Namaku Pauh. Nama masyhurku, Mangga.
Tuanku kata, semasa aku masih kecil, aku ditempatkan di tempatku sekarang ini untuk jadi payung. Untuk sejukkan persekitaranku.
Hidupku ada turun-naiknya.
Teringat, sedang cantik membesar, tuanku menyewa kanopi, mengendurikan anaknya. Antara yang jadi mangsa, akulah. Dahan-dahanku dipangkas si pemasang kanopi.
Aku jadi terkencat. Lama juga baru pulih.
Sukar bagi aku menggemukkan batang tubuh. Sebabnya, tanah di bawah amat-amat kaya dengan batu-batan. Ada yang begitu keras sampai sudah berkaca-kaca.
Lagi pun ramai pengganggu. Macam para penjahat di bawah ni. Pucuk-pucuk mudaku memang jadi salad yang enak bagi mereka.
Syukur aku sudah pulih sekarang. Lihat, sampai jadi mabuk daun. Tuanku kata, aku gila daun!
Kini tuanku kata, selain jadi payung, aku juga patut keluarkan hasil. Buah, buah, buah! Mesti panjang-panjang macam daunku tu, kata dia.
Pasal daunku panjang, macam belalai, tuanku pernah beri aku nama "Belalai Gajah".
Pengalaman berbuah pertamaku, beberapa biji gugur ke bumi. Jatuh dengan senyum "delima merkah", macam di bawah ni!
Ada lagi buahku yang macam di bawah ni. Tinggi. Tuanku tak berani membungkusnya. Buah-buah ini boleh jatuh. Dengan senyuman jugalah nanti!
Tuanku berusaha bungkus buahku yang rendah-rendah ni. Insya-Allah ada harapan.
Kata tuanku, mengikut kepercayaan orang-orang tua, aku kena dimalukan sikit. Supaya akan datang nanti aku boleh berbuah elok. Juga banyak!
Jadi, buahku yang tak menepati KPI dipamerkan jelas-jelas dalam kepitan cabangku sendiri. Untuk seluruh alam tontoni.
Mengikut kepercayaanku, mungkin pinggan besar pada bumbung ni sebabkan buah-buahku tak come lote. Juga mudah terjun ke tanah. Juga tak banyak kuantitinya.
Tapi aku pokok. Tak sekolah pula tu. Takkan ada yang nak dengar pendapatku. Apa lagi percaya.
Pandangan pokok-pokok lain, apa lagi para penanamnya, macam manalah gerangannya?