Wednesday, December 31, 2008

KEMBANG KELILING RUMAH


Lanskap rumah kita sebenarnya biasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Mungkin sedikit. Mungkin banyak, walau dalam tempoh masa yang singkat. Itulah resam manusia, suka mengubah-ubah, menukar-nukar. Penghuni rumah pun kadangkala alpa akan apa yang pernah dilakukan pada persekitaran rumahnya. Tambah-tambah yang dulu-dulu! Jika perubahan itu diabadikan dalam gambar, dapatlah dia melihat apa yang tangannya pernah lakukan.

Aku sendiri lupa pada apa yang diubah-ubah pada garden rumah, kecuali kalau baru dilakukan. Bila kubuka My Pictures dalam komputer baru-baru ini, ternampaklah aku gambar-gambar bunga yang pernah kutanam di sekeliling rumah pada tahun 2005. Semuanya bunga-bunga biasa sahaja (seperti yang terpapar). Tapi, itulah bunga-bunga yang tangan sendiri pernah menanamnya. Malah tangan sendiri juga yang menjadi penyebab ketiadaannya sekarang!

Ketiadaan yang lama amat boleh mengetik hati. Kita sentiasa berubah dan mengubah. Dan dalam pada itu, dengan disengajakan atau tidak disedari, kita telah memingggirkan sesuatu yang lama. Sambil mungkin menjulang sesuatu yang baharu. Namun, pada hakikatnya, itu tidak semestinya menghadirkan kebahgiaan.


Kembang-kembang di sekeliling rumah, anda mampu menyingkap hari-hari yang sudah berlalu, dengan ceritera tertentu yang tersendiri. Anda mampu mengajar kehidupan!




Sunday, December 28, 2008

SELAMAT TAHUN BARU

Sedar tak sedar, dalam awal minggu ini, telah sampai di ambang pintu hidup kita, tahun baru 1430H. Dalam minggu yang sama ini juga tiba tahun baru 2009M. Ertinya tempoh kehidupan kita sudah terkurang setahun lagi ..... Bakinya tak mungkin kita ketahui. Kita sentiasa memohon kepada Allah, sebenarnya, untuk menambah tempoh baki kehidupan kita itu, dengan harapan kita dapat berbuat kebaikan, dan mendapat rahmat serta keredhaan-Nya. Dalam ceramah tahun baru di surau tadi, ada satu perkara berkaitan dengan rahmat dan keredhaan Allah yang ditekankan yang boleh dijadikan ingatan. Kata penceramah, memang kita ini sentiasa cuba berbuat kebaikan. Kita mahu menjadi insan yang bertaqwa, melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang ditegah Allah. Pun itu dapat kita lakukan, katanya, tidak semestinya kita mendapat keredhaan dan rahmat Allah, sedangkan keredhaan dan rahmat-Nya itulah yang menentukan kita mendapat balasan baik di alam akhirat, iaitu syurga. Kerana itu, kata penceramah, ada golongan ulamak yang menyatakan keredhaan dan rahmat Allah itulah yang perlu dijadikan sasaran hidup di dunia ini. Dalam kita melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang ditegah, janganlah alpa daripada memohon keredhaan dan rahmat ALLAH.
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1430H & TAHUN BARU 2009M. SEMOGA SEPANJANG TAHUN BARU DAN TAHUN-TAHUN SETERUSNYA KITA BERUPAYA UNTUK BERIBADAH SERTA MENDAPAT KEREDHAAN DAN RAHMAT DARI ALLAH.

Tuesday, December 23, 2008

TERKENANG 1: C E L I K

Dalam paparan kedua ini, ingin kunukilkan sedikit kisah yang berkaitan dengan saat-saat awal aku celik huruf. Ini kisah penggunaan "papan batu".

Aku amat bersyukur kepada Allah. Dia menganugerahkan kesempatan kepadaku melalui dan mengalami zaman elektronik yang serba canggih ini. Tidak pernah termimpi olehku bahawa pada hujung-hujung zaman bekerja, dan kemudiannya bersara, aku akan berpeluang menggunakan "komputer". Tidak pernah terfikir olehku, aku akan mendapat peluang dan ruang maya bagi berkomunikasi dengan rakan lama, menulis emel, bertukar berita dan gambar, malah membeli barangan -- kesemuanya dengan menggunakan komputer. Apa yang kuanggap juga menakjubkan ialah komputer membolehkan aku melayari internet, sehingga aku boleh jadi tenggelam dengan pelbagai informasi dan jadi bertambah celik maklumat pada kadar yang pantas.
Walaupun pada hari ini aku dapat dan telah menggunakan komputer (hatta sehingga aku mampu memblog!), aku tak mungkin lupa pada "papan batu" yang pernah kugunakan semasa dalam Darjah Satu (tahun 1954) di sekolah Melayu. Papan batulah yang membantu aku menjadi celik huruf dahulu.

