Monday, September 26, 2011

PETAK SEKALI MASAK

Apa diharap tanah sebidang
Entah subur entah tidak
Entahkan keras, kering dan gersang.

Sebenarnya, tanah sebidangku itu,  si petak cilik di kaki tangki, confirmed tak subur! Sah keras, kering dan gersang!

Tapi taklah pula ia menjadikan pemiliknya kempunan.

Ingatkan, si petak kecil mudah dirasuah, dengan pelbagai baja organik dan kimia. Malah dengan pelbagai bahan mudah reput yang boleh menjadi  first class compost.  

Beberapa 'musim' kutinggalkan ia berehat - leaving it fallow..... hoping that it would by itself generate some form of mysterious and magical energy that would make plants grin, flourish, and over-indulge in their photosynthesis dance....  

Mengelamunnya!

Pada sepetak tanah kecil itu, kali ini, kutanami bayam dan meranti.  Ada juga kuselitkan si bayam merah. Tapi malulah, slim dan cute benar bayam dan meranti tu, kan? Ini memang kes 'benih yang baik' (sebab beli, dengan mahalnya!), jatuh ke laut tak jadi pulau. Begitulah apabila lautnya gersang amat-sangat.

Namun, bukan langsung 'tak ada apa' hasilnya. Ada rezeki, rezeki, rezeki yang wajib disyukuri.

Bila dituai dari si petak sekangkang cicak, memang amat cukup, untuk sekali masak. Apalah yang lebih baik dari sayur hasilan sendiri, begitu fresh sekali, ketika masuk ke belanga, ke kuali!

Tuesday, September 20, 2011

PUTU KE 7 (PUTU KEPITU) ..... BULAN CUCU

Putu ke 7 bukan bermaksud putu bambu ke 7, putu mayam ke 7, putu piring ke 7, atau apa-apa pun putu  ke 7.....

Dalam paparanku dulu, "BARISAN.......BUKAN BULAN" (26.6.2011), kuceritakan (sebenarnya, kurakamkan, lebih untuk diriku sendiri) mengenai Barisan Cucuku. Dan aku berjanji takkan berat sebelah, mengenepikan Bulan,  dan memilih Barisan saja.

Maka kali ini, kurakamkan pula tentang Bulan  - "Bulan Cucu".

Bulan Cucu merujuk kepada bulan lahirnya cucu terbaharuku. Bulan cucu termudaku datang. Bulannya = September (2011). Yang datang, cucuku yang ke 7. Atau dalam 'bahasa asli'ku,  putu kepitu atau putu ke 7. Putu = cucu, pitu = tujuh. 

Tak kiralah apa bahasanya, di kalangan pembaca budiman ni, ada yang boleh lawan ke? Maksudku dari segi 'ke'-nya, yakni bilangannya.

Pertambahan terbaru kepada keluarga Izhal, anak sulungku (isterinya, Farawahida) Belum diberi nama rasmi. Buat sementara ini lengkaplah kumpulan 'Hang Tuah' dalam familinya  - Faiq, Farish, Emir, Im, dan .... yang belum bernama.
4 drpd 5 Hang. Dari kiri: Farish, Faiq, Im (depan) dan Emir
Hang Farish dengan Abah dan Mami
 Di bawah ni pula, si Nadeem, putera Alfian, anak keduaku (isterinya, Shazwan). Sambil nak tunjukkan gambar dialah ni, juga gambar kakaknya. Itulah dua orang lagi cucuku selain daripada 5 Hang yang diceritakan tadi.

Dengar tak si Nadeem tu macam berkata, "Deemlah satu-satunya sepupu lelaki kepada "Lima Hang", putera-putera Ayah Iz tu (Pakcik Iz lah tu!).... Sebab tu Nadeemlah yang layak jadi body guard jaga baby ni!"

Deem, sayang ke jealous kat sepupu baru tu?
Farhanah kakak Nadeem pun tak mahu kalah. Nak bercakap juga. "Hanalah satu-satunya sepupu perempuan kepada "Lima Hang" tu..... Hana ni queen lah! Ha, sebab tu semua orang kena dengar cakap Hana!"

"Faham tak cakap Hana tadi?"
Semua orang kena dengar cakap Hana? Ngapa kalah dengan perintah adik?


Farhanah sambut harijadi dengan Ayah, Mama dan Nadeem, 2011
Berapalah agaknya bilangan cucu Tok Wan dengan Tok Umi ni akhir-akhirnya nanti? Tak pastilah. Allah yang menentukan dan mengurniakannya!

Tapi Tok Wan agak, semuanya PUTUIO. Berapa tu?

Sunday, September 18, 2011

YANG DIPERGIKAN

Kaktus ini terpaksa dilupuskan. Akarnya mula meretakkan tembok dan longkang.

