Thursday, August 11, 2011

RADIO NYANYI-NYANYI, DI BULAN PUASA

Semasa membeli tanah baja dengan tanah bakar di nurseri tempoh hari, aku ternampak 'sang terbang' ini.


Betul! Itu adalah sang kumbang. Ia sedang cuba memasuki rumah kediamannya,  satu lubang pada salah satu tiang pondok di nurseri itu.

Sebenarnya terdapat banyak lubang di sekeliling tiang kayu itu. Maknanya, banyaklah juga kumbang yang tinggal di dalamnya, dan menetap di persekitaran nurseri. Memang wajarlah begitu. Di nurseri kan ada banyak bunga!

Nak masuk rumah sendiri pun payah?!
Kumbang dengan 'gua'nya itu mengingatkan aku kepada kisah lama, zaman budak-budak, di kampung, dalam bulan puasa. Yang nak diceritakan di sini ialah mengenai satu 'cara melekakan diri', supaya tak terasa sangat kepenatan berpuasa.   

Bermain. Itulah caranya. Tapi 'bermain' jenis yang tak meletihkan badanlah.

'Permainan' yang nak kuceritakan ni unik sikit. Dulu tu, kami memanggilnya main 'radio nyanyi-nyanyi'. Radio sebenar memang keluargaku tak miliki masa itu. 

Yang jadi penyanyinya, si kumbanglah. Yang jadi radionya, tin minyak tanah kosong

Zaman itu, tin minyak tanah, yang sudah kosong dan dibersihkan, banyak gunanya. Antaranya, ia boleh dibelah dua untuk dijadikan oven membakar kuih. Juga, boleh dijadikan bekas santan kelapa untuk dimasak bagi dijadikan minyak.

Berbalik kepada hal main 'radio nyanyi-nyanyi' tadi. Tugas terpenting bila nak main 'radio nyanyi-nyanyi' ialah mencari penyanyinya! Kena cari dan 'tangkap' penyanyi! Seekor penyanyi... dua ekor... atau beberapa ekor penyanyi...suka hatilah.

Mula-mula kenalah cari sarang penyanyi. Biasanya pada tiang atau gelegar rumah, atau pada batang-batang kayu lama di sekeliling rumah. Kemudian perlulah kita test, sarang atau lubang itu ada atau tidak isinya. Caranya ialah dengan menyucuk-nyucuk lubang itu dengan lidi. Kalau ada penyanyi @ kumbang di dalamnya, pasti dia akan berbunyi marah!  Telinga kenalah tajam untuk mengecam bunyi itu.

Gambar lama: Kumbang merayu senduduk putihku
Kadangkala dapat dikesan, banyak lubang yang berisi. Ada kalanya, banyak pula yang tak berpenghuni. Ada pula masanya, satu lubang dua kumbangnya. Mungkin sepasang suami isteri.

Masa nasib kurang baik, terjumpa pula lubang yang bukan kumbang punya. Pemilik rumahnya, makhluk bersayap jenis lain, yang mampu keluar dengan pantas bila dicucuk, untuk menusukkan sengatnya ke tubuh kita! Kita pulalah yang berdengung-dengung menyanyi, kesakitan!

Selepas dikenalpasti lubang berisi, kenalah cari botol kicap kosong. 'Tutup' lubang yang berkumbang dengan mulut botol. Apabila diketuk keliling lubang,  kumbang akan keluar. Biasanya dia akan keluar cara gostan, dan terus masuk ke mulut botol yang sedia menanti.

Kemudian, cari tin susu atau tin sardin kosong. Juga secebis kain, dan getah atau tali. Lepas itu, kenalah gunakan kemahiran untuk pindahkan kumbang yang berada di dalam botol tadi ke bawah 'punggung' tin susu/sardin, yang 'dibungkus' dengan cebisan kain.  

Dapat gambarkan di mana si kumbang-penyanyi berada? Di antara kain dengan punggung tin. Dia mungkin menelentang, mungkin meniarap. Kain yang membungkusi bahagian bawah tin diikat dengan getah atau tali yang telah disediakan. 

Kain jangan tebal. Ikatan usah ketat. Dikuatiri penyanyi tak cukup udara!
Ok, dah ready dah 'tin berkumbang' kita. Tin sudah 'berpenyanyi' dan siap sedia untuk berkumandang di udara.

Untuk mendengar kelunakan nyanyian, kita letakkanlah 'tin berkumbang' itu tadi di atas tin minyak tanah kosong, iaitu 'radio'nya. Kita akan mendengar 'getaran jiwa' kumbang-penyanyi, berdengung-dengung. Tin minyak tanah yang jadi radio itu jugalah amplifiernya. Bila penyanyi mogok, kita ketuk-ketuklah tinnya, atau radionya. Kita akan mendengar next songnya!

