Wednesday, February 22, 2012

MARI HAYATI DUA ULAM

Satu, raja punya. Ulam Raja!

Ada beberapa pokok ulam ini aku tanam di belakang rumah.  Kata orang, banyak juga khasiatnya. Yang aku kisah, sekarang aku mula menyukainya. Hari-hari boleh dikutip pucuknya dan dimakan segar.

Cantik juga bahagian-bahagian lain pokok Ulam Raja ni, selain daripada pucuknya. Entah-entah semuanya ni lebih banyak khasiatnya!

 
 
 
 
 
Satu lagi ulam, burung punya. Tapi untuk kakinya saja. Untuk bolehkan dia bertenggek atas pokok ulam itu.

Jadi namanya bukan Ulam Burung, tapi Tenggek Burung.

Selain punyai deretan pasangan dua dahan sepanjang batangnya, pokok ini memiliki banyak buah, lebihkurang sebesar kacang hijau. Yang masak berwarna hitam.

Buah si Tenggek Burung ni pun, juga kulit buahnya, entah-entah ada juga khasiat istimewanya.


 
Sepokok Tenggek Burung telah tumbuh sendiri di kawasan rumahku tak lama dulu. Jiran yang beritahu aku, itu pokok ulam. Selamatlah ia daripada mangsa parangku.

Sebenarnya aku sendiri belum pernah menikmatinya bersama hidangan nasi. Cuma baru cuba gigit-gigit. Kelat!

Cubalah, kalau belum, dua ulam yang mudah tumbuh (termasuk, malahan, tumbuh sendiri) dan mudah dijaga.

Walau namanya Ulam Raja, tak ada larangan kita memakannya. Tak pastilah aku, golongan raja ada atau tidak yang suka santap Ulam Raja ni. Yang aku agak pasti,  para burung tidak memakan pucuk Tenggek Burung.

Kemudian nanti, aku nak cari juga pokok-pokok ulam yang lain. Yang senang ditanam dan boleh cepat dikutip hasilnya.

Tentulah tak boleh kumasukkan dalam senarai carianku itu si pokok jering, pokok kerdas, juga pokok petai!


Tuesday, February 21, 2012

ADA YANG BERWARNA MERAH!

Lebihkurang 6 tahun dululah kali terakhir interlocking blocks di sekitar rumah kubersihkan.

Perli diri sendirilah (hehehe!). Ingatkan semua kepingan berwarna hitam..... Ada yang merah rupanya!


Cubalah tengok syantik-syantiknya rupa para si blok kat bawah ni..... Eeeeh. Dah bertaut akrab semuanya, dek tebalnya sang daki dan sang lumut.

Terima kasihlah kepada si penyembur, peralatan tua ni, yang anakku memang lupa barangkali, hakmiliknya ni dah lama babah tolong simpankan.



Penyembur, asalkan ada karan tetap menderukan jet air tajam. Tukang sembur, walau teguk bertin-tin 100 Plus,  berteko-teko teh O + nescafe sejuk + nasi lemak, karipap, ketayap... taklah mampu menderukan tenaga macam si penyembur.

Penyembur memang ever-ready menyolek kawasan-kawasan lain, macam kat bawah ni. Tukang semburnya kata, biar lambat asal tak keletihan! Sambil fikir dalam-dalam, nak jadikan kawasan ni padang rumput?
 

Dan yang lebih mengganggu kudrat dengan fikiran, ruang jalan masuk inilah. Ada tak sukarelawan sihat yang sengaja nak cari keringat? 


Sebenarnya, kalau yang hitam nampak hitam, yang merah nampak merah, walau tak semolek masa baru dulu-dulu, sedaplah juga mata menatap.


Tapi betul tak, bila kita bersihkan satu-satu benda atau kawasan,  sebenarnya, pastilah kita kotorkan benda atau kawasan lain pula. Kecuali kotorannya boleh NASA tolong bawakan ke bulan.

Saturday, February 18, 2012

CEKODOK TAS TANGAN + CEKODOK KETAM

Pagi tadi, sedang sang isteri menikmati emping oats sarapan paginya, aku senyap-senyap, suka-suka, menyediakan cekodok tas tangan dengan cekodok ketam di dapur. Kadar pembikinan memang pantas. Tak mahu dia dan menjenguk. Aku memang tersanga-sanga!
Ramuan: Tepung gandum biasa, udang kecil basah, daun kucai, bawang besar, garam dan air. Ricih, potong, apa yang patut. Banyak mana? Ikut detik hati. Semua digaul pantas sampai jadi macam kat atas tu.

