Saturday, March 19, 2011

PARIT MATI, YANG MATI, YANG TAK MATI..........

Hujung minggu lepas, aku hadiri kenduri kahwin anak saudaraku di Kg. Parit Mati, Bagan Datoh, Perak.



Namanya saja Kg. Parit Mati. Tapi ia tak mati. Belum mati. Disebut belum mati sebab mungkin dia akan mati juga. Seperti kampung-kampung lain sekawasan yang penduduknya habis memigrasikan diri.

Parit Mati masih punyai penghuni, sekalipun jumlahnya kini, pada anggaranku, tidaklah sampai sepertiga daripada jumlah pada tahun-tahun 50-an dulu. Rumah juga sudah jadi 'jarang-jarang'.

Enam adik beradik anak saudaraku yang kendurinya ku hadiri telah berkeluarga sendiri. Semuanya berstatus 'migran desa-bandar'. Tinggal dua orang lagi adikberadiknya yang masih di kampung, bekerja kampung, sambil menunggu ibu mereka. Bapa mereka (abang saudaraku) telah meninggal dunia. Ku jangka, suatu hari nanti, mereka bertiga yang tinggal ini juga akan meninggalkan Parit Mati.

Bila itu berlaku, dan yang lain patuh mengikuti, perlahan-lahan tapi pasti, Parit Mati akan mati.

Kata penghuni Parit Mati, perusahaan kelapa di kampung mereka pun sebenarnya sudah hampir mati. Sama seperti di kampung-kampung lain di kawasan itu. Pekebun kecil di situ berusaha sendiri (mereka kata, 'polah dewek'!), tanpa bantuan sesiapa, menukar kelapa yang berupa tanaman asal dengan kelapa sawit. Sebab tukar tanaman? Kerana ‘janji’ pulangan ekonominya yang dipercayai lebih baik.

Sementara menunggu kelapa sawit ‘hidup’ dan berbuah, matilah sumber pendapatan pekebun. Mereka menanam pisang sebagai tanaman selingan. Ada yang mengekalkan kelapa tua mereka, supaya ada juga hasil sementara kelapa sawit membesar.

Sebenarnya, bila ada dua 'tanaman utama', campur pokok pisang lagi,  berubahlah ekologi kebun (teringatlah aku akan kisah agricultural involution di Jawa, tulisan antropologis Clifford Geertz lama dulu).  Kebun-kebun kecil di Parit Mati jelas menjadi lebih padat, sesak, begitu ditekan, didesak, dipaksa, untuk mengeluarkan hasil dengan (pula tu!) pelaburan input pertanian yang paling minimum!

Lalu, pun nampak 'banyak' punca pendapatan, pulangan sebenarnya adalah rendah. Lalu lebih ketaralah juga padaku, peri parahnya keadaan sebenar sumber-sumber ekonomi yang ada bagi penduduk menyambung kehidupan. Dan peri praktikalnya mereka mematikan kampung dengan berhijrah.

                                                               oooo0000oooo

Ke kisah kenduri sedikit lagi.

Di Parit Mati, nampaknya belum mati lagi amalan menjemput orang dari banyak kampung di sekeliling. Juga jemputan untuk seluruh keluarga (bukan jemput Hj. Jemputan & Isteri sahaja!). Tapi agak ketara juga, kanak-kanak yang selalunya membanjiri kenduri kendara kampung, amat sedikit bilangannya. Rakan bercerita, saiz famili kampung sudah lama mengecil. Sekolah rendah di dua kampung terdekat pun hanya 50-60 sahaja jumlah pelajarnya.




Bila saiz famili menurun, dan para famili memigrasikan diri, mudahlah juga sekolah rendah kampung menjadi mati.

Rakan-rakan ceritakan, belum mati lagi amalan gotong royong memasak makanan kenduri di kampung, seperti di Parit  Mati. Sekalipun sudah biasa juga orang buat kenduri cara catering.

