Tuesday, August 2, 2011

KENTUNG DAN ZAMAN PUASA GENG BUDAK-BUDAK.....

Semasa berumur lebihkurang 9 atau 10 tahun di kampung asalku dulu, aku masih ingat, di antara tempat aku dan geng bermain ialah di surau tinggalan Haji Riduan (Wak Riduan) yang sudah tidak digunakan. Sebelum meninggal, Wak Riduan telah berpindah ke kampung berdekatan, Sungai Batang, pada penghujung tahun 50-an. Pada ketika itu, kampungku memang sudah kehilangan sebahagian besar daripada penduduknya.

Aku juga mengingati pada masa itu ada sebuah perigi di tepi surau Wak Riduan. Tempat mengambil air sembahyang.

Yang lebih nak diceritakan di sini adalah mengenai satu benda yang sepatutnya ada di surau itu, tapi tidak ada! Kalau ada, tentu ia menjadi sasaran permainan geng kami.  Mungkin benda itu memang tak ada, atau Wak Riduan telah membawanya bersama apabila dia berpindah.

Inilah bendanya, kentung! Ia dibuat daripada kayu bulat.

Nampak tak pemukulnya di dalam lubang?
Ada yang memanggilnya kentung-kentung, kerantung, dan juga ketuk-ketuk. Walau apa pun namanya, bunyinya bila diketuk, biasanya tetap 'tung', 'tung', 'tung'.....

Yang tenang tergantung dalam gambar itu, 'mesjid berkenaan' yang punya. Lupa pula aku nama masjidnya. Gambar itu kuambil pada bulan Mei yang lalu, semasa berhenti di 'masjid berkenaan' yang terletak di antara Kuala Selangor dengan Kapar, kalau tak silap.

Nak bercerita di sini, masa ikut orang-orang tua ke surau dalam bulan puasa dulu-dulu (di kampung bersebelahan, sebab kampung asalku sudah tak bersurau!), memang kutunggu-tunggu orang  'berkentung' (kentungan), selepas selesai sembahyang tarawikh. Itu memang menyeronokkan kami, budak-budak.

Berebut-rebut aku dengan kawan-kawan, nak mengetuk kentung. Nak menandakan tarawikh dah selesai. Biasanya dua orang yang akan bersama-sama mengetuknya, dengan 'tingkah bunyi' tertentu, yang sudah tak kuingati lagi macam mana. Sementara budak-budak berkentung (kentungan), yang lainnya berehat sambil menikmati minuman atau makanan ringan yang mereka sendiri bawa untuk dikongsi.

Kentung dikatuk untuk kira-kira 5 hingga 10 minit. Seluruh kampung yang diselimuti gelap malam (rumah-rumah berpelita, jalan kampung bergelita!) boleh mendengar bunyinya. Dari bunyi 'bertingkah-tingkah' itu, semua orang kampung tahu ahli keluarga mereka yang ke surau akan balik ke rumah tak lama lagi. Balik berjalan kaki atau berbasikal, dengan torchlight yang mungkin sudah malap cahayanya, atau dengan jamung daun kelapa kering yang menyemarak lidah apinya.

Esok pagi akan adalah orang yang mengetuk kentung menandakan subuh tiba. Kentung juga akan terus diketuk, menandakan tibanya waktu-waktu sebahyang yang lain. Bunyi kentung, jadinya, adalah juga bunyi yang 'memanggil' orang datang ke surau.

Sesekali, bunyi ketukannya sederet 3 kali... senyap seketika.... 3 kali... senyap seketika ... 3kali... 3 kali... 3 kali..... Itu menandakan ada ahli kampung yang telah menyahut panggilan Ilahi. Dan orang-orang kampung berdekatan tahu,  itu bunyi kentung dari kampung mana!

27 comments:

zul permatang badak said...

Tingkah bunyi...itu yang payah,tapi org2 kg tahu/maklum akan tingkah bunyi...ilmu diturun generasi ke generasi....

Dulu kg tak bising dgn tv atau lalak anak2 muda berkaraoke,druman kenderaan, jadi kertuk dapat didengar dengan jelas,tingkah bunyi,memaklumkan kabaran....

tak sempat dengan kertuk...tak tahun cara memukul,tapi pernah lihat ia tergantung disurau.....mungkin disimpan/perubahan masa..beralih pada pembesar suara,kertuk tinggal kenangan.......

ahmad humairi said...

Assalamualaikum,

Suku sakat kerabat kerantung ini juga pernah menjadi sasaran saya. Seronok bila 'menggerodak' lubangnya serta menghasilkan nada ciptaan sendiri. Kembang hidung dan dada, terasa bangga bila sudah berjaya memaklumkan seluruh kampung, waktu solat sudah tiba seiring waktu berbuka.

Terkadang berebut...siapa cepat dia dapat!


