Monday, April 23, 2012

SATU KONVOKESYEN: I


Biasalah, dalam ucapan konvokesyen, Canselor memberi nasihat kepada para graduan supaya memikul tanggungjawab menyumbang khidmat bakti kepada negara, bangsa dan agama.

Juga, tentunya kepada famili. Secara spesifik lagi, ibubapa.

Tapi, khusus berkait dengan memberi khidmat bakti kepada ibubapa,  memang tak pernahlah aku mendengar mana-mana Canselor menyentuhnya dengan begitu luarbiasa. Seperti di dalam.....

Luarbiasa.  Kerana yang disentuh oleh DYMM Tuanku Canselornya dan cara baginda melakukannya, bagiku, terasa sangat kesannya.


Titah ucapan baginda menerobosi dengan dalamnya hati seluruh dewan. Seayat dua sahaja perkara tanggungjawab graduan kepada ibubapa itu dicatat dan dibaca daripada teks. Tuanku Canselor  kemudiannya, dengan sengaja, telah menyambung sendiri titah ucapan baginda. Titah dari isi hati, panjang lebar, mempamerkan kritikalnya masalah kemerusutan nilai-nilai kekeluargaan.

Dengan nada yang penuh emosi Tuanku Canselor menekankan masalah itulah yang menjadi satu penyebab besar masalah masyarakat. Yang baginda harap para graduan akan ambil berat.

Tuanku Canselor bagaikan seorang bapa, dengan syahdunya menasihati para graduan yang mungkin alpa. Memang menyentuh hati. Meruntun rasa. Dengan dalamnya.

Baginda menekankan, graduan yang berkelayakan tinggi, bergaji dan berjawatan tinggi, tak semestinya tahu menghormati atau mampu menjaga ibubapa meraka.

Lantas Tuanku Canselor menyebut beberapa kisah benar yang baginda ketahui. Cerita-cerita yang amat mendukacitakan. Termasuklah yang terbaharu, kisah suami isteri yang meninggalkan si bapa di pusat dialisis hingga seharian, tanpa ditinggalkan untuknya makanan atau minuman. 

Tapi ditinggalkan padanya secebis nota, yang  kemudian disedari oleh pekerja di situ, meminta si bapa diserahkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat!

Luarbiasa titah ucapan Tuanku Canselor. Kerana penitahnya, ku rasakan, amatlah menghayati erti dan implikasi masalah yang diperkatakan.  Ketara, amatlah sedih dan terguris hati baginda dengan sikap dan tindakan sesetengah anak, seperti yang diperihalkan.

Manakan tidak. Titah ucapan baginda jelas terhenti-henti. Bunyi suara baginda sungguh sebak, hingga ada kata-kata baginda yang menjadi kurang jelas oleh sebutan yang terketar-ketar, tersekat-sekat. Aku yakin, airmata baginda bergenang. Tak hairanlah kalau memang ada yang membasahi pipi baginda!
 
Aku dapat rasakan seluruh dewan bagaikan terpaku. Senyap sunyi! Semua menanti kata-kata baginda seterusnya, dalam babak titah yang  sarat emosi itu. Aku jeling barisan-barisan belakang. Agakanku, mesti ada ibubapa yang menitiskan airmata.  Aku tak terkecuali. Yang ku lihat ketika itu, kepala-kepala yang tunduk dengan dahi ditutupi tangan.  Juga wajah-wajah durja, dengan mata-mata yang  menatap tepat ke arah yang bertitah.

 
Amat ku ingat pesanan Tuanku Canselor, agar selepas upacara majlis konvokesyen, para graduan segera menemui ibubapa. Segera bersalaman dengan mereka. Juga mengucapkan penghargaan kepada insan-insan yang menyumbang kepada kejayaan mereka.

Itu pesanan biasa yang pada hematku telah menjadi luarbiasa. Peringatan keramat itu kuat landasannya: pemerhatian tajam Tuanku Canselor sendiri, akan babak-babak hidup yang telah pun merapuh dan meleburkan adab, adat dan nilai-nilai kekeluargaan. Itu yang memilukan baginda. Lantas, kisah pilu itulah yang baginda sampaikan. Dalam sebak yang meninggi. Dengan ucapkata yang terhenti-henti.

Ini adalah satu keluarbiasaan. Yang sewajarnya dihayati dan disanjung.


Bukannya soal 'jasa ibubapa yang patut dibalas' yang ingin ku utamakan di sini.  Aku lebih kepingin berkongsi rasa terharuku tentang penghayatan mendalam Tuanku Canselor akan titah ucapan baginda. Aku juga tentunya tak mahu lupa atau alpa dari merakamkan perihal insan yang berkedudukan begitu istimewa ini. Yang dalam satu upacara yang juga istimewa, dengan bijaksananya telah mengambil peluang, mengambil peduli. Menasihati para graduan dengan tulus-mulus. Mengendahkan hati mereka akan satu tanggungjawab khusus yang amat murni.

