Sunday, June 26, 2011

BARISAN.......... BUKAN BULAN

Hatiku berbisik sendirian, ‘Kalau disuruh buat pilihan antara Barisan dengan
Bulan, tentulah aku pilih  Barisan. Bukannya Bulan.

Bukan apa, sebabnya Bulan tu terlalu tinggi. Susah nak digapai. 
Tak mungkin tercapai. Kalau pilih pun takkan dapat!

Barisan tak begitu. Lagi pun Barisan memang sudah jadi sebahagian
daripada hidupku bertahun-tahun. Ini Barisan jenis
'belum dipanggil sudah menyahut, belum diundang sudah datang'.

Maksudku, Barisan Cucuku,  yang wajah masing-masing ingin kuabadikan di sini.
  
oo0oo
  ooo08*OO**000**OO**80ooo

Yang ini semua, Barisan keturunan anak lelakiku yang sulung.
Kini menetap di Bandar Seri Putera, Bangi.
   
Faiq (Ayong): 8 tahun.
Iz Farish (Angah): 6 tahun
Emir (Ayang): 4 tahun
Ilm : 2 tahun
Ramai, ya? Insya-Allah hujung tahun datang seorang lagi pula! Mudah-mudahan 'perempuan'!



Yang berdua ini pula, keturunan anak lelakiku yang kedua. 
Bila babah dengan mama balik dari cuti belajar, semua pakat duduk
riuhkan rumah Tak Wan dengan Tok Umi, sementara menunggu rumah 
siap hujung tahun ni. Insya-Allah.

Nadia Farhana : 6 tahun
Nadeem : 1.5 tahun

Gambar emak-bapak depa-depa tak payah tayanglah. Gambar Tok Wan dengan
Tok Umi pun tak payahlah juga. Sebab ini khusus cerita Barisan Cucu.


Anakku yang ketiga, satu-satunya anak perempuan, belum punyai cahaya mata untuk
menjadi ahli Barisan Cucu yang sedia ada. Insya-Allah datanglah juga nanti.

Eh, takkan berat sebelah! Cuma pilih Barisan saja? Pilihlah juga Bulan!
Baik, baik. Lain kali boleh cerita Bulan Cucu pula.

Friday, June 24, 2011

DI MANAKAH MEREKA..... BAGAIMANAKAH MEREKA?

Bila kulihat gambar-gambar lama itu hatiku jadi tertanya-tanya, di manalah agaknya mereka sekarang. Bagaimanalah agaknya mereka, dan bagaimanalah agaknya perkampungan mereka masa ini.


Bersama tiga orang rakan, aku ke perkampungan mereka kira-kira 15 tahun dahulu. Yang dijengah itu adalah sebuah perkampungan suku kaum Temiar, terletak di sekitar Grik, Daerah Hulu Perak. Buat apa tu? Penyelidikan kecil, sambil yang lebih penting,  'ziarah dan belajar'.

Yang bersamaku ke perkampungan mereka, tahulah aku di mana mereka sekarang, juga bagaimana keadaan mereka.....(Maaf ya, gambar-gambar berikut diambil 180 bulan dahulu, dan telah digambar semula!)
Dr. M'arof belum (tapi mengidam nak sangat) pencen. Dia ni gemar betul menulis buku.
Dr. Zahid dah pencen. Jaguh makan angin, dia ni. Nak menetap di Cameron Highlands lepas raya 2011.
Dr. Ghaz ni amat suka menziarahi orang, sesiapa saja. Juga kampung-kampung, di mana saja. Dah pencen. Kini bertugas di sebuah kolej di Brunei.


Berbalik ke kisah perkampungan tadi. Apa kabar agaknya Tok Batin? Apa kabar cikgu-cikgu? 

Tok Batin di tengah-tengah. Temuk di sebelah Cikgu berkepiah putih
Sudah ada api air sekarang ni? (Tapi air hutan-bukit kalian pasti lebih mengancam. Aku pasti memilih yang itu!).




Telah adakah jalan tar di kawasan kampung? Mungkin juga berasaskan analisis cost-benefit, tak wajar dibina. Aku tahu, lebih mahal dan sukarlah untuk dibina jalan besar bagi menghubungkan kampung pendalaman itu dengan pekan atau bandar. 

Tak mengapa, jalan air ke daerah terpencil itulah yang pastinya lebih memikat dan menguja para pengunjung.



Agaknya perubahan apalah lagi yang sudah berlaku di kampung Tok Batin tu ya? Mesti macam-macam. Agak akulah.

