Tuesday, October 29, 2013

TERUNG LUAR BIASA PAK TEMUK

Terung Pak Temuk ini luar biasa!
 
Luar biasa. Dalam pun biasa! Boleh percaya, kan?

Panen pertama, hasilnya ada yang merep saudara kembar. Ada yang berupa sebilah kerambit.
 
Tapi, sebelum dimasukkan ke medan tumisan, kembar atau kerambit, memang amat boleh, dilawakan potongan badan masing-masing.

Teringat masa membaca di internet, petua elokkan buah tomato + banyakkan hasilnya. Kena buang banyak tunas dengan dahannya yang melambak di sepanjang batang utama.

Pak Temuk pun cubalah untuk pokok-pokok terung luar biasa  (dalam pun biasa) Pak Temuk itu. Para pokok kelihatan lebih kemas.
 

Untuk panen ke 3 nanti, pokok-pokok yang berwajah lebih kelimis, nampaknya mempamerkan buah yang lebih baik saiznya.  Walaupun kuantitinya, lebihkurang sama. 

InsyaAllah, adalah juga kesan aplikasi petua tomato untuk terung pasu Pak Temuk itu.

Mati terung tidak diurus,
Tapai didedah dilaci barang;
Hati serong kehendak tak lurus,
Sampai kesudah dibenci orang!

SAUDAGAR PETUNIA

Berdasarkan pengalaman menggantung + membela delapan pasu petunia, macam ini..........
 
 
 

Campur sedikit kerajinan mengintai, mengumpul, dan kemudian
menyemai benih-benihnya yang macam ini..........

 
 
Barangkali Temuk sudah berada pada anak
tangga pertama untuk menjadi saudagar petunia.

Mungkinlah anak tangga pertama dalam
tangga 1000 anak. Yang namanya, tangga angan-angan.

Friday, October 25, 2013

MOTOR SHOW : YANG TAK JADI dan JADI DIBELI


Macam-macam kereta, juga motorsikal, dipamerkan
dalam Motor Show 2013 di MATRADE, KL, baru-baru ini.


Pak Temuk pergi pada hari penghabisan, 6.10.13.
Bawa sejumlah wang yang sewajarnya**
Hati berkata, last day, kereta dengan motorsikal mungkin dijual dengan dobel diskon!

Banyak kereta yang dibelek-belek, satu persatu.
Termasuklah yang gambar-gambarnya diterakan di bawah. 

Tapi, satu pun tak jadi dibeli. Eh, mengapa terjadi tak jadi?

Sebab senyum manisnya asyik melebar. Nanti ada pula yang jeles.
Hebat, tapi takut pula pada nama dia. Ranggi?
Yang ini memang superb, tapi rendah pula bumbungnya. Jatuh pula kopiah bila nak masuk.
OK sangat dah yang ni. Tapi tak gemar pula pada double alis dia.
Hebat, tapi mana boleh muat garaj seconet di rumah nanti?
Yang ni jenis senyum manis melebar juga.
Ayu! Tapi tentu lebih ayu kalau dipandu wanita, kan?
Dah nak sangat. Tapi bila nak bayar deposit, tak ada pula jurujualnya, kihkih!
Motorsikal-motorsikalnya pula....... serupa saja ceritanya,
belek-belek sana sini, tapi tak ada satu pun yang jadi dibeli. Ngapo Jang?
Kata dia, yang jempolan, si kopiah merah!
Suka sangat. Tapi satu kebuk, macam mana nak bawa room-mate ronda-ronda?
Yang ini..... kalaulah kuningnya lagi tua!
Room-mate dah tahu kehebatannya. Kalau beli,  mesti dia nak selalu pinjam.
  Cakap pasal motorsikal, yang kat bawah ini pun, dah
bertahun-tahun duduk bertapa. Jarang sangat distart. Apa lagi dibawa makan angin.
Cukai jalannya pun dah berpuluh tahun tak dihidupkan.
Diwarisi dari arwah adik, pada tahun 1983.

