Wednesday, June 30, 2010

LIDAH DI SEKELILING

Banyak lidah perkara lidah. Dalam Kamus Besar Bahasa Melayu (Utusan), panjang disenaraikan istilah berkaitan lidah. Antaranya: lidah air, lidah api, lidah bengkok, lidah bercabang, lidah biawak, lidah bicara, lidah buaya, lidah dacing, lidah fasih, lidah hantu, lidah jin, lidah katak, lidah kelu, lidah keras, lidah lembut, lidah manis, lidah masin, lidah ombak, lidah panjang,  lidah patah, lidah pendeta, lidah pengarang, lidah rasmi, lidah rusa, lidah tajam, dan lidah tergalang. Banyaknya! Tahu maksud semuanya?   

Yang menarik, lidah yang maksudnya berlapis-lapis.

Bila terlihat lidah-lidah di luar rumah, banyak perkara melintasi kepalaku. Ada 3 lidah kat luar tu. Pertama, Lidah Biawak.













Orang takut sikit pada Lidah Biawak sebab ia menggatalkan badan (bukan hati). Namun, orang tetap jadikannya tanaman perhiasan. Sebab ia cantik. Ada macam-macam pattern. Juga, si Lidah Biawak mudah membiak. Mudah dijaga. Ada dikatakan cecair dan juga rebusan batang atau daunnya punyai hasiat tinggi bagi mengubati beberapa jenis penyakit.

Orang yang dipanggil 'lidah biawak', tidak digemari ramai. Orang sangsikan dia, kan?  Dia jenis pembohong. Dolak-dalik cakapnya. Berubah-ubah pendiriannya. Dan rajin tak menepati janji.

Simpulan bahasa 'lidah biawak' diibaratkan lidah kepunyaan 'sang rangkak mini' di bawah ini (yang rajin berziarah ke kawasanku). Lidah dia memang boleh berputar 360 darjah dan sentiasa 'keluar  masuk' tenggoroknya. Lidah yang mudah berputar dan keluar-masuk serupalah kot dengan 'lidah berbelit' atau 'lidah bercabang'.










Kedua, kat luar ada juga Lidah Buaya (serasi duduk dekat dengan si Rosemary).


Orang suka menanam Lidah Buaya untuk perhiasan. Kalau tumbuhnya subur dan menghijau muda, memang anggun, macam yang selalu diperagakan di shopping malls. Lidah Buaya juga ditanam orang secara komersil. Agar-agar (jeli) di dalam daunnya punyai efikasi tinggi sebagai bahan ubat, kosmetik, makanan dan juga minuman. Akarnya juga berhasiat sebagai ubat pelbagai jenis penyakit.

Orang yang prihatin dengan kesihatan tak mahu jadi 'lidah buaya'. Ungkapan 'lidah buaya' bermaksud orang yang kuat makan atau banyak makan. Hasilnya, memang boleh jadi mengganggu-gugat kesihatan. Ada juga yang mengatakan orang  lidah buaya, tak 'dan' dan 'tak susah' memilih makanan. Anything goes!  Ada juga betulnya tak,  tanggapan si 'lidah buaya', biar mati makan, jangan mati tak makan? Ishhh, ye ke? Gurau cakap saja tu!

Lidah ketiga di luar rumahku, kalau ikut buku, dipanggil Lidah Kucing.


Ada juga yang memanggilnya Bunga Pukul Sepuluh. Sebab bunganya mula mengembang pukul 10 pagi. (Tak berapa perhati pula!) Bunga, juga daunnya yang direbus atau disapukan kepada anggota badan, dipercayai boleh mengubati macam-macam penyakit. Lidah Kucing, kalau ditanam dalam rumpunan yang besar memang cantik, apa lagi tatkala bunga-bunganya yang berwarna kuning diraja itu mengembang.

Rasanya tak ada simpulan bahasa 'lidah kucing'. Tapi, aku berminat nak simpulbahasakan juga si bunga ni. Nak kukatakan si 'lidah kucing' itu orang yang obliging. Kucing selalu bersedia, dan sentiasa berkata, 'mau, mau, mau'. Maka, siapakah yang tak sayang kucing?

Lidah keempat dalam ceritaku ini selalu berada di dalam rumah. Namanya 'Lidah Cucu'. Maaf, dalam gambar di bawah ni, termasuk juga 'yang bukan lidah'!

Lidah cucu ni baru empat bulan umurnya! Bunyi darinya masa ni hanya rengekan saja. Tak lama nanti pasti lebih jelas  - bunyi 'cucu, cucu, cucu', yang bukan bermaksud 'cucu Tok Wan' atau grandchild, tapi susu! Sekarang, melalui rengekan, tak payah sebut jelas, pun dapat!

Lidah cucu yang amat sangat mudanya ini belum tahu berperang (bertikam lidah). Bagusnya, ia juga belum mampu (janganlah mampu!) jadi lidah tajam, lidah biawak, atau lidah panjang. Minta-minta si cucu akan punyai lidah lembut, lidah fasih, lidah manis. Dan juga lidah pendeta.

Janganlah dalam hidupnya,  'kerana lidahnya badan merana; kerana lidahnya hidup sangsara'.

P. Ramlee ada mengingatkan kita, supaya kita bersifat sabar dan hidup bertolak-ansur. Satu lagunya bersenikata, 'sedangkan lidah lagi tergigit ...'


