Saturday, November 5, 2011

HUJUNG BENUA

 Sudah bertahun-tahun timbul keinginan ke Hujung Benua Asia ni. Namanya (dah ramai tahu pun!),
Tanjung Piai. Satu kawasan hutan bakau yang telah digazetkan sebagai Taman Negara.

Dengan izin Allah,  pada penghujung bulan Oktober yang lepas, aku dengan
isteri (yang tak berapa berani dengan kawasan hutan) sampai ke situ.

 Tak terangsangkah untuk mengail ikan di hujung Benua Asia? Ikan-ikannya tentu istimewa.

Kebetulan pada hari kami ke situ, tak ramai pengunjung. Ada yang baru beredar pulang. 
Famili yang di bawah ni baru saja sampai. Gembiralah aku, ada geng masuk bersama ke hutan! 


Ucapan Selamat Datang di Hujung Benua mudah difahami pelancong internasional.

 

Sungai Mengalir Lesu (ingatkah novel A. Samad Said?) di persekitaran sebelum memasuki
hutan bakau. Air ceteknya menandakan air laut di hutan bakau belum pasang lagi.

 Tinggi betul 'tugu' Hujung Benua. Papan penunjuk arahnya amat membantu!



  Hutan bakau memang memukau.


Lihatlah hijau dan segarnya persekitaran

 Hijau segar dan memukau. Tapi, bila air pasang besar, hati pasti gusar. Apa lagi bagi yang
tak biasa, dengarkan bunyi air saja pun akan kecutlah tali perutnya.


 
Di barisan depan pertahanan, ada yang longlai dibaham badai 

 "Air laut dah naik tinggi, bang. Pasang besar dua tiga hari ni. Tak boleh pergi ke
Globe dah." Begitu kata pemancing-pemancing di kawasan berdekatan 'Globe'.
Mujur boleh ambil gambar. Kusekalikan menggambar famili di belakang tu.



Pukulan air ke kawasan bakau meyakinkan aku peri pentingnya hutan bakau. Peri hebatnya
rolnya sebagai penjaga tebing pantai supaya tak direntap si air laut yang acap berang. 

Ternyata para bakau sendiri amat perlu mengukuhkan 'kuda-kuda' mereka untuk bertahan
daripada diserang. Lihatlah kehebatan akar yang menjadi kuda-kuda itu! 

Banyaknya kaki-kakiku, kuda-kudaku! Boleh meninggi sehingga 14 kaki!

Setahuku, 'padang' bakau juga sujud ke tanah oleh gergaji maling. Dalam fikiran bingungku, para 
maling inilah, bukan pokok bakau yang ditumbangkan, yang wajar dijadikan kayu arang!

Sedikit cerita sebelum sampai ke Hujung Benua. Sebenarnya kami 'tersimpang' ke pekan Kukup.
Barulah aku tahu, dari situ orang boleh ke tanah seberang. Sayang tak ada masa.
Ke Pulau Kukup yang berdekatan pun tak sempat nak singgah. Masa itu memang mahu
cepat-cepat ke hutan bakau. Bimbangkan kalau-kalau hujan mencurah di sana sini.

Terminal Feri Antarabangsa Kukup

Pekan Kukup sememangnya kecil, tapi cantiklah juga. Dipenuhi kedai-kedai tangkapan
dari laut yang dikeringkan. Juga restoran-restoran yang menonjolkan makanan laut.

Kat bawah ni lihatlah gambar sebuah restoran makanan laut di Kukup. Cukup besar. Mula bisnes
 jam 11 pagi. Halal, kata tuannya. Tapi kami taklah sempatkan diri untuk makan di situ.

Nampak tak Pulau Kukup yang 'jauh saujana mata memandang' tu?

Setelah sampai di Hujung Benua, sebelum sampai ke kawasan hutan bakaunya, kami 
juga singgah sekejap di kawasan 'resort'nya. Ada kedai-kedai minuman dan tempat 
penginapan di situ, tapi tak kelihatan ada pengunjung.



Kawasan kebun kelapa di persekitaran Hujung Benua amat mengingatkan aku 
kepada kampung tumpah darahku. Di sini terdapat juga 'homestay'. Tak tahulah aku, laku tak lakunya.

