Tuesday, March 27, 2012

BONSAI BETUL, ORKID, dan BONSAI TAK BETUL.

Tengahari kelmarin (26 Mac), aku ke Taman Botani Perdana, KL. Jalan-jalan, sambil melihat "Pameran Bonsai dan Orkid Kuala Lumpur, 2012" di situ.
 
Masa sampai, tak begitu ada pengunjung.  Mungkin orang menunggu 27hb., hari akhir (pameran bermula 23hb.).  Pada hari penghabisan kita boleh membeli jualan dengan lebih murah!

Jemputlah layani beberapa gambar bonsai berikut yang sempat ku ambil. Ku panggil "Bonsai betul" sebab betul melibatkan penanaman (sai) pokok kecil,  dalam pasu rendah (bon)!









 
Juga, silakan, nikmati beberapa gambar orkid.
  
 
Dalam pameran yang ku datangi itu ada juga "bonsai tak betul" (istilah aku saja ni).  Bonsai jenis ini tak masuk dalam skop pameran.  

Kita istilahkan "bonsai tak betul" pasal tak macam "bonsai betul". Tak melibatkan penanaman pokok kecil dalam pasu rendah.

Bonsai tak betul boleh jugalah kita panggil "tanahsai",  penanaman pokok (yang tak betul-betul kecil) atas tanah, bukan dalam bekas rendah!

Alahai, mengusutkan kepala! Mungkin lebih mudah kita panggil "bonsai besar" sajalah semuanya.tu.

Silalah tatapi wajah-wajah bonsai besar di bawah yang sempat ku tawan.


 
Bila cerita khususnya hal "bonsai betul", terlintas pula dalam hati, setianya pokok yang dikecilkan itu kepada tuannya. Dia di"bega", dikawal, juga disempitkan persekitarannya. Batang tubuhnya dipulas, dilentok, dilentur,  diikat-ikat, hatta dikerdilkan; namun, ia tetap memperagakan ketenangan, keanggunan, juga kewangian bunganya.



Saturday, March 24, 2012

CERITA NYACI

Ini cerita NYACI. Tapi bukan cerita siapa "mencaci" siapa.

Terkejut juga. Bulan ini sudah dua kali "depa" datang, dalam jangka masa tak lebih 
dari 10 hari! Efisiennya!

Tentulah depa datang dengan aspenya-aspenya, aka asap pembunuh nyamuk!


Teruk juga lubang hidungku + hidung yang lain-lainya, ditusuk aroma  aspenya. Tahu saja dia meresap masuk ke dalam rumah melalui entah celah-celah apa.

Pertama kali depa datang, kebetulan,  para ciliku baru saja belajar masak. Mesti 
depa pun lemas dikerumuni aspenya si  "semburman". Tapi yang lebih penting, 
apa nasib buah yang sudah nampak anggun tu?

Seorang teman, Dr.J, kebetulan mantan pegawai yang menjaga geng penyembur
aspenya di daerahku satu masa dulu, beritahu yang  cili tu boleh digunakan jika
tidak rosak, selepas seminggu terkena kesan aspenya.

Tapi takut jugalah. Sampai hari ini belum ku tuai cili-cili ranum tu.
Entah-entah aspenya boleh jadi aspeo (o=orang!). 


Bila depa datang kali kedua baru-baru ini, cepat-cepat aku tukarkan
rimbunan cili-ciliku menjadi hantu busut.


 Mungkin hantu busut terkena aspenya lagi! Tapi mungkin sikitlah.
Nampaknya tambah lagi seminggulah tempoh baru boleh dituai. Sementara itu 
mungkin akan luruhlah agaknya cili-ciliku,  bergelimpangan di tanah!

Malah, dek terlupa nak buka baju hantu-hantu  busut tu,
banyak pucuk-pucuknya yang layu.

 Dek kepanasan setengah hari besoknya dalam baju hitam,
nampaknya cili-ciliku terpaksa kesengsaraan sekarang.
Sudah mati pucuk pula nampaknya! Alahai!


Sebenarnya sehari saja selepas geng penyembur datang, kali pertama dan
kedua, nyamuk sudah pun bermastautin semula di kawasanku.
Depa memang suka bermukim di sini.

Apa pun, dalam bilik-bilik di rumahku, tetaplah ku pasang 
"pemikat hati nyamuk" macam di bawah ni.



Sesekali dibuka, puas juga
hati memandang hasilnya. Tak payah
sembur-sembur.
Bergelimpangan para nyamuk macam udang
kering.  Dan tak ada apa-apa pun tusukan 
aroma ke lubang hidung sesiapa.

Begitulah cerita NYACI. Cerita nyamuk dan cili.
Tak tahulah apa eloknya, apa tak eloknya!








Monday, March 19, 2012

BELUM SAMPAI HATI

Mengapa kawasan rumah terus 'semak samun' dengan pokok (dan diri terus berasa keletihan mengelolakannya)? 