Dan yang disampaikan telah disampaikan dari sudut hati baginda sendiri. Bukan dari teks, yang sememangnya amatlah mudah jika setakat untuk dibaca!

Nota: 
Ilustrasi 1 dan 2 diambil daripada Buku Upacara Konvokesyen Keempat Puluh Lima USM, 21 April 2012.

19 comments:

al-lavendari said...

memang luar dari kebiasaan, titah sebegini dilontarkan dalam majlis seumpama ini. dan ia sangat kena pada tempatnya.

kalaulah ada video atau audionnya pun memadai, sangatlah baiknya supaya dapat didengar getar suara baginda.

ngasobahseliman said...

Alhamdulilah. Hebat nilai kekeluarganya. Siapa yang patut dipersalahkan jika anak-anak tidak lagi menghayati nilai murni keluarga yang dituntut dalam al Quran. Ayat khusus yang bermaksud "Jangan mengherdik" jelas dalam alQuran. Pada hemah saya semua kita bertanggongjawab atas kebobrokan nilai ini. Ibu bapa yang peka mendidik anak tetapi di luar sana ia di rosakan dengan nilai-nilai lain. Dan kita tidak pernah mahu bersuara lantang kepada pemimpin supaya berbuat sesuatu atas keruntuhan nialai ini sebab "Ikan busuk dari kepalanya".Kata pepatah Inggeris: It takes the whole village to raise a child.Maka jangan kita serah bulat-bulat pada ibu bapa sahaja kerana ibu bapa adalah juga hasil sistem pendidikan dan sosial yang pincang dari banyak sudut. Saya memohon ampun atas kelemahan dan kekurangan sendiri dan marilah kita membina kepedulian dalam masyarakat semoga keruntuhan nilai murni ini dapat dibendong dan diperbaiki.

ahmad humairi said...

Assalamualaikum,

Pengucapan yang luar biasa, pastinya merembes wangian seharum flora yang mampu mengalirkan air jernih dari kelopak mata. "Dengarkan" juga lagu Sudirman - "ayah dan ibu"...pasti tegak bulu tengkok kita.

Tahniah kerana berjaya menghayati titah ucapan baginda sehingga mengalir air mata.

Temuk said...

AL-LAVENDARI
Luar dari kebiasaan, kerana dapat dirasakan kehibaan baginda dalam memperkatakan isu itu. Bagi saya, Tuanku Canselor boleh memilih membaca teks 100% tanpa menahan-nahan sebak, dek penghayatan mendalam masalah yang diperkatakan. Saya tidak tahu orang lain, tapi saya amat menghargai titah ucapan itu.

Malangnya tidak dibenarkan kita mengambil gambar. Tak teringat pula nak rakamkan dari tempat duduk. Salam sejahtera.

Temuk said...

NGASOBAHSELIMAN
Terima kasih di atas reaksi bermanfaat itu. Setuju dengan segala yang ngasobahseliman kata. Islam itu cantik. Islam mengajar segala-gala yang cantik, termasuklah nilai-nilai kehidupan. Pastilah bukan satu faktor saja yang bertanggungjawab atas kebubrakan dan bobroknya kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat kita. Semua pihak bertanggungjawab. Ayuhlah, sama-sama kita memainkan rol sepatutnya mengikut kemampuan. Insya-Allah.

Temuk said...

CIKGU AHMAD HUMAIRI
Waalaikumussalam Cikgu.
Benar juga kata orang, semakin menua kita ni, semakin mudah menjadi hiba. Namun, ada juga orang yang tak mudah nangeh-nangeh... pasei, tu keghoje budak-budak. Namun (sekali lagi namunnya!) amat fahamlah diri ini, satu hari, andai Dia izinkan lama, pilu bagaimana pun kita, takkan mengalir lagi yang bening di kelopak tu.

Nanti teman nak dengo lagu Sudir tu. Mintak-mintak taklah seleseme idung teman dibuatnye. Ceria selalu, Cikgu.

kakcik said...

Assalamu'alaikum Tuan...

membaca coretan ini sahaja sudah cukup membuatkan saya menitiskan airmata. Rupa2nya apa yang Tuan catatkan di sini sedikit sebanyak ada kaitannya dengan catatan di blog saya pagi tadi.

Temuk said...

