Semasa membeli tanah baja dengan tanah bakar di nurseri tempoh hari, aku ternampak 'sang terbang' ini.
Betul! Itu adalah sang kumbang. Ia sedang cuba memasuki rumah kediamannya, satu lubang pada salah satu tiang pondok di nurseri itu.
Sebenarnya terdapat banyak lubang di sekeliling tiang kayu itu. Maknanya, banyaklah juga kumbang yang tinggal di dalamnya, dan menetap di persekitaran nurseri. Memang wajarlah begitu. Di nurseri kan ada banyak bunga!
|
Nak masuk rumah sendiri pun payah?! |
Kumbang dengan 'gua'nya itu mengingatkan aku kepada kisah lama, zaman budak-budak, di kampung, dalam bulan puasa. Yang nak diceritakan di sini ialah mengenai satu 'cara melekakan diri', supaya tak terasa sangat kepenatan berpuasa.
Bermain. Itulah caranya. Tapi 'bermain' jenis yang tak meletihkan badanlah.
'Permainan' yang nak kuceritakan ni unik sikit. Dulu tu, kami memanggilnya main 'radio nyanyi-nyanyi'. Radio sebenar memang keluargaku tak miliki masa itu.
Yang jadi penyanyinya, si kumbanglah. Yang jadi radionya, tin minyak tanah kosong.
Zaman itu, tin minyak tanah, yang sudah kosong dan dibersihkan, banyak gunanya. Antaranya, ia boleh dibelah dua untuk dijadikan oven membakar kuih. Juga, boleh dijadikan bekas santan kelapa untuk dimasak bagi dijadikan minyak.
Berbalik kepada hal main 'radio nyanyi-nyanyi' tadi. Tugas terpenting bila nak main 'radio nyanyi-nyanyi' ialah mencari penyanyinya! Kena cari dan 'tangkap' penyanyi! Seekor penyanyi... dua ekor... atau beberapa ekor penyanyi...suka hatilah.
Mula-mula kenalah cari sarang penyanyi. Biasanya pada tiang atau gelegar rumah, atau pada batang-batang kayu lama di sekeliling rumah. Kemudian perlulah kita test, sarang atau lubang itu ada atau tidak isinya. Caranya ialah dengan menyucuk-nyucuk lubang itu dengan lidi. Kalau ada penyanyi @ kumbang di dalamnya, pasti dia akan berbunyi marah! Telinga kenalah tajam untuk mengecam bunyi itu.
|
Gambar lama: Kumbang merayu senduduk putihku |
Kadangkala dapat dikesan, banyak lubang yang berisi. Ada kalanya, banyak pula yang tak berpenghuni. Ada pula masanya, satu lubang dua kumbangnya. Mungkin sepasang suami isteri.
Masa nasib kurang baik, terjumpa pula lubang yang bukan kumbang punya. Pemilik rumahnya, makhluk bersayap jenis lain, yang mampu keluar dengan pantas bila dicucuk, untuk menusukkan sengatnya ke tubuh kita! Kita pulalah yang berdengung-dengung menyanyi, kesakitan!
Selepas dikenalpasti lubang berisi, kenalah cari botol kicap kosong. 'Tutup' lubang yang berkumbang dengan mulut botol. Apabila diketuk keliling lubang, kumbang akan keluar. Biasanya dia akan keluar cara gostan, dan terus masuk ke mulut botol yang sedia menanti.
Kemudian, cari tin susu atau tin sardin kosong. Juga secebis kain, dan getah atau tali. Lepas itu, kenalah gunakan kemahiran untuk pindahkan kumbang yang berada di dalam botol tadi ke bawah 'punggung' tin susu/sardin, yang 'dibungkus' dengan cebisan kain.
Dapat gambarkan di mana si kumbang-penyanyi berada? Di antara kain dengan punggung tin. Dia mungkin menelentang, mungkin meniarap. Kain yang membungkusi bahagian bawah tin diikat dengan getah atau tali yang telah disediakan.
|
Kain jangan tebal. Ikatan usah ketat. Dikuatiri penyanyi tak cukup udara! |
Ok, dah ready dah 'tin berkumbang' kita. Tin sudah 'berpenyanyi' dan siap sedia untuk berkumandang di udara.
Untuk mendengar kelunakan nyanyian, kita letakkanlah 'tin berkumbang' itu tadi di atas tin minyak tanah kosong, iaitu 'radio'nya. Kita akan mendengar 'getaran jiwa' kumbang-penyanyi, berdengung-dengung. Tin minyak tanah yang jadi radio itu jugalah amplifiernya. Bila penyanyi mogok, kita ketuk-ketuklah tinnya, atau radionya. Kita akan mendengar next songnya!
Masa budak-budak dulu tu manalah ada perkiraan 'kesiannya kumbang', 'hak asasi kumbang' atau 'dosa pada kumbang'. Namun, aku tak teringat ada kes 'penyanyi mati semasa bertugas'. Bila sudah puas mendengar nyanyiannya, atau bila dikenalpasti suaranya telah mula hambar, tentu dia akan segera dilepaskan ke alam bebas.
Dengan nyanyian si kumbang itu, terlekalah kita sedikit dari letih lesu dan lapar dahaga puasa. Walaupun sekejap. Namun, tempoh kita terleka boleh jadi lebih panjang apabila yang menyanyi mampu membuat kita terlena!