Kerana (1) jenis tanaman terus ditambah; (2) pokok yang sudah dicabut atau pangkasan pokok (sepatutnya dipupuskan) di tanam balik di ruang lain; dan (3) bila kawan suruh 'tutup mata', buang mana yang dah tak perlu, aku setujui tapi tak akuri. 

Dari tinggi setengah meter pokok mambu ini ku jaga. Memang hajat mendapat teduh darinya termakbul. Malah cabangnya setia memegang tali buaian kegemaran cucuku.

 

Tapi lihatlah akarnya. Dah mula berdatuk maharajalela.  Dah jadi macam Badang, meninggi-rendahkan jalan masukku, sesuka hatinya!


Yang si mata kucing ni pula, memang nampak semakin mengembang. Cepatnya! Bagusnya, jadi teduh kawasan pondok sebelahnya. 

Tapi, jadi 'semak' pula kawasan di bawahnya bila dedaun keringnya mula turun beramai-ramai. Longkang pun disumbatkannya. Dan kuatir pula kalau dia mengganggu pandangan dan kawasan jiran.


Sebab terlalu kaya dahan + mabuk daun, pernah si mata kucingku ini sekah dahannya tak lama dulu. Letih juga aku mengemaskannya. 

Dan sekarang ni masih ada peluang besar dahan-dahannya yang lain sekah. Kali ini pula, memang banyak dahannya yang menurun, sebab lebat putiknya.


Kesihan juga kalau dipangkas. 

Nantilah lepas dituai buahnya (oleh penanam + lebih banyak oleh tupai). Masa tu bolehlah sampaikan hati untuk bertindak. Boleh menjadi lapang sikitlah kawasan tu nanti.

Dan nanti, sampaikan juga hati, buang habislah pula si pokok mambu. Tak boleh setakat pangkas, sebab bahaya akarnya. Sementara waktu, gantunglah buayan di dalam stor!

Friday, March 16, 2012

CERITA CILI


Suka-suka semai biji cili.  Bila sudah tumbuh setinggi lebihkurang 3 inci,
aku pindahkan ke dalam beg tanah. Dapat 5 pokok.

Alahai, bila sudah berbuah, nampak tak anggun pula duduk dalam beg tanah tu.


Kalau begitu, kena tukar bajulah, kan? Biar ayu bergaya.



 Ha, kan molek sikit! Sekarang 4 berbaju plastik hitam + 1 berbaju pasu tanah.



Semuanya kena duduk tinggi-tinggi tu supaya sang siput kempunan!

Ha, hari ni, yang sepokok sudah 2 biji buahnya masak. Paling dulu masak!
Yang sepokok lagi nampaknya baru sebiji buahnya yang masak.
(Tuan kebun pula, dah tak sabar-sabar nak pamerkan)

 


Mungkin kerana penyakit dalaman, atau kerana kembung dek aku terlebih beri minum,
pokok yang dah 2 biji masak buahnya itu melayu (tak menjawa, hehehe).
Pokoknya longlai lesu. Daun-daunnya menguning, kemudian jatuh. Sedih!

Dalam pada itu, ku perhatikan dari awal lagi, memang ketara kehebatan
serangan para penjahat terhadap pokok-pokok ciliku.
Lihat apa mereka lakukan ke atas (ke bawah, sebenarnya!) dedaunnya.

 

Supaya tak kempunan menikmati "hasil pertama", semua buah dari pokok yang
melayu ku petik. Dapat 22 biji! Hirisan bebarapa biji darinya + ricihan bawang + kicap lemak manis menghasilkan "sambel kecap" istimewa di bawah ni.


Hati memang teruja nak tunggu semua buah cili yang lain ranum di pokok.
Nampaknya tiap hari kenalah rajin buat inspection. Kena pastikan serangan penjahat
ditangani dan ditumpaskan. Senjata utamanya, semburan air sirih.


Kira green technology lah air sirih tu. Sambil pastikan ada kelangsungan amalan green pocket!

Sebenarnya, main-main menanam cili ni tak juga hijaukan poket. Kalau dikira
cost-benefitnya (macam projek besar 1M pula!), memang tak berbaloi. 

 Kiralah, kos tanah + baja + beg + tenaga + masa. Duit minyak cari barang
+ makan rojak dengan minum cendol lagi, semasa cari barang!?

Tapi keseronokan dengan pengalamannya, itulah pulangan yang bernilai tinggi.


Tapi, kalau sungguh-sungguh, banyak beg pokoknya, sistematik kaedah penanaman
+ penjagaannya ( + rajin + sabar), insya-Allah,  pulangannya baik.
Kalau tak dijual pun, jiran-jiran bolehlah diberi cili percuma, jika sudi.

 
 

Kalau aku belajar sistem fertigasi, kemudian gunakannya, mungkinlah aku boleh
menanam 100 beg. Itu barangkali boleh juga kita panggil "penanaman beradas"!