Mungkin, antaranya, kampung sudah tak gunakan telefon solar lagi. Mesti ramai yang sudah ada telefon dalam kocek! 

Sudah ramaikah yang tinggal di kampung, termasuk para cikgu dan orang-orang Jabatan Orang Asli yang bekerja di situ gunakan komputer? Mudah-mudahan begitu. Kan ini zaman 'tanpa wayar'!


Pokok-pokok getah sekeliling kampung sudah diganti dengan pokok lainkah? Atau sudah ditanam semula? Kalau dijaga baik-baik, zaman-zaman ni boleh bagus juga hasilnya tu!

Para belia yang kacak dan manis ni semua pula, apa kabar kalian?






Aku jangka mereka semua dalam lingkungan umur akhir tiga puluhan sekarang ni. Mungkin semuanya sudah pun berkeluarga dan beranakpinak, sudah berpindah, atau telahpun bekerja di tempat lain. Tak tahulah pula kalau mereka tak gemar berhijrah.
   
Dewan yang disediakan oleh Jabatan Orang Asli amat berguna sebagai tempat mereka berkumpul, bermesyuarat, dan melangsungkan apa juga aktiviti untuk kepentingan bersama.
Namun, dalam hatiku, kumpulan yang di bawah inilah yang ingin sangat kuketahui mereka di mana, mereka bagaimana. 

Sekolah di perkampungan hutan....
 Doaku, mereka mampu menjadi golongan yang terus cintakan ilmu. Semoga ada di kalangan mereka yang telah melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi, hatta universiti. Mudah-mudahan ada dari kalangan mereka yang berkeupayaan mengambil bahagian dalam arus perdana pembangunan negara.
  

Tak lekang dalam ingatanku, dari ziarah dan penyelidikan kecil itu juga, adalah 'rumah sewang' penduduk di perkampungan itu. Bagiku, rumah sewang itu adalah juga satu perlambangan penting kehidupan kelompok pemiliknya.

Masih dibinakah ia, yang maksudnya juga ialah, masih bersewangkah mereka?


Bersewang merupakan upacara 'minta selamat' pada 'kuasa luarbiasa'. Aku dan 
rakan-rakan tak sempat melihat upacara itu dilangsungkan beberapa hari sebelum kami sampai.

Aku teringat hingga kini, kesungguhan mereka mendirikan rumah sewang itu amat ketara sekali. Samalah dengan kesungguhan mereka untuk mengecap 'hidup selamat'. Rapi benar mereka membilah buluh dan menata bilah-bilah buluh itu sebagai lantai. Sama jugalah kerapian mereka mengikat kepingan-kepingan bertam yang telah disemat kemas sebagai bumbungnya.
Lihatlah rapinya buluh dibelah-belah, dan rapinya bilah-bilah buluh ditata dan diikat.
 Bayangkan enaknya mimpi bila kita lelapkan mata di rumah sedemikian. Berpayungkan pohon buah-buahan dan hutan yang hijau di sekelilingnya..... dan beratapkan bertam sejuk yang disemat padat. Sambil diuliti pula oleh kicauan burung, dan angin segar tanpa batas, tanpa pencemaran!

Atau bayangkan selesanya duduk bersila beramai-ramai di situ, menikmati (atau disiksa!) masakan Pak Temuk.....Masakan masa di perkampungan itulah! (Sekarang memang jarang ke Jabatan Dapur kerana kurang peluang dan mood!).

Temuk tak lupakan pengalaman jadi chef semasa di perkampungan tu. Dia menghuni dapur, hanya apabila 'tak ada siapa-siapa di kawasan  itu' dan 'angin'nya betul! Dia tetap penggemar tegar kawasan berpokok!

Dalam mengenang kampung pendalaman yang pernah dijenguk itu, berdetik juga dalam hati kisah maju mundur diri kita.

Kita selalu kata, kita mengalami pemodenan, pembangunan, kemajuan.....mengikut acuan kita sendiri.  Itulah yang terutamanya para pemimpin kita selalu sebut, pun mungkin tanpa mereka hayati tafsirannya. 


Ada yang musykil, macam mana rupa acuan kita itu. Ada yang meyakini, acuan itu sepatutnya mempastikan pengekalan nilai dan tradisi masyarakat, kerana itulah sahaja yang boleh menonjolkan siapa kita sebenarnya. Jika demikian mungkinkah pemodenan, pembangunan, atau kemajuan dapat berlangsung dengan hebat?

Sunday, June 19, 2011

MENTARI PECAH DI BAGAN DATOH

Sudah bertahun aku merancang untuk mengambil gambar 'mentari beradu' di jeti Bagan Datoh.