Ini kaktus yang di belakang rumah. Yang di depan rumah, lagi membimbangkan. Kuatir rosakkan tembok jiran.
Di belakang, ada juga lagi kaktus. Tapi kecil. Boleh simpan dulu.
Satu 'kepak' banyak bunganya. Ayu! Tapi keseluruhan tubuh batangnya sudah menjanjikan bahaya.
Kaedah penglupusan mudah sahaja. Sapu racun pokok + minyak disel pada kepak-kepaknya.
Kebal pokok kaktus ni. 'Kepak-kepak'nya yang tak begitu teruk dek godaman racun boleh bertunas semula. Yang kena cincang ini pun, kalau ada tunasnya yang tersorok, ia boleh hidup balik. Patutlah ada yang menggelar pokok kaktus pokok gurun padang batu, pokok gurun padang pasir. Tahan mati!
Entah-entah cincangan kepak-kepak kaktus ini boleh jadi baja, tak?
Dua rumpun besar pandan hiasan pun kugempur. Cantik bilah-bilah daun pandan hiasan ni. Juga meneduhkan persekitaran. Tapi akar-akar di sekeliling batangnya meliar. Seperti lembing panjang, menikam bumi di sana-sini. Bimbang ada juga kesannya kepada tembok dan longkang.

Besar 'sanggul' pandan hiasan ini. Terbentuk dari himpunan sanggul-sanggul kecil yang sungguh banyak.
Lebat akar pandan yang keluar dari batangnya. Menikam bumi di sana sini. Akar yang dicantas pun tetap kukuh.

Walau mengambil masa berminggu-minggu, pandan hiasan akhirnya tumpas dek racun pokok + minyak disel yang dilumurkan ke batangnya.
Rumpunan pandan hiasan ini sebenarnya terdiri daripada banyak sub-rumpun (yang kukatakan himpunan sanggul kecil). Semuanya saling bertindihan, menjadi satu rimbunan besar. Kira sanggul gergasilah tu.

Berpuluh-puluh sub-sanggul sudah kubuang pada masa lepas. Sebab bimbangkan kuasa akarnya, dan ketidakmampuan membuang sanggul-sanggul kecil apabila pokok melangit, akhirnya terpaksalah ku lumpuhkan batang si pandan hiasan.

Yang terakhir dalam Rancangan Pelupusanku (buat sementara waktu ini) ialah membuang buluh kuning. Cerita mengenainya dan rebungnya pernah kupaparkan dahulu. 

Memang amat kusayangi buluh kuning ini. Cantik sungguh larik garisan-garisan hijau yang berlainan pola pada setiap batangnya. Memang unik. Tapi hati dah selalu sugul. Saban hari dedaun keringnya terlalu menagih keringatku.

Dan akarnya juga amat-amat kutakuti merayap melalui perut bumi ke kawasan jiran. Nanti, tahu-tahu jiran melaporkan pula kepadaku...... bahawa di kawasannya, ada buluh tumbuh tanpa ditanam!  

Semasa buluh belum membiak, tak banyaklah daunnya. Kuranglah 'daun-daun berguguran'.




       
Lihatlah cantiknya garisan-garisan hijau yang berlainan polanya pada batang-batang buluh. Bila rumpun menjadi mantap, population growth si buluh memang laju jadinya.





Eloklah dedaun kering dibakar di atas punggur-punggur buluh yang degil, yang setelah diracun pun masih mahu menjulurkan tunas-tunas baru.
 

Begitulah kisah (nasib?) si kaktus, pandan hiasan dan buluh kuning. Tiada apa-apa yang kekal di dunia ini. Tidak juga pokok-pokok kesayangan. Penanamnya pun!











Sunday, September 11, 2011

PINANGKU DAN PINANGMU

Tugas primer barisan pinang sirih di kawasan rumahku adalah menghiasi persekitaran.  Masing-masing juga befungsi sebagai pemayung. Tukang beri keteduhan. Itulah tugas sekundernya.


 

Cantikkah barisan pinang sirih ini menghiasi kawasan?

"Cantik," kata hatiku yang seronok sendiri. Pokok-pokok itu sendiri, pada mataku, sememangnya indah. Begitulah, bagi yang mahu mengendahkannya. Bukan pokoknya sahaja. Buahnya pun. Siang dan malam.


















Upihnya juga ayu. Malah cukup kukuh untuk dijadikan kenderaan mainan.  Jadikan 'lanca',  atau 'kereta bertarik' tanpa roda. Ia mampu menggelungsur laju. Juga menggelungsuri kenangan silam!



