Tuesday, September 6, 2011

RAKAMAN RAYA 1432H

Balik lewat untuk beraya di kampung. Begitulah yang kubuat, semenjak kedua orang tuaku meninggal dunia. Dan balik itu pun sudah berpola 'balik hari'.

Sebelah isteri, memang sudah berpuluh-puluh tahun tak balik. Tak ada siapa lagi di Alor Setar sana. Cuma saudaramara jauh-jauh.

Tahun ini, rayanya begitu-begitu saja. Kami balik ke Bagan Datoh pada hari raya ketiga. Sasaran pertama, pusara ibu, ayah, abang dan adik. Kemudian, terus ke rumah kakak keduaku.

Kami menjamah apa yang terhidang di meja, 'layan diri'.  Kakakku baru beberapa bulan dipotong kakinya. Anak perempuannya baru keluar berziarah. Suaminya terbaring di bilik, kepeningan dan tak sihat.


Kemudian, kami ke rumah kakakku yang tertua. Dekat di situ juga. Dia, yang sudah berusia sekitar 80 tahun, terbaring atas katil usangnya, selepas di bawa ke klinik. Mulai pagi hari kami balik itu dia mengalami kejang leher yang serius, tak boleh bergerak, dan sakit kerongkong sehingga tak boleh menelan makanan.


 

Mujur hari raya pertama dan kedua, kakak telah sempat meraikannya dengan tiga orang anaknya dan keluarga mereka yang telah balik kampung sebelum raya lagi. Kakakku ini tinggal bersendirian setelah suaminya meninggal dunia kira-kira 15 tahun yang lampau.

Walau lemah terbaring, kaku leher dan berat badan serta kepalanya, kakak tetap mempastikan anaknya menyediakan makanan tengahari untuk kami.

Lepas makan, kami ke rumah arwah kedua orang tuaku, dekat situ juga, untuk solat dan berehat sekejap. Rumah kosong ini sekarang juga dijadikan ruang rekreasi oleh para PATI. Bukan pendatang dari seberang, tapi para 'ta ya kap wau sin' tempatan!





Risau juga hati melihat macam-macam lagi baki barang tinggalan arwah kedua orang tuaku yang masih belum sempat diuruskan. Memang ada barang yang selalu menjadi sasaran para PATI, termasuklah pakaian dan karpet.

Lepas solat, kami ke rumah ibu saudara di kampung berdekatan. Dia isteri arwah bapa saudaraku, sebelah ibu, yang telah meninggal dunia berpuluh-puluh tahun dulu. Si ibu saudara ini sudah bertahun-tahun uzur dan tidak boleh berdiri. Mengesotlah dia apabila ingin bergerak.


Kemudian kami menuju ke arah kampung asalku. Dekat di situ juga. Gembiralah hati dapat melihat tempat tumpah darah! Masih ada aktiviti pertanian di kampung itu. Malah boleh dikatakan lebih rancak dari zaman aku kanak-kanak di situ dulu. Cuma, kini  ia wujud tanpa penghuni.

Kampung itu kuanggap telah 'mati'.  Insya-Allah, bila tiba masanya nanti, akan ada entri mengenai kampungku yang mati itu. Dan itu kujangka adalah entri terakhir untuk NUKILANku.


Seterusnya kami singgah ke kampung berdekatan, mengunjungi adik saudaraku. Adik saudara sebelah ibu. Dia dan isterinya mengajar di sekolah kebangsaan di situ. Untungnya, bekerja di kampung sendiri!


Rumah terakhir dalam siri ziarah raya di kampung, rumah ibu saudara juga. Suaminya, bapa saudaraku sebelah ibu, telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Syukurlah, ibu saudara ini sihat dan masih mampu berniaga santan kelapa dengan anaknya.


Semasa mahu balik ke Bangi, keluarga adikku baru sampai dari Grik. Stesyennya di kampung tentulah rumah arwah kedua orang tua kami. Esoknya keluarga abangku pula balik dari Melaka dan berkumpul di situ. Macam aku, adik dan abangku juga lewat balik ke kampung untuk beraya.

Memang benarlah, bila 'orang tua sudah tiada', tiadalah tarikan kuat untuk berhariraya awal di kampung. Sekalipun ada adikberadik di situ. Lagi pula, kita sendiri pun sudah menjadi 'orang tua'. Kenalah menunggu kedatangan para anak dan cucu di kediaman kita sendiri.