Tapi, ‘Syarikat Pinggan Mangkuk’ kampung Parit Mati agaknya sudah mati, atau jarang diaktifkan. Ku lihat, pinggan mangkuk polistrin sudah mengambil alih pinggan mangkuk siramik dulu-dulu.

Jelas masih hidup amalan ‘dua bangsal berasingan’ untuk tetamu lelaki dan perempuan. Tapi bangsal ini khemah! Sudah puluhan tahun mati amalan gotong royong membuat bangsal tradisional, seperti amalan zamanku dulu (guna buluh, atap nipah, lantai papan atas tanah, dsb). Canopy dan kerusi plastik sudah mengambil alih tempat bangsal lama yang amat mesra-alam dan memesrakan hubungan.



Institusi 'gejobos' (pelayan/pekerja sukarela majlis kenduri) nampaknya sudah melemah. Bolehlah dianggap sudah hampir mati. Ku perhatikan, memang sudah tak ketara gerombolan gejobos dan hiruk-pikuk atau simpang siur mereka menatang talam hidangan. Orang kampung sudah biasa dengan cara layan diri, atau cara 'mangan njokok dewek' sepertimana orang Parit Mati kata.




Di Parit Mati, nampaknya belum mati lagi amalan memberi ‘berkat’ kepada para tetamu. Tetapi sudah jauh berubah ‘berkatnya’. Sekarang, lebih simple dan practical. Kalau tidak, sebab yang berkenduri keturunan Jawa, memang boleh dijangka akan ada bekalan balik (namanya ‘bontrot’) berupa nasi dan lauk pauk, di samping kuih-kuih kering. Remehnyalah membontrotkan, walhal, terutama zaman bontrot dibungkus dengan daun pisang, sampai di rumah adalah yang ba alif sin ya dan tak dimakan!

Masa itu, bunga telur (orang Parit Mati panggil kembang ndok) juga satu kemestian. Telur dicucuk tengah-tengahnya dengan sebilah buluh kecil yang diraut, sebesar straw, yang diikatkan pada hujungnya bunga kertas hiasan.

Tak mati juga di Parit Mati amalan ‘menyumbang’ para jemputan kepada tuan rumah. Sumbang duit dalam envelop atau 'sarung duit raya'.

Teringat pula dulu-dulu, wang sumbangan dibungkus dengan kertas surat khabar. Kata arwah ibuku, dulu-dulu macam zaman-zaman aku ‘dikendurikan’ (lebih nak kisahkan ‘zaman’nya!), biasalah tetamu menyumbang seringgit dua kepada orang yang menjemput. Yang menghulur ‘kupang-kupang’ pun ada juga. Kalaulah ada yang hulur $5 masa itu, memang hebat sangatlah. Namun, kata orang kampungku dulu, apa yang penting bukan makannya, bukan berkatnya, dan bukan sumbangannya. Tapi perkumpulannya!

Juga jelas tak mati, yang aku mesti catatkan di sini, rasa keakraban hubungan. Sekalipun dengan orang yang telah puluhan tahun tak ditemui. Kenduri di Parit Mati menemukan aku dengan beberapa orang rakan yang puluhan tahun tak ku hubungi. Antaranya Hamid Hitam (rakan sedarjah 1-6 dalam tahun-tahun 50-an). Mesranya perbualan, dengan kisah silam yang berbagai-bagai.



Juga ku temui Rani dan Asmawi (mereka senior setahun). Juga Bakhtiar, Mansur, Salleh. Malah juga rakan-rakan lama lain yang tinggal di kampung-kampung sekeliling. Terujanya berjumpa mereka, yang memang ku muliakan sebagai pelangsung kehidupan kampung.

Pastilah tidak mati kasih sayang dan kasih mesra di Parit Mati.





Begitulah sedikit kisah Parit Mati. Dan yang berkaitan dengannya, yang mati dan tak mati.

33 comments:

al-lavendari said...

salam

kata orang, sekali air bah sekali pasir berubah.

kalau kita tidak mahu berubah, kita akan diubah.

apa yang dirasakan baik dan praktikal akan di kekalkan oleh masyarakat dan sebaliknya.

tetapi yang penting .. semangat tolong menolong, kasih sayang dan maaf meaafkan perlu dikekalkan.

ahmad humairi said...