KAKCIK
Waalaikumussalam, kakcik
Jika demikian, memang amat lembut dan haluslah hati & jiwa kakcik. Semakin menua memang semakin mudah kita jadi tersentuh, tersentak, berasa kesedihan. Sungguhlah tu, entri terbaru kakcik dan saya ada kaitannya dengan perasaan hiba pilu yang kita lalui dalam hidup.

Mohon panggil saya Temuk, ya kakcik. Ketemu lagi!

ckLah @xiiinam said...

Semoga perkara yang dititahkan itu membekas di jiwa dan minda anak-anak yang mendengar...



Di USM Paman...
Teringat masa mewakili ibu dan ayah di konvo adik beberapa tahun dulu. Mereka tersangkut di JB kerana ada kematian saudara terdekat. Sampai Dewan, graduan sudah berarak keluar kerana kami sesat jalan. Kesian adik...

Al-Manar said...

Sungguh luar biasa ucapan seumpama itu. Kalaulah ini diamalkan diuniversiti lain.

Temuk said...

ckLah
Mudah-mudahan semua yang mendengar menjiwai setiap kata yang dititahkan dan juga sebak dada Tuanku Canselor.

Alahai, kesiannya adik ckLah tu. Tak ada rezeki nak lihat upacara, apa boleh buat. Tapi pasti sempat mengambil gambar bersama adik berjubah, ya tak? Rasanya puluhan tahun juga tak ke Pulau Pinang. Banyak pembangunan nampaknya, termasuk di kampus USM sendiri.

Temuk said...

AL-MANAR
Benar. Sudah banyak universiti di negara kita hari ini. Semoga di sana sini kita akan mendengar ucapan-ucapan konvokesyen yang benar-benar punyai nilai, semangat, jiwa, makna dan kesan yang mendalam khhususnya di kalangan para graduannya.

Mak Wardah said...

Sukar untuk dipercayai tapi itulah kebenarannya

Kunang-Kunang said...

Salam Cikgu Temuk,

Rasanya insan2 sekarang memang perlu diperingatkan. Sebenarnya untuk menjadi ibubapa tidak memerlukan pada orang yang berpelajaran tinggi sahaja tetapi pada yang ada rasa kasih dan syang serta mengenang jasa ibubapa,

Temuk said...

MAK WARDAH
Benar. Semoga kita sentiasa ingat. Salam sejahtera.

Temuk said...

KUNANG-KUNANG
Salam KK. Benarlah tu. Ibubapa, atau anak-anak mereka, mungkin berpelajaran tinggi, tetapi sebenarnya tidak terdidik menjadi insan yang berbudi pekerti, dan juga bermoral. Seperti yang Tuanku Canselor titahkan, ada anak-anak yang berpelajaran, berjawatan & bergaji tinggi, tetapi tidak menghiraukan keadaan ibubapa mereka yang telah tua dan memerlukan penjagaan.

Temuk said...

SDR PENGUNJUNG YG BUDIMAN

Banyak-banyak maaf, entah apalah yang saya sudah petik, ruang komen untuk entri ini jadi 4 tempatnya! Jadi mengelirukan. Masih perlu biasakan diri dengan format baru blog ini. Salam sejahtera.

Amie said...

Assalamualaikum Ayah,
Terharu Amie baca, meremang bulu roma jadinya. Itu belum lagi kalau Amie dengar secara langsung titah ucapan baginda itu. Alhamdulillah, mudah-mudahan apa yang diperkatakan oleh baginda akan meresap dalam hati yang paling dalam kepada yang mendengarnya.
Teringat ayahanda yang telah lama pergi, dan bonda yang jauh di mata... balasan apakah yang mampu diberi sebagai menghargai segala jasa dan pengorbanan mereka. Terasa diri ini amat kerdil, kurang dari segala khidmat bakti buat mereka.... namun, dari jauh sentiasa didoakan mudah-mudahan Allah sentiasa merahmati insan yang sangat mulia ini.

Temuk said...

AMIE
Waalaikumussalam.
Seronoklah hati ayah jika apa yang dipaparkan itu, penghujungnya, dapat mengingatkan para anak, akan hak ibubapa mereka. Para anak juga bakal menjadi ibu dan bapa, insya-Allah, dan mahukan anak-anak mereka pula melangsungkan tanggungjawab yang dijangkakan.

Ayah tidak dapat fikirkan langsung bagaimanalah sebenarnya arwah ibubapa menjaga Ayah (dan adikberadik lain) dalam kekerdilan hidup di kampung yang terpencil. Rasanya, apa yang sempat diberikan balik kepada mereka, amat-amatlah kecil nilainya. Amie, teruskanlah.....jangan teralpa untuk sentiasa mengingati bonda yang masih ada dan mendoakan pengampunan Allah untuknya. Juga untuk arwah ayahanda.