Benih baik begitu pastilah benih yang hebat. Tapi agaknya, ada juga kalanya, benih yang baik pun tak menjadi pulau. Walaupun jatuh ke darat. Apatah lagi kalau jatuh ke laut!
Barangkali itulah nasib benih gooseberryku ini. Taklah aku mahu mengatakan ia telah kujatuhkan ke darat. Walaupun pada zahirnya memang 'darat'. Tapi pastilah si darat itu tidak sesuai dengannya.
Maka gooseberry Colombia itu (yang asalnya kubeli di sebuah pasaraya di Subang Jaya pada Disember 2010), walaupun cambahan benihnya kelihatan sihat segar, tetapi bila ditanam di pasu, apatah lagi yang 'melata' di tanah terbuka, tidaklah menghasilkan buah yang kumimpikan.
Yang kutanam di pasu agak banyak juga buahnya. Hijau ayu. Tapi kenit-kenit!
Walaupun kenit-kenit, ramai juga peminatnya yang tak diundang menyinggahinya. Lalu tak ketemulah aku dengan buah ranumnya. Kena berpuashatilah dengan hanya menyaksikan cangkerang-cangkerang yang terobek!
Mimpiku dan yang sepatutnya terhasil: longgokan berries yang enak, juga come' lote', seperti di bawah. Ayu kuning-oren. Juga jauh lebih besar, berbanding dengan letup-letup, gooseberry tempatan kita yang kuning-hijau itu. Tapi, apakan daya. 'Darat'nya bermasalah.
'Darat' yang bermasalah dan tidak sesuai itu pastilah mempamerkan dengan amat jelas kelemahanku. Yang sebenarnya berbagai-bagai. Malah juga kedegilanku, memaksa si pendatang menyesuaikan diri!