Terima kasih kepada semua yang sudi menyumbang pandangan, berhubung bagaimana mungkin kutiadakan ‘tiang-tiang’ pintu gerbangku, agar tiada rintangan bagi kereta kudaku lalu di bawahnya (Paparan berkaitan bertajuk “CAN SOMEBODY HELP ME, PLEASE?”, bertarikh 14 Oktober 2011).
Setujulah aku dengan rakan-rakan, tidak mungkin boleh diapa-apakan ‘tiang-tiang’ pintu gerbang itu. Pembuangan tiang samalah dengan tindakan mempunahkan pintu gerbang.
Ada saranan agar usahlah diapa-apakan pintu gerbang itu. Aku kurang setuju pula. Tidak wajarlah ‘binaan’ itu terus kukekalkan dengan nama pintu gerbang. Masakan pintu gerbang punyai barisan ‘tiang’ yang begitu banyak, sehingga menghalang lalulintas?
Sebenarnya sudah lama aku punyai angan-angan. Usah berpintu gerbang lagi! Aku terfikir untuk melakukan intervensi ke atas binaan yang sedia ada itu. Merubahnya menjadi sebatang
titi pendek.
Terfikir aku sedemikian rupa kerana lengkungan jambangan daun si pintu gerbang yang asal kurasa mudah diolah, diperlihatkan sebagai lantai titi, atau dindingnya. Kemungkinan boleh juga di’bina’ ruang orang berhenti rehat di bahagian tertentu titi, untuk menikmati udara di sekelilingnya. Tiang-tiang yang sedia ada tentunya boleh dikekalkan. Titi yang kukuh kan perlukan banyak tiang!
Reaksi seorang rakan blogger secara tidak langsung memberiku satu idea lain pula. Idea tentang satu struktur 'alternatif' yang boleh kuhasilkan. Di bawah ini kuturunkan reaksinya yang menarik.
Hjh Noralenna Abbas said...Arch and pillars..unique feature in your garden, Temuk.....reminds me of the Chinese dragon dance. You know the 'dragon' with dancers holding the 'feet' (poles)...and up and down goes the dragon dancing along with the music. Does your 'dragon arch' has flowers? Let it be there, just trim the 'dragon'. Thank you.
October 16, 2011 7:24 PM
Lalu terfikir jugalah aku, kemungkinan si pintu gerbang dirombak menjadi 'sang naga yang menari'.
Pastilah sukar untuk menenun gerbangan daun pohon-pohon yang sedia ada menjadi sang naga, dengan memperlihatkan lengkungan-lengkungan sekujur tubuhnya. Agar ia kelihatan bagaikan menari, menurun dan menaikkan bahagian-bahagian tertentu badannya. Memang besarlah cabarannya untuk mengolah, menata, menggunting, atau mengapa-apakan sahajalah lengkungan dedaun itu mengikut kewajaran, bagi menghasilkan bentuk yang dikehendaki.
Kurasakan mungkin kuranglah masalah merapikan tiang-tiang pintu gerbang supaya kelihatan seperti deretean kaki naga yang kukuh, yang menyangga dan menurun-naikkan serta juga melenggok-lenggokkan sekujur tubuhnya, mengikut kehebatan seni dan budi orang-orang yang kemas menggenggamnya!
Entah bilalah boleh dijelmakan angan-anganku. Bila terjelma, ia mungkin berupa titi yang pendek, atau sang naga yang menari. Amat mungkinlah juga, angan-angan akan hanya tinggal angan-angan sepanjangan.....
Walau apa pun, dengan ucapan tahniah, sukacitalah kusampaikan nanti hadiah kecil yang dijanjikan kepada pemblog Hjh Noralenna Abbas. Terima kasih, Hjh!
(Maaf kepada semua kerana lambatnya ‘keputusan’ dikeluarkan. Untuk kalian diucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana sudi memberi reaksi. Untuk makluman kalian yang budiman, ‘bahan binaan’ pintu gerbang yang dipaparkan itu adalah pohon Kelat Paya. Ia belum pernah berbunga, mungkin kerana selalu dipotong pucuknya).