Friday, December 21, 2012

DARIPADA MENYEPI, CERITALAH TINGGI RENDAH

Pohon-pohon kelapa di kampung. 
Masih setia berdiri. Kupandang dari bawah.
Tinggi-tinggi belaka. Tinggi mengawan.


Barangkali, boleh juga kukata tingginya melangit.

Dilihat dari bawah,
awan dengan langit sememangnya tinggi. 


Bila di atas awan, aku melihat ke bawah, 
awan pula jadi rendah. 

Para pokok dan tanah lagilah rendah.




Kerana itu, awan pun jadi rendah memokok. 
Juga rendah menanah.

Eh, betulkah cara cakap begini?

Kalau betul cara cakapnya, masa aku di atas awan,
para pokok dan tanah di Tanah Tinggi Cameron  agaknya
jadi rendah memacam mana?

 


  
Juga jadi rendah memacam mana,
para kawah sesama pokok di Tangkuban Perahu?



 


Juga bonsai bunga kertasku yang menua,
yang selama ini, kukenali sebagai si BonsaiTinggi?


Tinggi rendah sesuatu nampaknya acap kita
gantungkan kepada dari mana kita melihatnya.

Tapi itu tak semestinya betul.

Yakah, pembaca budiman?








Tuesday, December 18, 2012

TAK MENGGAMBAR LOMBOK DI LOMBOK

Untuk sambil mengimbau zaman sama bersekolah,  
Remove Class - Form V, di Teluk Intan (1960-1965). Rakan lamaku dan
isterinya di Bukit Jelutong tiada halangan untuk makan angin bersama.

Untuk permulaan, syarat dipersetujui bersama, usah 
jauh-jauh. Sebab  alignment masing-masing pun kurang baik!

4 - 7 November 2012.Setuju.
Jom ke Lombok. Pulau Seribu Mesjid.

Kata Supirman, sudah lebih dari 1000 mesjid di Lmobok kini. Sana-sini masjid. Macam-macam bentuk dan saiz. Juga macam-macam tahap kesiap-sediaannya.
 Ada banyak jugalah gambar yang sempat kuambil. Sayangnya
aku tak ke tempat yang ada lombok (cabai) untuk mengambil gambarnya.
Jadi, taklah kupunyai gambar lombok di Lombok.
 
Untuk kenang-kenangan makan angin dengan rakan lama itu,
kupaparkan di sini beberapa keping gambar yang kupilih secara rambang.
Jangan marah ya Pak Mail dengan Che' Som. Ini kira rakaman ikut dan saja.

Majoriti penduduk Lombok adalah orang Sasak yang beragama Islam.
Kecantikan pantai Kuta, Lombok! Putih pasirnya. Tak seperti pantai Kuta di Bali yang kehitam-hitaman pasirnya.
Sebahagian daripada kawasan pantai Senggigi yang menjadi tumpuan pelancong. Pasirnya kehitam-hitaman. Industri pelancongan telah mula mengembang di Lombok, terutama dengan meningkatnya kemasukan pelancong antarabangsa. Lombok juga sudah mempunyai sebuah lapangan terbang antarabangsa baru, berumur lebihkurang setahun.

Berhampiran kawasan air terjun. Dua sahabat dan isteri tak berusaha turun ke lokasi air terjun untuk tidak mengganggu alignment masing-masing. Gunung Rinjani pun diintai-intai saja dari hotel. Takkan mampu dekati, apa lagi mendakinya!
Suka melihat cidomo (kereta kuda) kecil ini. Tak sempat menaikinya. Biasa digunakan untuk membawa barang ke sana-sini, khususnya di kawasan pekan.

Lombok memang kaya dengan pesanteren (macam sekolah pondok di Malaysia). Ada pesanteren yang punyai ribuan pelajar. Di pesanteren juga diajar ilmu-ilmu moden.

Industri kraftangan di Lombok. Penghasilan kraf dari tanah liat adalah satu daripadanya. Hasil kraftangan Lombok ada yang dieksport ke  luar negera.
 