Tak jadi beli kereta, tak jadi beli motorsikal, baiklah cepat-cepat
keluar dari dewan pameran. Tengok kenderaan antik di sebelah luar.

Sangat teruja hati isteri Pak Temuk melihat kereta di bawah ini.
Dia terkenangkan arwah ayahandanya. Pernah memiliki kereta seperti
itu, semasa menjadi Pegawai Daerah di Kubang Pasu dalam tahun-tahun 50an.



Yang kat bawah ini mengingatkan Pak Temuk sendiri jenis
yang pernah digunakan semasa belajar di Ithaca, NY. 1979-82.

Tapi, versi yang ini nyata lagi antik, lagi menarik!

Kalian ada yang pernah naik yang berwarna cerah tu?
Belajar memandu tahun 1971 dulu pakai kereta jenis inilah. Ada tingkap 3 segi, depan belakang.
Ada yang kenal dan suka kereta London Taxi di atas?

Gagah tak? Bukan orang-orangnya!
Tak selalu ada peluang begini, kan?
Tengok motorsikal antik pulalah, ya. Ada yang
kenal motor "cap" apa yang mengapit Pak Temuk?



Eh...... jadinya, hari itu jadi beli apa? 

Yang di atas meja itulah, apa lagi.

**Jumlah wang sewajarnya yang dibawa pada hari itu,
sebenarnya dan sememangnya, lebih sesuai amaunnya digunakan
untuk meredakan si perut. Yang bunyi tuntutannya melebihi kenyaringan
enjin para kereta dan motor cantik.


Jumlah yang sewajarnya, jauh beratus-ratus tahun
dari cukup, untuk melangsaikan apa yang
mata seronok lihat + apa yang hati teruja nak bawa balik! Kesian!

Thursday, October 17, 2013

YANG TIGA RASA..... YANG BELUM DIRASA

Musim ini, Belalai Gajah Pak Temuk boleh dikatakan 
menghasilkan lebih banyak  "buah tiga rasa". Rasa kuning + hijau-kuning + cokelat!
Rasa bukan ikut kata lidah, rasa ikut pandangan mata.

 
 Selain itu banyak juga hasil "buah delima merekah" si Belalai Gajah.
Juga "buah retak seribu", yang masing-masing dengan aksi tersendiri di bawah ini.

 
  Bila nampak yang di bawah ini pula, sudah agak tua, terselit di celah-celah 
daun dan ranting, segeralah Pak Temuk menurunkannya. Bimbang masing-masing 
juga jadi tiga rasa,  atau tersenyum, atau meretak, terjun ke tanah tanpa manfaat.
 
  Ada tujuh biji semuanya. Paling besar 1039 gm. 
 
  Paling kecil 650 gm.

  Berat ketujuh-tujuhnya 5732 gm (+- 5.7 kg). 
Jadi, hitung panjang, berat sebiji, 818.9 gm. 

 Kesemuanya itu belum dirasa. Sudah ada calon-calon bakal menerimanya.
Semua perlu diberi amaran, supaya hati tidak terasa, 
kalau di dalamnya ada makhluk asing, lama bertapa. Walau di luarnya, tak kelihatan apa-apa.

Wednesday, October 9, 2013

CERITA ZIARAH PAGI YANG SEKEJAP

Semenjak Muz "dijumpai" lebihkurang 5 tahun dulu, ada 3 kali rasanya Temuk 
bertemu dengan dia. Sekali masa afternoon tea di rumah kawan, Pak Mail, di Bukit Jelutong. Dua kali lagi berjumpa masa kenduri kahwin anak kawan juga.

Pak Mail, Muz dengan Temuk dulu sama-sama sekolah di Anglo Chinese School (ACS) 
Teluk Anson, sekarang bernama Teluk Intan. Dari Remove Class sampai Form 3 (1960-1963).   Temuk dengan Pak Mail sampai ke Form 5 (1965) di ACS tu.