Assalamualaikum,

Bila kita mati, tinggallah nukilan ini yang takkan mati, walaupun Parit Mati juga kan mati....dan pasti yang tak mati akan mengambil iktibar dari kisah parit mati, yang mati, yang tak mati.....

Yan said...

Kembang endok ya Temull Bunga telur..Sekarang ni amalan makan berhidang pun udah pupus. asik dgn buffet je. tak suka saya..

Temuk said...

As-Salam al-lavendari

Setuju. Setuju. Yg sedih tu, pantai tak sikit pun berubah, sekalipun bah telah acap berlaku. Memang cantiklah kalau kita boleh berubah tanpa menunggu orang lain mengubah kita, atau memaksakan perubahan ke atas kita. Dan benar amatlah, ada juga cara atau amalan lama yang wajar tidak kita ubah, walaupun zaman amat mendesak perubahan atau pengubahannya. Ketemu lagi.

Temuk said...

Wa'alaikumussalam Cikgu Humairi

Mudah-mudahan begitulah. Agaknya, pada 'suatu zaman' yang jauh di hadapan, bagaimanalah agaknya kemungkinan tinggalan kita dibaca orang. Kerana mungkin 'pusat simpanan data maya' kita kini, pada ketika itu amat kuno keadaannya, sehingga amat sukar jadinya untuk dibuka 'pintunya' supaya boleh dibaca segala isinya.

Aku said...

Assalamualaikum Tuan,

Cerita pasal migrasi desa-bandar ini pun telah berlaku di kampung saya dalam tahun 70an membawa ke 80an.

Sekarang ini, abang saya yang duduk di bandar berkeputusan untuk menetap dikampung walau dia seorang jurutera.

Dia sedih kerana golongan tua dan belia terlalu berjarak. Usia antara 25 thn hingga 50 thn terlalu vacum... malah, adalah satu senario biasa jika terlihat seorang mbah dan cucu 5 tahun di atas motor pergi ke kedai. Ya, atuk dan cucu... anaknya entah ke mana...

zul permatang badak said...

salam...cikgu..

seronok kenduri dulu2 makan berhidang..dilayan bagai tuan....kurang lauk ada tukang tambah...makan berpasang 4 pingan..berkaca pula.......bersuruh/desak...tambah hai orang muda takkan sikit aje.....pelawa mempelawa....

kenduri kini.....ambil sendiri/ lauk bergaul nasi...acar dihimpun sekali...alahai tangan sebelah lagi memegang gelas sukar memulas air sirap.....meninjau ninjau...jika ada ruang kosong boleh juga mencelah...........

ya..kadang2 terkenang...suasana yang
hilang.....

sahromnasrudin said...

assalamualaikum tuan temuk..

terima kasih atas nukilan ini..saya sangat teruja apabila membacanya..
betapa tajamnya bahasa yang tuan temuk gunakan.ia tidak pernah mati sama sekali..seakan baru semalam saya merasakan akan keaslian bahasa itu

Temuk said...

Wa'alaikumussalam AKU

Terima kasih singgah ke blog Pak Temuk yang saban meraban ni. Migrasi bandar-desa di Barat dan juga di USA memang fenomena biasa. Meraka yang memang orang bandar pun suka menetap di countryside setelah tidak bekerja di bandar. Berdasarkan pemerhatian tak sistematik, ini juga memang berlaku di negara kita. Itulah juga yang abang AKU lakukan. Tabik pada dia! Seronok balik ke kampung dan tinggal di situ, walaupun tak semestinya kampung asal kita. Cuma sesetangah orang tak mahu berbuat demikian sebab telah mantap hidup berkomuniti di kawasannya sekarang di bandar. Dan bimbang bila balik kampung mati akal dan sudah tak ada pula geng lama. Terpulanglah.... pelan masing-masing, kan?