Kalau ada rezeki hayat, masa dan tenaga, insya-Allah, lain kali keluargaku dan keluarga adikberadikku, mungkin boleh sama-sama balik ke kampung sebelum raya. Kemudian sama-sama jadikan rumah kosong tinggalan kedua orang tua sebagai ruang untuk berkumpul sehari dua. Di situ boleh sama-sama dihidupkan suasana 1 Syawal dan lebih dieratkan lagi hubungan di kalangan ahli  'keluarga besar' yang saban tahun tambah mengembang bilangannya.


   Gambar-gambar raya di Bangi, sebelum hari balik ke kampung. 
Terima kasih kepada kerabat, kenalan, dan jiran yang datang.





 

..... dan selepas balik dari kampung ..... 
Terima kasih kepada jiran dan kerabat yang mengunjungi kami .....



 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 

 
 
Paparan ini kudedikasikan kepada para cucu dan cucu saudara  yang kusayangi
dengan doa semoga Allah mengizinkan Rakaman Raya 1433H dan seterusnya


22 comments:

sahromnasrudin said...

assalamualaikum tuan..

sungguh ..kampong bile takde org tua mmg sunyi rasanya kan...siapa pula yg mahu memeriahkan kampong...

suka tgk semua pic tue..terserlah keceriaan di wajah memasing

Kakzakie Purvit said...

Entah mengapa N3 cikgu kali ini mengundang kesyahduan kakak. Rasa hiba menerjah dlm diri. Membayangkan bila bapak kakak pergi siapalah yg nak duduk di kg. Masing-masing punya rumah sendiri dan kerjaya juga....

Tambah sayu bila cikgu kata selepas N3 kisah kampung cikgu tak ada lagi N3. Janganlah cikgu.... Simpan saja blog ini sebagai nukilan cikgu. Bila ada masa tak kiralah walau sebulan atau setahun baru buat N3, sentuhlah sesekali.

Maaf dari kakak ye cikgu....

Unknown said...

SALAM SYAWAL,
MEMBACA N3 INI, TERASA SANGAT NAK BALIK KE BAGAN DATOH ! DAH LAMA SANGAT TAK MENJENGUK !
RUMAH TUAN PUN BELUM DIKUNJUNGI SEMPENA BULAN SYAWAL INI ! INSYAALLAH SAMPAI NANTI !

TUAN ADA NYATAKAN N3 TERAKHIR AKAN MUNCUL ! HARAP TERUSKAN MENUKIL ! SEKURANG2NYA KITA CERGASKAN SIKIT OTAK KITA NI ! KALAU NAK UNDUR JUGAK, KITA UNDUR SAMA-SAMA !

KELI OH KELI said...

perjalanan emosi yg dipaparkan melalui nukilan kali ini...

Temuk said...

SAHROMNASRUDIN
Waalaikumussalam. Dalam perjalanan kita melalui pekan-pekan kecil, arah ke kampung-kampung, biasalah kita ketemu sekarang ini rumah-rumah tanpa penghuni. Generasi tuanya sudah tiada, generasi mudanya memigrasikan diri ke bandar-bandar. Mengikut logiknya, bila negara mengalami urbanisasi hebat, kawasan desanya juga akan menjadi bandar... dan kita taklah lagi bersedih hati dengan kesunyian kampung, kerana akan tiada lagi kampung seperti yang ada sekarang. Tapi entah berapa ratus atau ribu tahun lagilah....

Temuk said...

KAKZAKIE
Bagi yg benar-benar berasal dari kampung spt saya, kisah 'kematian' kampung memang memilukan. Juga kisah pemergian warga tuanya seperti ayah ibu kita sendiri serta episod penghijrahan warga mudanya, hingga menyebabkan kampung sunyi kehilangan penghuni. Kita tunggulah bandar menjadi terlampau padat, lalu desa menjadi ruang kediaman yang diidami orang. Ya Allah, bila ya? Terima kasih, kakzakie, insyaAllah ada beberapa n3 syok sendiri lagi sebelum muncul n3 kampung yang mati. Maaf dan salam dari saya.

Temuk said...

KELI OH KELI
Perasaan kita begitulah, menggunung melurah. Ada orang kata, itulah yang lumrah, walau ada yang kata itu bilazim. Apa lagi bagi mereka yang percaya perasaan mesti selalu ceria dan pandangan mesti selalu optimistik. Salam bahagia.

