Friday, August 26, 2011

KEPADA SEMUA RAKAN BUDIMAN

SEMOGA BERGEMBIRA BERHARI RAYA BERSAMA KELUARGA,
SAUDARA MARA DAN SAHABAT HANDAI
BERHATI-HATI DI JALAN RAYA


Saturday, August 20, 2011

PEKEK YANG TIDAK MEMEKIK



Apabila melihat gambar-gambar kebun kurma di bawah ini, peliknya, aku jadi cepat teringat kepada kumpulan PEKEK (pekebun kecil kelapa) kita.

 
Gambar-gambar kebun kurma di Arab Saudi di atas kurakamkan
semasa umrah 23 Apr - 3Mei, 2011 yang lalu


Sepatutnya terus terbayanglah di kepalaku kumpulan PEKES (pekebun kelapa sawit). Sebab pokok-pokok yang diperagakan itu kan lebih merep pokok kelapa sawit!

Sekali imbas, memang kelihatan serupa wajah pokok
kelapa sawit di atas ini dengan pokok kurma

Tapi para PEKES kan jauh 'okey'nya. Juga pembelaan terhadap nasib mereka. Khususnya, tengok sajalah para PEKES di perkampungan-perkampungan FELDA. Pasal tu aku tak cepat teringat pada mereka. Kes cemburu, ya? Pastinya bukan. Kes terkenang-kenang saja.

Kalaulah para PEKEK ada "Felda Kelapa' mereka sendiri, kan bagus. Alahai..... kelapa bukan buah komersil. Tak bolehlah diFeldakan.




















Juga, kalaulah setiap kali dekat raya para PEKEK kita dapat duit raya tentulah mereka berasa ump!

Tapi, jadilah. Sekurang-kurangnya setiap kali nak raya (termasuk semasa bulan puasa) adalah juga orang besar-besar bercerita tentang kelapa. Walaupun bukan menumpu kepada nasib pekebunnya.

Cerita-cerita macam di bawah inilah, contohnya.(maaf, gambar tahun lepas rasanya ni). Naik jugalah nama dan mertabat kelapa, kan? Mana ada orang kisahkan betik, rambutan, atau manggis dalam surat khabar masa nak raya. Betul tak?



Cuma elok juga kita segan silu sikit pada pokok dan buah kelapa tu. Dipentingkan kegunaanya, tapi tak berapa dikisahkan pula hal penghasilannya.

Mengikut pengamatanku, mulai tahun 1963, nasib para PEKEK dan keadaan kebun mereka yang 'pukang-lintang' pernah diangkat tinggi. Cuba lihat di bawah ni, kutayangkan 'gambo hitam-putih' kebun kelapa di kampung asalku dulu-dulu.




Bila kerajaan kenalkan Rancangan Pemulihan dan Penanaman Semula Kelapa (dipanggil 'Rancangan' oleh orang kampung), wow....., jadi cantik-molek betul wajah tanah para PEKEK. Cukup dengan tanaman selingan pula, mula-mula pisang, kemudian koko. Suka betul aku tengok parit-parit yang para 'pencangkul mahir' korek untuk pastikan sistem perparitan dan saliran air di kebun jadi lebih efisien.





Bila masuk Rancangan, taklah semua pokok ditebang. Yang agak-agak o.k. disimpanlah. Kot tak gitu, tak 'berbuah'lah para PEKEK. Alahai, kalau dah 'tak ada buah', nak makan apa?  Tengoklah cerita Rancangan tu sikit lagi dalam bentuk gambar simpananku di bawah ini.




Rancangan' yang memertabatkan kebun kelapa beroperasi secara rasminya antara 1963 - 1985.

Selang beberapa tahun selepas Rancangan diberhentikan, keadaan ekonomi para PEKEK mulalah jadi macam 'sabut dalam air'. Timbul-tenggelam-tenggelam.... Semasa era merudumnya dulu, sebiji kelapa di kebun bernilai 2-3 sen saja. Masa itu memanglah lebih untung kalau biarkan kebun semak, biarkan buah jatuh bercambah di tanah.