Temuk said...

As-Salam ZUL PERMATANG BADAK

Komen ZPB amat mengingatkan ramai di kalangan kita kepada suasana kenduri (kampung) dulu yang sungguh menyeronokkan. Kita berkenduri dan kita bergurausenda. Masa sentiasa 'banyak'. Biasa dulu-dulu bagi orang kampung saya berkenduri siang dan malamnya! Kini kita mengejar dan dikejar masa. Dan kita kenduri 'touch and go' di khemah-khemah kampung atau bandar. Atau kenduri berjadual waktu di dewan-dewan bandar.

Temuk said...

Wa'alaikumussalam SAHROMNASRUDIN

Semoga Sahrom sihat. Dan dapat terus bekerja dengan baik. Sahrom merisaukan saya, apatah lagi sebab saya tak nampak apa-apa yang tajam... yang saya amat tahu, walaupun mungkin tak betul 'pengetahuan' ini, menulis di blog kurang bimbangnya, walaupun kita melanggar undang-undang Dewan Bahasa! Tapi... jangan sekali-kali melanggar undang-undang itu bila menulis untuk jurnal ilmiah. Ceria selalu!

ckLah said...

Assalamualaikum Paman Temuk...
Bagan Datoh pun pekannya semacam nak mati (marah pula orang Bagan Datoh) Tapi masa memilih SBP untuk anak lanang ckLah tu, kami sengaja memilih Sek Men Sains Bagan Datoh, dan mengelak dari SBP di bandar. Banyak alasannya. Kini, dengan adanya anak kami di itu, kami lebih kerap ke Bagan Batoh...walaupun sesekali nak mencari barang keperluan asramanya agak sukar. Terpaksa berundur ke Hutan Melintang atau Teluk Intan terus.

***Kebun kami di Sungai Tiang Baruh sudah dihakis laut sedikit demi sedikit...

ckLah said...

Erata:
Batoh = Datoh.

Temuk said...

Wa'alaikumussalam ckLah

Oh, ada anak lanang di SMSBD, ya? Baguslah selalu turut melawat kawasan Menteri Pertahanan. Kalau selalu ulangalik BD, ada peluang ketemu nang ndalan... Insya-Allah BD akan mengembang. Nantilah... tengok bila UiTM dah mula dibuka, kabarnya tahun 2012, kan? Aduuhh, masalah coastal erosion kawasan BD memang serius. ckLah tahu tak kes ban pecah lebihkurang 20 tahun dulu yang menyebabkan kebun-kebun baru kawasan Mukim Rungkup banyak yang musnah? Masalah yang ini rasanya tidak diatasi dengan berkesan sampai sekarang. Didhol wae kebone kui mareng Pamane iki, tapi yo utanglah! Kesewun.

Temuk said...

As-Salam YAN
Nampaknya kembang ndok pun dah mula ghaib di kampung-kampung. Saya agak, kos adalah antara sebabnya.

Semasa penduduk kampung padat, dan tenaga mudanya ramai, mereka sukarela berpadu tenaga menjadi 'gejobos', termasuk untuk memasak, menyedia dan menghidangkan nasi & lauk pauk. Maka adalah hidangan bertalam. Bila sekarang anak-anak muda yang kenduri pun datang dari bandar (walaupun mereka asalnya dari kampung), memang tak ada peluang lagilah kita nak lihat pasukan penghidang talam tu....

Yan said...

Asalam Temuk,

tapi abah saya masih tetap mengamalkan concept hidangan. Ktanya lebih sopan.. Tetamu bagai dihargai.. Majlis kawin saya in 1995 sampai kan adik 2 saya latest in 2009, abah tetap pakai hidangan. Walaupun jemputannya almost 2000 orang.. Kitarang pun seronok...

Temuk said...

As-Salam YAN

Alhamdulillah & tahniah. Memang bagus kaedah itu sebenarnya, sebab tetamu tentu merasa lebih diraikan. Abah YAN memang hebatlah. Kuat semangat dan prinsipnya. Dalam tahun 2011 ni bakal adakah lagi kenduri berhidang dalam keluarga YAN?