Temuk said...

LUAHFIKIRAN
Salam Syawal. Ada kemungkinan pekan Bg Datoh akan mengembang, menjadi bandar, hatta bandar besar, dengan terdirinya tak lama lagi sebuah universiti. Ayuh 'balik' selalu dan pantau pembangunan pekan yang LF kata lama tak dijengah itu. Semoga pekan mengembang sempurna, menukar kawasan pedesaan sekelilingnya menjadi persekitaran bandar yang lestari!

InsyaAllah akan terus menukil walaupun hanya 'syok sendiri', sehinggalah entri 'kampung yang mati'. Pun NUKILAN melabuhkan tirai, LF mestilah melebarkan layar!

Hjh Noralenna Abbas said...

Salam Raya Temuk,
Wah..so colourful, riang ria di hari raya!

Temuk said...

HJH NORALENNA
Salam Raya. Terima kasih. Bab berbagai warna dan suasana riang rianya, alhamdulillah dapat diraikan. Tak mungkin tiada bab malap dan sugulnya, tapi itu juga perencah hidup yang wajar disyukuri. Semoga raya hjh dan famili 'best' tahun ni.

ahmad humairi said...

Assalamualaikum,


Anak yu mati terlentang,
Mati ditikam duri semilang;
Pilu hati bukan kepalang,
Nukilan cikgu bakal menghilang.

Kelip-kelip kusangka api,
Kalau api mana asapnya?
Pastilah Nukilan tidak mati,
Kalau mati mana kuburnya?

Jikalau mandi bersama mandi,
Sama seceduk sama sepapan;
Jikalau mati bersama mati,
Sama setiang sama sekapan.

Al-Manar said...

Jaangan anggapkan 'syok sendiri'. Ramai yang masih menuggu tulisan tuan. Kita keluarga mas ada banyak yang patut di perturunkan untuk tatapan yang masih merngkak.

Salam hormat

zul permatang badak said...

suka cara penyampaian cikgu mengenai kampung mati,ianya berlaku bukan dikg cikgu je tapi dikg2 negeri lain pun.
Rumah gantian generasi baru tidak terbina diatas tanah pusaka.Anak lelaki berhijrah mengikut tugasan kerja. Begitu juga anak perempuan patuh pada suami membina kehidupan keluaga sendiri,tinggalah rumah kosong di huni oleh tikus......

Bagi mereka yang asal dari kg....disudut hati ada rindu yang dalam,walau kg sendiri telah mati tapi bila tiba aidilfitri sebegini......hati seperti digerak2
untuk berkongsi tradisi
balik kampung.....

Anonymous said...

salam pakcik, selamat hari raya..semoga berbahagia dan sihat sentiasa.
Berbeza dgn di uk pulak, yang kaya kaya duduk di luar bandar dan travel to work or commute to work daily to city.

Ada yang bila berkeluarga berhenti kerja dan pindah balik kampung/ luar dari bandar dekat dengan ibu bapa sendiri. Mencari peluang kerja di syarikat beroperasi di luar bandar. Untuk kualiti hidup yang lebih baik. Holiday keluar negeri tetap ada. Disebab itula kalau pergi countryside kawasan yang cantik tu suma bekerja.(exception kawasan yang penuh dgn org pa-kis dan gagak).

Ada kawan yang tinggal di brighton kerja di london. Bayangkan jarak kalau memandu mahu 2-3 jam sehala.. Mereka sanggup naik train.. hanya nak tinggal dekat dengan keluarga. naik train laju cuma sejam setengah dah sampai.

sudah tiba masanya kjaan mengambil kira membuat fast train across the states dan reasonble fare supaya generasi akan datang boleh travel kerja di kl, still duduk kat alor star hari hari...
sebagai contoh ya.
So KL Tidak lagi menjadi terlalu sesak.. dan taburan penduduk serata dapat di kekalkan serta socio economy dapat dikawal.

org jepun pun travel kerja hari hari ke Tokyo .. ok aja..

Sebelum kita invest longest hiway ke china etc, baik kita laburkan duit buat accesible train services with reasonable fare and affordable to orang ramai, dan kurangkan kesesakan lalu lintas dan kemalangan jalan raya..


entah la..

selamat hari raya pada pakcik..

salam

nor

Temuk said...

CIKGU HUMAIRI
Wa'alaikumussalam, semoga sihat selalu.