Tak perlu sediakan ramuan tas tangan atau ketam.

Lepas itu, jemput-jemput adunan tu, turunkan ke belanga berminyak panas, satu-satu. Seng... seng....
Kat bawah inilah si cekodok tas tangan dengan cekodok ketam tu.Tengok dengan sabar, ya. Juga dengan matahati.
 
 
Usah menung-menunglah, fikirkan tas tangan dengan ketam apa. Kemahiran tinggi diperlukan untuk sediakan cekodok-cekodok ni. Tapi memanglah "menjemput-jemput" untuk membuatnya alah dengan kemahiran chef Wan!

Cuba bedah. Ketara kucainya berasap. Alahai, tak berapa nampak pula hirisan bawang dengan udang basahnya yang kenit-kenit tu. Tapi..... aromanya tetap naik! Selera memakannya belum tentu!
 
 Walau apa pun, nampaknya roti, jem, kaya, juga mentega kenalah kuketepikan pagi tadi.
Sang isteri masih leka dengan TV Hijrahnya bila aku keluar, ke depan rumah. Dengan cekodok tas tangan + cekodok ketamku.
Terubat keinginan mendapur, juga gian menjemput-jemput!


Thursday, February 16, 2012

PUPI DENGAN BUNGANYA

JUMAAT ada kelebihannya, berbanding hari-hari lain. 
Pada hari yang lebih istimewa ini biarlah unsur-unsur yang kurang cantik, 
atau tidak cantik sekalipun, kucuba lihat kecantikannya.

Dan aku ingin melakukannya,
juga dengan menghayati foto hasil ke'amaturan'ku di bawah ini.

 Anda budiman sudi bersama?
Selamat berhujung minggu bersama keluarga disayang.

[Sila klik pada gambar untuk membesarkannya. Wajah-wajah apa anda lihat di situ?]

Wednesday, February 15, 2012

SEKADAR UNTUK REKOD FAMILI

14 Februari 2012. Nadeem Farhan, cucu ketujuhku, berumur 2 tahun.
Syukur ya Allah, di atas segala limpah kurnia-Mu ke atasnya dan kami semua.

 
   
 
 
 
 Tok Wan dengan Tok Umi tak sempat nak cari "toys". Bagi "envelope" sajalah, ya.
 


Bergaya dengan kakak sekejap!
 
 Bergaya dengan Tok Wan pula.

 Tok Wan suka tengok (+ banyak makan) kek Nadeem. Yang ibu
Nadeem buat tu. Itu rezeki dari Allah.

Semoga Nadeem membesar sihat, pandai, berjasa, dan menjadi insan soleh.


Monday, February 13, 2012

MATA KUCINGKU PECAH

Mata kucingku pecah. Kelmarin.

Tapi tak payah cari pakar mata, pakar kucing, atau pakar mata kucing.

Kena cari dua adik beradik yang berhulu hitam di bawah ini. Gunakan mana-mana,  mengikut kesesuaian.

 
Dua peralatan adikberadik + sedikit pengalaman menggunakannya + tenaga terbatas warga emas, telah  menghasilkan semua ini.


 
Si 'anu' di bawah ini, yang kubeli semasa ekspo MAHA yang lepas, telah menjadi mangsa mata kucing yang pecah. Kesihannya. Semoga dia tak maut!

Putik-putik kecil mata kucing sendiri turut terkorban.

Di samping sepasu (sepokok!) orkid yang masih muda. Yang juga turut terlenyek. Mujur nampaknya masih punyai harapan untuk hidup.

Aku agak, dahan berat telah sebabkan mata kucing pecah. Apa lagi bila tongkatnya lemah. Tongkat dibawa rebah, bukan tongkat  membawa rebah.


Bila kerja pemangkasan selesai,  bahagiannya yang tinggal disokong dengan tongkat. Tongkat yang disambung kontrak! 

Adakah faedahnya kalau kita bergantung kepada tongkat kontrak?

Sekarang ini, bahagian-bahagian lain mata kucing tetap terancam.

Khususnya dahan-dahan yang segar-besar. Bila-bila saja boleh pecah. Kecuali pemangkasannya dilakukan berjadual.