Kak Nora said...

Salam Temuk,
Banyak rumah di kampung sekarang sudah dijadikan homestay sebab tuan punya sudah hijrah ke bandar. Kalau ada orang bandar nak rasa nikmat kampung, bolehlah tinggal di homestay sehari dua. Kenduri kahwin sekarang, layan diri sebab mudah dan tak cukup petugas atau sukarelawan. Ceria selalu!

Temuk said...

As-Salam Hjh Nora

Di kawasan Bagan Datoh ada juga homestay. Beberapa kampung mengambil bahagian. Dari sembang-sembang dengan kawan-kawan, sambutan tidaklah begitu menggalakkan. Kementerian berkenaan patut buat penilaian sistematik, terutama kalau benar-benar mahu dipastikan penduduk desa dapat mengambil bahagian dalam industri pelancongan yg sekarang jadi 2nd major income earner utk negara.

Kakzakie said...

Assalamu'alaikum Cikgu,

Hanya namanya saja ada perkattan mati. Tetapi adat dan tradisinya tak mati. Hanya kerana jumlah penduduk yg kian berkurangan kerana adanya proses penghijrahan kelihatan keceriaan manjadi pudar.

p/s: kembang ndok seng dicucuk wes orak ono ask iki. Seng ono ndok nag njero kotak. Hehehe....

Temuk said...

Wa'alaikumussalam KAKZAKIE

Mungkin kita tak sepatutnya mengangan-angankan pengekalan semua adat resam kita. Segala perubahan fizikal & sosial di sekeliling sesebuah komuniti ada kalanya menetapkan amalan-amalan lama tertentu tak wajar malah tak boleh lagi diteruskan. Hakikatnya, tidak ada masyarakat & budaya yang tidak berubah-ubah, meninggalkan 'cara lama'. Hatta, kembang ndok pun telah berubah bentuknya, walaupun fungsinya masih serupa. Kalau kita pentingkan ole-olean, tak semestinya kita beri kembang ndok saja, kan Kakzakie? Saya tunggu cenderahati kenduri kahwin dalam bentuk 'key chain'! Ceria selalu!

AUR said...

Assalamualaikum Pakcik...

Jeng..jeng.jeng...AUR belum mati daa...

Nengok ke gambo ni teghase macam pernah sampe...Tapi mase tu saye baru sekolah rendah...Sekali je pun perginye..Nanti2 saye balik kampung saye check ngan ayah.Ni kampung belah tok belah ayah.Silap2 ada bau2 stokin kita ni Pakcik..

Al-Manar said...

Seronok baca tentang Parit Mati yang tak mati. Kalaupun betul bertambah kecil bilangan penghuni disebabken pemindahan saya percaya tempat tempat seperti Parit Mati diseluruh negara akan hidup semula. Mukin lama selepas matinya penduduk asal. Tak semastinya masih b erupa kampong - munkin dalam bentuk kawasan perindustrian dengan pekerja yang tidak semestinya orang 'kita' lagi. Adat yang dipertahankan munkin akhirnya terbiar mati.

Satu renungan yang indah sdr Temuk.

http://aniesandyou.blogspot.com said...

nk tanya 1 je: mahal ke kelapa kat bagan datoh ni?

ibuintan said...

assalamualaikum cikgu,

masih ada dikg saya yang membuat kenduri menggunakan konsep hidang ni, namun agak menyusahkan sebab golongan remaja yang menolong sudah berkurangan

majlis menjadi kurang lancar bila jemputannya ramai

Temuk said...

Wa'alaikumussalam AUR
Nak tau, ni balas dari luar negeri. Tapi tak jauh.... Ha, eloklah golongan muda ni check sebab yg tua dah tak berapa sempat. Kot tak bau stokin pun kira saudaralah, sebab AUR ni orang baik. Happy selalu!

Temuk said...