Selalu kugambarkan dalam kepalaku .....sang mentari yang beradu itu terpampang, pra-dakapan malam, sebagai sebiji bola agung yang merah, tapi redup.....bertahta mantap di muara sungainya.....Sungai Perak. Dan dia akan jadikan langit senja sekelilingnya sebidang tirai luas, yang keindahannya pasti bakal diendahkan.
Dan baru-baru ini hajat menggambar itu terkabul.

 
 
 

Cuma, mentari beradu memecahkan diri..... Tak membola ia rupanya petang itu.

 
Belum ada rezeki, nampaknya, untuk menonton mentari yang kugambarkan, yang kuharapkan. Yang membulat merah.....memukau, redup, dan  akur kepada taklukan malam.

 
Lain kali, kan ditunggu lagi mentari beradu. Bilalah agaknya.....

Dan kalian yang arif akan gelagat mentari, mungkin ada panduan untuk penggambar memenuhi hajatnya.

Saturday, June 18, 2011

ITU SUSU LEMBU..... USAH KATA SAPI PUNYA

Eh, macam mana pula si Kantan ni boleh keluarkan bunga hijau? Lain macam rupa bunganya ni!




















Sebenarnya, yang mana satu bunganya? Yang sekepal hijau inikah?




Atau mahkota-mahkota putih atas kepalan-kepalan hijau ni?


 











Kemudian aku sendiri sedar. Teringat. Mana pula Kantan berbunga macam tu!

Rupa-rupanya, di celah-celah Kantan ada beberapa batang pokok lain. Tak serupa walau sewarna. Tak sempat pula nak kucari namanya di Jabatan Pendaftaran Tumbuh-Tumbuhan. Tentu ada rakan-rakan yang boleh membantu mengenal pasti siapa dia.


















Si Kantan patut segan. Yang menyelit-nyelit tak begitu kelihatan pun banyak bunganya. Bermahkota pula tu!

Monday, June 13, 2011

AKHIRNYA AKU MENYIMPANG.........

Hajat sudah lama tertanam. Sudah berpuluh-puluh tahun. Ingin sangat menyimpang ke arah itu! 

Akhirnya, pada petang 3.6.2011 yang lalu, ikut kata hati, aku pun menyimpang! Arah ke kiri!


Insya-Allah aku akan sampai ke Kg. Sg. Samak. Nak tau, ia terletak di Mukim
Hutan Melintang, Daerah Hilir Perak. Untuk apa? Saja-saja. Memang aku suka melihat
kampung-kampung orang. Untuk tengok terutamanya depa buat apa?

Eh, ada Bagan Lalang juga kat sini, ya? (Teringat Bg. Lalang di Banting).
Yang namanya Sg.Manila pun ada? Orang kat sini berasal dari Filipinakah?
Oh, boleh tengok juga ni nanti. Cari Sg. Samak dulu. Kot ada masa 
nanti (tak suka gelap kat jalan!) bolehlah  jenguk kampung-kampung yang lain tu.

Oh, tanaman kelapa sawit rupanya di kawasan ni. Wah, wah, zaman-zaman begini pastilah
semua pemilik kebun di kawasan ni 'loaded'. Ada yang ternak lembu pula lagi.

Tanah orang-orang kat sini mestilah besar-besar, berhektar-hektar.
Tanah aku saja yang luasnya berpasu-pasu. Cuma spesialnya, tanah aku tu tanah
bakar, beradun tanah berbaja pula tu..... untuk para bungaku.

Oh, nampaknya aku 'on the right track' ni. Nampak jalan ke arah sekolah
Sg. Samak. Tapi tak payah singgahlah. Budak-budak pun cuti.

Eh, ada Kg. Sg. Bugis pula? Penduduknya keturunan orang
Bugiskah? (Tak banyak kutahu pasal orang Bugis). Banyaknya kampung kat dalam ni!
Mengapalah Pak Majlis Bandaran (diakah yang jaga?) tak letak semua nama tu
kat sign board tempat aku mula menyimpang tadi? Senang orang tahu ada
kampung-kampung lain kata dalam ni.



 Eh, eh.... Yang mana sebenarnya Kg. Sg. Samak ni? Sepanjang jalan besar inikah? 
Baru kusedari, kat kampung ini rupa-rupanya ada banyak sub-kampung. Sub-kampung ni
diipanggil 'tebuk'. Aku pernah diberitahu yang tebuk (disebut sebagai 'tebok') juga
bermaksud jalan utama di kampung yang di kanan kirinya berbaris jalan-jalan lebih kecil.

