Bila kulihat gambar-gambar lama itu hatiku jadi tertanya-tanya, di manalah agaknya mereka sekarang. Bagaimanalah agaknya mereka, dan bagaimanalah agaknya perkampungan mereka masa ini.
Bersama tiga orang rakan, aku ke perkampungan mereka kira-kira 15 tahun dahulu. Yang dijengah itu adalah sebuah perkampungan suku kaum Temiar, terletak di sekitar Grik, Daerah Hulu Perak. Buat apa tu? Penyelidikan kecil, sambil yang lebih penting, 'ziarah dan belajar'.
Yang bersamaku ke perkampungan mereka, tahulah aku di mana mereka sekarang, juga bagaimana keadaan mereka.....(Maaf ya, gambar-gambar berikut diambil 180 bulan dahulu, dan telah digambar semula!)
Yang bersamaku ke perkampungan mereka, tahulah aku di mana mereka sekarang, juga bagaimana keadaan mereka.....(Maaf ya, gambar-gambar berikut diambil 180 bulan dahulu, dan telah digambar semula!)
Dr. M'arof belum (tapi mengidam nak sangat) pencen. Dia ni gemar betul menulis buku. |
Dr. Zahid dah pencen. Jaguh makan angin, dia ni. Nak menetap di Cameron Highlands lepas raya 2011. |
Dr. Ghaz ni amat suka menziarahi orang, sesiapa saja. Juga kampung-kampung, di mana saja. Dah pencen. Kini bertugas di sebuah kolej di Brunei. |
Berbalik ke kisah perkampungan tadi. Apa kabar agaknya Tok Batin? Apa kabar cikgu-cikgu?
Sudah ada api air sekarang ni? (Tapi air hutan-bukit kalian pasti lebih mengancam. Aku pasti memilih yang itu!).
Telah adakah jalan tar di kawasan kampung? Mungkin juga berasaskan analisis cost-benefit, tak wajar dibina. Aku tahu, lebih mahal dan sukarlah untuk dibina jalan besar bagi menghubungkan kampung pendalaman itu dengan pekan atau bandar.
Tak mengapa, jalan air ke daerah terpencil itulah yang pastinya lebih memikat dan menguja para pengunjung.
Agaknya perubahan apalah lagi yang sudah berlaku di kampung Tok Batin tu ya? Mesti macam-macam. Agak akulah.
Mungkin, antaranya, kampung sudah tak gunakan telefon solar lagi. Mesti ramai yang sudah ada telefon dalam kocek!
Sudah ramaikah yang tinggal di kampung, termasuk para cikgu dan orang-orang Jabatan Orang Asli yang bekerja di situ gunakan komputer? Mudah-mudahan begitu. Kan ini zaman 'tanpa wayar'!
Pokok-pokok getah sekeliling kampung sudah diganti dengan pokok lainkah? Atau sudah ditanam semula? Kalau dijaga baik-baik, zaman-zaman ni boleh bagus juga hasilnya tu!
Aku jangka mereka semua dalam lingkungan umur akhir tiga puluhan sekarang ni. Mungkin semuanya sudah pun berkeluarga dan beranakpinak, sudah berpindah, atau telahpun bekerja di tempat lain. Tak tahulah pula kalau mereka tak gemar berhijrah.
Dewan yang disediakan oleh Jabatan Orang Asli amat berguna sebagai tempat mereka berkumpul, bermesyuarat, dan melangsungkan apa juga aktiviti untuk kepentingan bersama. |
Namun, dalam hatiku, kumpulan yang di bawah inilah yang ingin sangat kuketahui mereka di mana, mereka bagaimana.
Sekolah di perkampungan hutan.... |
Doaku, mereka mampu menjadi golongan yang terus cintakan ilmu. Semoga ada di kalangan mereka yang telah melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi, hatta universiti. Mudah-mudahan ada dari kalangan mereka yang berkeupayaan mengambil bahagian dalam arus perdana pembangunan negara.
Tak lekang dalam ingatanku, dari ziarah dan penyelidikan kecil itu juga, adalah 'rumah sewang' penduduk di perkampungan itu. Bagiku, rumah sewang itu adalah juga satu perlambangan penting kehidupan kelompok pemiliknya.
Masih dibinakah ia, yang maksudnya juga ialah, masih bersewangkah mereka?
Bersewang merupakan upacara 'minta selamat' pada 'kuasa luarbiasa'. Aku dan
rakan-rakan tak sempat melihat upacara itu dilangsungkan beberapa hari sebelum kami sampai.
