Rupa-rupanya sudah bertahun juga tak ke pekan Bagan Datoh (BD), 'syurga' kelapa. Tempoh hari, I made it! Sebelum ini, bila balik kampung ziarah keluarga besar, tak juga pernah menyempatkan diri ke situ.
Pekan BD merupakan ibu Mukim Bagan Datoh, Daerah Hilir Perak, Negeri Perak. Ia terletak di muara Sungai Perak, kira-kira 47 km dari Teluk Intan, ibu Daerah Hilir Perak.
Nampaknya BD telah membangun jugalah. Petanda utamanya, bangunan-bangunan baru.
Kawasan pusat pekan BD mempunyai deretan kedai di kedua-dua belah jalan yang hujungnya mengarah ke sebuah jeti/jambatan, dikenali sebagai Jeti/Jambatan Bagan Datoh ( JBD). Kedai-kedai itu berusia kira-kira 75 tahun. Terdapat, antaranya, kedai runcit, pakaian, ubat, buah-buahan, serta kedai basikal dan makanan.
JBD yang ada sekarang merupakan jeti baru. Rasanya telah dua tiga kali diperbaharui. Nampak kukuh dan cantik. Di JBD itulah bot-bot kecil singgah, termasuk yang membawa penumpang atau barang dari atau ke kampung/kawasan berhampiran di kedua-dua tebing Sg. Perak.
JBD juga merupakan stesen para pemancing melepaskan gian memancing. Sasaran mereka, terutama pada sebelah malam, ialah udang galah, yang kalau mahu mereka boleh 'tolak' kepada peraih tempatan dengan harga RM20 sekilo. Pemancing yang ke kawasan Pulau Sembilan (dianggap lubuk ikan yang baik-baik!) biasanya ke sana melalui JBD.
Seorang penduduk tempatan memberitahuku, projek membuat pelabuhan besar bagi BD (berhampiran JBD) sedang dalam perancangan. Wow! Kalau betul, satu hari nanti bolehlah YB Datuk Seri Zahid, Pak Menteri Pertahanan kita, bawa kapal selam ke situ, tunjukkan kepada rakyat jelata BD. Ojo marah yo Datuk Seri!
Kupaparkan di bawah ini beberapa wajah BD lagi untuk tatapan. Yang di bawah ini, nak tunjukkan kepada para pengunjung yang beranak kecil, ada taman permainan berhampiran dengan JBD. Anak-anak boleh bermain, sambil si papa mengail.
Yang ini pula, gambar-gambar yang ada kaitan dengan keselamatan rakyat jelata.
Cerita pasal keselamatan, termasuklah juga keselamatan dari bahana api, dan juga penyakit. Bagus betul, BD mempunyai Pasukan Bomba dan Keselamatan Sukarela sendiri, di samping sebuah Klinik Kesihatan yang uump!
Yang di bawah ini pula, Jabatan Pendaftaran Negara. Senanglah orang dari Mukim BD dan mukim-mukim lain buat MyKad + Surat Beranak. Kalau tidak, terpaksalah ke Teluk Intan. Lebih jauh, lebih masa, lebih belanja.
Yang di bawah ini pula, gambar-gambar sederet pendek gerai makanan, papan iklan homestay di sebuah kampung yang termasuk dalam mukim BD, pejabat homestay BD dan Pejabat Penghulu Mukim BD.
Sekolah menengah zaman aku dulu, di Teluk Intan. Kira-kira 40km sehala dari rumah di kampung! Kot ada di BD, dekatlah sikit. Kini ada beberapa sekolah menengah dekat dengan kampung asalku dulu. (Kampung asal pula dah tak ada!). Senangnya! BD mempunyai (yang sempat aku nampak tapi tak mengambil gambarnya) sebuah sekolah rendah kebangsaan, sekolah rendah Tamil dan sekolah menengah. Yang menonjol megah di situ ialah Sekolah Menengah Sains.
Di mana mesjid besar BD? Bila jumpa, tak cam pula. Rupa-rupanya sedang diperbesarkan. Alhamdulillah, tanda bertambahnya ahli qariahlah tu.
Kebetulan semasa di BD, ada pasar minggu. Kebanyakan gerai di situ menjual makanan, terutama yang telah dimasak. Teringin pula 'pelancong lokal' makan jagung rebus, sebab sangkaanya mestilah jagung BD. Tapi, kata penjualnya, jagung Ipoh! Belah mana Ipohlah agaknya ada orang menanam jagung?
Selepas kutenung Sg. Perak, muaranya dan tebingnya puas-puas, dan selepas kupijakkan kakiku lagi kuat-kuat ke lantai JBD, aku pun meninggalkan BD.
Sambil memandu, kupandang Pejabat Pos lama di sebelah kiri jalan. (Pejabat Pos BD sekarang tak sempat nak kuambil gambarnya). Jauhnya aku ke situ dulu-dulu, dari kampung, untuk membuat
postal order bagi tujuan macam-macam jenis pembayaran, termasuk rasanya semasa memohon masuk ke universiti.
Aku juga terpandang beberapa buah rumah lama, tempat tinggal 'orang kerajaan'. Dulu-dulu, bila kutengok rumah-rumah itu dari bas, terbisik dalam hati 'bagusnya duduk di rumah tepi jalan batu'! Kini aku amat tahu, tak semestinya!
Dalam perjalanan aku juga bertanya diri sendiri. BD dan kawasan sekelilingnya, masih berstatus 'syurga' kelapakah?
Sang estet gergasi di situ pun sudah lama menukar kepada kelapa sawit. Pekebun kecil di sekitar BD juga telah ramai yang meniru estet. Kelapa, kata kawanku, memang tiada dahan untuk pemiliknya bergantung! Tapi, aku tak berapa setuju....
Tapi, memang ada jugalah benarnya madah si rakan.
Tanah liat BD sudah agak liat untuk melebatkan buah kelapa. Pekebun kecil tempatan di sekelilingnya, pandai-pandai sendiri, juga meniru estet. Yang terus berkelapa juga belajar melebarkan aktiviti pertanian mereka kepada penanaman selingan, terutama pisang. Ada yang menangkap ikan di laut. Ada yang menghasilkan makanan-makanan ringan, seperti kerepek dan kuih kering. Ada yang mengusahakan ternakan: lembu, kambing atau ikan. Dan ada yang menceburkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan, penuh-masa atau sambilan, seperti 'buat
homestay'. Macam-macam ada!
Dan ramai juga yang berhijrah. Meninggalkan rumah. Menyambung kehidupan di lain tanah.
Pernah ke BD? Kepingin ke sana? Atau telah biasa dengan BD dan sarat dengan kenangan mengenainya?