Pokok-pokok kelapa di sini jelas sudah bertaraf warga emas. Tertanya-tanya juga dalam hati,
mengapa di kawasan kelapa ini ditanami pokok pinang sebagai tanaman selingan.
Dan mengapalah agaknya disimpan pokok-pokok pinang itu sehingga demikian tinggi!



Kebetulan sebelum pulang, kelihatan wakil  penduduk hutan bakau Hujung Benua Tanjung Piai
(yang juga menjadi penyebab isteriku takutkan kawasan hutan),  mondar mandir.
Dia cuba menghampiriku, dan aku pun bergegas menjauhkan diri.



Mungkin dia mahu menyatakan "Bye-bye, see you again." Atau mengingatkan aku akan hak
istimewanya sebagai penduduk tempatan. Cubalah baca di bawah ini, apa yang mereka 
boleh buat, yang kita tak boleh buat, di persekitaran hutan bakau Hujung Benua.

Hak mereka menyampah akan terkekang, kalau kita tak bawa sampah!

Ayunya Tanjung Piai, hujung Benua Asia. Di situ aku nampak
nama tanjungnya. Aku tak nampak pokok piainya.

31 comments:

al-lavendari said...

piai tu nama sejenis pokok ye bang ?

saya pernah sampai dan bermalam di hotel tak jauh dari situ. sayang tak jumpa gambarnya.

kalau dekat2, mungkin selalu saya datang untuk memancing kat sini.

Unknown said...

SALAM AIDILADHA,
MENARIK NAMPAKNYA TEMPAT INI ! MACAM PEKAN KEMBAR BAGAN DATOH JE !

dear anies said...

cantik nyer tmpt...

salam aidil adha

Adry@Daun said...

As salam cikgu,
Tmpt ni antara salah satu yg menarik perhatian saya tp blm berkesempatan utk pergi ke sana. Tanjung ni dulunya byk ditumnuhi pokok paku piai. Mgkin dh semakin kurang skrg.. Ooo..baru saya tau monyet suka plastik warna merah..

Temuk said...
This comment has been removed by the author.
Temuk said...

LUAHFIKIRAN
Salam aidi adha. Di Tg. Piai saya seronok dengan jambatan/pelantar kayu merentasi kawasan hutan bakau yang cuba dipertontonkan. Bila air pasang, lebih terasalah kita berada di atas jambatan. Bg. Datoh hebat dengan jeti konkritnya, yang tiangnya sentiasa berada di dalam air deras Sg Perak. Kawasan persisiran sekitar Bg. Datoh mungkin sukar mahu dijadikan tarikan pelancong. Pokok bakau di situ amat terbatas. Jom minta YB Menteri Pertahanan jadikan Bg Datoh (sebab YB orang situ) satu 'popular tourist spot'. Camne, ye?

Pak Idrus said...

Dah sampai Yeh! Yeh!. I did it last year. They have done a great job there and I did enjoy my visit there. But the road there is a bit pusing pusing. They should have put a road just out of the Second Link which would made easy access to the place.

Have a nice day.

Temuk said...

KhaiRan
Salam aidil adha. Memang cantik bagi yang menyukainya. Tg Piai memang unik. Sememangnya sesuatu tempat ada ciri menariknya yang tersendiri. Bila nak ke sana?

Temuk said...

AL-LAVENDARI
Setahu saya piai itu sejenis pokok paku / pakis besar yang biasanya tumbuh di kawasan berhampiran pantai berlumpur (Adry@Daun ada sedikit cerita mengenainya di atas). Saya suka lihat daun piai yang kemerah-merahan. Oh, dah sampai jauh lebih awal ke situ daripada saya, ya? Tentu seronok memancing di atas 'jambatan' kayu yang disediakan di sekeliling kawasan hutan bakau di situ, semasa air mula naik. Masa di situ saya terjumpa 3 orang pemancing. Ada yang sudah berjaya mendapat ikan, tapi (kesal pula!) saya tak melihat ikan apa.

Temuk said...

ADRY
As-salam. Setuju dengan jangkaan Adry, tempat itu memang menarik. Insya-Allah satu hari nanti sampailah ke sana. Saya percaya mesti ada pokok piai di kawasan itu, cuma tak ada rezeki mata melihatnya hari tu. Hihihi, agaknya sang monyet tertarik kepada topi merah yang saya pakai, maka ia cuba menghampiri saya.