Masa budak-budak dulu tu manalah ada perkiraan 'kesiannya kumbang', 'hak asasi kumbang' atau 'dosa pada kumbang'.  Namun, aku tak teringat ada kes 'penyanyi mati semasa bertugas'. Bila sudah puas mendengar nyanyiannya, atau bila dikenalpasti suaranya telah mula hambar, tentu dia akan segera dilepaskan ke alam bebas.

Dengan nyanyian si kumbang itu, terlekalah kita sedikit dari letih lesu dan lapar dahaga puasa. Walaupun sekejap. Namun, tempoh kita terleka boleh jadi lebih panjang apabila yang menyanyi mampu membuat kita terlena!

27 comments:

ahmad humairi said...

Assalamualaikum,

Saya pun ada buat. Kengkawan lain turut serta. Masing-masing ingin memiliki 'radio' sendiri.

Kadang-kadang kumbang saya tangkap (jenis yang berkaki putih). Ikat dengan benang kakinya. Wah! sangat mengujakan bila ia terbang. Benang tegang bila sampai hadnya. Sekali bila ia putus....putihlah mata melihatnya...bagai kumbang putus talinya. Awas bila menangkap kumbang...tidak semua boleh di pegang, nanti di sengat!

Temuk said...

Wa'alaikumussalam CIKGU HUMAIRI
Wow, jenis berkaki putih tentulah lagu rock, agaknya. Kita di kampung-kampung bermain dgn bergantung kpd apa yg ada di persekitaran. Hari ini 'radio' depa-depa sebesar jari saja, boleh muat ribuan lagu.

Menangkap kumbang memang perlukan kemahiran. Boleh tahan juga rasa sengatnnya. Pasti lebih putih mata melihat kumbang berkaki putih putus talinya daripada melihat layang-layang yg putus talinya.

luahfikiran said...

SALAM,
LF TAK ADA PENGALAMAN INI. RUGI RASANYA ! ANTARA KUMBANG BUAT PERTANDINGAN, BOLEH KAN ?

Temuk said...

Salam bahagia LF
Dlm bahasa bersimpul, hihihi, adalah dengar & tonton banyak cerita kumbang bertanding... utk rebut bunga. Walau dlm bahasa bersimpul juga, orang ada katakan, bunga bukan sekuntum. Nak berebut juga!

Dlm keadaan sebenar, masa di kg dulu-dulu tu, tak adalah pertandingan kumbang menyanyi atau kumbang berlaga.

cemomoi said...

tak pnah praktik la pulak, tapi kalu terpijak time kumbang makan jambu yang gugur, kita la akan jadik penyanyi paling hebat!

sayangsayangibu said...

masa kekecik sya dan adik beradik ada buat macam tu jugak
kami panggil "yangyang' tapi warna hijau tak silap atau kumbang warna hitam tu, masuk dalam kotak mancis.

zul permatang badak said...

kumbang hitam macam tu tak biasa,tapi sering nampak mengorek lubang gelegar.......Untuk menyelamatkan tiang rumah atau alang kami lumur minyak tanah....

disebelah pantai timur budak2 selalu buat main kumbang berkulit keras, ibu kaboo,....itu panggilan mereka. tambat tali pda kaki....pusing sehingga dia terbang.....kemudian ketawa........

kesian....tak baik buat cam tu.....
bila dah jadi orang tua gini, baru kami sedar.........
ania pada binatang....
tak baik.....

Temuk said...

CEMOMOI
Nampaknya dah terlepaslah peluang nak buat radio kumbang tu. Tak mengapalah, tak rugi apa-apa pun. Hihihi, macam mana pula boleh tak nampak si kumbang tengah makan jambu sampai terpijak? Tak mengapa, sengatnya tak seberat sang tebuan.

Temuk said...

SAYANGSAYANGIBU
Oh, nampaknya cara 'syarikat' SSI buat radio kumbang berlainan. Pakcik tak pasti, bunyinya adakah sekuat radio pakcik. Nampaknya orang perempuan pun pandai dan berani main kumbang. Mengapa namanya 'yangyang', ya? Ada kaitan dengan SSI?

Temuk said...

ZUL PERMATANG BADAK
Betullah tu, sebenarnya kita menganiyai kumbang yang malang tu. Cuma masa kanak-kanak memang tak kita fikirkan sangat perkara itu. Sekarang ni bila tengok kereta lembu atau ayam berlaga, contohnya, memang timbul rasa kesihan pada si lembu dan si ayam. Salam bahagia.