Salam ramadhan al mubarak,
Selamat menjalani ibadah puasa.
Selamat menyambut lebaran bakal tiba.
Maaf zahir dan batin.

kasihibu said...

assalamualaikum pakcik
masa sya kecik2 duduk kampung dgn arwah atok dan uwan, memang selalu dengar bunyi beduk ni
nostalgia betul , sekarang sangat susah nak dengar dan mungkin ada yg tak pernah melihat

semoga pakcik temuk dan makcik nya sihat sejahtera ye...

Temuk said...

ZUL PERMATANG BADAK
Oh, ada yang memanggilnya 'kertuk', ya? Kita hargai surau/masjid yg menggantung kertuk lama masing-masing, walaupun sekarang sudah menggunakan set pembesar suara yang canggih. Itu petanda perubahan budaya material yg amat jelas, dan ketara perubahan itu banyak kebaikannya. Salam bahagia.

Temuk said...

Wa'alaikumussalam CIKGU HUMAIRI
Oh, cikgu pernah menukang kerantung, ya? Pandai main pahat dengan penukullah ni. Tentulah seronok jika dapat hasilkan kerantung yang kuat dan sedap bunyinya. Masjid/surau tentulah tak mahu kerantung yang bunyinya macam buluh pecah dan tak sampai ke mana.

Eh, lupa pula nak sebut secara khusus, geng budak-budak dulu sangat menanti-nanti bunyi kerantung maghrib semasa bulan puasa - penanda dah boleh berbuka!

Temuk said...

Wa'alaikumussalam SAYANGSAYANGIBU
Dulu-dulu, memang ada juga surau/masjid yang punyai beduk, yang dibuat daripada kayu dan kulit lembu. Ada yang punyai dua-dua, beduk dengan kentung. Kalau rajin bawa anak-anak ke kampung-kampung kecil, mungkin boleh ditemui kedua-dua artifak ini.

Semoga SSI sekeluarga juga sihat dan dapat menjalani segala ibadah sepanjang Ramadhan ini dengan cemerlang.

Adry@Daun said...

As salam cikgu,
masa kecik2 dulu, di kg saya, beduk digunakan sbg tanda msuk waktu solat dn bbuka puasa. Bunyi pukulan beduk amat ditunggu2 bila nk bbuka puasa. Beduk atau kentung ini sgt penting sblm adanya siaran radio yg meluas. Cuma bila waktu hujan lebat, bunyi beduk amat sukar utk didengari.. Kna snyp dn amati bunyi beduk yang diselangi bunyi curahan hujan. Di kg saya dulu ada bunyi sejenis burung yg dikenali dgn nama tabtibau menandakn waktu bbuka smakin hampir, iaitu kurang drp sejam. Ia akn terbang tinggi melintasi kg dgn mengeluarkn bunyi 'tab-tidoo-tab-tidoo' berulangkali. Entah dari mana dtgnya burung ini sukar utk melihat burung ini kerana ia terbang tinggi dn sekadar melintasi shj tnpa hinggap. Keesokn harinya ia akn dtg lg pada waktu yg hmpir sama.. Bila dgr bunyi burung ini, semua akn maklum waktu bbuka sdh semakin dkt.

insan marhaen said...

kat masjid di kampung IM di panggil kerantung.

Nizam.Ariff said...

Assalamualaikum,


Di kampung aku dulu ada juga kentong ni. Di kampung aku, tingkah pemulanya adalah ketukan yang bertalu talu dan rapat-rapat. Caranya, letakkan pemukul di celah lubang tu dan dihayun kanan dan kiri agar terpukul sisi kanan dan kiri lubang kentong. Dihayung laju-laju dalam 3-4 saat.

saat ke 5-6 hayunan diperlahankan temponya.

Kemudian barulah di ketuk diluar sisi kentong dengan kuat, sebanyak mana rakaat sembahyang tu.


Itu yang aku ingat.

Ya, setiap kampung ada kodnya sendiri, dan bunyi kentong yang berlainan untuk kampung yang berlainan.


Sekarang ini, bunyi motor mat rempit membunuh bunyi kentong.

AUR said...

Salam Ramadhan Pakcikku...

Saya masih dapat merasa zaman kentong ni...Tempat saya panggi keghentong...Bukan setakat kod2 dan dari kg mana...bunyi pukulan pon boleh agak sapa yang ketuk.

Ade satu kes kat kg, Arwah tokwan saya terpaksa sorok kayu pemukul tu sebab ada sorang 'insan istimewa' suka sgt mengetok.Bahayanya bila wktu tak masuk lagi dia da sebat...hehehe..

Temuk said...

As-Salam ADRY
Hihihi, pengalaman yg saya fikir serupa bagi ramai di kalangan kita di kampung dulu-dulu: bila hujan lenguhlah telinga kita nak cuba mendengar bunyi kentung atau beduk sewaktu mahu berbuka. Memang menarik cerita peralatan bagi menandakan 'waktu' kita dulu. Bila ADRY sebut tentang si Tabtibau tu, teringat saya akan gurindam lama, 'Alamat Hari Nak Siang', yang menyebut tentang...berbunyi kuang jauh ke tengah...berkuku balam di hujung bendul... Itulah alamat hari nak siang. Nampaknya handphone kita yang dah jadi si kuang & si balam hari ni.