Pekebun kurma ni pun macam ada projek pemulihan kebun.
Tak sempat pula amati kisah ceritanya macam mana.

Ikut pengamatanku, bila para PEKEK 'sendiri rasa' kelapa bukan lagi hasil mashul yang punyai status 'komoditi prioriti tinggi' (mereka tak gunalah istilah ni!), mereka pun memandai-mandaikan dirilah, mengambil tindakan yang mereka fikirkan baik untuk hidup.

Gambar di bawah ini (gambar up-to-date ni!) menunjukkan wajah kebun PEKEK yang positif sikapnya, penuh dedikasi dan komitmen terhadap tanah-tanihnya. Kebun disarati dengan tanaman selingan. Jadi lebihlah pulangannya.




Terutama bagi yang kebunnya cantik, bila sebiji kelapa gred A boleh dijual dengan harga antara 50 - 70 sen sebiji macam sekarang, nampaklah juga makna 'hidup berkelapa'. Sekalipun dari pendapatan yang diperolehi itu kenalah juga dihitung upah menurunkan dan mengupas kelapa, dan kos-kos lain yang berkaitan, termasuk kos membersihkan kebun dan pengangkutan.

Yang kebunnya macam di bawah ni, mungkin pemiliknya sudah tiada. Atau semua anggota familinya telah pun memigrasikan diri ke mana-mana. Mungkin juga ada sebab-sebab lain yang takkan kita ketahui tanpa, bak kata orang-orang universiti, kajian sistematik!





PEKEK berinisiatif tinggi, yang cerdik melihat keadaan ekonomi sekeliling, pandai-pandai mereka 'mengubah' syarat penggunaan tanah. Macam kata pekebun-pekebun keturunan Jawa di Bagan Datoh (Perak), mereka 'polah dewekan'. Maksudnya,  'mengemudi hidup sendiri tanpa sokongan orang lain', termasuk pihak gomen!.

Penghujung kepada 'pandai-pandai mengemudi hidup sendiri', ada di kalangan PEKEK yang menjadikan diri mereka PEKEKES (pekebun kecil kelapa + kelapa sawit)! Mereka menanam kelapa sawit di celah-celah pokok kelapa. Good-bye mono-cropping..... Terwujudlah kebun dwi-tanaman utama, satu inovasi (?) yang pakar pertanian tanggap sebagai 'mempadatkan kebun, menguruskan hasil'.

Ada juga PEKEK yang mentransformasikan diri mereka, sepenuhnya menjadi PEKES. Jadi macam warga Felda sikitlah, walaupun tanpa intervensi atau sokongan sesiapa, dalam mereka merubah amalan perkebunan mereka. Dan dengan harga kelapa sawit yang agak baik masa ini, berlakulah sedikit enjakan dalam kualiti hidup.



 
Hasil 'polah dewek' sememangnya menakjubkan!
Pun begitu, para PEKEK dan orang seperti aku, tetap terus tertanya-tanya. Dulu kita 'boleh tahan' dari segi penghasilan kelapa. Lain ceritanya hari ini.

Tapi, keperluan kelapa negara tetap meningkat. Malah telah pun dikisahkan merata-rata, industri berasaskan kelapa akan berkembang di negara ini. Yakah? Kalau tak bercakap pasal industri-berasas-kelapa pun, kan kelapa tetap diperlukan sebagai bahan makanan harian? Dan kuantiti pengeluaran tempatan terus merusut.

Nampaknya langkah-langkah jangka panjang mengatasi masalah ini, yang melibatkan para PEKEK sendiri, belum nampak jelas.Upaya memenuhi keperluan masih punyai kekangan besar.




Cerita lama yang 'digambarkan' dalam gambar lama di bawah (lama tak lamalah) ini sememangnya boleh memberi harapan. 





