday, December 11, 2010

MARKISA DAN MENJINAKKAN DIA YANG MELIAR

Cerita I


Antara barangan yang ku beli semasa melihat pameran MAHA 2010 di Serdang tempoh hari ialah buah markisa. Buah ini juga dipanggil buah susu, atau  passion fruit. Saiznya, lebihkurang sebesar buah oren kecil.


Buah markisa, dengan nenas dan tembikai, yang dipamerkan di sebuah gerai jualan di MAHA 2010.
Markisa yang ku beli di gerai lain, serupa seperti dalam gambar di atas.

Boleh bayangkan saiz buah markisa? Hihihi, siapa yang nampaknya lebih awet muda?
Para 'pengawet' agaknya percaya, kalau nak sepanjangan mudaterangtangtang, kenalah belajar
ilmu limau. Aku percaya kepada petua 'makan limau selalu', tapi tak amalkan!

Pada penglihatanku, ada sedikit perbezaan buah markisa kita di Malaysia berbanding dengan yang terdapat di luar negara.

Ada perbezaan bentuknya, sedikit. Taklah begitu menonjol. Pernah ku lihat ada markisa luar negara yang agak bujur. Namun, yang lebih ketara, adalah beza warna kulit buahnya, terutama apabila telah masak. Markisa Malaysia yang sudah masak berkulit kuning cerah atau kuning pinang masak. Atau kuning malap, apabila telah terlalu matang. Yang di luar negera, markisa masaknya berkulit merah-hitam, atau biru-hitam.

Apa pun warna kulitnya, isi markisa yang masak tetap kuning, penuh dengan pati jusnya yang berwarna dan berasa seperti oren (walaupun jus oren agak tajam sedikit). Untuk menyediakan jus markisa, buahnya yang telah masak kita belah dua. Kemudian, campurkan seluruh isinya dengan air dan sedikit gula. Kacau dan tapis. Terhasillah minuman markisa segar.

Ini buah yang ku beli di MAHA 2010 selepas beberapa hari di rumah. Semakin masak, semakin
buah ini mengkerekot. Dan pati jusnya menjadi semakin banyak di dalam.

Markisa dilihat dari atas. Bahagian sekitar tampuknya nampak
kemerah-merahan, terutama apabila buah telah masak.

Di sekeliling selaput yang menutupi biji hitam itulah, yang macam selasih direndam,
tempat bergenangnya pati jus markisa, yang berwarna kuning cerah.

Satu biji markisa boleh menghasilkan segelas minuman segar ni. Maksudku,
setelah dicampurkan dengan air.

Kalau minum lambat-lambat, kenalah kacau selalu. Sebab pati sebenar markisa
(merangkap pewarna aslinya) rajin mendap ke bawah bekas.

Cerita II

Semasa membeli buah markisa di MAHA, memang aku teringat sangat akan sepokok markisa yang tumbuh sendiri dan meliar di kawasan kecil depan stor, di tepi rumah. Di ruang sempit ini si markisa hidup berhimpitan dengan yang lainnya  -  sirih, keladi merayap, belimbing buluh, limau purut, jejuang, kelat laut, pinang raja, pisang mini, mengkuang hiasan, dan para rututi (rumput tumbuh tanpa izin).  Semuanya bersesak-sesak macam penghuni kawasan setinggan.

Telah lama aku berangan-angan untuk mengambil peduli akan kawasan sesak ini, dengan terutamanya 'menjinakkan' markisa yang meliar di situ. Markisa meliar itu mungkin berasal dari biji-biji markisa yang pernah ku tanam beberapa tahun dahulu, yang tercampak atau tercicir di sana sini. Atau biji-biji tinggalan binatang seperti musang, tupai atau burung. Alhamdulillah, beberapa hari yang lepas, angan-angan 'mengambil peduli' terlaksana.


Gambar asal, confidential! Dah diterangkan ala kadar kawasan depan stor ini,
beranilah ku tayangkan gambarnya. Nampak tak pokok markisa yang ku cuba jinakkan?

Memang 'pukang-lintang' cabang-cabang markisa ini
menjalar serta meliliti dan menyesakkan pernafasan jenjuang merah!

Pangkal markisa dengan tiga cabang besarnya, yang kemudiannya mengeluarkan beberapa
sub-cabang lagi di atas. Akar pelbagai pokok bercakaran di bumi yang sempit ini untuk mendapatkan makanan.

Untuk 'menjinakkan' si markisa, buat sementara waktu, ku terangkan kawasan di sekelilingnya. Ada pokok-pokok yang terpaksa ku cantas, kurangkan, malah hapuskan seperti pokok belimbing buluh dan mengkuang hiasan.

Dengan lebihan dawai kecil yang ada dalam simpanan, ku buatkan 'ampaian' untuk dililiti dahan-dahan si markisa, supaya masing-masing tak mengganggu pokok-pokok lain. Memang ada keperluan 'dianyamkan' ampaian dawai yang lebih kemas supaya si markisa mempunyai 'para' yang lebih kukuh dan selesa untuk mengembang dan menghasilkan buah dengan baiknya.
  
Nampaknya banyak pokok senjuang merah yang terpaksa dikorbankan dan pokok
sirih dikurangkan rimbunannya demi memberi ruang lebih kepada markisa.
Insya-Allah pada batang-batang kecil yang menjalar ini nanti akan bergantungan
dengan lebatnya buah-buah markisa yang cantik dan sihat.

Semoga seronok menjalar dan meliliti ampaian. Usah ditutupi tingkap stor dengan rimbunanmu, ya!

Kerja menyediakan ampaian dawai 'beranyam' itu akan ku lakukan kemudian. Tapi, dalam sehari dua ini, pada pangkal si markisa, mesti segera ku curahkan baja yang sesuai.