Pasti ayu untuk hiasan dinding, atau untuk dibiarkan saja baring-baring atas meja di ruang tamu!
Kata Supirman, hari minggu adalah hari orang berkahwin. Dalam tempoh perjalanan satu jam di jalan, kami sempat menyaksikan lebihkurang 10 perarakan pengantin, di lokasi berbeza-beza. Masing-masing riuh rendah dengan sistem audio besar mereka di atas lori!
Tak sahlah perjalananku tanpa merakamkan pemandangan sebegini. Hehe, patutlah ada anak dara Malaysia yang suka ke Lombok. Serupa sangat persekitarannya. Sawah padi membentang, daun kelapa melambai-lambai.
Di kawasan kedai makan pun dihijaukan dengan pelbagai pokok buah-buahan. Restoran yang kami singgahi ini besar, 2 tingkat, lengkap bersurau dan ditambah dengan pondok-pondok makan khas untuk yang mahu berasingan. Makanan panas, dimasak mengikut pesanan. Makanan Lombok, unik dan enak!
Sekolah di mana-mana. Pelajar-pelajar yang mampu bermotor juga, macam di Malaysia.

Bumbung "restoran" yang berseni dan amat praktikal di pinggir pantai Kuta. Kemas dan lestari.
Tinggalan Belanda di Tetebatu. Tinggalan sejarah ini telah dijadikan hotel.

Mesjid "watu telu" (tiga waktu). Digunakan mengikut musim. Kumpulan "watu telu", kata Supirman, menganggap diri mereka Islam, tetapi sembahyang 3 waktu sahaja, dan percaya jika imam sudah sembahyang, pengikut tak perlu sembahyang. Tak sempat kami mendapatkan maklumat lanjut daripada penduduk di sekitar kawasan mesjid berkenaan.

Sedikit wajah Mataram, ibu Pulau Lombok. Kami tinggal di salah sebuah hotel, di Mataram. Lain kali boleh cuba hotel atau homestay di Pantai Senggigi atau Pantai Kuta. Lain kali tu, bila ya?
Semasa mahu balik ke KL, majoriti pengisi pesawat adalah anak-anak muda Lombok.

Lain kali ke Lombok, mestilah aku akan berusaha mencari lombok.
Membeli untuk ditanam bijinya. Juga menggambar ayu dan pedasnya!




Sunday, December 16, 2012

ROSSELLE! DUA-DUA LIMA RINGGIT

Kurang pua$ hati. Rosselle kecil tanpa pasu (dipasukan di rumah) 
berharga RM5. Beli kat MAHA (23 Nov - 2 Dis 2012),  di Serdang.


Rosselle yang besar dalam beg poli hitam berharga RM5 juga.
Beli kat "Jom Makan Buah" (7 - 11 Disember 2012), di Putrajaya.

Yang besar sudah berbunga.


Yang kecil pun sudah berbunga. Tapi kecillah saiz bunganya.


Memang lebih menatang rosselle yang lebih besar masa ini. 
Maka dibuang beg hitamnya. Dipindahkan dia ke tanah terbuka.


Yang lebih besar lebih disayangi sebab dia lebih besarlah!
Harganya lebih wajar. Berkemungkinan lebih cepat keluarkan hasil. 
Dan sebab penjualnya lebih murah hati.

Tapi, yang kecil tetap disayangi. Cuma "kureng" sikit. 
Sebabnya, tak pua$ hati pada penjualnya. Yang mahal hati.
Bukan salah rosselle kecil!

Rupa-rupanya MAHA juga bermaksud 
Makin Agung (pamerannya) Harga Agung (jadinya).

Friday, December 14, 2012

MUDAHKAN HIDUP 1

Mudahkan hidup. Insya-Allah. 

Antara cara-caranya, kalau punyai tanaman, kurangkan kuantiti pokok, 
kurangkan kerimbunannya, atau pupuskan terus. Kurang atau pupuslah juga tugas menjaga.

Bila malas hendak membungkus dan membuang buah pinang 
(pinang sirih) yang  penuh sebaldi lama dulu, aku tanam semuanya dalam-dalam. 
Dalam satu lubang. Dengan jangkaan tidak akan ada yang bakal tumbuh.



Rupa-rupanya, satu demi satu tumbuh. Merumpun dan
menyubur. Kuberi nama Pinang Seribu.

Dalam keletihan dibaham matahari tengahari tempohari, 
aku terfikir, kalau semua besar- tua nanti, apa jadi? 

Mudahkan hidup! Korek! Korek!

Pinang Seribu rupa-rupanya cuma 57 batang.


Sambil itu, kucabut dan tumpangkan pokok-pokok lain. Untuk diikat sekali 
semuanya. Kemudian, letakkan di pinggir jalan. Untuk tindakan Majlis Bandaran.


