Monday, January 19, 2015

LABU SEMAI BERLONGGOK.... DI MANA ANAK SI PAKIS?

Sepatutnya biji labu itu disemai sebiji dua selubang. Tapi Pak Temuk 
yang sudah malas menyemainya selonggok-selonggok. Kes teruk! Bila sudah tumbuh, Pak Temuk tinggalkan dua tiga pokok saja selubang. 

Akhirnya tinggal dua pokok yang sanggup hidup gembirakan penyemai.
Pada mereka melekat 3 biji labu. Dua dieksport ke Gombak. Satu, sendiri bikin pengat. Boleh tahan juga wajah dan rasaya (lupa menggambar!).

 

 
Terlupa pula nak bakikan si labu. Untuk digemblengkan dengan daun 
asin-asin dalam tenggelaman santan kelapa! Pak Temuk pun cari pakis hijau di pasar. Lantas menyayur lemak dia dengan si bilis. Tak ada orang di dapur!

 

Mohon nak tanya: siapa tahu di mana boleh diperolehi baka pakis
(a.k.a. pucuk paku)? Di kampung dulu-dulu, di kala menebas kebun, pakis
tetap Pak Temuk pancung seperti rumput, untuk terangkan kebun. 
Walaupun, ada juga yang sambil-sambil, dipetik untuk sayuran di rumah.


Saturday, December 13, 2014

CERITA KEMAJUAN DAN NIKMAT ALLAH.





Dalam hendak mudahkan hidup, dengan antaranya memangkas 
dan membuang pokok-pokok yang sedia ada sedikit demi sedikit, 











 Pak Temuk cuba pula (!) hobi baru, menanam tin. Ada
Pak Temuk ceritakan sebelum ini. Pelannya sekarang: berhenti 
"pemerolehan" sesudah pokok ke-12.

Ini nak bercerita sikit kemajuan hobi baru. Cerita bergambar.

Selepas lebihkurang dua bulan dipasukan, pokok tin mula membesar. Ketinggian asal, lebihkurang setinggi sekaki. Kini ada yang mencecah lima kaki, dan bercabang-cabang.
Ada yang dipolibegkan. Nak elakkan hujan, takut daun berkarat, guna kaedah "kelambu".  Lebih murah (malulah!) daripada bangunkan "rumah hijau". Masalahnya, penat pasang kelambu bila dengar guruh di langit! Bila pokok sudah agak besar, kelambu pun disimpan. Memang banyak daun jadi berkarat!


 


















Di sebalik gambar-gambar di atas, Pak Temuk nak sebut 
pengalaman berharga yang diperolehi: menyediakan medium (campuran tanah dll), membaja pokok, mengairi pokok, membungkus putik, dan 
pengalaman mengawasi musuh-musuh pokok.

Ada juga si kecil yang berlagak matang. Juga yang besar tak matang, beraksi matang!

Bukti ketakmatangan kedua-duanya. Ingatkan yang lebih besar itu benar-benar meranum. Rupa-rupanya, kata para sifu tin, ia bukan masak. Ia (hihi!) membusuk!



 


Saja untuk rekod, yang beratnya 22 gm itu bernama 
Matsui Duphine. Yang 29 gm, Jumbo TGF. Belum sempat baca asal 
usulnya. Masa beli anak benih pun, pakai beli saja. 

Lihatlah di bawah ini, wajah kedua-duanya setelah dibelah.

 


Dari cerita para sifu tin, hujan yang banyak kebelakangan ini boleh menjejaskan kuantiti dan kualiti buah.

Maka berbisiklah napsu, Matsui Duphine dengan Jumbo TGF 
sepatutnya lebih merah dalamnya, juga lebih manis rasanya, 
jika tiada pengaruh sang hujan. 

Mujur akal cepat meningkah. Untuk percubaan awal ini, 
itulah yang Allah hendak beri sebagai satu nikmat. Memadailah!

Pak Temuk jadi amat teringat.
Surah Ar-Rahman, ayat 10-13, yang maksudnya: 
Dan Allah telah meratakan bumi untuk makhluk(Nya). Di bumi itu ada buah-buahan dan pohon kurma yang mempunyai kelopak mayang. Dan biji-bijian yang berkulit dan bunga-bunga yang harum baunya. 
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Thursday, December 4, 2014

CERITA TANDUK

Eksperimen menanam si Tanduk bolehlah dikatakan gagal. 

Entah berapa bulan dahulu si Tanduk hidup subur. Di pinggir tembok. Beranak pinak.

Kira-kira pada Julai lalu keluarlah tanda ia punyai hasil. Buahkan harapan.

 


 


Akhir Ogos, si Tanduk sah uzur. Sakit sekujur tulang belakang. Rawatan pakar ortopedik tidak ketara efikasinya.


 


 






Si Tanduk patah tengkuk, patah pinggang. Pakar ortopedik patah hati. 













Mujur.  Jiran dibelakang, kebetulan, juga bertanduk. Ayu hasilnya. Dan pakar ortopedik tidak kempunan.