Tapi, ada macam dan ada rasa 'gambar tinggal gambar' sajalah nampaknya hingga kini. Lagi pun, kita macam tak risau. Sebab kita boleh terus membeli dari jiran-jiran. Tak musim puasa atau raya pun, sebenarnya kita sememangnya mengimportnya juga. Masalah sikap siapalah agaknya ni, ya?

Tapi aku tahu, para PEKEK tidak akan mempentaskan isu 'sebenarnya aku nak menanam apa sekarang', menjadi sendiwara jalanan. Telahanku, dalam keadaan apa pun, walaupun berterusan semak hati dan fikiran seperti juga semaknya kebun mereka, para PEKEK akan hanya menunggu dan berdoa, agar tidak berpanjangan mereka diharapkan 'polah dewek'.


Dan mereka tidak akan memekik, apa lagi memekik-mekik. Ikut jangkaan hatikulah!

Nota: Dirakamkan penghargaan kepada akhbar The Sun keluaran 2.2.2002 & 14.9.2007, dan Utusan Malaysia keluaran 24.11.2007.

Thursday, August 11, 2011

RADIO NYANYI-NYANYI, DI BULAN PUASA

Semasa membeli tanah baja dengan tanah bakar di nurseri tempoh hari, aku ternampak 'sang terbang' ini.


Betul! Itu adalah sang kumbang. Ia sedang cuba memasuki rumah kediamannya,  satu lubang pada salah satu tiang pondok di nurseri itu.

Sebenarnya terdapat banyak lubang di sekeliling tiang kayu itu. Maknanya, banyaklah juga kumbang yang tinggal di dalamnya, dan menetap di persekitaran nurseri. Memang wajarlah begitu. Di nurseri kan ada banyak bunga!

Nak masuk rumah sendiri pun payah?!
Kumbang dengan 'gua'nya itu mengingatkan aku kepada kisah lama, zaman budak-budak, di kampung, dalam bulan puasa. Yang nak diceritakan di sini ialah mengenai satu 'cara melekakan diri', supaya tak terasa sangat kepenatan berpuasa.   

Bermain. Itulah caranya. Tapi 'bermain' jenis yang tak meletihkan badanlah.

'Permainan' yang nak kuceritakan ni unik sikit. Dulu tu, kami memanggilnya main 'radio nyanyi-nyanyi'. Radio sebenar memang keluargaku tak miliki masa itu. 

Yang jadi penyanyinya, si kumbanglah. Yang jadi radionya, tin minyak tanah kosong

Zaman itu, tin minyak tanah, yang sudah kosong dan dibersihkan, banyak gunanya. Antaranya, ia boleh dibelah dua untuk dijadikan oven membakar kuih. Juga, boleh dijadikan bekas santan kelapa untuk dimasak bagi dijadikan minyak.

Berbalik kepada hal main 'radio nyanyi-nyanyi' tadi. Tugas terpenting bila nak main 'radio nyanyi-nyanyi' ialah mencari penyanyinya! Kena cari dan 'tangkap' penyanyi! Seekor penyanyi... dua ekor... atau beberapa ekor penyanyi...suka hatilah.

Mula-mula kenalah cari sarang penyanyi. Biasanya pada tiang atau gelegar rumah, atau pada batang-batang kayu lama di sekeliling rumah. Kemudian perlulah kita test, sarang atau lubang itu ada atau tidak isinya. Caranya ialah dengan menyucuk-nyucuk lubang itu dengan lidi. Kalau ada penyanyi @ kumbang di dalamnya, pasti dia akan berbunyi marah!  Telinga kenalah tajam untuk mengecam bunyi itu.

Gambar lama: Kumbang merayu senduduk putihku
Kadangkala dapat dikesan, banyak lubang yang berisi. Ada kalanya, banyak pula yang tak berpenghuni. Ada pula masanya, satu lubang dua kumbangnya. Mungkin sepasang suami isteri.

