Friday, February 22, 2013

APE DEPE BOLEH BAGI?

Ape depe boleh bagi? Depe tu, bende yang kat bawah ni le. 
Yang ade kuceghite dalam entri lepeih.
Ade lebih kughang 50 ketoi tu. Bile dah kutanak depe tu 
dalam ayo (biji dalam kubuang le!), campo gule baghang sekilo.......


Kemdian, bile dah sejuk, tapeih elok-elok..... nilah diye 
yang depe bagi aku. Kalo dicampo dengan ayo,
boleh le kot jadi 4 kali gande banyaknye. Ok le tu,
untuk oghang macam aku yang tak suke maneih-maneih.
Bile kumasukkan dalam blender, kelopak-kelopak depa 
yang memang dah nak hanco kene rebuih, yang 
telonggok dalam penapeih, campo gule sikit, kemudian 
tanak lagi sekejap, dapat pulak aku bende kat bawah ni.

Jem ke, ape ke, tak kighe le. Asei boleh kusapu pade ghoti!

Bende home-made ni kighe pure betoi. 
Tulin bebeno. Tak ade pengawet. Tak ade 
campo ape-ape. Kecuali gule dengan ayo.

Pasei tu, tentu le tak tahan lame.

Tak payah tahan lame pun tak ngape. Pasei dalam 
seminggu ni habeh le bende tu  oghang sapukan ke ghoti.

Tuesday, February 19, 2013

DARI MAHA KE MAHA

Memang nak kena rekodkan jugalah ni. Sebab ini cerita 
"pencapaian"nya. Walaupun ia mungkin tak sehebat mana.

 
  Dalam 4 anak pokok, yang entah apa namanya,  yang kubeli semasa 
MAHA 2010, ia saja yang hidup. Ini "pencapaian"nya, insya-Allah.

Menjelang MAHA 2012, November-Disember yang lalu, 
tersaksi ia sudah bertukar menjadi rumpun. Ini juga pencapaiannya.

Februari 2013 menyaksikan rumpunan ini memperagakan 4 
kuntum bunga perintisnya. Ini pencapaiannya yang amat kura'ikan!

 
  Macam ada sedikit aroma pada kuntum-kuntum ini.
Mengikut hidungku, ada aroma bunga kerak nasi. Juga vanila!

 Pakar orkid, mohon nasihati, mungkin ada masalah
keterujaan hidungku ini. Atau "over-excitement"
di hati, setelah dua tahun menunggu?!

  Pada si merah jambu di bawah ini,  juga entah apalah
nama sebenarnya, tidak pula dapat kuhidu apa-apa aroma.

Tapi, walaupun tanpa aroma, kulihat ia amatlah
serasi berjiran dengan si rumpun yang baru berbunga.

Sunday, February 17, 2013

RUGI BESAR

Daripada kesemua anak rosselle dalam polibeg yang kupindahkan
ke tanah beberapa minggu yang lalu, hanya 50 peratus yang hidup.




Bayangkan, 50 peratus mati! Kira rugi besarlah aku musim ini.



Kesihan si rosselle yang mati. Nak juga cuba tinggalkan 
zuriat. Tapi nyata kerdil kualitinya.



Yang 50 peratus hidup subur, hasilnya memang memuaskan. Dari sepokok 
saja kelmarin, lebih 50 kuntum bunga rosselle telah kukutip.

Dari longgokan itu, rasanya,  boleh kusediakan nanti
sekurang-kurangnya 4 liter air gula rosselle.

50 peratus pokok mati! Rugi besar tanaman kali ini. Tak mengapalah.

Kukata tak mengapa. Sebab 50 peratus itu adalah dari sebanyak dua
pokok yang sebenarnya kutanam musim ini. Untuk seronok-seronok.

Sunday, February 10, 2013

PELAJARAN DARI MEMUPUS MAMBU

Dalam paparan sebelum ini, sudah ada cerita Mambu yang kukorbankan. 
Mula-mula, cantas-cantas dahan saja. Aku kata, usah bunuh. Tengok dulu.


Bila akar dah ketara merungkai jalan, dia kuracun. Dalam beberapa
hari, kering kontang daunnya. Banyak yang bertebaran di bumi.


Namun, batangnya tak sempat kontang. Pemandangan dah jadi 
kurang ayu. Segera kubawakan kapak, berkawankan parang.














Tak habis pun kapak, tak payahlah berbeliung. Tapi ketajaman kapak tetap terusik.


Parang bukan berasal besi kharsani. Sehari dagang menggalas, jejak ditikam dia ketawa! 

Tapi untuk melapah si Mambu,  walau tak sebisa Keris 
Sempena Ganja Iras, kuasa parang memang memadai.

 
Terhasillah "kayu api" yang bakal kuikat untuk 
Pakcik Bandaran. Kalau terlonggok bahan begini dalam zaman 
50-an dulu,  tentu senyumlah ibu melihatnya. Seronoklah hatinya, 
melerek bahan bakar untuk bertanak, berikat-ikat dikumpul anak!