Memang rasa sayang.  Apa lagi kerana ini tindakan "pupuskan". 
Memang rasa kesihan. Sebab itu buat 
sikit-sikit. Usah terus gondolkan satu pekarangan rumah.

Mudahkan Hidup 2, 3 dan seterusnya, akan muncul kemudian. 
Perlahan-lahan. Supaya hati tak tercalar.

Sunday, December 9, 2012

DARI M A H A KE M A H A

Temuk beli sepokok anak Ciku Mega semasa MAHA 2010.



Bila MAHA 2012 tiba baru-baru ini (23 Nov - 2 Dis), bererti
sudah dua tahunlah si Ciku Mega tertanam di kawasan rumah.


Tak disedari, dari MAHA ke MAHA, sudahpun dua tahun.
Hasil si Mega pun nampaknya
dua juga. Dua putik. Belum boleh dikatakan dua biji buah.

Apa diharap putik di dahan
Entah membesar entahkan tidak
Entahkan jatuh diusik tupai.




Harapan mendapat lebih dari dua biji ciku Mega tetap ada.  
Pada dahan sana-sini, ada putik-putik menampakkan diri.



Salah Temuk juga. Tamak pokok. Penuh di tanam
sekeliling si ciku Mega. Mungkin itu sebabkan rindunya
kepada mentari jadi terhalang. Hingga jadi tak suburlah dia.

MAHA 2012, Temuk,  isteri dan cucu tak lepaskan peluang.




Namun, dengan pasukan rombongan sedemikian,
pendeklah perjalanan. Walau sempatlah juga membeli
sepokok anak Roselle dengan herba Rosemary.

Ingatkan besoknya ingin pergi seorang. Jelajah
yang belum dijelajah.Tapi si kaki berbisik kepada si hati,
"Tunggu MAHA akan datanglah, brother!"

Masa MAHA 2008 dulu, insya-Allah, kaki
segagah hati. Semangat sesegar pauh!




Balik ke kisah ciku Mega. Bila diyakini suria kurang 
berkomunikasi dengannya, Temuk pun pangkas terutamanya dahan-dahan 
milik si pokok kelat paya, yang menjadi penghalangnya.



Kebetulan kini, Temuk baru memulakan projek "mudahkan hidup".
Kaedahnya termasuklah mengurangkan bilangan pokok,
membonsaikan pokok, memangkas pokok, hatta membuang pokok.

Bila MAHA 2014 menjenguk nanti, Ciku Mega mungkin tinggal 
bersendirian. Atau telah ghaib, hilang tak dapat dicari, tak dapat diganti.

Gerun pula Temuk fikirkan, pada diri penanamnya
sendiri, apalah agaknya yang mungkin terjadi.









Friday, November 30, 2012

PENGUKIR ZAMAN

Sedikit kisah.

Sejarah zaman, kembang-kembang mekarnya rawan.
Berbatikkah, berbalarkah, wajah si buah yang ingin dimegah?
Sejarahnya juga, diukir daun, bukanlah dengan anggun.

Si diakah agaknya, pengukir utama?
Atau inikah barisan pengukir, peninggal kesan pahit dan getir?
Berkemungkinan, ini juga pengukir zaman.
Pengukir,  mungkinlah tiada kelihatan
Wajahnya tersimpan.

Tapi, pun apa pun, adalah pengajaran
Pun apa pun yang kita langsungkan,
Haloba sendiri, jangan
Yang lain, kenang-kenangkan.


Wednesday, November 21, 2012

UBAN TEMUK, BANYAK JUGA

 Sikit cerita uban Temuk.

Walaupun tak diendahkan tumbesarannya, banyak jugalah uban Temuk ini. 

Tuaian dari 2 pokok. Tanaman dulu-dulu, beraksi di sisi motor dulu-dulu.
Uban diolah untuk dijadikan juadah dulu-dulu juga.

Buang urat tengah. Supaya juadah tak bersabut.
 
Uban diparut. Usah terluka. Nanti jadi cerita Raja Bersiung pulak!
Perah parutan uban. Tak perlu perah hingga tuntas!
Air perahan uban, kuning. Buang. Tepung uban yang mendap, putih. Pakai.
Tepung uban. Amat hebat liatnya!


 Parutan uban + gula merah + sedikit santan kelapa + tepung uban di atas tu. Digaul.






















 Bungkus bahan yang digaul dengan daun pisang. Kukus. 


Amat tahu, kan, pembaca budiman, juadah apa yang Temuk 
sediakan dengan uban Temuk itu?