Monday, May 30, 2011

KALAU ASAL BENIH YANG BAIK..........

Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.

Benih baik begitu pastilah benih yang hebat. Tapi agaknya, ada juga kalanya, benih yang baik pun tak menjadi pulau. Walaupun jatuh ke darat. Apatah lagi kalau jatuh ke laut!

Barangkali itulah nasib benih gooseberryku ini. Taklah aku mahu mengatakan ia telah kujatuhkan ke darat. Walaupun pada zahirnya memang 'darat'. Tapi pastilah si darat itu tidak sesuai dengannya.



Maka gooseberry Colombia itu  (yang asalnya kubeli  di sebuah pasaraya di Subang Jaya pada Disember 2010), walaupun cambahan benihnya kelihatan sihat segar, tetapi bila ditanam di pasu, apatah lagi yang 'melata' di tanah terbuka, tidaklah menghasilkan buah yang kumimpikan.



Yang kutanam di pasu agak banyak juga buahnya. Hijau ayu. Tapi kenit-kenit!



 



Walaupun kenit-kenit, ramai juga peminatnya yang tak diundang menyinggahinya. Lalu tak ketemulah aku dengan buah ranumnya. Kena berpuashatilah dengan hanya menyaksikan cangkerang-cangkerang yang terobek!

 
  

Mimpiku dan yang sepatutnya terhasil: longgokan berries yang enak, juga come' lote', seperti di bawah. Ayu kuning-oren. Juga jauh lebih besar, berbanding dengan letup-letup, gooseberry tempatan kita yang kuning-hijau itu.  Tapi, apakan daya. 'Darat'nya bermasalah.

 

'Darat' yang bermasalah dan tidak sesuai itu pastilah mempamerkan dengan amat jelas kelemahanku. Yang sebenarnya berbagai-bagai. Malah juga kedegilanku, memaksa si pendatang menyesuaikan diri!

Friday, May 27, 2011

TOLONG..... TOLONG KABARKAN.

Anak benih Buluh Kuning ini (alahai, siapalah nama sebenarnya?), masa kubeli, memang kecil saiznya. Sebesar-besar ibu jari saja. Rupa-rupanya, anak cucunya yang menjengul ke permukaan bumi bersaiz besar. Malah merendang pula.


Rimbunan si Kuning memang cantik dan menyejukkan persekitaran. Tapi, aduh, aduh,  daun-daun keringnya tak sempat kering keringat!

Maka kutebanglah beberapa batang si Kuning. Dan kutolak perlahan-lahan anak cucunya yang menjengul dari tanah. Agar tak menua. Agar rimbun terkekang, daun mengurang.



Jadi terbujurlah para rebung di sana sini. Putih mulih tubuh masing-masing.

Dan terlintaslah dalam hati, mungkin boleh kumasukkan rebung-rebung ini dalam belanga, tenggelamkannya dalam santan pekat, beserta rempah ratus yang sewajarnya.







Tapi, hati juga pantas berkata, 'Nanti dulu! Nanti! Tanya yang arif! Jangan sampai si pemakan  turut  terbujur!'

Maka, aduhai para pembaca budiman, tolong..... tolong kabarkan, adakah semua jenis buluh boleh disantap rebungnya?



Dan cendawan (cendawankah itu?) yang di pangkal tunggul si Kuning juga bagaikan enak untuk dijadikan 'soup of the day'......

Tapi taklah terlintas dalam hati untuk mengaitkannya dengan rempah ratus, belanga, atau santapan .