Friday, January 28, 2011

ADA GANJARAN ....... JIKA TAHU SIAPA DIA

Saja seronok-seronok. Nak tahu, ada tak yang tahu.


Bunga apakah yang tertera di atas? Maaf gambarnya kabur. Diambil dengan handphone. Di bawah, gambar bunga yang sama.


Yang pertama menjawab dengan tepat di dalam ruang 'COMMENTS', jika sudi, akan ku hadiahkan kepadanya buku di bawah.

Tanpa ku sedari, waktu ada book sale baru-baru ini, ku beli sekali lagi buku itu! Geli hati betul. Mata pun boleh geli kalau selalu ternampak dua buku yang sama dalam simpanan!

Kalau tiada jawapan yang betul, atau tiada reaksi apa-apa dari pembaca kali ini, mungkin akan ku tanya mengenai bunga lain pula kemudian nanti.

Tapi tentulah bukan mengenai bunga 'Laki Pukul Bini', yang gambar dan maklumat mengenainya ada dalam buku hadiah itu.


*********************************************


KEPUTUSAN TEKA BUNGA ..... 30 JANUARI 2011


DIMENANGI OLEH RAKAN KITA, ZUL PERMATANG BADAK! TAHNIAH!

TERIMA KASIH KPD SEMUA YG BERSAMA SERONOK-SERONOK MENGAMBIL BAHAGIAN. LAIN KALI BERSAMA LAGI ...

Saturday, January 22, 2011

AYAM BUKAN, DAGING PUN BUKAN

Sebenarnya pokok bunga yang ku kisahkan di bawah ini ku kutip dari longgokan buangan bahan si pemilik nurseri. Semasa aku membeli anak-anak pokok lain di situ beberapa bulan lalu. Walaupun telah amat layu semasa ku ambil, dalam beberapa hari setelah ditanam, ia 'hidup balik' dan kemudiannya membiak. Sekalipun nampaknya tak berapa subur.




















Pernah aku lihat pokok bunga ini dalam sebuah majalah hiasan taman. Lama dulu. Rasanya ia bernama Bunga Sate. Umum, tak spesifik! Bukan khusus sate ayam. Juga bukan sate daging.

Saja terkenang, istilah 'sate daging' ni aneh juga, kan? Mengapa sate daging tu bisasanya dimaksudkan sate  lembu saja? Ayam, kambing, rusa, malah arnab pun, kan dagingnya juga dibuat sate? Sekarang ni, ikan pun! Jadi, kan semuanya sate daging!

Tapi baguslah. Kita lebih biasa terus sebut dengan spesifik sate kambing, sate rusa, sate arnab, atau sate ikan. Bila sebut sate daging, itu mesti bererti sate daging lembu sahaja (walhal, sebab nak kurangkan modal, mungkin si penjualnya malahan gunakan daging kerbau beku yang diimport dari India!).

Tak apalah semua ni. Kan aku nak cerita pasal Bunga Sate. Bukan sate daging atau tak daging. Kawan-kawan mungkin kenali bunga sate ini dengan nama lain. Yang aku ingat, dalam majalah tu dulu ada dicatatkan, bunga sate juga punyai warna-warna lain termasuk putih dan biru. Pernah temui?


Selamat menikmati keindahan rasa sate di hujung minggu. Sate ayam. Atau sate (daging) lembu. Atau sate-sate lain yang bermacam-macam jenisnya tu.

Nikmatilah juga keindahan Bunga Sateku. Walau hanya paras wajahnya.....tanpa rasanya.

Saturday, January 15, 2011

D U I T D U I T D U I T

Semasa buat servis kawasan depan rumah kelmarin,  baru ku tahu banyaknya duitku. Sampai merayap naik ke pokok. Macam-macam pokok pula tu.

Penuh duit kat pokok-pokok pinang.....


Lagi lebat duit kat pokok-pokok bouganvilla. Sampai tak nampak cabang-cabangnya. Ada pula duit-duit yang panjang lebar. Mana tak kaya!

Kat pokok kelat payaku, yang selama ini ku beri tugas mengurangi kepanasan bumi tepi bilik utama, pun melambak duit. Melilit-lilit! Dari pertengahan batang sampai ke dahan-dahan, juga ranting-rantingnya. Duit, duit, duit .....

Tapi, bila ku sedar kekayaan itu, dek banyak duit sampai melempah-melempah, hatta duit memanjat-manjat ke mana sempat, rupa-rupanya hati jadi walang!

Terasa sangatlah peri betulnya apa orang-orang lama kita kata, duit tak semestinya beri kita kebahagiaan. Duit menutup lahirnya keceriaan. 

Bila duit mendaki hati, duit jadi segunung daki! 

Malah, duit juga parasit agung!

Tengoklah bouganvillaku. Tenggelam lemas batang dan cabang-cabangnya diselimuti duit. Mewah luarnya, tak bernyawa di dalamnya. Ranting-ranting, bagaikan lukisan batik canting. Berpola cantik tapi mengering.

Sebab itu, masa bersihkan kawasan tempoh hari tu juga, ku segerakan gerak gempur ke atas duit-duit yang ada. Tontonilah, betapa bersihnya cabang-cabang bouganvilla ini lepas implementasi gerak gempur. Nampak si cabang-cabang, dadanya lapang.  Paru-parunya, lega bebas menghela nafas.


Sebelum itu, banyaklah ranting-ranting gering dan kering, bersama duit parasit, yang disentap tangan si 'kaya main-main'. Rentapan bersama sebungkal rasa rakus, juga segenggam rasa geram.

Nah, di bawah ini, duit besar kecil, pendek dan panjang, lusuh luruh ke bumi. 

Seronoknya hati melihat itu. Seronok bagaikan juga masa kalian ku gunakan seperti duit betul, main jual-beli barang, di kala kanak-kanak, jauh dan terpencil di daerah perkampungan.