As-Salam AL-MANAR
Maaf lambat respon ni. Saya setuju pemerhatian Al-Manar tu. Cuma pada masa itu entah telah berapa puluh tahun, atau berapa dekadlah kita sudah tiada. Memang sesuatu kawasan mati boleh hidup semula jika ada 'pembangunan' tertentu. Di daerah lama saya tu telah mula timbul sekolah-sekolah menengah dan akan datang tahun 2012, sebuah universiti (cawangan). Alhamdulillah. Gembira selalu!

Temuk said...

As-Salam ANIES
Setahu Pakcik, 30-50 sen sebiji, bergantung kepada saiz. Entah berapa lapis orang tengah yg terlibat, bila sampai kpd kita di bandar, sampai RM1.50 - 1.80 harganya sebiji, berparut. Dulu orang kampung keringkan kelapa menjadi kopra. Sekarang tak ada LAGI. ada sebilangan kecil pekebun yang mengeluarkan 'minyak kelapa dara' dari kelapa mereka.

Temuk said...

Wa'alaikumussalam IBUINTAN

Memang, 'cara hidang' utk tetamu (yang tak putus-putus datang) boleh menyebabkan keadaan 'ribut'. Ada tetamu yang terpaksa menunggu....sebab hidangan belum sampai. Ini amat mungkin disebabkan pelayannya tak ramai. Nampaknya, dlm zaman sekarang ni, kalau nak cara berhidang juga semasa berkenduri, kenalah cari pekerja berbayar secukupnya. Tak boleh nak diharapkan sangat orang/anak muda tempatan membantu. Ceria selalu!

nur said...

Salam Pak Temuk..
Kenduri kawin saya dulu alhamdulillah masih berpeluang jamu para jemputan dengan cara hidang. Alhamdulillah masa tu senang, kaki-tangan ramai.. hehehe
Elokkan kalau dapat ejas kekalkan cara hidang sebab para jemputan akan rasa begitu di ra'i kan... Terkenang, salah-satu lauk yang dihidangkan ialah Ayam Percik yang lazat..

Temuk said...

As-Salam NUR

Terima kasih sudi singgah. Wah, baguslah dapat merasa kenduri berhidang. Anak pinak kita sukarlah nak mengalaminya. Bolehlah buat cara hidang di hotel. Tapi taklah sama dengan cara hidang dulu-dulu, sebab yang dulu-dulu, hidangan bersambung-sambung. Di hotel, sekali hidang saja. Habis disantap, habis kenduri! Alahai, sedapnya kenduri berhidang dengan ayam percik dalam hidangan!

luahfikiran said...

SALAM,
TENGOK GAMBAR2 TU, TERINGATKAN SUASANA KAMPUNG SEMASA BUDAK2 DULU. MASA TU, TINGGAL DI PEKAN BAGAN DATOH, TAK JAUH DARI KPG PARIT MATI NI. NYAMAN DAN TENANG. RASA NAK BALIK SEMULA KE SANA. KALAU IKUT LAPORAN AKHBAR, BAGAN DATOH DAN KAWASAN2 SEKITARAN TU AKAN DIBANGUNKAN (INDUSTRI BINA KAPAL NAK DIBANGUNKAN DI SANA). JETI KITA TU NANTI BERTAMBAH CANTIK LAH !

Temuk said...

AS-SALAM LUAHFIKIRAN
JOM KITA BALIK! ALAHAI....GENG TINGGAL SORANG DUA SAJA PULA. LAGI SATU, TAKUT TAK TAU NAK BUAT APA-APA PULA DAH (DULU TEMUK PANDAI MENEBAS, MENGOPEK KELAPA, MEMBELA LEMBU, MENJALA IKAN, DAN MACAM2). TAPI BILA UiTM TEGAK, INDUSTRI BINA KAPAL MENGEMBANG, BOLEHLAH KOT KITA MINTA KERJA.... ALAHAI, UMUR PULA DAH MELEPASI PARAS MUDA! IT LOOKS LIKE WE HAVE TO REMAIN WHERE WE ARE! HAVE A NICE DAY!