Temuk said...

PAK IDRUS
As-salam, Pak Idrus. Thanks for your visit. And congratulations for having been to Tg Piai earlier than me! I would love to see more road signs showing the way to Tg. Piai, especially around Johor Baru town. I wonder whether sufficient measures have actually been taken by the relevant bodies to develop and promote the area as a tourist attraction.

Anonymous said...

WEe have been there in 1994. Only one resort then. Went there at early hours from Muar. Just to see the sun rise. Nak reverse mak oi scary sebab parit nya disebelah lorong jln kampung yang tinggi dan parit yang dalam.. ngeri..

Bila sudah makan nasi goreng di restaurant tersebut. Then masa nak bali pukul 11 pagi.. bertmebung dgn local pasar siang. Org kampung jual makanan. Beli otak otak dari nenek tua. Orang panggil mak jah. Sedap dan guna daun nipah sebagai balutan. Seronokkk

Masa tu belum gazet atau ada tempat nak jalan kat kawasan bakau sgt..

Membangun sudah...

selamat hari raya haji..

Temuk said...

ANONYMOUS
So, that is 17 years or so ago that you last visited Tg. Piai. And certainly it is about time now that you see the place again.

Pelantar dan tempat berhenti di sekitar kawasan hutan bakau di situ amat memudahkan pengunjung. Kalau pergi lagi saya akan cuba pastikan sampai waktu air pasang (rasanya mula pada jam 11.30 pagi). Bolehlah ambil masa seronok-seronok memancing. Kita cuma bimbang kalau hujan lebat.

Terima kasih singgah ke blog saya. Semoga hari raya korban telah sdr lalui dengan gembira dan diberkati Allah.

ngasobahseliman said...

Salam Pak Temuk.Cara Pak Temuk menulis entry dan gambar-gambar yang dipaparkan, saya yakin ramai yang akan ke sana. Tetapi kalau kita cerita yang agak "benar" sedikit saya rasa kurang orang yang berminat. Saya bersekolah di Sungai Durian, pekan kecil sebelum Kukup Laut.Kemudian baru pindah ke Pontian Kecil. Jalan ke Tanjung Piai kena lalu Serkat. Saya semasa remaja selalu ke sana.Ada kalanya naik basikal saja dari Pontian dihujung minggu jumpa kawan dan "berkelah" bawah pokok.
Last saya ke sana pada tahun lepas, ingatan saya. Dalam gambar memang Cantik. Ada yang cerita pasal pokok-pokok dan tumbuhan lain yang disukai oleh pencinta Alam. Saya tidak merasai kehebatan tempat itu, maaf cakap.Sememsngnys tempat itu sudah berubah wajah. Tetapi tidak sepadan dengan kekayaan negeri Johor. Saya berpendapat tidak cukup usaha untuk memajukannya. Johor Kaya.Malaysia kaya. Kemana pergi kekayaan saya kurang tahu.Mungkin keadaan jalan sudah diturap semula. Apa pun, tidak akan ada orang ke sana kalau itu bukan hujung dunia.
Pak Temuk, Saya keturunan pendatang. Diajar dan dididik rajin dan berani. Tetapi orang di Johor ramai yang masih berjiwa pengikut. Salah betul, ikut saja.Tak hebat pun kata hebat.Sorylah, Pak Temuk. I am one person who call a spade a spade.Doa saya semoga Johor Allah kurnia kefahaman apa itu sebenarnya pembangunan di sisi Islam. Jangan ambil Islam sekerat-sekerat.Tidak barakah jadinya.Semoga Allah mengampuni kalau saya yang keliru.Maaf.

insan marhaen said...

kat penang pun ada mini Taman Negara. di pintu masuknya ada restoran yang namanya Restoran End Of The World.

Al-Manar said...

Temuk,

Susah hendak percaya kalau saya kata pernah kesana 40 tahun dahulu. Banyak yang tertera untuk pelancung dalam gambar tuan belum ada dibuat kerana itu bukan dikenal sangat sebagai tempat pelancungan. Tapi dah ada kedai makan Cina untuk menikmati makanan laut. Orang kita mana yang tahu dan tahan meneroka, padahal Johor kubu Umno.

