Saja nak abadikan kenangan ini. Ramadan zaman sekolah rendah, tahun-tahun 50an. Nak cerita 3 perkara.
PERTAMA, pasal 'lampu suluh' pergi tarawih. Surau, di kampung satu lagi. Sehala, kira-kira 2 batu jauhnya. Jalannya semak. Bahagian jalan yang terang, muat-muat tayar basikal. Untuk ke surau aku selalu dibonceng abang atas basikal lamanya.
Cara terangi gelap malam? Torchlightlah. Yang ada pun 'toslit' kecil. Jenis dua ubat (bateri). Memang tak terang. Toslit pun satu barangan luxury. Mahalnya dia. Juga mahal dan susahnya nak dapatkan ubatnya.
Yang lebih terang dan sangat kerap digunakan ialah 'obor' daun kelapa kering. FOC! Ada bila-bila, asal mahu buat. Obor juga lebih praktikal.
Ada 2 cara gubah obor. Cara pertama, siat 40-50 helai daun kelapa kering dari pelepahnya. Susun macam kita menyusun lidi untuk sediakan sebatang penyapu. Ikat di tengah-tengah, atau di dua tempat. Jadilah obor sebesar betis. Cucuh sebelah hujungnya bila diperlukan..
Cara kedua, ambil sepertiga bahagian pelepah kelapa kering, sebelah pucuk. Cekak daun-daun yang menggerbang di kanan kiri pelepah dan ikatkan di sekeliling pelepah. Mula dari pangkalnya. Buat ikatan sama pada beberapa bahagian (sama seperti kita mengikat pangkal sapu lidi) sehingga ke hujung pelepah. Jadilah obor yang lebihkurang bulat bentuknya. Obor jenis ini lebih gemuk, panjang, dan lebih tahan lama.
Boleh ke gambarkan rupa obor berpelepah dari bahan di atas?
Tali pengikat untuk kedua-dua jenis obor? Daun kelapa kering itu sendiri! Atau tali batang pisang (mana ada tali plastik!). Supaya obor menyala lama, sebelah hujung yang dicucuh api mestilah menghala ke atas, dengan obor dipegang pada kecondongan lebihkurang 40 darjah. Kalau bahagian yang berapi lebih rendah kedudukannya dari pangkal obor yang dipegang, lajulah api memakan obor. Alamat kenalah meredah gelap malam tanpa obor untuk sampai ke rumah! Obor juga tak dipegang tegak. Itu menyebabkan apinya mati.
Kalaulah zaman tu mampu miliki toslit yang elit ni, alangkah seronoknya!
Masa tu tak terfikir pun pasal bagusnya guna bahan sedia ada yang mesra-alam!
Sesekali terfikir, ia memang mesra poket.
KEDUA, nak cerita pasal air batu untuk berbuka puasa. Ada kala dijual di surau. Memang akan muncul seorang dua tauke air batu instant di kampung masa bulan puasa. Lebih biasa air batu dijual kat kedai 'tepi jalan batu'. Dekat-dekat 4 batu jauhnya dari rumah.
Biasanya beli air batu sepuluh sen saja. Saiznya lebihkurang 6"x6"x6". Penjualnya beli air batu satu blok besar. Kemudian digergaji kecil-kecil. Rasanya itulah ice block yang para nelayan gunakan untuk menyimpan ikan! Ketulan air batu kecil dipupuk kelilingnya dengan habuk kayu (dari kilang papan) supaya ia lambat cair. Kemudian dibungkus dengan kertas surat khabar. Sampai rumah, pun dengan dayungan basikal paling pecut, biasanya adalah tinggal separuh ketulan si air batu tu! Pada tempat duduk belakang basikal, di mana ia diikat, penuhlah habuk kayu basah, selain kertas bungkusan kuyup yang mungkin telah koyak rabak!
Sebab memang di luar kemampuan, tak difikirkan langsunglah tentang peti ais zaman tu. Yang agak berada pun kurasa memang tak fikirkannya. Elektrik pun tak ada nak hidupkan peti ais.
Bila dah ada 'kilang' air batu sendiri, juga boleh seronok-seronok, bila-bila,
buat air batu yang shapenya boleh ikut suka hati, sendi-sendi pula
berbisik , 'Jangan banyak minum ais!'
KETIGA, hal buah tamar @ kurma. Zaman tu tak teringat pun nak fikirkan macam manalah rupa sebenar buah tamar. Yang aku ingat, tamar yang sampai di 'kedai tepi jalan batu' kampungku hampir-hampir serupa rupanya dengan asam jawa dalam paket! (Gambar asam yang dah keluar dari paket, di bawah). Jadi, yang ada tu sebenarnya tamar
paste! Bukan buah tamar. Memang tak kelihatanlah rupa tamar sebiji-sebiji!
Tamar yang rupanya macam di atas ada kalanya muncul dalam rumah sekarang ni,
dengan nama 'inti kuih makmur'. Itu pun bila 'yang sebelah' lagi tu datang
moodnya nak makan makmur buatan sendiri.
Di kedai Ah Keng, aku ingat, tamar tu terconggok bagaikan busut dalam 'bakul' yang agaknya anyaman daun pokok tamar. Ah Keng nampakkan sebelah atas busut tamar tu, macam pucuk busut anai-anai! Bila kita beli, dibungkuskan dengan kertas. Melekatlah si kertas pada si tamar, termasuk juga tulisan-tulisannya!
Zaman tu buah tin memanglah tak kukenali, walau dah mengaji 'wattini wazzaituni ..'.
Kalau masa tu ditunjukkan pula tamar berkotak cantik molek macam dalam
gambar tu, pastilah aku tak akan percaya itu tamar. Ah Keng pun takkan percaya.
Berpuluh-puluh tahun kemudian dari era 50an, wajah pokok dan buah tamar sebenar,
di atas bumi asli dan bumi kegemarannya, dapat kutatapi. Syukur. Rantaian buah
merahnya pun sempat kupegang dan cicipi. Dan dalam negeri sendiri pun,
buahnya yang cantik kering atau yang masak merah pun sudah
begitu mudah diperolehi. Jadi memang kutahu: tak perlulah dibawa balik pokoknya!
Ramadan tahun-tahun 50an, di kampung terpencil. Memang tak kurasakan apa-apa keperitan atau kekurangan hidup di dalamnya kala itu. Cuma, andainya pada hari ini aku di sana, mungkin juga akan kurasai aku ketiadaan sesuatu suatu ketika dulu.
Tapi mujurlah dan syukurlah, memang amat mujur dan syukur sekali, aku tak mungkin 'di sana' untuk berasa begitu. Kampung asalku itu telah pun mati.
KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT
KHUSUSNYA PARA RAKAN PEMBLOG YANG DIMULIAKAN
DIUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADAN 1431H
SELAMAT MENJALANI IBADAH BERPUASA
SEMOGA ALLAH MELIMPAHKAN RAHMAT DAN MEMBERI PENGAMPUNANNYA
SERTA MENJAUHKAN KITA DARIPADA SIKSAAN API NERAKA.