Anak-anakku tidak tahu papan batu itu apa. Macam mana pula "papan" boleh dibuat daripada "batu"? Besar mana papan batu tu? Beratnya? Saban hari macam mana murid angkut papan batu ke sekolah? Berapa papan batu kena pikul bila ke sekolah? Satu papan batu untuk satu subjekkah?
Aku pun jelaskan kepada sianak-anak zaman kemajuan ini: papan batu merupakan kepingan nipis "batu" (yang aku sendiri pun tak pasti dibuat daripada bahan apa!) yang diberi bingkai, besarnya lebihkurang kertas A4, beratnya lebihkurang 250 gm, boleh dibawa ke sekolah dalam bakul atau dibungkus kain (sebab takut retak atau pecah!). Aku yakinkan mereka, bawa sebuah pun sudah mencukupi. Aku juga terangkan, di atas papan batu itulah aku menulis dan melukis. Selepas habis satu-satu subjek (Darjah Satu mana ada banyak subjek!), seperti subjek Tulisan, Lukisan, atau subjek "Ejaan", cikgu akan memeriksa kerja murid. Dia akan "merait" (tanda tick) kerja murid dengan kapur, tanda "rait"nya panjang kalau kerja murid itu memuaskan. Aku memang sangat sayang mahu memadam tanda "rait" begitu. Tetapi untuk kegunaan subjek seterusnya, semuanya kena dipadam!

Anak-anakku juga tidak dapat gambarkan "pensil" atau "pen" yang kugunakan untuk menulis atau melukis atas papan batu. Juga, macam mana mahu memadam tulisan atau lukisan pada papan batu? Kujelaskanlah "pensil" atau "pen" yang digunakan kami panggil "kalam", diperbuat daripada bahan yang lebih kurang sama dengan papan batu. Bila digunakan untuk menulis, kalam itu sebenarnya "mengorek" permukaan papan batu, menampakkan apa yang ditulis. Kalam, lama-lama menjadi tumpul. Ia perlu "diasah" supaya lebih "tajam" dan berfungsi baik apa bila digunakan. Tempat mengasah selalunya ialah lapik tiang sekolah yang dibuat daripada simen.

Bagaimana tulisan atau lukisan pada papan batu dipadam? Semasa bersekolah, aku kerap menggunakan sejenis daun bunga hiasan (orang kampung memanggilnya bunga lili), yang apabila cukup tua, menjadi kuning warnanya. Daun bunga ini panjang (kira-kira 3/4 meter) dan mempunyai kandungan air yang banyak. Ada juga sejenis pokok liar (tak ingat pula namanya) yang batangnya juga mengandungi air yang boleh digunakan sebagai pemadam papan batu. Batangnya itu bersaiz lebihkurang sebesar jari manis orang dewasa. 

Sememangnya aku merasa bertuah kerana berkesempatan menggunakan papan batu, juga kemudiannya menggunakan komputer. Anak-anak dan cucu-cicitku tak merasa menggunakan papan batu. Namun, ini bukanlah satu kerugian bagi mereka. Para anak, cucu dan cicit, suatu masa nanti, akan berkata mereka lagilah bertuah. Pada masa itu mereka berpeluang menggunakan suatu alat yang jauh lebih canggih, menggantikan komputer dan menjadikan komputer satu "barang lama". Pada masa itu malahan, era komputer akan mereka kata sebagai "era dahulu kala", atau "era papan batu abah"!

Friday, December 19, 2008

MERINTIS JALAN

Assalamualaikum wr. wb.

Kini, jam 1.19 pagi, Sabtu 20 Disember 2008. Inilah ketikanya NUKILAN mula merintisi jalan "alam maya". Harapannya, semoga ia menjadi sebuah wadah yang bermanfaat, berkemampuan untuk memberi pelbagai makna kehidupan. Semoga segala nukilan dan pemaparan imej dalam blog ini, sekalipun simple, ada maksud tersurat atau tersiratnya yang tersendiri yang mempunyai kaitan akrab dengan kehidupan.