LadyBird said...

salam pakcik temuk...
segarnya tempat ni..
sesuai bagi pencinta alam..

Temuk said...

NGASOBAH

As-salam Hjh. Terima kasih di atas reaksi bermanfaat kpd cerita hujung benua saya.

Pontian Kecil & Serkat yg disebut itu, dan banyak lagi kampung dan pekan yg saya lewati, memang menyeronokkan. Barangkali, sebab itulah kali pertama saya melihat tempat-tempat itu.

Saya setuju, kalau tidak kerana Tg Piai (TP) itu 'hujung benua', mungkin orang tak akan ke sana. Namun, semasa di sekitar kawasan ke arah TP, saya perhatikan jalan-jalannya berkeadaan baik. Ada yg baru diturap. Atau memang jalan baru (saya tak tahu). Ketara juga diadakan/pembaikan sistem saliran air. Juga, ada usaha mewujudkan 'homestay'. Dan bagusnya, ada juga tarikan sampingan seperti museum nenas serta Pulau Kukup. Keadaan & prestasi masing-masing taklah saya ketahui.

Di TP sendiri, keadaan pelantar/jambatan (dan pondok-pondok berhenti) di sekitar kawasan bakau yang diperagakan, umumnya baik. Ada bahagian tertentu yang telah mendap/senget sedikit (maklumlah kawasan tanah lembut & pukulan ombak yang tak berhenti-henti). Tapi tong sampah tak ketara di kawasan itu; juga paparan nombor telefon di sana sini utk dipanggil jika pengunjung mengalami kecemasan. 'Pameran-pameran' kecil di persekitaran tempat menjual tiket & pejabat nampaknya kurang diselenggara dgn baik.

Sebagai orang biasa, bukan pakar industri pelancongan, terfikir juga saya beberapa perkara yang mungkin boleh diwujudkan atau dinaiktaraf di persekitaran TP utk menjadikannya kawasan yg lebih menarik. Namun, pasti banyak masa, tenaga, buah fikiran & RM$ perlu dilaburkan, terutama kerana ekologi fizikal TP yang sedemikian rupa.

Dlm merencana pembangunan, biasalah, ada pihak yg fikirkan 'economic viability', & ada kalanya 'political viability' jadi penentu kelangsungannya. Ada kawasan yg punyai 'economic significance' & lebih kritikal (barangkali!) ada kawasan yg punyai 'political significance'. Untunglah, agaknya, kawasan yg punyai kedua-duanya.

Semoga sedikit dari kekayaan Johor (mcm yg Hjh sebut), akan terus digunakan utk pembangunan TP & penduduknya, serta kawasan persekitaran TP sendiri. Mudah-mudahan pembangunan di situ menonjol sebagai pembangunan yg bersifat holistik - pembangunan fizikalnya, sosio-budayanya, ekonominya, & spritualnya berlangsung seiring.

Para pemimpin Johor & penduduknya, yg ramai asalnya orang pendatang, namun rajin & berani, diharap dapat turut sama merealisasikan apa yg diingini.

Kesemua ini utopis? Wallahualam.

Temuk said...

IM
Assalam. Belum pernah sampai ke tempat yg IM sebut tu. Ke Pulau Pinang pun jarang. Pasti menarik. Tapi, walau mungkin tak berapa cantik, jika namanya Taman Negara, bagi saya ia pasti menggamit! Ada masa, tenaga & rezeki, insya-Allah akan sampai ke situ satu hari.

Hehehe, geli hati pula dgn nama restoran itu: restoran Hujung Dunia atau restoran Dunia Sudah Berakhir?

Temuk said...

AL-MANAR

Assalamualaikum. Pastinya 40 tahun dahulu, berbeza wajah Tg. Piai tu. Kalaulah ia berpasir putih seperti di Terengganu.... tapi, kalau begitu takkan ada pula hutan bakaunya yg hebat tu! Allah itu Maha Adil & Mengetahui.

Pembangun industri pelancongan (termasuk kerajaan) tentu lebih arif 'nak buat apa di Tg Piai' supaya ia jadi hujung Benua Asia yg benar-benar dikenali dunia. Sambil supaya kampung-kampung Melayu di sekitarnya dapat menumpang nikmat kemajuan (progress), pertumbuhan (growth) & keseluruhan pembangunan (overall development) negeri Johor. Hehehe, I sound too theoretical & academic?