Thursday, December 2, 2010

K A P A N ..........


Cerita KAPAN ini bukan cerita 'kain'. Ia cerita 'apabila'. Saja-saja, untuk rekod sendiri.

Pertama, kisah 'kapan si Tanduk Rusa gugur ke bumi'. Jatuh ke tanah!


Seperti semasa di hutan, tuanku juga meletakkan aku di tempat tinggi. Sudah bertahun aku
tergantung kemas pada dahan pohon Kelat Laut di pinggir kamar tuanku. Beberapa hari yang lalu,
tiba-tiba ku dapati diriku terjelepok di atas tanah. Aku jatuh dari singgahsanaku rupanya!

  
Kedudukanku di bawah ini kelihatan seolah-olah menyelesakan. Tapi, dalam keadaan begini,
 pasti kelopak-kelopak daun 'kubis'ku tak akan tumbuh. Tahukah anda, bila kelopak-kelopak 'kubis'ku yang di atas
mengering, yang di bawah pula menyusul tumbuh? Aku jenis menumbuh ke bawah!
Dalam keadaan terdampar di atas tanah juga,  tak mungkin lagilah tanduk-tandukku
(di sebelah bawah, bukan di atas!) boleh ku peragakan, ku juraikan dan buai-buaikan, dengan megah.


Lihatlah sebahagian daripada daun kering pohon Kelat Laut yang padanya
aku tumpang berteduh. Daun kering itu tuanku baru saja keluarkan
dari beberapa kelopak dedaun 'kubis'ku. Aku terdengar dia berkata, longgokan dedaun garing
itu bakal dikomposkan. Mungkin tuanku cuba berjimat dalam menyediakan makanan untuk kaum
sejenis denganku dan ingin menjadi orang yang environment-friendly.
 
Lihatlah kayu bulat yang telah berkulat di tengah-tengah tubuhku itu. Itu tempat aku berpaut
bertahun-tahun. Ia telah pun mula mereput. Maka, lekanglah cangkuk besi pada kayu reput itu. Dan
jatuh 'gedebuk'lah aku ke bawah! Lihatlah juga timbunan daun kering pohon Kelat Laut
yang tersangkut pada setiap helaian kelopak daun 'kubis'ku sebelum 'disikat' keluar
oleh tuanku. Bertambah beratlah aku kerana longgokan dalaman itu!

Kesihan! Meningkatlah mantapnya uzur tangan dan belikat tuanku kerana kesungguhannya
mengembalikan aku ke singgahsana asal. Dengan menggunakan hos air lama itu, tuanku telah
dapat menaikkan aku sedikit demi sedikit, sebelum aku dicangkukkannya semula ke dahan penanti.

Alangkah leganya aku dapat menjuraikan semula tanduk-tandukku. Tanduk
Rusa apalah aku, jika tanduk-tandukku tidak kelihatan bergantungan, bagaikan tirai
penuh berkerawang. Calar balar di sana sini pada diri ini akan tak kelihatanlah bila
kelopak-kelopak daun dan tanduk-tanduk baruku muncul kemudian nanti.


Kedua, kisah 'kapan kera gagap berperiuk'. Kisah bagaikan tiba-tiba kera membondong-bondongkan periuknya.


Kira-kira bulan Julai yang lepas, aku dipaparkan di alam maya oleh tuanku. Memang dia agak marah.
Aku dianggapnya hanya makan tidur, jadi kera tanpa periuk! Memang aku mendapat malu jugalah!

  
Sebenarnya aku telah pun mempersembahkan serangkai bunga masa itu. Untuk halwa mata
tuanku. Malang, dia tak berapa tahu menghargainya. Sehinggalah ada temannya yang memberitahu
bahawa kemampuanku berbunga itu juga adalah satu petanda yang aku telah berjaya, insyaAllah,
melakukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Sebab, suku sakatku tak semuanya berbunga!


Dalam tiga bulan setelah aku dijaja di alam maya sebagai tidak produktif, insyaAllah, aku mula
melahirkan periuk-periukku, berderetan. Tak kurang dari sepuluh 'biji' periuk telah ku
hasilkan setakat ini, dan nampaknya akan ada lagi. Tuanku mengibaratkan aku seperti cucunya, yang 'buat
tak peduli' apabila ditanya mengenai sesuatu, tetapi tergagap-gagap menjawab tanpa nokhtah apabila disergah.
Bila periukku keluar berderet, setelah dimarahi, dikatalah aku gagap berperiuk!

Lihatlah pula yang ini, periukku yang juga 'umph' dengan penutupnya, telah mula membuka.
Tuanku suka melihat periuk ini sebab nampak mysterious. Tutup terbuka kecil, isi di dalam periuk tak kelihatan!

Kalau dikira ini lagilah penuh misteri. Buncit dan bertutup. Apa pula yang terkandung
dalam kebuncitan itu? Nampaknya, periukku ini bakal bersaiz XXXL.

Ini foto periukku di peringkat awal tumbesarannya. Macam rupa tauge pun ada. Rupa kayu
hoki pun ada. Sekarang, ada banyak lagi adik beradikku di peringkat ini bergayutan di sekelilingku.

Penutup. Foto periuk kera tambahan.


Gambar periuk suku sakatku ini tuanku ambil di rumah anaknya, lama sebelum tuanku itu sendiri
membelaku. Agak unik jugalah nampaknya gambar ini. Mula-mula tuanku sendiri memang
tidak menyedari  yang susunan periuk-periuk dalam gambar itu kelihatan bagaikan susunan
aksara yang menenunkan nama Maha Pencipta.