Bila kita sudah tiada, kita akan diuruskan orang. Jangkaannya, sebab kita orang Islam, pastilah kita akan dibawa ke kawasan seperti yang dalam gambar di bawah untuk disemadikan.
|
Sumber: Buku "Indahnya Hidup Bersyariat"
oleh Dato' Ismail Kamus & Mohd. Azrul Azlen Ab. Hamid |
Memang macam-macam cara orang mati diuruskan. Lazimnya, pada penghujungnya si mati dikuburkan atau dikebumikan. Maksudnya dimasukkan ke dalam perut bumi. Secepat yang boleh. Walaupun ada masyarakat yang menyimpan ahlinya yang mati untuk beberapa lama sebelum dikebumikan. Ada pula yang dikebumikan, tapi setelah beberapa tahun digali semula dan dikebumikan sekali lagi.
Ada yang apabila mati diawet sebelum dikebumikan, seperti pada zaman dahulu. Yang mati ada yang dikenakan pakaian kemas sebelum dikebumikan. Orang Islam pula, dikapankan secara mudah sahaja. Apabila telah dikuburkan, ada pula yang ditandakan kuburnya dengan cara yang mudah dan murah dan ada dengan cara yang kompleks dan mahal.
Si mati, ada yang semasa hidupnya telah menempah tempat pengkebumiannya. Biasanya di kawasan yang istimewa. Ada yang tidak perlu membuat tempahan, tetapi masyarakatnya akan mempastikan bila dia mati, dia akan dikuburkan di kawasan tertentu.
Tidak ada cerita orang ‘dikebumi’ dalam air hari ini. Kecuali masa zaman kapal laut dahulu, yang mati akan dikuburkan di perut laut. Jemaah haji yang menggunakan kapal laut dulu pun, ikut ceritanya, apabila meninggal dunia dikuburkan di dasar laut dengan cara ditenggelamkan dengan benda berat.
Ada pula orang mati yang tak dikebumikan, tapi dibakar dan abunya disimpan. Atau si mati diletakkan sahaja di atas tanah, di kawasan yang telah ditetapkan. Atau si mati dimasukkan ke dalam lubang yang dibuat di cerunan bukit, setinggi mungkin, atau di rongga-rongga dinding gua.
Memang bermacam-macam pulalah upacara atau ritual kebudayaan atau keagamaan yang dilangsungkan berkaitan dengan pengurusan si mati, sama ada si mati itu dikebumikan atau tidak.
Yang juga nak disembangkan di sini ialah, kalau dikira, untunglah orang mati yang sudah tentu akan dikebumikan di tempat-tempat yang telah dikhaskan. Sebabnya, ada kumpulan-kumpulan orang yang sudahlah masa hidupnya susah, semasa mati pun tak ada tempat yang sempurna untuk pengkebumian.
Jadi yang ada tanah khas, walaupun berbayar, wajarlah berhemah dalam menggunakan ruang. Tambah-tambah di kawasan baru. 'Pembaziran' perlu dielakkan. Contohnya, janganlah kalau di sesuatu kawasan boleh digali tiga ruang perkuburan, digali untuk dua sahaja, atas alasan ‘biar lapang’. Kalau di kalangan kita yang beragama Islam, lapang tak lapang kubur seseorang yang mati itu bukanlah bersandarkan kepada ruang fizikal sebenar persekitaran kuburnya.
Saja nak berkongsi kisah penduduk miskin di Daerah Navatos, Filipina. Mungkin ada yang telah membaca mengenainya. Komuniti yang mahu mengkebumikan ahlinya yang mati ini tak dapat berbuat demikian kerana ketiadaan tanah. Yang mati ‘dikuburkan’ di dalam 'kotak-kotak konkrit', yang disusunlapis seperti rumah pangsa. Di atas ‘perkuburan’ itu jugalah orang tinggal dan menjalani kehidupan mereka sehari-hari. Cukup lima tahun, si mati perlu dikeluarkan bagi memberi ruang kepada yang lain. Tulang temulangnya diselerakkan di kawasan itu juga.
Sumber maklumat dan gambar: STARTWO,
Akhbar The STAR, 12 Julai 2010.
Syukurlah kita orang Islam, yang mempunyai kepercayaan 'berasal dari tanah' diwajibkan untuk 'dikembalikan' ke tanah semula bila sampai masanya, yang dikhaskan kawasannya, sehingga dibangkitkan semula pula kemudiannya oleh Allah Maha Pencipta.