Wednesday, January 1, 2014

TERKENANG

Saja terkenang sendiri. Kerana bagaikan tiba-tiba terasa ada 
satu kekosongan yang amat menyusuk.

Pada pagi 14 Disember 2013 yang lalu, kakak Murtini yang kami sayangi,  telah 
kembali ke rahmatullah. Kakak meninggal di rumah iparnya di Chenderong Balai, Perak,  
setelah 3 minggu menjalani rawatan di Hospital Teluk Intan untuk komplikasi 
paru-paru dan juga diabetis yang telah dihidapinya selama 3 tahun.

Jenazah telah dikebumikan pada petangnya di Tanah Perkuburan Selekoh, Perak 
di mana arwah ayah, emak, abang dan adik lelaki Temuk juga telah disemadikan.

Bersama Abang Sairi (suami) semasa urusan mendapatkan kaki palsu di Ipoh

Bersama arwah emak dan Kakak Marwiyah (di tepi emak) semasa menunaikan umrah

Bersama Kakak Marwiyah (skap putih) yang kini sudah pun ke rumah anak-anaknya di KL kerana sudah tiada siapa di kampung  


 Dengan takdir Allah jua, selang dua hari selepas Kakak Murtini meninggal, 
pada pagi 17.12.2013 kakak ipar Temuk, Kak Teh (dikenali rakan-rakannya di Bangi 
sebagai Mak Chak) pula menurutinya. Memang mengejutkan, namun itulah ketentuan Allah.

Kak Teh meninggal dunia di Hospital Kajang, Selangor,  setelah kira-kira 17 jam diwadkan 
dan doktor mengesahkan arwah mengalami komplikasi paru-paru dan jantung. Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Universiti, Bangi pada hari yang sama.

   
Semasa rawatan patah tulang di Hospital Serdang beberapa tahun dahulu 
Bersama arwah emak di kala kedua-duanya sihat
Kak Teh telah tinggal serumah dengan famili Temuk di sana sini semenjak Temuk berumahtangga. Arwah telah menjadi seperti 'ibu' kepada anak-anak Temuk sehinggalah 
mereka sendiri berumahtangga. Begitu jugalah lamanya arwah menjadi pengendali hal-ehwal rumah famili Temuk sehingga arwah mula uzur kira-kira setahun yang lalu.

Semoga Allah memberi pengampunan kepada 
Kakak Murtini dan Kak Teh. Ketiadaan kalian sungguh kami rasakan.
Kami amat kehilangan dan merasakan kekosongan, namun redha dengan ketentuan Allah. 
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kakak berdua. Aameen!