Sunday, September 18, 2011

YANG DIPERGIKAN

Kaktus ini terpaksa dilupuskan. Akarnya mula meretakkan tembok dan longkang.

Ini kaktus yang di belakang rumah. Yang di depan rumah, lagi membimbangkan. Kuatir rosakkan tembok jiran.
Di belakang, ada juga lagi kaktus. Tapi kecil. Boleh simpan dulu.
Satu 'kepak' banyak bunganya. Ayu! Tapi keseluruhan tubuh batangnya sudah menjanjikan bahaya.
Kaedah penglupusan mudah sahaja. Sapu racun pokok + minyak disel pada kepak-kepaknya.
Kebal pokok kaktus ni. 'Kepak-kepak'nya yang tak begitu teruk dek godaman racun boleh bertunas semula. Yang kena cincang ini pun, kalau ada tunasnya yang tersorok, ia boleh hidup balik. Patutlah ada yang menggelar pokok kaktus pokok gurun padang batu, pokok gurun padang pasir. Tahan mati!
Entah-entah cincangan kepak-kepak kaktus ini boleh jadi baja, tak?
Dua rumpun besar pandan hiasan pun kugempur. Cantik bilah-bilah daun pandan hiasan ni. Juga meneduhkan persekitaran. Tapi akar-akar di sekeliling batangnya meliar. Seperti lembing panjang, menikam bumi di sana-sini. Bimbang ada juga kesannya kepada tembok dan longkang.

Besar 'sanggul' pandan hiasan ini. Terbentuk dari himpunan sanggul-sanggul kecil yang sungguh banyak.
Lebat akar pandan yang keluar dari batangnya. Menikam bumi di sana sini. Akar yang dicantas pun tetap kukuh.

Walau mengambil masa berminggu-minggu, pandan hiasan akhirnya tumpas dek racun pokok + minyak disel yang dilumurkan ke batangnya.
Rumpunan pandan hiasan ini sebenarnya terdiri daripada banyak sub-rumpun (yang kukatakan himpunan sanggul kecil). Semuanya saling bertindihan, menjadi satu rimbunan besar. Kira sanggul gergasilah tu.

Berpuluh-puluh sub-sanggul sudah kubuang pada masa lepas. Sebab bimbangkan kuasa akarnya, dan ketidakmampuan membuang sanggul-sanggul kecil apabila pokok melangit, akhirnya terpaksalah ku lumpuhkan batang si pandan hiasan.

Yang terakhir dalam Rancangan Pelupusanku (buat sementara waktu ini) ialah membuang buluh kuning. Cerita mengenainya dan rebungnya pernah kupaparkan dahulu. 

Memang amat kusayangi buluh kuning ini. Cantik sungguh larik garisan-garisan hijau yang berlainan pola pada setiap batangnya. Memang unik. Tapi hati dah selalu sugul. Saban hari dedaun keringnya terlalu menagih keringatku.

Dan akarnya juga amat-amat kutakuti merayap melalui perut bumi ke kawasan jiran. Nanti, tahu-tahu jiran melaporkan pula kepadaku...... bahawa di kawasannya, ada buluh tumbuh tanpa ditanam!  

Semasa buluh belum membiak, tak banyaklah daunnya. Kuranglah 'daun-daun berguguran'.




       
Lihatlah cantiknya garisan-garisan hijau yang berlainan polanya pada batang-batang buluh. Bila rumpun menjadi mantap, population growth si buluh memang laju jadinya.





Eloklah dedaun kering dibakar di atas punggur-punggur buluh yang degil, yang setelah diracun pun masih mahu menjulurkan tunas-tunas baru.
 

Begitulah kisah (nasib?) si kaktus, pandan hiasan dan buluh kuning. Tiada apa-apa yang kekal di dunia ini. Tidak juga pokok-pokok kesayangan. Penanamnya pun!











13 comments:

ahmad humairi said...

Assalamualaikum,

Moga yang pergi diiring doa sejahtera. Terima kasih tidak terhingga atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan.

Begitulah sifat 'baharu' makhluk Allah. Tiada yang kekal....dan moga penyelenggaraan yang dilakukan mendatangkan manfaat kepada semua.

Hjh Noralenna Abbas said...

Salam,
Pokok-pokok yang membesar perlu di trim, perlu dijaga bentuknya,jika dah jemu, dibuang, ganti dengan yang lain, jika dah tua, dihapus, ada juga sayang, tanam semula anaknya. Begitulah adanya.....Pokok kaktus yang berbunga merah, menariklah.
Ceria selalu!

Temuk said...