Aku teringat hingga kini, kesungguhan mereka mendirikan rumah sewang itu amat ketara sekali. Samalah dengan kesungguhan mereka untuk mengecap 'hidup selamat'. Rapi benar mereka membilah buluh dan menata bilah-bilah buluh itu sebagai lantai. Sama jugalah kerapian mereka mengikat kepingan-kepingan bertam yang telah disemat kemas sebagai bumbungnya.
Atau bayangkan selesanya duduk bersila beramai-ramai di situ, menikmati (atau disiksa!) masakan Pak Temuk.....Masakan masa di perkampungan itulah! (Sekarang memang jarang ke Jabatan Dapur kerana kurang peluang dan mood!).
Lihatlah rapinya buluh dibelah-belah, dan rapinya bilah-bilah buluh ditata dan diikat. |
Bayangkan enaknya mimpi bila kita lelapkan mata di rumah sedemikian. Berpayungkan pohon buah-buahan dan hutan yang hijau di sekelilingnya..... dan beratapkan bertam sejuk yang disemat padat. Sambil diuliti pula oleh kicauan burung, dan angin segar tanpa batas, tanpa pencemaran!
Atau bayangkan selesanya duduk bersila beramai-ramai di situ, menikmati (atau disiksa!) masakan Pak Temuk.....Masakan masa di perkampungan itulah! (Sekarang memang jarang ke Jabatan Dapur kerana kurang peluang dan mood!).
Dalam mengenang kampung pendalaman yang pernah dijenguk itu, berdetik juga dalam hati kisah maju mundur diri kita.
Kita selalu kata, kita mengalami pemodenan, pembangunan, kemajuan.....mengikut acuan kita sendiri. Itulah yang terutamanya para pemimpin kita selalu sebut, pun mungkin tanpa mereka hayati tafsirannya.
14 comments:
Salam Temuk,
Sudah tiba masanya bagi Sdr Temuk menziarahi semula kampung tersebut dan melapurkan kepada kami yang kini teruja untuk mengetahui perkembangan terkini. Apakah setelah 180 bulan berlalu mereka sudah maju dan mengecapi segala yang moden yang bagi kita adalah kemajuan? Adakah kemajuan mereka menepati tahap seperti KPI yang di laungkan? Yang paling saya takuti adalah kemajuan yang menyebabkan semua hutan tempat mereka mencari rezeki masih wujud? Adakan sungai yang dulu mengalir jernih seperti tertera dalam gambar Temuk masih jernih?
Semua pembaca pasti ingin tahu.
Assalamualaikum paman...
Membuatkan saya teringat semasa seminggu berkampung sebuah pos orang Asli di Ulu Yam...mengikuti program Baktisiswa semasa jadi buka Universiti Malaya, lebih 20 tahun lalu...
Erata:
buka> budak
SALAM,
MENARIK KISAH LAMA NI ! INGATKAN MUKA INI ADA DALAM GAMBAR2 PAPARAN TEMUK ! TEMUK PANDAI MASAK RUPANYA !
As salam cikgu,
Kisah nostalgia ni. Cikgu jejak kasih ke penempatan tersebut. Rasanya telah byk perubahan yg berlaku di sana. Segak la cikgu waktu 180 bulan dahulu. Skrg pn masih segak lg tp berubah mengikut peredaran masa.
As-Salam PAK ZAWI
Bagus juga kalau para pengkaji pembangunan kita hari ini melihat KPI pembangunan utk masyarakat Orang Asli itu macam mana rupanya. Oleh kerana pengwujudan KPI itu baru, barangkali kemantapan KPI itu sendiri masih belum dapat dipastikan. KPI pun bukan semestinya 'people-centred'; ia mungkin lebih bersifat 'development agency-centred'. Walau apa pun, pastilah selepas 15 tahun, dapat kita ukur perubahan di dalam komuniti spt yg pernah kami ziarahi, sekalipun secara kualitatif, tanpa penggunaan KPI yg nampaknya amat memberatkan nilaian kuantitatif. Sayangnya, bila sudah pencen, tiada 'institutional affiliation' dan juga 'resources', tak mungkinlah dapat saya ke situ secara terancang utk menyahut seruan Pak Zawi itu. Maaf ya Pak Zawi. Saya amat setuju dgn Pak Zawi, semoga apa juga pembangunan yg dilangsungkan utk mereka, atau mana-mana kumpulan pun, biarlah ia merupakan pembangunan yg lestari.
Wa'alaikumussalam ckLah
Wah, wah, bagusnya zaman ckLah, ada projek Baktisiswa, ya? Berkampung di pos Orang Asli pula tu. Sempat buat apa untuk mereka kat situ, masa itu? Kalau ada cerita + gambar-gambar pengalaman tu, bagus sangat ckLah buat satu entri. Boleh Paman dan yang lain-lain tumpang baca.
