Saturday, January 22, 2011

AYAM BUKAN, DAGING PUN BUKAN

Sebenarnya pokok bunga yang ku kisahkan di bawah ini ku kutip dari longgokan buangan bahan si pemilik nurseri. Semasa aku membeli anak-anak pokok lain di situ beberapa bulan lalu. Walaupun telah amat layu semasa ku ambil, dalam beberapa hari setelah ditanam, ia 'hidup balik' dan kemudiannya membiak. Sekalipun nampaknya tak berapa subur.




















Pernah aku lihat pokok bunga ini dalam sebuah majalah hiasan taman. Lama dulu. Rasanya ia bernama Bunga Sate. Umum, tak spesifik! Bukan khusus sate ayam. Juga bukan sate daging.

Saja terkenang, istilah 'sate daging' ni aneh juga, kan? Mengapa sate daging tu bisasanya dimaksudkan sate  lembu saja? Ayam, kambing, rusa, malah arnab pun, kan dagingnya juga dibuat sate? Sekarang ni, ikan pun! Jadi, kan semuanya sate daging!

Tapi baguslah. Kita lebih biasa terus sebut dengan spesifik sate kambing, sate rusa, sate arnab, atau sate ikan. Bila sebut sate daging, itu mesti bererti sate daging lembu sahaja (walhal, sebab nak kurangkan modal, mungkin si penjualnya malahan gunakan daging kerbau beku yang diimport dari India!).

Tak apalah semua ni. Kan aku nak cerita pasal Bunga Sate. Bukan sate daging atau tak daging. Kawan-kawan mungkin kenali bunga sate ini dengan nama lain. Yang aku ingat, dalam majalah tu dulu ada dicatatkan, bunga sate juga punyai warna-warna lain termasuk putih dan biru. Pernah temui?


Selamat menikmati keindahan rasa sate di hujung minggu. Sate ayam. Atau sate (daging) lembu. Atau sate-sate lain yang bermacam-macam jenisnya tu.

Nikmatilah juga keindahan Bunga Sateku. Walau hanya paras wajahnya.....tanpa rasanya.

19 comments:

zul permatang badak said...

Salam cikgu....digelar sate...kedudukan bunga dari bawah hingga kehujung ranting meriah melahirkan bunga.Walaupun pada asalnya pemilik ingin membuang dalam tong sampah....Tapi itulah ia seperti ada perasaan...bila dididik dan dibelai balasan untuk kita setimpal...kita rasa terhibur dengan keindahan warnanya....bukan saja untuk kita tapi untuk semua pelayar blog nukilan.....jumpa lagi....

Hjh Noralenna Abbas said...

Salam Temuk,
Di Melaka sudah ada produk sate ikan...ikan keli dan ikan patin....pengusahanya keturunan Jawa yang memang sudah terkenal dengan sate, bukan begitu Temuk? Bagaimana ejaan 'sate' atau 'satay'?Tentang 'bunga sate', small,cute flowers cantik ditanam di English concept garden. Happy Sunday, Temuk!

al-lavendari said...

begitu juga dengan teh ..

1. tak ada kedai teh tapi kedai kopi. tak jumpa kedai tehtiam, tapi kopitiam bersepah2. kalau nak minum teh kenalah pergi kedai kopi atau kopitiam.

2. bila nak minum teh o, kena sebut teh o, sebab kalau sebut teh sahaja dia orang akan beri teh susu. sepatutnya bila minta teh, dia orang patut beri teh o sebab kita tak sebut pun susu pun.

Temuk said...

Semoga selamat & sejahtera
ZUL PERMATANG BADAK

Sekali pandang, bunga sate memang nampaknya macam kuntum-kuntum bunga kecil yg dicucuk menjadi sate. Sate bunga! Saya memang kesiankan pokok. Bila potong atau cabut pokok sedia ada, nak buang, akhirnya cucukkan juga ke tanah di sana sini. Jadi, wujudlah taman tanpa sistem! Jumpa lagi.

Temuk said...

HJH NORA

Saya ada cuba sate ikan di Bangi. Tapi bukan patin atau keli. Memang wong Jowo yg bikin. Bila tengok tv, nampak orang putih pun buat sate, siap dgn kuah kacangnya sekali. Rasa tak tahulah sebab ramuannya pun lain.