Barisan pinang sememangnya berjasa besar sebagai penyeri halaman. Juga penyejuk suasana. Tapi, bilamana sampai masa para pinang kelihatan 'tidak begitu menghiasi', malah berpotensi memberi bahaya, mungkin kerana ketinggiannya yang telah melangit, maka dengan maaf, kenalah diberadukan batang-batangnya ke bumi.




Sememangnya, adalah ketikanya, penghias yang dikasihi, yang segar dan sayup ketinggian pucuknya, kehilangan status. Melurut kemuliaannya, menurun harga dirinya. Hatta..... terlebur tubuh batangnya.



Penglupusan penghias yang pernah berjasa, memanglah menyentuh rasa. Apa lagi bila kulihat gambar di bawah ini. Hebatnya nilai si batang pinang!

Mohon izin meminjam gambar , ya Ustaz Mohd. Zamerey. Usaha kumpulan tuan
dalam 'memertabatkan kemanusiaan' di Kemboja amatlah mulia dan disanjung.
Didoakan kejayaan selalu!

Saksikanlah, hebatnya mertabat batang-batang pinang di pedesaan Kemboja itu. Masing-masing boleh berdiri gagah, sebagai barisan tiang seri, tiang perdana. Setia memikul bumbung yang memayungi kehidupan, yang sedia dhaif, dari pelbagai ancaman. 
(Tatapi kisah di sebalik gambar di atas di http://www.facebook.com/AkademiImamSyafie)

Dan aku tetap mengingati, suatu ketika..... suatu masa yang telah jauh berlalu .... sebahagian dapur ibu juga pernah berlantaikan belahan batang pinang. Di situ ibu mengerat-ngerat sayur kampungnya, membersihkan pinggan mangkuknya, membasuh beras patahnya... dan mengendali rencaman urusan yang berkait dengan makan-minum famili. Penuh santai, dalam keredhaan yang melaut!

Sememangnya pernah di persekitaran belahan batang pinang, sebenarnya ramai warga desa meniti zaman. Mengemudi kehidupan cara mereka, dengan kebahagiaan tersendiri.

Friday, September 9, 2011

KISAH PISANG TUBU

Cerita pisang yang kuberi nama baru Pisang Tubu ini pernah kupaparkan Julai lalu di bawah entri 'Pisang Jiran?' (http://nukilan-temuk.blogspot.com/2011/07/pisang-jiran.html).

 
Betul, nama yang kuberikan sebelum ini, Pisang Jiran. Sebab jiranlah yang mula-mula menanamnya. Kemudian, sehingga sekarang, keturunan pisang ini tumbuh subur di penjuru lot kosong, antara lotku dan lot jiran.

Semasa gambar buahnya kuambil tempoh hari, kurasakan wajar namanya diubah kepada Pisang Tubu (Pisang Tupai dan Burung). Sebabnya, dalam beberapa hari yang lalu, kusaksikan hanya tupai dan burung yang dapat dan acap menikmati buahnya yang telah masak itu.


Sebenarnya geram juga aku bila melihat pisang yang begitu muntuk itu. Yang dah masak, mungkin hebat digoreng atau dibuat cekodok, atau dilepat-lepat, atau dipengat-pengat!  Yang masih hijau mungkin cantik dijadikan kerepek.


Tapi dalam banyak kali aku mengintai-ngintai, tak ada pula rezeki 'nampak si jiran'. Cadanganku, kalau ternampak si jiran, aku nak kata, kalau  si jiran  tak mahu, si aku boleh menuainya. Tak segan silu jiran si jiran ni! Kihkihkih.

Berasaskan frekuensi ziarah dan kuantiti para Tubu, serta darjah kepantasan 'penikmatan buah', mengikut congakku, dalam tiga empat hari lagi, jika tak kelihatan juga si jiran untuk ditanya,  kenalah aku menunggu tandan-tandan baru yang akan datang..... kalau mahu (mungkin) menggoreng, mencekodok, melepat, memengat atau mengerepek.

Pisang Jiran dah jadi Pisang Tubu, tapi belum jadi, dan mungkin tak akan jadi, Pisang Aku.

Tuesday, September 6, 2011

RAKAMAN RAYA 1432H

Balik lewat untuk beraya di kampung. Begitulah yang kubuat, semenjak kedua orang tuaku meninggal dunia. Dan balik itu pun sudah berpola 'balik hari'.

Sebelah isteri, memang sudah berpuluh-puluh tahun tak balik. Tak ada siapa lagi di Alor Setar sana. Cuma saudaramara jauh-jauh.

Tahun ini, rayanya begitu-begitu saja. Kami balik ke Bagan Datoh pada hari raya ketiga. Sasaran pertama, pusara ibu, ayah, abang dan adik. Kemudian, terus ke rumah kakak keduaku.