As-Salam MUSOLLAEHSAN
Saya nak kena check ni, musollaehsan ni sama tak orangnya dgn luahfikiran!
Paparan kisah lama bukan sahaja mengimbau cerita lama, tapi juga mengingatkan kita akan rakan-rakan lama yang pernah berseronok & bersedih bersama kita. Hihihi, seronok-seronok memasak utk pastikan bila semua pihak mogok, termasuk restoran, saya tetap tak kelaparan. Soal kualiti masakan, itu perkara sekunder!
As-Salam ADRY
Terima kasih. Betullah kata Adry tu, kita semua berubah mengikut peredaran masa. Zahir berubah, hati berubah...dan poket pun berubah, bila dah sampai masa 'duduk di rumah'. Walau apa pun, manalah tahu, sekalipun jelas banyak keterbatasannya, jika satu hari dapat saya menapak balik ke perkampungan itu, tentulah saya akan jadi amat teruja melihat segala perubahan yg berlaku di situ. Ceria selalu!
Assalamualaikum,
Membaca paparan ini membuatkan saya teringatkan pada kawan-kawan Orang Asli sekelas saya ketika saya belajar di sekolah rendah (SK Sungai Galah, tempat saya bertugas sekarang) sekitar tahun 60an. Berbangunan papan, sekolah hanya dipisahkan pagar dengan perkampungan Orang Asli. Akibat pembangunan sekitar, perkampungan mereka telah berpindah ke kawasan yang 'berhutan' di Tangkai Cermin.
Kini saya mengajar Kelas "KEDAP", salah seorang peserta adalah isteri kepada kawan sekelas saya, dan saya telah dapat berjumpa dengan kawan saya itu yang baru 'balik kampong' dari Tapah. Saya juga mengajar anaknya yang turut berpindah ke sekolah saya.
Perkampungan Tangkai Cermin sudah di hubungkan dengan jalan tar dan rumah penduduk ssudah ada yang melanggani Astro.
(klik pautan KEDAP untuk cerita lanjut)
Assalamualaikum cikgu,
Penceritaan menggamit kakak ingin menikmati keindahan pedalaman yg kelihatan begitu nyaman. Air mandian mereka yg sejuk....
Teringat dulu masa kakak kecik-kecik salai kelapa bapak kakak bina macam itulah tapi tinggi sebab bawahnya akan digunakan utk membakar supaya kelapa kering. Jadi kalau nak baca buku kakak bawa tikar ke rumah salai ini untuk menelaah sambil menikmati angin yg sepoi-sepoi bertiup...
Ada org Islam tak cikgu?
Wa'alaikumussalam CIKGU HUMAIRI
Bahagia sungguh rasa di hati bila membaca mengenai projek KEDAP cikgu itu. Juga mengenai peluang keemasan cikgu dapat berkhidmat di sekolah lama! Seronoknya! Juga peluang dapat berbakti kepada isteri bekas rakan Orang Asli, malah juga anaknya. Juga seronoknya rasa di hati dengan cerita perubahan kehidupan masyarakat Orang Asli di perkampungan Tangkai Cermin yang cikgu sebut itu. Semoga semua suku kaum Orang Asli di negara kita terus bertambah-tambah maju
Wa'alaikumussalam KAKZAKIE
Memang perkampungan sedemikian menyamankan tubuh dan minda! Yang diziarahi ada yang Islam, ada Kristian dan ada yang animistik.
Eh, Kakzakie bercerita pasal salai pula. Di tempat saya dulu pun banyak salai kelapa. Sekarang langsung tak ada saki bakinya, sebab yang masih berkebun kelapa menjual buahnya bulat, tak dikeringkan lagi. Masa baca buku di rumah salai mestilah masa tiada api di bawahnya, kan Kakzakie? Kalau ada api, yo bukune, yo wonge yo tikere...kabeh garing.
Selamat petang salam sejahtera dan selamat berpuasa ... insan2 yang dalam pic di atas saya kenal... saya salah seorang penduduk di RPS KEMAR.. saya cucu kepada mendiang Tatak Ateh Bin Itam kampung bal .. untuk pengetahuan tuan,RPS KEMAR dah banyak berubah dari segi pembangunan dan struktur yang ada.. iaitu bangunan sekolah 3 tingkat sk rendah..yang dirasmi pada tahun 1998.. selepas tu projek hidro elektrik..telah pun siap..semua guna elektrik di seluruh RPS KEMAR..sekiranya tuan ingin datang melawat ke RPS KEMAR...leh berhubung dengan yeak.. 013 - 348 7257 .. terima kasih
Post a Comment