Monday, July 26, 2010

ADA YANG SUKAKANNYA .....

Asalnya, dia satu keratan cabang. Sekaki, kurang lebih. Kini, ada seela tingginya
dari paras tanah. Dan dia sudah bercabang tiga. Lupa pula, telah berapa
lama dalam jagaan. Juga, entah berapa kali dipindahrandahkan. Yang aku tahu dan ingat,
ada orang suka amat, ada orang sayang erat, pada dia. Dia yang namanya Bunga Kemboja.

Juga aku tahu dan ingat, ada yang memanggilnya frangipani atau plumeria. Yang tak tahu seram,
memanggilnya bunga pusara, atau mudah cakap, bunga kubur!





Yang kutanam ini kuberi nama Kemboja Merah. Sebab bunganya merah. 
Walau telah sekian lama, batang tubuhnya tidaklah subur muntuk, sebagai petanda dia  mantap. 
Tapi, tiga empat hari yang lepas, satu dari cabang tiganya tampak 
girang mempersembahkan kuntum-kuntum pertamanya. Balasan budi
kepada penjaganya? Si penjaga amat sedar, bumi di mana si Kemboja Merah berdiri amat
berbatu, tidaklah menyelesakan, sepanjangan gersang, walau dibaja.


Tapi, si Kemboja Merah, bangga mempertontonkan apa yang penjaganya telah lama nanti-nantikan. Sekalipun yang dipamerkan tidaklah besar-mekar kuntum-kuntumnya, tidaklah segar-bugar
kelopak-kelopaknya, tidaklah menikam semerbak wanginya. Insya Allah kemudian nanti, dia bakal mampu peragakan rumpunan kembang yang serba perkasa.




"Bila kamu telah cukup mantap, akan aku carikan sekerat dahan dari jenismu,
yang berbeza warna kembangnya. Untuk kucantumkan ke dahanmu pula. Aku belum punyai
ilmu tentang ini, mengenai mungkinkah boleh berlaku percantuman antara dua dahan."

Saturday, July 17, 2010

KERJA TINGGI-TINGGI

Kelebihan orang yang bekerja tinggi-tinggi, dia dapat melihat lebih banyak perkara  -  di bawahnya, dan sekelilingnya. Kalau dia mahu!



Tapi kalau pegang kerja tinggi macam dalam gambar di bawah ini, pasti minat si pemegang kerjanya hanya pada kawasan yang bernama Bum Bung!

Ada kerja tinggi yang pulangannya tak semestinya tinggi. Malah yang pasti, risikonya tinggi. Termasuklah kerja macam kawan kita ni  - kerja memujuk Bum Bung yang mogok.

Kerja tinggi memang perlukan kemahiran tinggi. Begitu juga dalam kes kerja sahabat kita yang di atas atap genting  itu. Kata dia, amat perlu kepintaran mengagak masalahnya di mana.

Hakikatnya, ada kala genting bocor di tempat lain, air darinya menitik atau meluru ke tempat lain. Kerana itu, siling yang punah bukan semestinya petanda ada 'atap' rosak betul-betul di atasnya. Si pemanjat Bum Bung yang mahir sahaja yang lebih pintar membuat perkiraan. Kalau tidak, sepuluh kali tampal pun, sana sini,  masalah kebocoran takkan terurai.

Sementara aku mundar mandir 'di ketinggian satu tingkat sahaja'  dengan si pemanjat pakar tempoh hari, dan cuba turut mengagak beberapa kawasan di mana si Bum Bung mogok, rupa-rupanya rumah staf TNB di belakang (yang sudah bertahun-tahun mungkin hanya dihuni oleh makhluk halus) secara kebetulan juga kelihatan dibedah Bum Bungnya. Ketara ia mengalami masalah barah yang parah!

Ketinggian Bum Bung TNB itu 'dua tingkat'. Kata si pemanjat di rumahku, yang itu 'dobel bahaya'! (Teringat pula aku akan pasaraya yang mempamerkan label 'dobel diskon' semasa melancong ke Yogya 2 tahun lalu).


Nak cerita apa ya dalam entri ini?

Tiada mesej agung. Cuma, asalnya mahu sebut dan sebut, orang yang kerja tinggi penuh risiko seperti si pembujuk Bum Bung, amat wajar diberi ganjaran yang lebih tinggi. Kedua, bila saja kita kerja tinggi, ayulah andai kita prihatin pada apa yang di bawah dan di sekeliling. Kerdillah pula kita, yang berterusan segak dengan status, hatta selesa dengan pengamalan kuasa yang arah semberononya tidak memanfaati sesiapa.

Monday, July 12, 2010

WAHAI KERA ..... DI MANA PERIUK-PERIUKMU?

Selepas aku membuka entri adrydaud.blogspot.com yang memaparkan informasi mengenai Periuk Kera, aku jadi lebih teringat kepadamu. Dan aku masih tak senang hati!

Wahai Keraku, di mana periuk-periukmu? Kan cantik kalau kamu tunjukkan periuk-periuk itu. Apa lagi jika banyak! Telah lama sepatutnya kamu pamerkan!


Rasanya sudah setahun lebih kamu di sini. Sudah acap kali aku pindah-randahkan kamu. Ke tempat lebih panas. Yang lebih sejuk. Lebih ternaung. Juga yang lebih terdedah. Sama saja prestasimu. Sifar!

Kamu telah mengeluarkan bunga (panjang-panjang!) tak kurang dari lima 'belalai' selama ini. Sekarang ini pun aku nampak dua bunga belalaimu itu, sekalipun yang satu itu agak pendek.