Saya amat setuju, di mana wajar & sesuai, kawasan-kawasan yg merupakan terutamanya 'kubu' UMNO mestilah diperhebatkan status pembangunan sosio-ekonomi & budayanya. Usah jadikannya kawasan 'kubuR' rakyat jelata yang selama ini bersungguh-sungguh mendukung UMNO.

Temuk said...

LADYBIRD
Pakcik Temuk memang suka sangat persekitaran begitu.

Termimpi (siang & dalam jaga!) ada satu bulatan pelantar dengan kawasan lapang di tengah-tengahnya di persekitaran hutan bakau tu di mana kita boleh menebar jala bila air naik! Ladybird boleh gambarkan tak seronoknya mimpi tu? Ceria selalu.

Kakzakie Purvit said...

Kalau cikgu nak tahu kampung kakak di depan Kukup Golf Resort. Bapak kakak sekarang tinggal dengan bibik (sekarang isteri bapak). Letaknya lebih kurang 15km dari Tg Piai ini... Kalau tidur di chalet dia banyak nyamuk tapi seronok sebab ikan dia besar kalau makan di jetty restoran org Melayu punya. Restoran Hj. Salleh yg berdekatan dgn restoran yg cikgu ambil ini dulu dia org kantin sekolah tempatr kakak belajr dulu (Sekolah Sri Kukup).

ckLah @xiiinam said...

Selamat teruskan pengembaraan ya Paman...

ahmad humairi said...

Assalamualaikum,

Empat puluh kapal Peringgi,
Kapal nak masuk ke Hujung Benua;
Teguh-teguh berpegang janji,
Kan ke sana sebelum hilang nyawa.


Kencang-kencang angin ke Timur,
Hendak belayar ke Singapura;
Dipanjangkan Allah apa ke umur,
Ke Hujung Benua nikmati belantara.


....pastu, leh singgah kat rumah Kakzakie....

Temuk said...

KAKZAKIE
Oh, wong Kukup rupane kakzakie, yo? Kalau tahu dari awal, pasti tak tidur di JB, di mana saya mati akal, sebab tak tahu jalan-jalannya! Insya-Allah lain kali cari chalet bapa kakzakie. Nyamuk? Kita perangkap diri kita (!) dalam kelambu. Dan bolehlah juga cari restoran Hj. Salleh. Mudah-mudahan ada rezeki.

Temuk said...

ckLah

Insya-Allah, selagi ada rezeki - rezeki tenaga, masa, kesihatan, mood, & RM, bolehlah mengembara. Selepas pusing-pusing kawasan hutan bakau, Johor Baru sebelumnya, dan menyupir balik, rehatnya tu hari kena 3 hari. Rasa 'kesel', tapi bukan kesal.

Temuk said...

CIKGU HUMAIRI
Waalaikumussalam.

Kapal masuk ke Hujung Benua,
Empat puluh kapal Peringgi;
Ke sana sebelum hilang nyawa,
Didoakan gagah badan dan hati.

Hendak belayar ke Singapura,
Kencang-kencang angin ke Timur,
Ke Hujung Benua nikmati belantara.
Allah izinkan, kita bersyukur.

....pastu, leh singgah kat rumah Kakzakie....

Tapi kan dia kat rumah lain! Tak mengapalah jumpa abahnya.... minta diskaun chaletnya kalau nak bermalam di situ....

ctpayong said...

Alhamdulillah! at least something to be bench mark of Asia ada di Pontian, Johor, Malaysia.

Temuk said...

CTPAYONG
Assalam. With good planning and money, I think we can turn Tg Piai into an attractive and viable tourist destination.

Johor janganlah hanya beri tumpuan kepada satu-satu tempat tertentu sahaja untuk dibangunkan, dan yang mungkin hanya memberi manfaat kepada golongan-golongan tertentu sahaja pula.

yanmaneee said...

supreme clothing
longchamp
golden goose sneakers
longchamp handbags
off white hoodie
yeezy 380
jordan shoes
yeezy shoes
birkin bag
lebron james shoes

Anonymous said...

golden goose sneakers
bapesta
kd 15
bapesta
giannis antetokounmpo shoes