Masa nasib kurang baik, terjumpa pula lubang yang bukan kumbang punya. Pemilik rumahnya, makhluk bersayap jenis lain, yang mampu keluar dengan pantas bila dicucuk, untuk menusukkan sengatnya ke tubuh kita! Kita pulalah yang berdengung-dengung menyanyi, kesakitan!

Selepas dikenalpasti lubang berisi, kenalah cari botol kicap kosong. 'Tutup' lubang yang berkumbang dengan mulut botol. Apabila diketuk keliling lubang,  kumbang akan keluar. Biasanya dia akan keluar cara gostan, dan terus masuk ke mulut botol yang sedia menanti.

Kemudian, cari tin susu atau tin sardin kosong. Juga secebis kain, dan getah atau tali. Lepas itu, kenalah gunakan kemahiran untuk pindahkan kumbang yang berada di dalam botol tadi ke bawah 'punggung' tin susu/sardin, yang 'dibungkus' dengan cebisan kain.  

Dapat gambarkan di mana si kumbang-penyanyi berada? Di antara kain dengan punggung tin. Dia mungkin menelentang, mungkin meniarap. Kain yang membungkusi bahagian bawah tin diikat dengan getah atau tali yang telah disediakan. 

Kain jangan tebal. Ikatan usah ketat. Dikuatiri penyanyi tak cukup udara!
Ok, dah ready dah 'tin berkumbang' kita. Tin sudah 'berpenyanyi' dan siap sedia untuk berkumandang di udara.

Untuk mendengar kelunakan nyanyian, kita letakkanlah 'tin berkumbang' itu tadi di atas tin minyak tanah kosong, iaitu 'radio'nya. Kita akan mendengar 'getaran jiwa' kumbang-penyanyi, berdengung-dengung. Tin minyak tanah yang jadi radio itu jugalah amplifiernya. Bila penyanyi mogok, kita ketuk-ketuklah tinnya, atau radionya. Kita akan mendengar next songnya!

Masa budak-budak dulu tu manalah ada perkiraan 'kesiannya kumbang', 'hak asasi kumbang' atau 'dosa pada kumbang'.  Namun, aku tak teringat ada kes 'penyanyi mati semasa bertugas'. Bila sudah puas mendengar nyanyiannya, atau bila dikenalpasti suaranya telah mula hambar, tentu dia akan segera dilepaskan ke alam bebas.

Dengan nyanyian si kumbang itu, terlekalah kita sedikit dari letih lesu dan lapar dahaga puasa. Walaupun sekejap. Namun, tempoh kita terleka boleh jadi lebih panjang apabila yang menyanyi mampu membuat kita terlena!

Sunday, August 7, 2011

MELEPAK DI KELOPAK

Ada serumpun bromeliad yang memang tidak begitu dijaga di belakang rumah. Tapi, ia tetap subur dan berbunga. 


Malah rupa-rupanya, dan anehnya, ia juga boleh bertindak seperti tebing kolam.  Umpama pinggiran parit. Yang sang katak jadikan ruang istirehat, ruang memperolehi ketenangan.

Antara susunan bilah-bilah daun bromeliad itu, di sebelah pangkalnya, tergenang air. Jadilah ruang itu seperti lopak-lopak kecil pinggiran kolam atau tepian parit, di mana sang katak lega melepak.

Duri yang tajam di setiap lidah daun bromeliad itu nampaknya tidak pun mencurigakan si pelepak. Entah bagaimanalah dia mengemudi diri, menyelinap di kepitan daun-daun berduri itu.
                  

Dan entah bagaimanalah pula dia membuat evaluasi, kelopak berair mana satu yang terunggul. Yang tak akan gagal menyejukkan batang tubuhnya dalam rangkulan bahang Ramadhan ini.
 