Kat Kamus Utusan, ejaannya 'sate'. Tak periksa pula di Kamus Dewan. Selamat berhujung minggu.

Temuk said...

AL-LAVENDARI

Temuk nak kata, tuan = pemerhati hebat! Apa pun, itulah uniknya bahasa kita. Lain disobut, lain maknonyo. Sobut sikit dapek banyak. Tengoklah, minta kopi dapat air kopi+gula+susu. Minta kopi tak pernah dibagi air kopi saja. Apa lagi serbuk kopi tanpa air, atau semata-mata buah kopi! Memang baik orang-orang kita, kan?

Maaf gurau-gurau pagi minggu ni, Al-Lavendari. Seronok juga kita perhatikan penggunaan bahasa dalam sesuatu konteks budaya tertentu, kan? Orang antropologi-sosiologi (kalau tak silap) macam tuan, pasti lebih faham. Salam bahagia & selamat berhujung minggu.

ahmad humairi said...

Assalamualaikum,

Sate kat pasar malam di kawasan saya berharga 25 sen secucuk, tapi taklah berbunga lebat, namun baunya tetap memikat. Cuma sate yang ini lebih mahal harganya bagi yang tahu menghargainya. Sekali pandang, nampak seperti bunga orkid. Inilah pandangan pertama saya pada bunga sate ini. Mulanya saya ingat pokok bijan, tapi bukan.

Kakzakie Purvit said...

Salam cikgu,

Cantik bunga sate. Banyak pulak tu. Agaknya sebab kuntuman bunga rata menaik macam sate dicuck lidi maka namanya bunga sate. Tak tahupun sebelum ini. Terima kasih info.

Temuk said...

Wa'alaikumussalam CIKGU HUMAIRI

Orkid bukan bijan pun bukan
Bunga sate mahal harganya
Sakit bukan demam pun bukan
Tak sedap hati terkenang dia.

Temuk said...

Salam bahagia KAKZAKIE
Agaknya begitulah dia dapat nama 'sate'tu.... Kalau ditanam dalam satu bulatan yg besar, pokoknya tumbuh rendah tapi lebat berbunga, pasti jauh lebih cantik. Tapi tanah di kawasan saya & panahan hebat cahaya matahari tak begitu menggalakkan bunga-bunga sedemikian. Jumpa lagi.

Ann @ DN said...

Salam Temuk,
Cantik bunga sate ni....ade mcm orkid pun ye...mcm bunga letup2 pun ye jgk...

Bunga sate di beri nama
Warnanya cantik menawan kalbu
Dzahir tak sakit tapi hati merana
Apa kah jalan utk membantu...

Temuk said...

Salam bahagia N @ MakNi
Terima kasih singgah. Memang bunga sate tu merep bunga orkid. Memang unik dan cantik.

Warnanya cantik menawan kalbu
Bunga sate itulah sifatnya
Insya-Allah ada jalan membantu
Kena dipasti sebab merana.

Abu Aiman said...

nasib si bunga sate, asal terbuang, dipungut dibaja, akhirnya terbela...
First time dengar nama bunga sate. =)

Temuk said...

As-Salam Abu Aiman
Insya-Allah, dari sebatang dengan dua tiga cabang, akhirnya mengembang rumpunan si bunga sate. Syukur kepada-Nya yang memberi keizinan.

nadz said...

Assallamualaikum,
Salam ziarah
cantik bunga sate ni..

Temuk said...

Wa'alaikumussalam NADZ
Terima kasih banyak-banyak sudi ziarah. Benar, ada keunikannya yang tersendiri si bunga sate tu. Ketemu lagi!

zul permatang badak said...

percubaan kedua...bunga senduduk.

Temuk said...

Nampaknya jawapan tersesat ke tempat lain .... dan tak betul. Tak mengapa, kerana akhirnya sdra yg menang! Tahniah & terima kasih!

Never Ending Story said...

Assalamualaikum..

pokok ni masa numi kecik2 dulu, kami panggil pokok itik..sbb bila tangkainya dicabut dr pokok dan dari bunganya. tukarkan yg di pokok masuk ke bunga. nampak mcm kepala itik..