Sunday, February 1, 2009

KENDURI KAHWIN, PENGUMPULAN RAKAN

KPD MOHD HAZERY & NORASYIKIN DIUCAPKAN
SELAMAT PENGANTIN BARU
SEMOGA BERKEKALAN SEHINGGA KE AKHIR HAYAT







Sahabat lamaku, Hj. Mohd. Ramly Chik (menetap di Klang; berpakaian Melayu serba hitam dalam gambar), telah mengadakan majlis perkahwinan anaknya, Mohd. Hazery dengan Norasyikin Mohd. Hisa, pada 29.12.2009 (1 Muharram 1430H). Majlis diadakan di Dewan Bankuet Wisma MBSA, Shah Alam.
Bersama isteri tersayang dan cucu (Farhanah), aku bertolak awal ke majlis tersebut. Sampai jam 12.15 tgh. Ikut aturcara, majlis bermula jam 12.00 tgh. Aku cuba pastikan sampai awal sebab tidak mahu miss rakan-rakan lama, gang semasa di Horley Methodist (dulunya Anglo-Chinese) School, Teluk Intan (dulunya Teluk Anson), 1960-1965. Lagipun aku tabik pada Ramly, rakan lamaku yang amat perihatin tentang rakan-rakannya. Dia sungguh rajin mencari rakan-rakan sesekolah dulu di merata ceruk rantau, dan kemudian memberitahu yang lain-lainnya rakan-rakan yang baru dijumpai! Dialah yang ada the most complete list of old friends.


Setibanya di dewan kenduri, cepat-cepat Ramly menunjukkan aku ke arah meja di mana famili Ghani (dari Teluk Intan), famili Hisham (dari Shah Alam; kerap kita tonton Hisham dalam drama TV), dan famili Mokhtaruddin (dari Ulu Kelang) sedang makan. Lebih cepat rupanya mereka sampai! Aku kalah! Itu kali pertama aku ketemu Mokhtaruddin selepas 45 tahun berpisah (sama di Tingkatan 1-3, 1961-63).



Sedang kami makan, datang pula Muzit (terkenal sebagai raja lawak gang kami; menetap di Kelang) bersama seorang rakannya. Sambil makan, kami pindah-pindah meja, juga pindah-pindah cerita -- cerita lama ke baru, kisah kawan ke kawan, dan pindah kisah ke kisah. Memang menggembirakan. Dah jadi warga emas ni, apa lagilah yang boleh menyeronokkan selain dari, antaranya, mengimbau balik kisah silam, walaupun ada juga kalanya babak-babak hidup lampau mampu menyebakkan dada!

Tak lama kemudian tiba pula Musliman (menetap di USJ), Azizi (dari Klana Jaya) dan Ismail (baru pindah ke Bukit Jelutung). Semua dengan isteri masing-masing. Kami yang sudah selesai makan, duduk di ruang rehat dewan. Tentunya terus berbual (belabon, kata orang Perak!) sambil makan bengkang Kemboja, dan bergambar.



Tak lama lepas itu pula datang Zabedah (tinggal di Ipoh) dengan kakaknya Saodah (menetap di PJ). Masing-masing dengan suami. Belum sempat ke meja jamuan, kami jemput mereka sama-sama bergambar. Sementara ada peluang! Lepas bergambar mereka masuk ke dewan untuk menikmati juadah. Kami yang diluar terus berbual. Tak ada stop. Ada saja cerita, ada saja yang menyoal dan yang menjawab. Ada saja yang menokok tambah -- dari cerita diri sendiri, ke cerita kerja, menantu, cucu, dan rakan-rakan, junior dan senior. Malah perbualan juga naik taraf sehingga ke tajuk kestabilan politik dan negara.












Selepas dua jam bersama, aku terpaksa beredar. Ismail pun begitu. Masa itu ada lagi kawan yang belum siap makan. Maaf, ya, kena ke tempat lain pula! Entah apa lagilah gamaknya gang yang tinggal di belakang "labonkan" seterusnya. Walau apa pun aku terkilan sebab tak sempat berjumpa Burhanuddin yang sampai tak lama selepas aku beredar. Insya Allah akan jumpa dalam kesempatan lain. Tak pernah bersua dengan dia sepanjang 45 tahun yang telah berlalu!
Majlis kenduri Ramly bukan sahaja meraikan anaknya sebagai pengantin baru, tetapi Ramly pastikan ia satu peluang keemasan mengumpulkan dan meraikan rakan-rakan lamanya. Di situ kemesraan lama dapat terus dijalinkan. Di situ juga rakan baru dapat dikenali dan hubungan terenggang ditaut kembali. Di situ kita menambah babak-babak hidup yang mempunyai erti tersendiri bagi diri "pelakon" dan "pelaku"nya masing-masing.
Terima kasih, Ramly!

2 comments:

Matt Kopikarat said...

Memang seronok apabila bertemu rakan-rakan seperjuangan. Apa salahnya sekali-sekali memanjakan diri tinggal di Desa Homestay dan menikmati kehidupan masyarakat Kelantan. Masih belum ramai warga Malaysia yang tidak mnegenali Desa Homestay.

Deen.

Temuk said...

Terima kasih, My Homestay. Memang ada keterujaan besar apabila kita ketemu rakan-rakan lama. Banyak cerita, tapi masa selalu tak mengizinkan. Satu hari, insya Allah, akan menjengah Desa Homestay, atau mana-mana homestay yang betul-betul bersifat kedesaan di Kelantan.