Friday, May 31, 2013

SAMBIL KENDURI DI PENAGA

Ahad, 26.5.13. Pak Temuk dengan isteri menghadiri kenduri perkahwinan 
2 orang cucu saudara di Penaga, Pulau Pinang  -  Tajul Rizal dan adiknya, Norhilal.

Tajul Rijal Hamim dengan pasangannya, Norsafarina. Semoga bahagia hingga ke akhir hayat.
Norhilal Hamim dengan pasangannya, Mohd. Hasbullah. Semoga kekal ikatan hingga ke akhir hayat.

Pasangan pengantin ceria mengadap hidangan. Eh, mana nasinya tak sampai-sampai ni?
 
Ayahanda (Hamim) dan bonda (Faridah, bertudung merah) kepada Tajul dan Norhilal.
Kompang jangan tak kompang! Bagusnya anak-anak muda Penaga ni. Merekalah pewaris kesenian bangsa.
***** *****
Malam 26hb. sempat berjumpa dengan seorang kawan lama, Zaki,
dengan isterinya Fauziah, di Alor Setar. Sambil makan sedap. Zaki dengan Pak Temuk 
pernah sama-sama belajar di Reading University, UK, pada tahun 1973-74.
Zaki berbaju biru. Beraksi untuk gambar selepas beraksi untuk perut, hihihi..
Fauziah (berbaju putih) dengan isteri Pak Temuk. Sama-sama bercerita kisah semasa di Reading dulu-dulu!

Zaki dengan isterinya Fauziah. Ganteng lagilah!


***** *****
Esoknya, 27hb. Pak Temuk pergi menziarahi pusara ibu mertua di Alor Merah.

Tanah perkuburan terletak di tepi masjid Alor Merah ini.
Kami juga menyempatkan diri menziarahi keluarga adik isteri Pak Temuk di Alor Setar.
Sudah bertahun kami tak ke situ. 

Isteri Pak Temuk dengan keluarga adiknya, Syed Makhzir, di Alor Setar.

Lepas itu kami ke Jitra pula. Menziarahi keluarga Bang Husin dan Kak Asmah.
Pak Temuk menumpang selama hampir 6 tahun (1960-65) di rumah arwah Sarjan Buang,
bapa Bang Husin. Masa itu dia bertugas di Teluk Intan, Perak. Pak Temuk
belajar di Anglo-Chinese School (ACS) di situ.

Bang Husin kelihatan sangat uzur setelah mengalami serangan angin ahmar kedua. Tapi berupaya juga mengangguk ketika Pak Temuk mengenalkan diri dan meminta maaf.

Pak Temuk dengan Wak Markamah (isteri arwah Sarjan Buang, ibu Bang Husin) yang rumahnya Pak Temuk tumpangi semasa bersekolah di Teluk Intan. Ingatannya sudah agak terjejas. Kata Kak Asmah, menantunya, umurnya sekarang sekitar 100 tahun.
Anak-anak Kak Asmah (baju hitam dan merah), Kak Asmah, dan isteri Pak Temuk.

Dari Jitra kami terus ke Perlis. Mahu ronda-ronda saja, walau ada juga hajat khusus, menonton Kuala Perlis. Juga cari laksa Perlis, tak kira di kedai mana, di kedai siapa!

Waktu, kira-kira jam 3.30 petang. Sejam lebih lagi baru dibuka gerai-gerai di pinggir laut Kuala Perlis ni. Tak mahu tunggu. Ambil gambar jadilah.

Di pekan Kuala Perlis terjumpa pula kedai laksa Kak Su ni. Ada sign board kedainya di tengah-tengah pekan. Mesti popular! Ramai orang keluar-masuk, duduk makan, juga bungkus-bawa balik.
Pak Temuk bukanlah peminat tegar laksa. Tapi Kak Su ni punya sedap pula rasanya. Kuahnya, smooth! Pekat-cair kuahnya, just perfect. Kata cashiernya, mereka gunakan ikan selayang. Laksa berasnya tak berbau beras, elok kenyal dan segar!

Hari semakin memetang. Kami balik ke Kedah semula. Destinasi khusus,
Kuala Muda. Tak sempat tengok sang matahari terbenam.  Tapi tetap seronok
dapat lihat pantainya, juga lihat para nelayan di situ menaikkan tangkapan mereka.

Matahari sudah mula tidur. Langit mula menghitam. Jadilah, ada juga gambar pantai Kuala Muda.