Pun ditikam duri sembilang
Anak yu bukannya mati
Pun Nukilan bakal menghilang
Nukilan II mungkin mengganti.

... mungkin, dan yang nak menghilang pun mengambil masa juga...

Kelip-kelip si api sakti
Banyak asap pandangan pun kabur
Sampai waktu Nukilan kan mati
Di alam maya halimunanlah kubur.

Payah seceduk payah sepapan
Perigi panas air pun berminyak
Usah janji seliang sekapan
Tanah luas kain pun banyak.

Hihihi, maaf bergurau ya Cikgu...

Temuk said...

AL-MANAR
Semasa menulis balasan ini, saya belum melihat entri tuan. Semoga ada cerita 'anak-anak' tuan bergembira menyambut Syawal dan kisah komitmen tinggi mereka mengisi jadual pengajian.

Terima kasih di atas sokongan dan dorongan tuan. InsyaAllah akan cuba bertahan dengan beberapa paparan lagi. Salam bahagia.

ckLah @xiiinam said...

Teruskanlah paman...
Sama-samalah kita syok sendiri...


Paman dan pandai kawal kamera kan?


:D

Temuk said...

ZUL PERMATANG BADAK
AsSalam. Benar tu, khususnya di negara-negara yg mundur atau sedang mula membangun, migrasi desa-bandar menyebabkan desa menjadi mundur dan mati. Pembangunan desa kita sekarang nampaknya diperhebatkan, termasuk melalui program 'industrialisasi desa' dan pembangunan infrastruktur. Namun kesan sebenar lambatlah ketaranya jika program 'urban industrialisation' tetap memuncak.

Tak apalah, generasi akan datang boleh menunggu bandar-bandar sesak teruk, maka penduduknya dan aktiviti mereka akan mulalah dialirkan ke kawasan desa... Wallahu'alam.

Temuk said...

NOR
Salam dan ucapan selamat hari raya Pakcik yang dah terlewat... hope you have been having a truly lovely Syawal this year.

Pemerhatian Nor itu Pakcik rasa memang benar. Bagusnya rural areas spt di UK atau USA, masing-masing well interconnected physically dan masing-masing juga self sufficient dari segi keperluan komunitinya - ekonomi, kesihatan, pendidikan, rekreasi dan sebagainya. Tren migrasi bandar-desa pun Pakcik rasa ada di negara kita, tapi darjah perpindahan bandar-desa itu amat negligible. Yang balik tinggal di kampung kita ni pula kurang seronok berhadapan dengan masalah ketiadaan atau keterbatasan kemudahan yang mereka pernah perolehi semasa tinggal di bandar. Pakcik gembira bila kerajaan mula wujudkan kayu ukur konkrit untuk membangunkan kawasan desa. Cuma, adalah sikit kebimbangan, pembangunan hanya ketara dari segi fizikal sahaja. Ceria selalu!

Temuk said...

ckLah
InsyaAllah teruskan, sampai habis 'draf-draf paparan' dalam simpanan tu diperbaiki untuk dipertontonkan. Terima kasih, tak mengapa syok sendiri, ya?

Alahai...ckLah tanya hal kamera... ini yg dukacita ni... Cari kamera DSLR dulu tu konon-konon nak belajar + lebihkan ilmu fotografi. Bila rasa ruwet nak mahirkan diri dengan segala commands & tricks, maka berlabuhlah kemalasan di sekujur tubuh. Jadi, walau pakai DSLR, asyik guna command AUTO juga! Tapi bila lihat gambar-gambar hebat dlm 'blog-blog gambar' orang lain, berkobar-kobar balik semangat nak jadi pandai. Nampaknya, paman kena pegang peribahasa 'biar lambat asal belajar'. Yg berkobar-kobar jangan berkubur-kubur, kan?

Anonymous said...

Assalamualaikum Cikgu,

Sayang saya terlewat baca N3 yang sangat menarik ni iaitu tentang kunjung mengunjung adik beradik dan saudara mara di kampong. Terasa keseronokannya ye.

Temuk said...

KUNANG-KUNANG
Waalaikumussalam. Maaf banyak2 sebab amat terlambat memberi respon.

Dah mula terbatas tenaga ni memang kena pastikan si adikberadik kita kunjungi dahulu. Bila dirasakan ada lebih sikit tenaga, barulah berani mencari saudara mara dan rakan lama. Semoga raya kunang-kunang dan famili tahun ini membahagiakan.