Kelapa biasa dijulang sebagai
"tree of life". Dari akar sampai ke pucuknya, pokok kelapa digunakan orang untuk tujuan yang berbagai-bagai. Orang menggunakan santan dari buah kelapa tua untuk macam-macam masakan, minum air kelapa muda, membuat penyapu dari lidi kelapa, menghasilkan kraftangan dari tempurung kelapa, memproduksi kusyen kereta dari sabut kelapa, menghasilkan perabut dari batang kelapa, dan macam-macam lagi. Sememangnya kelapa merupakan pokok kehidupan, tetapi itu tidak bererti pemiliknya boleh bergantung hidup kepadanya.
Nasib pekebun kelapa seperti di Malaysia hari ini, tidaklah sebaik yang disangka. Yang tinggal di bandar menjangka pekebun kelapa hidup senang kerana harga kelapa, termasuk yang muda, mahal. Benar, sebiji kelapa tua di KL atau PJ boleh mencecah RM1.60 sen atau lebih sebiji. Tapi, di Bagan Datoh, Perak, atau Sabak Bernam, Selangor (itu antara jelapang kelapa Malaysia!), sebagai contoh, harganya hanyalah lebihkurang 0.50 sen. Itu pun bagi buah gred A. Semasa harga kelapa sangat rendah, memang para pekebun membiarkan sahaja kelapa mereka gugur sendiri, berselerak dan bertunas di kebun. Jika diusahakan juga, akan berlakulah keadaan "duit upah lebih banyak dari duit hasil jualan kelapa"!
Pekebun kecil kelapa di Malaysia pernah melalui zaman muncah dalam tahun-tahun 70-80an. Harga kelapa tidaklah tinggi melambung, tetapi dianggap "patut" oleh orang kampung (berbanding dengan kos hidup), dan kerajaan pula menunjukkan komitmennya yang mendalam, membantu mereka dengan memberi subsidi dan khidmat nasihat melalui projek Penanaman Semula dan Pemulihan Kelapa. Semenjak projek dihentikan (1985), mulalah pekebun kecil kelapa hidup bagaikan terbiar.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini memang mula ada usaha tertentu pemerintah bagi membantu pekebun kecil kelapa, terutama melalui pengenalan jenis-jenis kelapa baru seperti kelapa matag, mawa dan pandan. Namun, kejayaan usaha itu tidak dapat dipastikan. Malah boleh dipersoalkan. Tidaklah diketahui ada atau tidak pemantauan sistematik kelangsungannya serta penilaian rapi akan prestasinya. Yang dikuatiri: atas kertas, ikut rekod, lihat statistik, telah dilakukan berbagai-bagai projek untuk pekebun kelapa; tetapi atas "bumi" pekebun kecil dan diri pekebun kecil sendiri, tiada apa-apa perubahan berlaku.
Yang boleh dilihat hari ini: sebahagian besar pekebun kecil masih miskin, memang ada yang berhijrah ke bandar-bandar (apa lagi generasi anak-anak muda), dan yang masih tinggal di kampung-kampung pula, termasuk pekebun warga emas, terpaksa memandai-mandai sendiri, mengolah kebun supaya ada hasil tambahan. Kata pekebun keturunan Jawa di Bagan Datoh, "keno polah dewekan" (kena cari jalan sendiri). Contohnya seperti melalui penanaman pisang, jagung, dan buah naga serta pemeliharaan lembu atau ternakan lain. Yang menarik mereka juga menanam kelapa sawit sebagai tanaman "selangan", bukan "selingan" (seperti selingan pisang atau koko), sekalipun syarat kegunaan tanah ialah "monokultur", semata-mata untuk kelapa. Ini semua petanda mereka "polah", tak berhenti-henti mencari jalan sendiri untuk menyambung hidup. Walhal, pekebun kecil kelapa sawit atau getah, seperti di Felda, kerap mereka dengar menerima pelbagai bentuk bantuan dan insentif.
"Dipinggirkankah kami? Dilupakankah kami? Mana rancangan yang lebih tersusun dan bermakna untuk kami?". Seolah-olah itulah yang acapkali mereka tanyakan, kepada entah pun siapa!
Harga 0.50 sen sebiji kelapa sekarang ini, kata orang kampung, boleh tahanlah! Tetapi kos hidup terus melambung. Harga yang ada itu pun bukan tentu boleh dipertahankan. Nak naik, kata mereka, amat susah.
Hasil di kebun pun bukan memuaskan kerana pokok-pokok kelapa yang ada telahpun tua dan penjagaan kebun yang umumnya tidak efisien. Musuh kebun kelapa juga wujud di sini sana: kumbang meratah pucuk kelapa sehingga seluruh pokok punah; monyet memulas dan menjatuhkan buah yang belum sempat tua; serta khinzir liar yang besar populasinya tidak jemu-jemu merosakkan tanaman baru kelapa atau apa juga tanaman selingan yang pekebun usahakan. Malah ada pula pekebun di kawasan tertentu yang "kehilangan" kebun tempat mereka bersandar hidup. Kes spesifik ialah pekebun di kawasan Rungkup, Perak, yang kebun mereka ranap ditenggelami air laut lebihkurang 10 tahun dahulu. Ini bererti berkuranganlah punca pendapatan mereka, atau bagi sesetengah mereka, telah tiada lagi punca rezki yang mantap untuk bergantung hidup.
Dalam tahun 2007-2008, banyak berita dihebahkan, menyatakan industri kelapa kita akan dipertingkatkan. Sekaligus, para pekebun kecil kelapa akan menerima manfaatnya. Memang dalam waktu kebelakangan ini cerita pembangunan berkaitan kelapa banyak tersebar: kisah minyak kelapa dara, cerita barangan komestik berasaskan kelapa, perihal industri makanan yang melibatkan kelapa, dan ceritera pelbagai produk hiliran bertapakkan kelapa serta sekujur tubuh batangnya! Malah juga ada berita serta perlaksanaan projek "homestay" di perkebunan kelapa, dengan hasrat menjadikan kawasan desa satu tumpuan pelancongan! Kesan merata kesemua ini ke atas para pekebun kelapa, kata orang, "is yet to be seen".
Sementara itu, memadailah kita mengingati (kalau pernah ternampak, merasai atau terbaca), lambaian mesra dedaun kelapa dan sejuk enaknya air kelapa muda. Kelapa oh kelapa.... memang engkau pohon kehidupan. Tetapi, akan terjadikah nanti, engkau tinggal hanya sebagai pohon hiasan?