Memang dah lama berhajat nak ziarahi Muz. Di tempat kerjanya, sebab 
tak mahu ganggu keluarganya. Juga, kena sekejap saja. Tak mahu ganggu kerjanya. 

Juga penting, kena ziarah tanpa notis! Satu lagi, kena pergi 
pagi. Sebab Muz kerja pagi. Sampai jam 11 saja. Begitulah Temuk difahamkan.

Lepas subuh  8.10.13 kelmarin, Temuk terus ke mesjid negeri di Shah Alam. 
Alhamdulillah, trafik tak macet sangat. Jam 7.35 sudah tiba di masjid gagah-indah ni.

Mesjid Negeri Selangor di Shah Alam
 

Kira-kira jam 8.15 Pak Mail sampai di masjid. Dengan supirnya yang memang 
pandai cari jalan, tanpa guna GPS (Temuk kata, yang guna GPS = Geng Pemandu Sesat!). 

Perjalanan ke Kg. Jawa, Kelang, tempat Muz bekerja memakan masa 
kira-kira setengah jam. Masa tu jalan sesak. 

Kami tiba di gerai tempat Muz bekerja kira-kira jam 8.45 pagi.Macam-macam makanan, 
panas-panas, ada di situ. Pelan kami, "order" dan makan dulu. Usah kacau Muz. 

Masa tiba memang kami nampak dia dari jauh, di seksyennya tersendiri yang terlindung sikit. 

Pelannya juga, lepas makan, baru jumpa Muz. Tak mahu jumpa awal sebab 
tak mahu ganggu dia kerja. Juga, kami tak mahulah (bukannya tak sudi!) 
dia bayar apa yang kami order. Kata rakan-rakan yang pernah ke situ dulu, memang 
dia yang hendak sangat membayar. Tak acilah rasanya.


Pak Mail dengan bihun dan telur (baru) gorengnya! Supir (baju biru) dengan Temuk, order roti canai (panas)!

Rupa-rupanya bila Muz keluar dari seksyen dia bekerja, dia nampak kami!


Guguplah dia minta maaf pasal tak nampak. Bukan salah dia. Salah kamilah yang 
sengaja tak jumpa dia dulu, walau bersebab. Nampak tak seronok dia bila 
kami kata saja nak intai dia sekejap + kata kami sudah beres soru .... + sudah bayar! 

Dia bersungguh-sungguh suruh kami order makanan lain pula. "Mana boleh, 
mana boleh....... aku belanja.... aku belanja," kata dia. Memang jelas ikhlasnya!

Hihi, mana boleh, Muz. Perut masing-masing sudah sendat!

"Paling kurang, tambah minum. Tambah.... tambah. Ini aku belanja,"  desaknya.

Kemudian dia cepat-cepat ke dalam. Buatkan Temuk dengan Pak Mail nescafe. Dia 
dah tahu apa kami minum tadi bila tengok bekas-bekas pada gelas kosong kami! 
Kerja "buat air" memang kepakaran Muz, atau Atuk, nama glamour dia di Kg. Jawa.


Pak Mail dengan Temuk kena "double dosage" nescafelah 
pagi tu. Supir mengaku kalah bila dipelawa minuman tambahan.

Jadilah, dapat bersembang sekejap. Lepaskan hajat nak ziarahi dia. Penuhi niat 
nak singgahi tempat kerjanya. Nak lepaskan rindu pada kawan lama, yang sangat sedikit 
bilangan orangnya yang "dijumpai" di sana sini pada penghujung hayat ini!

Alahai, ini sekeping saja gambar yang ada Temuk. Sudah jadi hampir halimunan, dek pancaran matahari yang sudah memulakan tugas hariannya.

Temuk amat setuju dengan apa yang Pak Mail katakan semasa perjalanan balik 
ke masjid negeri untuk ke kereta Temuk.  Dia kata, antara perkara yang beri keceriaan 
hati  kita pada tahap umur begini,  sementara Allah beri kemampuan = "jalan-jalan makan angin"
+ "jumpa-jumpa kawan lama".  InsyaAllah ada manfaatnya.