Temuk said...

As-Salam IM
Memang macam-macam nama si dia tu, ya. Di kampung IM tu orang masih katukkah kerantungnya?

Temuk said...

W'alaikumussalam AKU
Wah, menarik caragaya pemukulan kentung di kampung Aku tu. Memang dulu-dulu tu kampung-kampung walau berdekatan punyai kentung yang katukan dan bunyi masing-masing distintif.

Kalaulah ada pameran kentung & rekod bunyi kentung dari pelbagai kawasan dibuat di Museum Negara, pasti menarik, ya.

Temuk said...

Salam Ramadhan AUR
Wow, hebat ingat AUR tu. Betullah tu, dari bunyi ketukan, kita di kampung dulu-dulu juga boleh mengagak siapa yang mengetuk kentung tu. Memang ramai yang teruja utk mengetuk & Pak Imam pun mungkin ada pengetuk pilihannya, sebab yang lain-lain tu memang 'kurang sedap' ketukannya, malah macam yg di kg AUR tu, ada yg tak sempat tengok jam... pakai katuk saja!

Pakcik mohon maaf, tak sempat sampai ke pameran AUR tak lama dulu. Semoga berlangsung sempurna.

Al-Manar said...

kentung pun boleh digunakan untuk menhantar isyarat. Kalau Red Indian 'smoke signal' lah. Lihatlah bentuk kentung direka untuk memberi bunyi yang tertentu.

Al-Manar said...

Terlupa hendak ucap selamat berpuasa. Panjang umur berhariraya lah kita.

KELI OH KELI said...

nostalgia yang mahal harganya...kentung dipalu bersama kisah semalam...semoga masih ada yang mendengar alunan kentung di masa hadapan....

ckLah @xiiinam said...

Kat masjid Sg Manila masih digunakan.


Teringat masa umur 5 tahun, kena jentik tangan dgn bapak kerana saya pukul kentung tu sungguh-sungguh, masa bapak sedang mengimakan solat Asar budak-budak sekolah agama dia....saya ketuk dalam rentak tiga...tiga....tiga. Rupanya itu isyarat ada kematian di kampng. Heboh orang bertanya siapa meninggal...

Temuk said...

As-Salam AL-MANAR
Selamat menjalani ibadah puasa.

Tukang kentung dulu-dulu pasti pakar dalam memilih kayu kentung & menghasilkannya mengikut bentuk & bunyi yang dihajati. Kalau tukang hari ini, agaknya buat 'asal siap' saja, dan gunanya pun mungkin utk museum exhibit atau pameran di mana-mana.

Temuk said...

As-Salam KELI OH KELI
Agaknya orang sekarang, apa lagi generasi akan datang, macam mana boleh mereka berpeluang mendengar kentung? Mungkin ada pihak yg boleh hasilkan CD/VCD yang mengandungi alunan kentung, dari pelbagai surau/masjid, dengan gaya bunyi masing-masing.

Dulu-dulu di kg saya (kawasan kelapa) ada orang membuat meriam batang kelapa utk menyambut hari raya. Malangnya mereka tiada pewaris/pelapis. Tak adalah lagi dentuman meriam batang kelapa bagi generasi sekarang berhariraya.

Temuk said...

ckLah
Lo, kok nakal men cikgune moso cilik! Pastilah 'kentung telu' menyebabkan orang sekeliling tertanya-tanya siapa yg meninggal! Betullah kentung itu menarik orang utk memukulnya, tak kira orang tua, muda atau kanak-kanak, spt ckLah masa tu.

Ruginya tak tahu kentung masih digunakan di Sg Manila. Kalau tahu masa 'menyimpang' ke sana dulu tu, pasti saya turun utk mengambil gambar kentung tu. Susah cari ooooiiii! Masa tu pun surau sedang dibaikpulih. Mungkin lain kali, insyaAllah. Salam bahagia.

terokai seni said...

nak jumpa kentung pon susah sekarang ni.. kalo dengar waktu subuh mesti syahdu je bunyinya

PCL said...

kentung sebagai hiasan kini..loudspeaker dah take over...

Temuk said...

As-Salam CEMOMOI
Betul, payah jumpa susah cari. Kot jumpa di mana-mana jangan lupa ambil gambarnya. Masih ada tergantung di sana sini, rasanya. Tak lama lagi, hilang langsunglah nanti.

Temuk said...

As-Salam pCL[p@kcikLie]
Kalau digantung lagi sebagai hiasan, atau untuk generasi akan datang lihat, memang bagus sangatlah. Sesebuah surau atau mesjid pun patut merekodkan sejarah pembangunan dan kemajuannya dalam bentuk tulisan dan barangan.

yanmaneee said...

huarache shoes
jordan 1 off white
kd 11 shoes
yeezy boost 350
curry shoes
moncler
kd 12
paul george shoes
moncler jackets
nike epic react flyknit

steahet said...

you could look here Dior Dolabuy view dolabuy.ru check my site louis vuitton replica