Cerita I
Antara barangan yang ku beli semasa melihat pameran MAHA 2010 di Serdang tempoh hari ialah buah markisa. Buah ini juga dipanggil buah susu, atau passion fruit. Saiznya, lebihkurang sebesar buah oren kecil.
|
Buah markisa, dengan nenas dan tembikai, yang dipamerkan di sebuah gerai jualan di MAHA 2010.
Markisa yang ku beli di gerai lain, serupa seperti dalam gambar di atas. |
|
Boleh bayangkan saiz buah markisa? Hihihi, siapa yang nampaknya lebih awet muda?
Para 'pengawet' agaknya percaya, kalau nak sepanjangan mudaterangtangtang, kenalah belajar
ilmu limau. Aku percaya kepada petua 'makan limau selalu', tapi tak amalkan! |
Pada penglihatanku, ada sedikit perbezaan buah markisa kita di Malaysia berbanding dengan yang terdapat di luar negara.
Ada perbezaan bentuknya, sedikit. Taklah begitu menonjol. Pernah ku lihat ada markisa luar negara yang agak bujur. Namun, yang lebih ketara, adalah beza warna kulit buahnya, terutama apabila telah masak. Markisa Malaysia yang sudah masak berkulit kuning cerah atau kuning pinang masak. Atau kuning malap, apabila telah terlalu matang. Yang di luar negera, markisa masaknya berkulit merah-hitam, atau biru-hitam.
Apa pun warna kulitnya, isi markisa yang masak tetap kuning, penuh dengan pati jusnya yang berwarna dan berasa seperti oren (walaupun jus oren agak tajam sedikit). Untuk menyediakan jus markisa, buahnya yang telah masak kita belah dua. Kemudian, campurkan seluruh isinya dengan air dan sedikit gula. Kacau dan tapis. Terhasillah minuman markisa segar.
|
Ini buah yang ku beli di MAHA 2010 selepas beberapa hari di rumah. Semakin masak, semakin
buah ini mengkerekot. Dan pati jusnya menjadi semakin banyak di dalam. |
|
Markisa dilihat dari atas. Bahagian sekitar tampuknya nampak
kemerah-merahan, terutama apabila buah telah masak. |
|
Di sekeliling selaput yang menutupi biji hitam itulah, yang macam selasih direndam,
tempat bergenangnya pati jus markisa, yang berwarna kuning cerah. |
|
Satu biji markisa boleh menghasilkan segelas minuman segar ni. Maksudku,
setelah dicampurkan dengan air. |
|
Kalau minum lambat-lambat, kenalah kacau selalu. Sebab pati sebenar markisa
(merangkap pewarna aslinya) rajin mendap ke bawah bekas. |
Cerita II
Semasa membeli buah markisa di MAHA, memang aku teringat sangat akan sepokok markisa yang tumbuh sendiri dan meliar di kawasan kecil depan stor, di tepi rumah. Di ruang sempit ini si markisa hidup berhimpitan dengan yang lainnya - sirih, keladi merayap, belimbing buluh, limau purut, jejuang, kelat laut, pinang raja, pisang mini, mengkuang hiasan, dan para rututi (rumput tumbuh tanpa izin). Semuanya bersesak-sesak macam penghuni kawasan setinggan.
Telah lama aku berangan-angan untuk mengambil peduli akan kawasan sesak ini, dengan terutamanya 'menjinakkan' markisa yang meliar di situ. Markisa meliar itu mungkin berasal dari biji-biji markisa yang pernah ku tanam beberapa tahun dahulu, yang tercampak atau tercicir di sana sini. Atau biji-biji tinggalan binatang seperti musang, tupai atau burung. Alhamdulillah, beberapa hari yang lepas, angan-angan 'mengambil peduli' terlaksana.
|
Gambar asal, confidential! Dah diterangkan ala kadar kawasan depan stor ini,
beranilah ku tayangkan gambarnya. Nampak tak pokok markisa yang ku cuba jinakkan? |
|
Memang 'pukang-lintang' cabang-cabang markisa ini
menjalar serta meliliti dan menyesakkan pernafasan jenjuang merah! |
|
Pangkal markisa dengan tiga cabang besarnya, yang kemudiannya mengeluarkan beberapa
sub-cabang lagi di atas. Akar pelbagai pokok bercakaran di bumi yang sempit ini untuk mendapatkan makanan. |
Untuk 'menjinakkan' si markisa, buat sementara waktu, ku terangkan kawasan di sekelilingnya. Ada pokok-pokok yang terpaksa ku cantas, kurangkan, malah hapuskan seperti pokok belimbing buluh dan mengkuang hiasan.
Dengan lebihan dawai kecil yang ada dalam simpanan, ku buatkan 'ampaian' untuk dililiti dahan-dahan si markisa, supaya masing-masing tak mengganggu pokok-pokok lain. Memang ada keperluan 'dianyamkan' ampaian dawai yang lebih kemas supaya si markisa mempunyai 'para' yang lebih kukuh dan selesa untuk mengembang dan menghasilkan buah dengan baiknya.
|
Nampaknya banyak pokok senjuang merah yang terpaksa dikorbankan dan pokok
sirih dikurangkan rimbunannya demi memberi ruang lebih kepada markisa. |
|
Insya-Allah pada batang-batang kecil yang menjalar ini nanti akan bergantungan
dengan lebatnya buah-buah markisa yang cantik dan sihat. |
|
Semoga seronok menjalar dan meliliti ampaian. Usah ditutupi tingkap stor dengan rimbunanmu, ya! |
Kerja menyediakan ampaian dawai 'beranyam' itu akan ku lakukan kemudian. Tapi, dalam sehari dua ini, pada pangkal si markisa, mesti segera ku curahkan baja yang sesuai.