*** Rakanku kata, dia menanti sms rakannya, yang menyatakan kelapangannya untuk dihubungi.
Tapi, katanya juga, sms itu macam tak mungkin tiba! ***

16 comments:

al-lavendari said...

seperti biasa nukilan dari abang penuh dengan ilmu pengetahuan, pengajaran dan nasihat.

saya terfikir juga betapa lidah kita ini di jadikanNya berfungsi salah satunya sebagai alat menggaul makanan yang kita kunyah agar semuanya lumat sebelum di telan. ia melakukan kerja itu tanpa diarahkan oleh otak tetapi tahu dan bijak melaksanakan tugas dan peranan yang diberikan kepadanya bilamana diserahkan.

subhanallah. sesungguhnya mahabijaksana Allah yang menciptakannya.

ahmad humairi said...

salam,

Lidah di sekeliling itu memang berbagai dari segi rupa bentuk dan makna. Tapi kesemuanya ada satu persamaan - iaitu pandai 'berkata-kata'

Seronok bersembang dengan lidah-lidah itu hatta lidah kelu sekali pun...insyaAllah kita memahaminya.

Temuk said...

Salam al-lavendari
Terima kasih. Sungguhlah ciptaan Allah itu berbagai kegunaannya & meluas ertinya. Kita biasa alpa banyaknya benda tersorok atau yg kita sedari tapi dipandang acuh tak acuh, yg sebenarnya membantu kita hidup. Orang di dapur, pekerja di belakang tabir, atau penduduk di pendalaman itulah yg menghidupkan orang di sebelah luarnya. Ceria selalu!

Kak Nora said...

Salam Temuk,
Seperti biasa 'very informative'. Dan kalau tak silap saya 'lidah biawak' kadang-kdang dipanggil "mother-in-law's tongue'. Mungkin ada MIL yang kata-katanya pedas dan tajam terasa kepada menantu.Bentuk daun yang runcing dan tajam kiasan kepada 'lidah mak mertua', tapi bukan mak mertua ku..okey. Happy talking.

Temuk said...

Salam Cikgu Humairi
Bersidang lidah, berhujan madah, akan adalah, baik dan padah.

Pun kala lidah kelu tak berkata, sedang maksud dah jelas nyata, lagi apa, dinanti apa?

luahfikiran said...

Salam.
Allah jadikan anggota tubuh badan kita (termasuk lidah) dengan tujuan yg baik. Alangkah bahagianya, kalau lidah digunakan untuk mengucapkan kalimah Allah dan menyebut perkara-perkara yang baik. Di bulan Ramadhan khasnya, kita amat menjaga lidah kita. Mengapa tunggu bulan puasa? Kenapa tidak setiap masa? Mari kita beriltizam !

Temuk said...
This comment has been removed by the author.
Temuk said...
This comment has been removed by the author.
Temuk said...

Salam luahfikiran
Setuju. Jaga lidah sepanjangan. Usah tunggu Ramadhan saja (yg tak salahguna lidah masa tu pun sebab memang keletihan puasa!). Sekujur batang tubuh malahan, sewajarnya diserahkan kepada-Nya melalui penggunaannya utk memenuhi segala suruhan-Nya.

Temuk said...

Salam Hjh Nora
Oh, tak biasa pula dengar lidah biawak juga dipanggil lidah mak mertua (MM yg mcm dlm cerita Ibu Mertuaku P. Ramlee kot!). Barangkali kalau nakkan MM tak menggodam, menantu kenalah buang bahagian tajam daun semasa menanam & bila tumbuh daun baru. Lidah MM kan jadi tumpul. Ingat tak, Prof. Taib Osman ajar 'imitative magic' dlm kelas antropologinya di UM 40 tahun dulu? Ceria selalu!

roha said...

Salam Cikgu.
Betul lah kata orang bijak pandai,
lidah itu lebih tajam dari mata pedang. Tapi, kalalu pokok lidah buaya amat sesuai untuk penjagaan kesihatan. Semoga cikgu diberkati Allah swr n ceria selalu.

Aida Ali said...

Bila mata bertentang mata, lidah kelu untuk berkata...... betul ke lidah yang mengeluarkan kata-kata?

Temuk said...

Salam Cikgu Roha
Pedang boleh menikam mana-mana bahagian tubuh badan. Jadi, pedang tak 'specialize', spt si lidah. Si lidah khusus menikam hati, seketul 'daging' yg paling kritikal dlm badan kita. Jadi, si lidah memang lebih hebat sasaran tikamannya. Semoga Cikgu Roha juga sentiasa ceria & diberkati Allah.

Temuk said...

Salam Cikgu Aida
He eh ye cikgu! Ada masanya, hati teringat 'mulut' (yang) menyebut. Si lidah ke si mulut yg berkata-kata sebenarnya? Tapi kan cikgu, cara orang kita jelaskan sesuatu selalunya memang hebatlah, sebab di dalamnya penuh dgn yg tersurat & tersirat. Semoga kerja2 mengurustadbir sekolah berlangsung baik sentiasa.

Temuk said...

Salam Cikgu Roha
Oooops! Tak keluar rupanya jawapan saya yg terdahulu. Maaf. Apa pun, terima kasih menjenguk. Pedang menikam rambang. Tapi si lidah lebih khusus, menikam si hati. Lagi parahlah kesannya. Lagi hebatlah bisa si lidah. Semoga cikgu juga selalu ceria & sentiasa dlm perlindungan Allah.

Temuk said...

Salam Cikgu Aida
Maaf, rupa-rupanya balasan asal saya tak keluar! Maaf. Ye juga kan, cikgu. 'Siapa' yg keluarkan kata-kata? Ada kalanya, 'hati terkenang mulut menyebut'. Si mulut ke si lidah? Atau si bibir yang mengukir kata-kata? Tapi, itulah kita: bahasa kita sarat bersurat & bersirat, dgn makna, yg acap juga berlapis-lapis.