Rasanya pernah kubaca ... somewhere ... kisah Sultan Melaka mahu meminang Puteri Gunung Ledang. Rasa-rasa macam dalam Hikayat Hang Tuah, versi Kasim Ahmad. Sudah lupa. Itu, lebih dari 40 tahun dahulu ... I was in Form Six, then. Atau mungkin pernah membacanya dari sumber lain?
Tak apalah. Cerita itu dapat kuingati dan hayati semula semasa menonton teater Puteri Gunung Ledang The Musical, Season III (PGLM III), di Istana Budaya Kuala Lumpur (KL) pada bulan Februari lalu. Sekalipun pementasan itu bukannya menumpu kepada kisah peminangan.
PGL dan peminatnya
PGLM III adalah sebuah kisah cinta. Kisah ikatan kasih antara puteri Majapahit, Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah, dengan pahlawan terbilang Melaka, Hang Tuah. Cinta itu putus di tengah jalan.
Tiara (PGL) & Stephen Rahman Hughes (Hang Tuah)
PGLM III menyematkan bukan sahaja tentang keindahan cinta, tetapi lebih menonjolkan erti cinta suci, dan makna pengorbanan demi cinta, yang ada pada hati seorang wanita. Ia juga mempamerkan keutuhan taat setia seorang pahlawan kepada ketuanya sekalipun dalam situasi yang mencanggahi kepentingan peribadi.
Pada penghujung Februari lalu, siri pementasan PLGM III telah melabuhkan tirainya. Kesemuanya, sebanyak 70 kali PGLM dipentaskan, semenjak musim pertamanya. Pementasan itu telah mendapat publisiti yang sungguh meluas, memperolehi sanjungan dan pujian yang tinggi, serta respon yang menakjubkan.
Yang hadir terdiri daripada pelbagai peringkat umur, malah pelbagai kaum. Dan bukan sahaja dari Wilayah Persekutuan atau Selangor. Tiara Jacquelina (yang memikul watak terpenting, Gusti Puteri Retno Dumilah/PGL, dan yang juga bertindak selaku Penerbit Eksekutif PGLM) menyebut seramai lebihkurang 100,000 orang penonton telah berkunjung ke Istana Budaya KL, bagi menyokong dan meraikan pementasan PGLMnya, dari musim pertama hingga ketiga.
Tiara Jacquelina pendukung watak PGL mengharap PGLM terus dihidupkan 20, 30, 50 tahun mendatang, dengan interpretasi dan tenaga lebih baru.
Tiara telah mengumumkan pengundurannya dari memegang watak PGL selepas Musim III. Hasratnya ialah bagi memberi peluang kepada yang lain. Ini adalah satu semangat pendukung dan pencinta seni yang tersanjung.
Tiara menyatakan rasa sedihnya meninggalkan Gusti Puteri Retno Dumilah yang telah menjadi sebahagian dari dirinya semenjak 6 tahun yang lalu. Meninggalkan 170 rakan sekerja yang sama susah senang mendukung PGLM, juga tentulah satu detik yang memilukan. Kita boleh turut merasakan sebak dadanya. Satu pengajaran penting dari Tiara dalam mengemudi PGLM III -- tenaga dan semangat setiakawan serta kesepaduan amat kritikal. Kejayaan projek teaternya, kata Tiara, bersendikan itu!
Rol penonton juga penting. Tiara mengakui PGLM IIInya lebih berjaya kerana penontonnya lebih "hidup" dan murah hati dengan penghargaan. Itu menjadikan para pelakon di pentas menjadi lebih bertenaga, dan membalas dengan meningkatkan lagi kualiti persembahan mereka.
Gemuruh tepukan dan teriakan penonton semasa PGLM III melabuhkan tirainya masih terngiang-ngiang dikupingku. Itu sudah cukup bagi menjanjikan teater di Malaysia ada hari mukanya.
Lambaian apresiasi kepada yang memberi apresiasi
Selepas the grand show, apa lagi yang lebih menenangkan fikiran, selain dari relax-relax, menikmati makanan yang ada di jual di gerai-gerai di pinggir Istana Budaya! Namun, sambil
relax itu, kucuba juga merenung, apa tentang kehidupan yang mahu ditonjolkan oleh PGLM III. Adakah kehidupan itu cinta? Maka tanpanya manusia itu mati? Apakah kehidupan itu pengorbanan? Maka tanpanya manusia ini tiada nilainya? Apakah kehidupan itu paksinya kesetiaaan? Tanpanya manusia boleh jadi kebingungan dan menderita? Atau adakah kehidupan itu setiakawan dan kesepaduan (seperti yang ditonjolkan oleh warga pementasan PGLM III sendiri)? Maka tanpanya manusia hanya mampu mewujudkan kemorat-maritan?
(Penghargaan: Beberapa gambar dalam paparan ini telah diambil daripada Buku Cenderamata PGLM III, dan maklumat berkaitan, daripada akhbar-akhbar harian. Terima kasih!)