Thursday, April 21, 2011

ULITAN SI DIA





Dulu-dulu, dalam tahun-tahun lima puluhan, semasa
tinggal di kampung, banyak 
terdapat si pohon di bawah ni. Tumbuh sukarela dan sesuka 
hati di merata kebun. Ramai yang mengenalinya, kan?
 
Betul, dialah si pokok kekabu. Atau kapuk. Atau, ada juga
yang memanggilnya 
pokok randu. Yang gambarnya di bawah ini tumbuh
subur di pinggir sebuah jalan berdekatan 
dengan sekolah menengah tertua di Bandar Baru Bangi, Selangor. 











 




Cantik juga 'bola-bola' kekabu di celah-celah dahannya.
'Kapas' putih ini kukuh melekap sekalipun kulitnya telah memecah.
Tidak mudah ia diterbangkan atau digugurkan angin.

Kekabu yang terdampar ke bumi tetap 
masih memperlihatkan 
kekuatannya. Sekalipun
ada bijibenih yang disalutinya telah tumbuh, 
ia  sendiri  tetap tersepadu dengan cangkerangnya,     
tiada terkesan oleh bahana persekitarannya.



Si kekabu, pernah berpuluh-puluh tahun dahulu, menjadi pengisi
setia karung bantal dan 
tilamku. Empuknya memang unik. Gerai
di Jalan Reko (Kajang-Bangi)
ini mengingatkan 
aku bahawa bantal dan tilam sedemikian telah lama tak kurasai ulitannya.


Kekabu memutih tumbuh di hutan
Rindu kasih dimamah zaman






Sunday, April 3, 2011

CUCU CICITNYA DATANG MENZIARAHIKU

Pada suatu zaman dulu, datuk, nenek dan moyang mereka ada bersamaku di kampung.

Entah dengan siapa, entah macam mana, dan entah bila, mereka datang menziarahiku baru-baru ini.







Dulu, famili mereka ini kupanggil Timun Tikus (TT). Maknanya, timun untuk tikus, sebab saiznya yang kecil. Tapi, aku dan geng cilik masa itu turut menjadi tikus.

Bila TT berada di pekarangan rumah sekarang ini, di perdaerahan bandar ini, bererti aku diminta mengingati akarku........ dan daerah asalku, perkampungan kecil yang terpencil.

Friday, April 1, 2011

PELABURAN YANG TERKEKANG

Gagah pemenggal si buah betik
Bersepai buahnya atas tempayan
Tanah sejengkal ilmu setitik
Takkan hasilnya berkoyan-koyan.



Namun, nak buat macam mana. Itulah pertanian bandar.
Apatah lagi di kalangan 'petani' yang sepertiku, berguru kepalang ajar.

Tak mengapalah. Sekarang, bila melihat gambar
di bawah, kalian mungkin ingin pasang niat.... 'Sahaja aku
berseronok-seronok, maka aku menekalah bahawa yang
di bawah ini adalah beri-beri ...........'.


                                 Dalam hati..... Pastilah ini bukannya....
                                    blackcurrant atau blue berries.