Sebenarnya, dalam aku 'menceroboh' masuk ke Sg. Samak, memang ada juga
hajat sampinganku. Kalau boleh, sambil nak locate seorang teman lama.


Tapi, alahai, besarnya Sg. Samak! Ikut congakku, ia sebesar Kuala Lumpur.
Entah-entah besar lagi. Kat tebuk mana kawan ni? Macam mana nak jejak?

Kepala pun cuba berfikir.... kena cari masjid. Masjid mesti kat tebuk utama.
Tebuk utama tu central area. Mesti boleh bertanya hal kat situ.
 

 
 
 

 Bila kutanya orang-orang  yang tinggal dekat Masjid Sg. Samak, dapatlah kuketahui
tebuk (sub-kampung) yang ingin kujejaki. Di situlah rakan yang kunyatakan
tadi. Aku pun segera ke situ.


Dan aku pun sampailah ke destinasi khusus yang sudah berpuluh-puluh tahun ingin kusinggahi.


Alahai, tak ada rezeki ketemu temanku masa tu. Dia baru keluar rewang  
di kampung berdekatan. Aku dapat berjumpa anak bujangnya.Sempatlah kuceritakan sedikit
tentang diriku dan bapanya. Dulu, kami sekelas, masa mula-mula masuk
sekolah di Telok Anson (Teluk Intan), dan sama-sama tinggal menumpang 
di rumah seorang anggota polis, berdepan dengan stesyen bas.

Tak lupa, kudapatkan nombor telefon rumahnya sebelum beredar.


 Eh...... ada masa nak masuk ke satu kampung lagi ni  - Sg. Manila.
Sebenarnya, kenapa namanya macam tu, ya? Baguslah dapat sampai, dapat jenguk.

Alamak, ada dua pula Sg. Manila! Kepala kata, pergilah ziarah yang no. 1. Tentu itu
yang lebih established.Yang satu lagi, searah dengan Sg. Bugis tu, boleh dijengah lain kali.


Walau tak turun dari kereta, aku sempat memotret 'subjek-subjek' berikut.
Termasuklah wajah jalanraya Sg. Manila yang (aku takjub) amatlah lebar tu! 




Tengok pada zahirnya, aku yakin, macam juga di kawasan Sg. Samak tadi,
warga Sg. Manila tentu hidup mewah. (Hai, kalaulah aku juga berkebun kelapa sawit 
dan berlembu!).  Sempat aku curi tangkap gambar sebuah rumah yang mencuri hati 
(maaf ya tuan rumah....) dan menggambarkan kemewahan dan ketengangan hidup di kampung.





Dan bertebuk-tebuk jugalah Sg. Manila ni. Gedine kampung iki! Gadang bak
Kolo Lompo jugak eei.


Hari semakin menyenja. Keluar dari Sg. Manila, aku terus menuju jalan besar
Teluk Intan-Sabak Bernam untuk meneruskan perjalanan ke Bangi.

*****  


Syukur, dua tiga hari selepas singgah ke rumah tanpa menemuinya,
aku sempat menelefon teman yang 'sambil-sambil' ingin kujejaki itu.
Apalah cerita-cerita ni nanti .... begitu kata hati. Lebih 45 tahun tak jumpa!
Tapi, kemungkinan besar dia sedang sibuk masa
kutelefon itu. Dapatlah  bercakap dalam tiga empat minit.

Sambil-sambil cerita ni, hendak juga kuabadikan gambar kelas pertamaku
di Telok Anson tu (sekarang Teluk Intan).  Sudilah tengok kat bawah ni. Sekolahnya:
Anglo Chinese School. Kelasnya: Remove Class. Masih teringat aku
hingga sekarang, peri takutnya aku masa tu, masuk ke sekolah orang putih!

Manis kan class teacherku tu? Namanya Mrs. Paul Castor.

(Rakan-rakan di barisan terdepan, dari kanan - Masmuda, Malek, Temuk, Shamsudin,
Kamaruddin, Jamil, Ramli, Yang kujejaki, Muhamadiah, dan Marmono)


















(Gambar di atas: Persatuan Agama Islam, ACS Telok Anson, 1963)

Sudah bertahun-tahun juga aku telah 'tan' untuk menyimpang ke kampung-kampung lain 
sepanjang Jalan Sabak Bernam-Teluk Intan. Malah sepanjang jalan bermula dari 
Kuala Selangor lagi. Insya-Allah boleh lihat kampung dan kehidupan orang lain. 
Insya-Allah kita akan seronok hati dan belajar .