.
Nelayan di situ dipanggil nelayan pantai atau nelayan kecil. Kecil (tapi cantik) bot-bot mereka. Kecil kuantiti tangkapan mereka. Ikannya pun kecil-kecil. Kecil jugalah pulangan ekonominya.
Petang itu ada juga ikan besar bernilai besar sesat ke pukat nelayan kecil. Tapi solo ekor saja!

Pada sebelah malamnya, kami pergi mengintai-intai satu lokasi bersejarah di Jalan
Kuala Kedah. Namanya, Lorong Sepakat. Di situlah keluarga isteri Pak Temuk tinggal dulu.

Jalan Kuala Kedah sudah dibesarkan (dua laluan sehala). Bangunan di kanan
kirinya pun banyak. Juga tempat makan.

Lorong Sepakat yang pendek itu sudah dilebarkan. Ada papan namanya. Elok, siap dengan poskod. Sempat juga kami menyelusurinya lorong itu sekejap.

Dulu, inilah rumah arwah kakak ipar Pak Temuk. Dia dan suaminya sudah meninggal dunia. Di belakangnya, rumah arwah ibu dan bapa mertua Pak Temuk yang telah meninggal dunia sebelum Pak Temuk dan isteri bersatu.

Sebelum balik ke hotel, kami sempat mondar-mandir melihat pasar malam di pinggir Stadium.   
Semua jenis barangan yang kita pakai dari kepala, ke muka, sampai ke kaki ada belaka! Tapi nampaknya tak berapa ada pula kumpulan tukang membelinya.

Dah letih, kami makan ringan-ringan saja di gerai berhampiran stadium. Rasanya, hotel standard juga!
 Esoknya, 28hb., pagi-pagi lagi kami bertolak ke Pekan Rabu Alor Setar yang terkenal tu. Sasarannya, serunding daging, serunding ikan, dan beberapa jenis kuih kering.



Selesai membeli, sambil memandu keluar menuju ke tol untuk
pulang ke Bangi, Pak temuk sempatkan  juga diri mengambilgambar satu mercutanda
penting di bandar Alor Setar, menara solonya, Menara Alor Setar.


Entah berapa tingginya Menara Alor Setar ni. Kata orang kita boleh lunch di atas tu. Tak pasti pula ada lagi atau tidak pakej itu.

Kalau panjang umur, bolehlah nanti ke utara lagi. Atau ke mana-mana saja.

Masa itu, mudah-mudahan, boleh sambil-sambil kenduri kahwin orang lain pula!

*****  *****

(Pada pagi Khamis, 30.5.2013, Pak Temuk menerima berita sedih, Bang Husin yang
diziarahi di Jitra pada 27hb. telah meninggal dunia. Innalillahi wainna ilaihi rojiun.
Al-Fatihah buat arwah Bang Husin. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya).



Thursday, May 23, 2013

TETAMU PAGI

Ayu juga tuan rumah ini.  Asal-usulnya, Cameron Highland. Diturunkan 
kira-kira 2 tahun dulu. Jenis yang ini saja yang Pak Temuk dapat biakkan.


 Seronok juga menatapi 'putik bunganya'. Membulat, kemudian membintang-bintang.


 

Hatta memecah-mecah. Melapis-lapis. Bagaikan bola butang kebaya si dara manis.


 Pasti anggunlah dia pada kala ini. Buktinya, para semut mulalah berziarah.
 

 Tapi Pak Temuk lebih teruja dengan pengunjung yang bersayap molek ini.
Amat malu dia bila digambar. Terbang-hinggap-terbang-hinggap!


Sayangnya, bintang-bintang Hoya amat segera gugur. 

Sehingga aku kembang lagilah ya tetamu setia.
Atau mungkin dia-dia-dia, di pasu gayut yang lain.


Thursday, May 16, 2013

UZBEKISTAN DALAM KENANGAN - II

Ziarah Uzbekistan, 12-18.4.13.

Tambahan kepada entri lalu, beberapa gambar untuk kenang-kenangan,
diambil di persekitaran bandar Samarkhand dan Bukhara.

Makam Imam Al-Bukhary di Samarkhand. Sayu hati mengingati pengumpul-periwayat hadis yang amat masyhur dan berjasa ini.

Makam Imam Al-Bukhary dari sudut lain.


Persekitaran Makam Imam Al-Bukhary. Kelihatan ramai juga pelancong domestik. Kata pemandu pelancong, orang Uzbek pada masa ini baru saja mula hendak menghayati keagungan Islam dan kehebatan sejarah bangsa mereka sendiri.