   
Nikmatilah  rakaman yang sempat dibuat: katak melepak di satu kelopak. Andai anda tahu, cubalah beritahu, mengapalah tempat begitu si pelepak tuju?                                                                                                                           

Tuesday, August 2, 2011

KENTUNG DAN ZAMAN PUASA GENG BUDAK-BUDAK.....

Semasa berumur lebihkurang 9 atau 10 tahun di kampung asalku dulu, aku masih ingat, di antara tempat aku dan geng bermain ialah di surau tinggalan Haji Riduan (Wak Riduan) yang sudah tidak digunakan. Sebelum meninggal, Wak Riduan telah berpindah ke kampung berdekatan, Sungai Batang, pada penghujung tahun 50-an. Pada ketika itu, kampungku memang sudah kehilangan sebahagian besar daripada penduduknya.

Aku juga mengingati pada masa itu ada sebuah perigi di tepi surau Wak Riduan. Tempat mengambil air sembahyang.

Yang lebih nak diceritakan di sini adalah mengenai satu benda yang sepatutnya ada di surau itu, tapi tidak ada! Kalau ada, tentu ia menjadi sasaran permainan geng kami.  Mungkin benda itu memang tak ada, atau Wak Riduan telah membawanya bersama apabila dia berpindah.

Inilah bendanya, kentung! Ia dibuat daripada kayu bulat.

Nampak tak pemukulnya di dalam lubang?
Ada yang memanggilnya kentung-kentung, kerantung, dan juga ketuk-ketuk. Walau apa pun namanya, bunyinya bila diketuk, biasanya tetap 'tung', 'tung', 'tung'.....

Yang tenang tergantung dalam gambar itu, 'mesjid berkenaan' yang punya. Lupa pula aku nama masjidnya. Gambar itu kuambil pada bulan Mei yang lalu, semasa berhenti di 'masjid berkenaan' yang terletak di antara Kuala Selangor dengan Kapar, kalau tak silap.

Nak bercerita di sini, masa ikut orang-orang tua ke surau dalam bulan puasa dulu-dulu (di kampung bersebelahan, sebab kampung asalku sudah tak bersurau!), memang kutunggu-tunggu orang  'berkentung' (kentungan), selepas selesai sembahyang tarawikh. Itu memang menyeronokkan kami, budak-budak.

Berebut-rebut aku dengan kawan-kawan, nak mengetuk kentung. Nak menandakan tarawikh dah selesai. Biasanya dua orang yang akan bersama-sama mengetuknya, dengan 'tingkah bunyi' tertentu, yang sudah tak kuingati lagi macam mana. Sementara budak-budak berkentung (kentungan), yang lainnya berehat sambil menikmati minuman atau makanan ringan yang mereka sendiri bawa untuk dikongsi.

Kentung dikatuk untuk kira-kira 5 hingga 10 minit. Seluruh kampung yang diselimuti gelap malam (rumah-rumah berpelita, jalan kampung bergelita!) boleh mendengar bunyinya. Dari bunyi 'bertingkah-tingkah' itu, semua orang kampung tahu ahli keluarga mereka yang ke surau akan balik ke rumah tak lama lagi. Balik berjalan kaki atau berbasikal, dengan torchlight yang mungkin sudah malap cahayanya, atau dengan jamung daun kelapa kering yang menyemarak lidah apinya.

Esok pagi akan adalah orang yang mengetuk kentung menandakan subuh tiba. Kentung juga akan terus diketuk, menandakan tibanya waktu-waktu sebahyang yang lain. Bunyi kentung, jadinya, adalah juga bunyi yang 'memanggil' orang datang ke surau.

Sesekali, bunyi ketukannya sederet 3 kali... senyap seketika.... 3 kali... senyap seketika ... 3kali... 3 kali... 3 kali..... Itu menandakan ada ahli kampung yang telah menyahut panggilan Ilahi. Dan orang-orang kampung berdekatan tahu,  itu bunyi kentung dari kampung mana!