Biasalah, dalam ucapan
konvokesyen, Canselor memberi nasihat kepada para graduan supaya memikul
tanggungjawab menyumbang khidmat bakti kepada negara, bangsa dan agama.
Juga, tentunya kepada famili. Secara spesifik lagi, ibubapa.
Tapi, khusus berkait dengan memberi khidmat bakti kepada ibubapa, memang tak
pernahlah aku mendengar mana-mana Canselor menyentuhnya dengan begitu luarbiasa. Seperti di dalam.....
Luarbiasa. Kerana yang disentuh oleh DYMM Tuanku Canselornya
dan cara baginda melakukannya, bagiku, terasa sangat kesannya.
Titah ucapan baginda menerobosi dengan dalamnya hati
seluruh dewan. Seayat dua sahaja perkara tanggungjawab graduan kepada ibubapa
itu dicatat dan dibaca daripada teks. Tuanku Canselor kemudiannya, dengan sengaja, telah menyambung
sendiri titah ucapan baginda. Titah dari isi hati, panjang lebar,
mempamerkan kritikalnya masalah kemerusutan nilai-nilai kekeluargaan.
Dengan nada yang penuh emosi
Tuanku Canselor menekankan masalah itulah yang menjadi satu penyebab besar masalah masyarakat. Yang baginda harap para graduan akan ambil berat.
Tuanku Canselor bagaikan seorang bapa, dengan syahdunya menasihati para graduan yang
mungkin alpa. Memang menyentuh hati. Meruntun
rasa. Dengan dalamnya.
Baginda menekankan, graduan yang
berkelayakan tinggi, bergaji dan berjawatan tinggi, tak semestinya tahu menghormati
atau mampu menjaga ibubapa meraka.
Lantas Tuanku Canselor menyebut
beberapa kisah benar yang baginda ketahui. Cerita-cerita yang amat mendukacitakan. Termasuklah yang terbaharu, kisah suami
isteri yang meninggalkan si bapa di pusat dialisis hingga seharian, tanpa ditinggalkan untuknya makanan atau minuman.
Tapi ditinggalkan padanya secebis nota, yang kemudian disedari oleh pekerja di situ, meminta
si bapa diserahkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat!
Luarbiasa titah ucapan Tuanku
Canselor. Kerana penitahnya, ku rasakan, amatlah menghayati erti dan implikasi masalah
yang diperkatakan. Ketara, amatlah sedih
dan terguris hati baginda dengan sikap dan tindakan sesetengah anak, seperti yang diperihalkan.
Manakan tidak. Titah ucapan
baginda jelas terhenti-henti. Bunyi suara baginda sungguh sebak, hingga ada
kata-kata baginda yang menjadi kurang jelas oleh sebutan yang terketar-ketar, tersekat-sekat. Aku
yakin, airmata baginda bergenang. Tak hairanlah kalau memang ada yang membasahi
pipi baginda!
Aku dapat rasakan seluruh dewan
bagaikan terpaku. Senyap sunyi! Semua menanti kata-kata baginda seterusnya,
dalam babak titah yang sarat emosi itu.
Aku jeling barisan-barisan belakang. Agakanku, mesti ada ibubapa yang
menitiskan airmata. Aku tak terkecuali. Yang
ku lihat ketika itu, kepala-kepala yang tunduk dengan dahi ditutupi tangan. Juga wajah-wajah durja, dengan mata-mata
yang menatap tepat ke arah yang
bertitah.
Amat ku ingat pesanan Tuanku
Canselor, agar selepas upacara majlis konvokesyen, para graduan segera menemui ibubapa.
Segera bersalaman dengan mereka. Juga mengucapkan penghargaan kepada insan-insan yang
menyumbang kepada kejayaan mereka.
Itu pesanan biasa yang pada
hematku telah menjadi luarbiasa. Peringatan
keramat itu kuat landasannya: pemerhatian tajam Tuanku Canselor sendiri, akan babak-babak
hidup yang telah pun merapuh dan meleburkan adab, adat dan nilai-nilai kekeluargaan.
Itu yang memilukan baginda. Lantas, kisah pilu itulah yang baginda sampaikan. Dalam sebak yang meninggi. Dengan ucapkata yang terhenti-henti.
Ini adalah satu keluarbiasaan. Yang sewajarnya dihayati dan disanjung.
Bukannya soal 'jasa ibubapa yang patut dibalas' yang ingin
ku utamakan di sini. Aku lebih kepingin
berkongsi rasa terharuku tentang penghayatan mendalam Tuanku Canselor akan titah ucapan baginda. Aku juga tentunya tak mahu lupa atau alpa dari merakamkan perihal insan yang berkedudukan begitu
istimewa ini. Yang dalam satu upacara yang juga istimewa, dengan bijaksananya telah mengambil
peluang, mengambil peduli. Menasihati para graduan dengan tulus-mulus. Mengendahkan hati mereka akan satu tanggungjawab khusus yang amat murni.
Dan yang disampaikan telah disampaikan dari sudut hati baginda sendiri. Bukan dari teks, yang sememangnya
amatlah mudah jika setakat untuk dibaca!
Nota:
Ilustrasi 1 dan 2 diambil daripada Buku Upacara Konvokesyen Keempat Puluh Lima USM, 21 April 2012.