Registan Square di Samarkhand - Kompleks ini mengandungi Madrasah Ulughbeg (kubahnya sedang diperbaiki); Masjid dan Madrasah Tillya-Kari (tengah); dan Madrasah Sher-Dor. 

Di mana-mana pun orang Uzbek tidak menghampakan permintaan bergambar bersama.

Hotel Registan Plaza di Samarkhand tempat kami menginap. Persekitarannya yang hijau sungguh menyejukkan mata.

Bazar Lama (Old Bazar) Samarkhand. Pelbagai barangan dan makanan dijual di pasar yang bersih dan tersusun rapi ini. Biasalah, pelancong kena pandai menurunkan harga!
Di Old Bazar, memang macam-macam ada. Termasuk roti yang bersusun-susun tu. Itulah makanan harian orang Uzbek. Kata pemandu pelancong, orang Uzbek makan nasi 2 kali sahaja dalam seminggu. Teringat di kampung dulu-dulu, kalau boleh "nasi mesti 3X sehari"!
Persekitaran Gur-Emir Mausoleum (perkuburan keluarga Amir Temur) di Samarkhand. Amir Temur (1336-1405) merupakan seorang negarawan yang amat disanjung di Uzbekistan.
Persekitaran Gur-Emir Mausoleum (perkuburan keluarga Amir Temur) dari sudut lain.

"Caravan Saray" - lokasi asal para pedagang berkumpul, berehat, memberi minum binatang. Terletak di Laluan Sutera yang memang sangat terkenal suatu ketika dahulu.

Berikut gambar-gambar di sekitar Bukhara.

Persekitaran kompleks makam ahli sufi terkenal, Bakhoudin Nakshbandi, di Bukhara.

Pelancong tempatan berdoa di makam Bakhoudin Nakshbandi.
Rasanya ini di persekitaran makam Bakhoudin Nakshbandi juga. 
Yang ganteng-ganteng tu  Prof. Emeritus Dato' Dr. Amir, Ustaz agen pelancongan, Haji pemilik agensi pelancongan, dan Temuk Samar-Samar Khan dengan topi merahnya. 


Karpet Bukhara, semua orang tahu kehebatannya. Yang dibuat dari $utera, $uteralah duitnya.
Di sebatang jalan di Bukhara  - efisien juga nampaknya "Carl Die Car" ini walaupun 
berkuasa hanya 1-kaldai power!

Antara gerai-gerai menjual cenderamata di Bukhara.

Mausoleum Ismoil Sumoniy. Kata pemandu pelancong, batu-batunya disimen dengan telur. Katanya juga, kalau rajin tunggu, dalam sehari bangunan ini akan bertukar warna -  7 warna, mengikut perubahan cahaya matahari, dari pagi ke senja. Katanya lagi, Jepun hendak membeli bangunan itu untuk dibawa balik ke Jepun. Jonggol punya Jepun!
Perigi Nabi Ayub.  Orang negara lain pun kata ada perigi begitu di tempat mereka. 
Semua orang menyapa + menyapukan air ke badan. Dalam hati, tak mahu sakitlah. 
Maaf ya, gambar terbaring, memang tak sudi dia ditegakkan!

Makan malam di satu tempat terbuka di Bukhara.Udaranya segar, makanannya pun segar.

Ada sedikit pertunjukan kebudayaan di restoran berdekatan. Tapi ahli rombongan sudah keletihan + kesejukan. Pulang awal ke hotel.

Sampai ketemu lagi, Grand Bukhoro Hotel! Manalah tahu, ada sumur di ladang, 
dapat pula menumpang mandi.
Dari Bukhara sebenarnya kami gostan ke Tashkent semula. Tidur di hotel yang
sama semasa tiba, City Palace Hotel, sebelum bertolak balik ke Malaysia
(gambar-gambar Tashkent dalam entri lepas).

Sampai jumpa lagi, Uzbekistan! Banyak lagi bandar-bandar bersejarahmu yang patut diziarahi  - Fergana, Nukus, Termez, Nurata, Shahrisabz, dan lain-lainnya.  

Tapi Temuk juga amat tahu, $angat tak ada dalam laci ni  
kertas-kertas yang bernama U$D, hihihi 
(di Uzbek cuma Soum dengan U$D saja yang laku). Alahai!

MAAF JIKA TERDAPAT MAKLUMAT YANG TIDAK TEPAT DALAM ENTRI INI