Kata seorang rakan blogger tak lama dulu, daun Semambu boleh jadi 
baja pokok. Maka taklah ia kubungkus untuk Pakcik Bandaran.

Antara yang kuturapi dengannya, dengan harapan menjadi subur 
dan berhasil baik, adalah si Ciku Mega. Juga Pinang Raja, bersama Lily
hijau.   Tapi semenggahkah kaedahnya, hanya longgok daun di perdu pokok?!

 

 

 
 
Eh, pelajaran apa dari memupus Mambu?

1. Fikir jangan setengah masak (tapi masak-masak) bila hendak menanam pokok. 
Supaya jangan baru saja ditanam - jenis dipilih pecut merendang - belum pun hinggap burung 
yang terbang - panas matahari belum terhalang  -  pokok sudah nak kena tebang! 
Kesian belanja, kesian tenaga, kesian masa.

2. Usah seronok-seronok meracun pokok. Cuba kira duit racunnya, ingat hitung 
letih meracunnya, mesti jangka bahaya racunnya, juga gambarkan selerak sekelilingnya!

3. Lebih baiklah pokok segar ditebang terus. Usah dibuang racun, duit dan tenaga.
Sembamkan pokok ke tanah,  kala segar. Lembut batangnya,  lembut dahannya, Walau
guna kapak dan parang, taklah banyak sakit belakang. Kuranglah meraung sendi dan tulang.



Monday, February 4, 2013

DARI REMPUHYEK KE REMPEYEK

Rasanya semua sudah teratur, beres. Ramuan pun sudah 
dimantapkan. Sudah rujuk resipi-resipi  terbaik para pakar.

 

Tak ada dalam gambar. Bahan penge"kaw"nya yang 
menjadi kegemaran. Cekur, cekur, cekur! 

Semua bahan, akur kepada nasihat para pakar,
disatukan mengikut sukatan. Juga dengan tertibnya.


Alahai,  mengapa pula hasilnya jadi REMPUHYEK?
Rasanya, taklah main "rempuh" saja semasa membuatnya?!



"Give up!"  Kalau begini, tupai pun tak mahu menjamahnya
kalau diletakkan atas meja belakang rumah.

Simpan balik kacang tanah dalam almari!
Simpan bancuhan dalam peti ais! Gerem, gerem!

Alhamdulillah, besoknya datang balik pula "mood"
Cincai-cincai bega, otak-atik, renovate bancuhan. 
Buat kerja pun cara semudah mungkin. Bukan ada
mana-mana chef antarabangsa tengok pun.



Seng... seng.... Goreng!

Hehe, hasilnya, walau para pakar tak kata REMPEYEK, 
penggoreng nak juga kata REMPEYEK.
Sebab wajah gorengan sudah tak merep REMPUHYEK!

Bolehlah diberi nama spesial, REMPEYEK MASEN.
Maknanya "rempeyek makan sendiri", bukan untuk eksport!.
 
 

Yang bertaraf "raksasa" pun dihasilkan juga. Boleh 
dipecah-pecah semasa dimasukkan ke dalam balang.


Nampaknya, kerepek pisang belian menantu dari Batu
Pahat sudah ada pesaing. Pesaing yang bukan calang-calang pula tu.

 

Semasa buka-buka gerobok untuk cuba 
merempeyek,  terjumpa pula harta karun kat bawah ni.



Nampaknya, bila si mood datang berterbangan
nanti, bolehlah cuba mengAPAM-BALIK pula. 

Harap-harap tidaklah memBALIK-BALIK APAM pula jadinya!

Friday, February 1, 2013

MUDAHKAN HIDUP 3

Dalam hendak memudahkan hidup, 
Mambu hijau wajar dipantau.

Mambu pelanyak penyakit campak. Dahan dipangkas bila membuas.
Bila akar rakus menjalar, jalan yang elok mula 
dibongkar,  apa tindakan yang paling wajar?


Takik-takiklah pangkal pohon, siram-siramlah dengan si racun.

Takikan dan racun, bisanya meruntun. Dalam dua tiga hari sahaja,  
bertukarlah MAMBU menjadi BURING.  Itulah dia si Mambu Kering.
 
Kasih sayang juga terhad. Semua minta tak semua dapat. Buang Mambu dengan pilu. Pilih jalan untuk laluan.
 
Sekarang apa terjadi? Ubat campak atau campak ubat?
Untuk lapangkan lagi kawasan,  untuk mudahkan hidup, 
pokok penar yang memang dijaga, nak kena ditumbangkan juga nampaknya.

Dulu ia tumbuh damai, tanpa disemai. Merimbun anggun. Dijaga kemas. Dipangkas-pangkas.

Pelik juga penggemar pokok. Bermodal menanam, bermodal menjaganya. Bermodal, bersedih kala membuangnya.

Mudahkan hidup. Ada yang pernah disayang,
 tak mengapalah kini tidak disayang. 

Tapi, usah diaplikasi untuk si orang?