Tapi, aku bukan berminat pada bunga belalaimu! Aku mahu melihat periuk-periukmu. Itu yang melayakkan kamu dipanggil Periuk Kera!

Takkan nak tunjukkan 'tali-tali' panjang di hujung daun-daunmu itu saja, bertahun-tahun. Tengok, di hujung tali-tali itu, yang ada cuma  'cacing-cacing berkerekot'! Mengapa bukan periuk-periuk besar? Yang lengkap dengan tutupnya. Juga siap dengan isi bahan kimia 'pepsin' di dalamnya. Yang bakal menghadam segala serangga yang terperangkap dalam perut periukmu itu, untuk menjadi makanan sekujur tubuh badanmu!


Cuba lihat pasumu yang bergaris pusat lebihkurang 5 inci dan setinggi 6 inci itu. Tak cukup besarkah? Lihat tanahnya yang berjenis ringan dan cepat kering (tetapi selalu aku siram), yang kemas memeluk akar malarmu. Tak memadaikah untuk akarmu terus menjalar? Baja N:P:K yang kamu serapkan ke jasadmu  itu, tak sesuaikah jenisnya, juga nisbahnya?

Dalam aku membebel, riuh bunyi salakan si Murai di atas pucuk Kelat Payaku. Ia bagaikan berkata dengan nyaring kepada aku,
'Apa punya manusialah kamu ini! Takkan kamu tak tahu. Kalau belum Tuhan mengizinkan, takkan keluar periuk-periuk itu! Nak buat macam mana?!' 
'Aku tahu. Aku tahu!'
'Habis tu? Dulu kamu tak seronok dengan kerenah Kenanga!'
'Yalah. Aku sedar. Aku kan manusia biasa. Aku boleh jadi tak senang hati. Juga terkilan!' 
'Dah tu?'
'Aku memang alpa. Bila sudah buat itu ini, itu ini, itu ini, aku fikirkan hasilnyalah. Walhal izin Tuhan mungkin setakat 'aku berbuat itu ini' saja!'

(Penghargaan : Kepada DEDAUN ALAM, http://www.adrydaud.blogspot.com/ kerana maklumat mengenai Periuk Kera. Juga kepada putera sulungku, Dr. Izhal,  kerana meminjamkan gambar pokok-pokok Periuk Keranya yang telah berperiuk di tamannya seperti tertera di atas).

Wednesday, July 7, 2010

N O N A , MACAM MANA RASANYA?

Sebaik-baik saja aku nampak nona-nona berpaket di pasaraya tempoh hari, terus terlintas di kepalaku entri dalam blog Pak Idrus. Mengenai pohon nona di rumahnya, dan kenangan manisnya semasa kecil akan dukun kampung yang kerap mengasah peralatan kebunnya, bernaungkan pohon nona (sila lawati http://idrus.blogspot.com/). Pak Idrus memang akrab dengan tanam-tanaman. Entri-entrinya yang sungguh menggamit amat acap memperihalkan tumbuh-tumbuhan di sekitar rumahnya.

Macam mana rasa sebenar buah nona? Pak Idrus kata seperti kastard. Sesuai dengan namanya yang Mat Salleh beri, Custard Apple. Benakku berkata, kalau betul nak tahu rasanya, kenalah beli!

Berpandukan tips Pak Idrus, tahulah aku nona yang aku beli belum masak. Aku akur: simpan dulu! Rasa teruja  dua hari kemudian  - dah masak! Aku pun bertindak menamatkan riwayat buah pertama sebelah pagi, dan buah kedua sebelah petangnya. Nampakkah 'batu tandanya'?


Enak juga buah eksotik ni. Sebenarnya enak macam apa ya? Ada seakan-akan rasa jambu batu yang sudah masak (ikut lidahkulah!). Kasar sedikit teksturnya. Apa lagi isinya yang melekat pada bahagian dalam kulit yang memang mudah disudu. Juga kulihat isi itu seperti bancuhan tepung beras yang 'basah-kering' serta agak berjeli sedikit. Jelas, ada rasa manisnya.


Terfikir aku, kalaulah buah unik ini dijual di pasaraya Tokyo, entah berapa puluh RMlah agaknya sebiji, sekalipun di pasaraya di mana aku membelinya, harganya cuma RM1 sebiji.


Pak Idrus ada berpesan, buah nona mesti dimakan dengan penuh kesabaran. Baru ada nikmatnya. Dalam setiap 'ulas' kecil isi nona, terdapat satu biji hitam. Dalam sebiji buah, ada lebihkurang 40 ulas kecil, yang bererti ada 40 biji hitamnya! Kalau tak sabar, dan kalau tak pandai melenggang lenggokkan ulas-ulas kecil itu dalam mulut, habis sahaja sebiji nona disantap, akan berlonggoklah 40 biji hitam dalam usus kita. Dibimbangi, kesan longgokan si biji hitam itu akan menyiksa saluran-saluran tertentu kita, sama kesannya seperti jika kita menikmati buah rambai dengan biji-bijinya sekali! Keperitanlah kita semasa di Tan Das!




Maaf. Tak banyak boleh kucoretkan mengenai rasa si buah nona. Yang pernah mencicipi, mungkin mahu berkongsi 'rasa'. Tapi baguslah. Buah sebesar genggaman tangan ini, indah pula pengajarannya  - sabar dalam melakukan sesuatu. Terutama, sesuatu yang sepatutnya menghasilkan satu kenikmatan. Sabar menjadi satu kemestian supaya kenikmatan yang dijangka tidak bertukar menjadi satu kecelakaan.