CIKGU HUMAIRI
Walaikumussalam. Semestinya kita berterima kasih kepada apa dan sesiapa pun yang pernah mencurahkan bakti dan jasa kepada kita.

Penyelenggaraan kawasan, seperti juga penyelenggaraan diri, tidak pernah ada noktahnya. Sesuatu yang dilakukan pada sesuatu masa memang acapkali dirasakan sempurna, walhal hanya untuk masa itu sahaja. Penyelenggaraan itu sendiri bersifat naharu. Tidaklah ia kekal. Esok baharu, lusa baharu, dan berterusan baharu. Semoga adalah manfaatnya. Sehinggalah yang melakukan penyelenggaraan itu sendiri dipupuskan oleh DIA, Yang Maha Menyelenggara.

Temuk said...

HJH NORALENNA
Salam. Setuju, setuju, setuju, dan selalu memang buat begitu. Cuma selalunya, semangat kuat terbatas kudrat. Sejam menyelenggara, seharian letihnya. Hihihi. Hajat hati nak peluhkan badan, tukang kebun ditamatkan jawatan; kerja melambak keliling kawasan, sesal pula dengan tindakan...

Baik mula cari pondok kecil di pedesaan mana-mana, atau 1 room apartment bersama servisnya. Bingung dengan penuaan, bagaimana ya?

Adry@Daun said...

As salam cikgu,
Kasihannya pkk2 hiasan cikgu yg terpaksa dipergikan.. Rasa sayang pula bila tgk ia subur dn berbunga. Pkk kaktus tu rasanya dh berusia puluhan tahun. Walaupun ia tak mempunyai akar keras dan banir spt pkk2 besar tp kedudukan umbi pkk berdekatan dgn konkrit pagar akn merosakan pagar dgn gabungan akakrnya yg berselirat. Daun pandan hiasan tu blh dibuat anyaman kraftangan. Saya pernah org menganyam daunnya menjadi tikar yg sangat cantik!

Kakzakie Purvit said...

Kenapalah pokok kektus kakak tak berbunga macam itu ye. Sayangnya cikgu. Akar dia boleh pecahkan tembok juga ke? Kakak tanam dalam pasu tak besar-besar. Hihi... tengok kektus cikgu sayang pulak dan besar kena musnahkan...

Temuk said...

ADRY
Assalam. Memang sayang dan kesihan. Kalaulah pokok-pokok itu di tanah terbentang luas, tak mengganggu apa-apa dan siapa-siapa, memang boleh sangat kita biarkan masing-masing membesar bebas.
Anyaman daun pandan memang cantik. Krafnya juga, spt tikar yg Adry sebut, lebih lembut daripada kraf daun mengkuang. Di bawah naungan rimbun-rimbun besar pandan pula, kita boleh berkelah dan berisytirehat.

Temuk said...

KAKZAKIE
Kaktus kakzakie tu belum sampai waktunya utk berbunga barangkali. Memang sayang pokok-pokok saya tu, tapi kalau tembok dan longkang punah dek akarnya, susah pula saya. Apa lagi kalau yang dirosakkan tu jiran punya. Retak-retak kecil pada tembok dan longkang sendiri memang dah ketara. Alahai, kalau kakzakie dekat bolehlah dipindahkan saja kaktus saya tu ke kawasan kakzakie (macamlah kuat nak angkat!). Yang dalam pasu tu mungkin lamalah sikit nak membesar. Baja kena lebih tu kakzakie.

Unknown said...

SALAM SYAWAL,
HARAP2 POKOK YG DILUPUS ITU MENGERTI MENGAPA SI PENANAM BERTINDAK DEMIKIAN !

Temuk said...

LUAHFIKIRAN
ASSALAM. Semua sudah diberitahu. Tentulah tiada jawapan setuju atau tidak. Tapi Rancangan Pelupusan terpaksa dilangsungkan.

Belum Dapat Raya6 lagi! Dah lama tak mengeteh.

Azian Elias said...

assalam pak temuk.

saya ada sepohon kaktus. nak potong mmg susah.. Ingat nak buang nanti.

Temuk said...

YAN
Assalam. Kalau ditanam kat tanah lapang, tak mengganggu apa-apa, tak apalah dibiarkan ia membesar. Kalau berhajat nak buang, elok semasa kecil. Kurang guna tenaga! Dicincang pun boleh. Kemudian masukkan dalam beg plastik besar utk lori majlis bandaran tolong bawakan. Ceria selalu!

dear anies said...

sy penah tanam kektus tp asik mati je...agk nyer tangan sy ni panas kot