Yan said...

assalam uncle temuk.

apa khabar?lama mmg tak bersapa.Harap sihat hendaknya.

tak penah lah buat benda2 cam ni. tp creative lah kan..

Temuk said...

As-Salam YAN
Alhamdulillah, kabar baik. Terima kasih. Zaman kanak-kanak, macam-macam benda dibuat. Kalau tak rajin, tak adalah permainan. Ketemu lagi.

sayangsayangibu said...

rasanya memang panggilan binatang tu mcm tu nanti sya cuba google, warna hijau kepaknya nipis

ckLah said...

Ini jenis 'gareng' ke paman? Yang ulatnya dipanggil 'embog-embog' tu.
Saya selalu kutip ulatnya dalam batang sagu/rumbia, dibuat umpan mangail baung dan lembat...

ih said...

ni dah dekat nakraya bolehlah buat radio satu untuk budak2 yang balik kampung ni...

Temuk said...

ckLah
Paman tak pernah pula dengar nama gareng tu. Yang ulat dlm batang rumbia tu geng paman panggil 'engkuk-engkuk'. Tapi tak ingat, akhirnya ulat tu jadi kumbang yg macam mana rupanya. Di pangkal umbut kelapa busuk pula, biasa geng paman kutip kumbang merah, diikat kakinya utk main terbang-terbang. Tapi tak ingat pula macam mana rupa ulatnya. Wow, mancing yo, masa kecil aktiflah ckLah ni.

Temuk said...

SAYANGSAYANGIBU
Baguslah tu, cari kat google. Repot kat Pakcik nanti. Atau SSI juga boleh buat cerita pengalaman dulu-dulu dgn 'yangyang' tu.

Temuk said...

IH
Dato' Rais Yatim tak bagi lesen dah kat stesyen radio begitu. Sebab semua kumbang yg dilepas atau terlepas, terus masuk PAS. Lawak politiklah ni!

uSu iJamm said...

Kreatif, kreatif. Zaman saya dulu pulak ada sejenis serangga kecik (ntah apa ke nama ntah). Bila kepala dia di tekan atas tin (biasanya tin milo besar), dia akan hentakkan badannya atas tin tu. Terhasillah irama gendang.

Temuk said...

As-Salam uSu iJamm
Wow! Walau kecil nampaknya si serangga tu mampu pula bergendang. Kira 'drummer'lah dia tu, sedangkan kumbang saya, penyanyi. Serangga apalah agaknya. Terima kasih singgah & semoga ketemu lagi.

wa khairul onggon said...

Sungguh saya tak tau pun adanya permainan mcmni.. Informasi yg sangat2 menarik utk dikongsikan :)

Al-Manar said...

Ada ada saja cerita cerita yang luar biasa. Dulupun saya suka main dengan kumbang. Apa bizanya kumbang ini dengan yang makan dan memusnahkan pokok kelapa?

Temuk said...

As-Salam KHAIRUL ONGGON
Ada juga kesempatan Khairul singgah ke laman Wa Temuk. TQ. Kalau dilihat reaksi pembaca-pembaca lain tu jelaslah 'permainan' itu juga 'common' bagi budak-budak kampung di Semenanjung ini, dulu-dulu. Zaman Kahirul, orang guna radio sebesar jari sambung ke cuping, tak perlu berkumbang. I'll continue to enjoy your fascinating pictures in your blog.

Temuk said...

As-Salam AL-MANAR
Yg musnahkan pokok kelapa, oarng kg panggil kumbang tanduk. Berwarna kehitam-hitaman dan bertanduk.
Serangan kumbang ini di Perak pada penghujung tahun 90-an merosakkan banyak kebun kecil kelapa.

al-lavendari said...

dia layan tak kalau kita nak minta lagu tertentu ?

memang klasik kisah ni .. siap dengar gambar sekali. terima kasih kerana membangkitkan nostalgia.

Temuk said...

al-lavendari
Ingat tak masa ada 'jukebox' (kami panggil radiogram) di pusat-pusat hiburan dulu? Nak suruh dia menyanyi kena masuk duit siling & kena pilih cuma lagu2 yg ada piring hitamnya dalam perut jukebox tu.

Si kumbang punya jukebox tak paparkan senarai lagunya, sebab cuma dia saja yang tahu lagu apa yang nak didendangkan dan bila, dan tanpa memerlukan siling. Era jukebox mengingatkan saya lagu 'Bulan & Juga Angin' alunan PRamlee & Normadiah.....

Aida Ali said...

Salam Ramadan. Suka dengar lagu raya kat radio sekarang ni.