Kami menjamah apa yang terhidang di meja, 'layan diri'.  Kakakku baru beberapa bulan dipotong kakinya. Anak perempuannya baru keluar berziarah. Suaminya terbaring di bilik, kepeningan dan tak sihat.


Kemudian, kami ke rumah kakakku yang tertua. Dekat di situ juga. Dia, yang sudah berusia sekitar 80 tahun, terbaring atas katil usangnya, selepas di bawa ke klinik. Mulai pagi hari kami balik itu dia mengalami kejang leher yang serius, tak boleh bergerak, dan sakit kerongkong sehingga tak boleh menelan makanan.


 

Mujur hari raya pertama dan kedua, kakak telah sempat meraikannya dengan tiga orang anaknya dan keluarga mereka yang telah balik kampung sebelum raya lagi. Kakakku ini tinggal bersendirian setelah suaminya meninggal dunia kira-kira 15 tahun yang lampau.

Walau lemah terbaring, kaku leher dan berat badan serta kepalanya, kakak tetap mempastikan anaknya menyediakan makanan tengahari untuk kami.

Lepas makan, kami ke rumah arwah kedua orang tuaku, dekat situ juga, untuk solat dan berehat sekejap. Rumah kosong ini sekarang juga dijadikan ruang rekreasi oleh para PATI. Bukan pendatang dari seberang, tapi para 'ta ya kap wau sin' tempatan!





Risau juga hati melihat macam-macam lagi baki barang tinggalan arwah kedua orang tuaku yang masih belum sempat diuruskan. Memang ada barang yang selalu menjadi sasaran para PATI, termasuklah pakaian dan karpet.

Lepas solat, kami ke rumah ibu saudara di kampung berdekatan. Dia isteri arwah bapa saudaraku, sebelah ibu, yang telah meninggal dunia berpuluh-puluh tahun dulu. Si ibu saudara ini sudah bertahun-tahun uzur dan tidak boleh berdiri. Mengesotlah dia apabila ingin bergerak.


Kemudian kami menuju ke arah kampung asalku. Dekat di situ juga. Gembiralah hati dapat melihat tempat tumpah darah! Masih ada aktiviti pertanian di kampung itu. Malah boleh dikatakan lebih rancak dari zaman aku kanak-kanak di situ dulu. Cuma, kini  ia wujud tanpa penghuni.

Kampung itu kuanggap telah 'mati'.  Insya-Allah, bila tiba masanya nanti, akan ada entri mengenai kampungku yang mati itu. Dan itu kujangka adalah entri terakhir untuk NUKILANku.


Seterusnya kami singgah ke kampung berdekatan, mengunjungi adik saudaraku. Adik saudara sebelah ibu. Dia dan isterinya mengajar di sekolah kebangsaan di situ. Untungnya, bekerja di kampung sendiri!


Rumah terakhir dalam siri ziarah raya di kampung, rumah ibu saudara juga. Suaminya, bapa saudaraku sebelah ibu, telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Syukurlah, ibu saudara ini sihat dan masih mampu berniaga santan kelapa dengan anaknya.


Semasa mahu balik ke Bangi, keluarga adikku baru sampai dari Grik. Stesyennya di kampung tentulah rumah arwah kedua orang tua kami. Esoknya keluarga abangku pula balik dari Melaka dan berkumpul di situ. Macam aku, adik dan abangku juga lewat balik ke kampung untuk beraya.

Memang benarlah, bila 'orang tua sudah tiada', tiadalah tarikan kuat untuk berhariraya awal di kampung. Sekalipun ada adikberadik di situ. Lagi pula, kita sendiri pun sudah menjadi 'orang tua'. Kenalah menunggu kedatangan para anak dan cucu di kediaman kita sendiri.

Kalau ada rezeki hayat, masa dan tenaga, insya-Allah, lain kali keluargaku dan keluarga adikberadikku, mungkin boleh sama-sama balik ke kampung sebelum raya. Kemudian sama-sama jadikan rumah kosong tinggalan kedua orang tua sebagai ruang untuk berkumpul sehari dua. Di situ boleh sama-sama dihidupkan suasana 1 Syawal dan lebih dieratkan lagi hubungan di kalangan ahli  'keluarga besar' yang saban tahun tambah mengembang bilangannya.


   Gambar-gambar raya di Bangi, sebelum hari balik ke kampung. 
Terima kasih kepada kerabat, kenalan, dan jiran yang datang.





 

..... dan selepas balik dari kampung ..... 
Terima kasih kepada jiran dan kerabat yang mengunjungi kami .....



 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 

 
 
Paparan ini kudedikasikan kepada para cucu dan cucu saudara  yang kusayangi
dengan doa semoga Allah mengizinkan Rakaman Raya 1433H dan seterusnya