Balik lewat untuk beraya di kampung. Begitulah yang kubuat, semenjak kedua orang tuaku meninggal dunia. Dan balik itu pun sudah berpola 'balik hari'.
Sebelah isteri, memang sudah berpuluh-puluh tahun tak balik. Tak ada siapa lagi di Alor Setar sana. Cuma saudaramara jauh-jauh.
Tahun ini, rayanya begitu-begitu saja. Kami balik ke Bagan Datoh pada hari raya ketiga. Sasaran pertama, pusara ibu, ayah, abang dan adik. Kemudian, terus ke rumah kakak keduaku.
Kami menjamah apa yang terhidang di meja, 'layan diri'. Kakakku baru beberapa bulan dipotong kakinya. Anak perempuannya baru keluar berziarah. Suaminya terbaring di bilik, kepeningan dan tak sihat.
Kemudian, kami ke rumah kakakku yang tertua. Dekat di situ juga. Dia, yang sudah berusia sekitar 80 tahun, terbaring atas katil usangnya, selepas di bawa ke klinik. Mulai pagi hari kami balik itu dia mengalami kejang leher yang serius, tak boleh bergerak, dan sakit kerongkong sehingga tak boleh menelan makanan.
Mujur hari raya pertama dan kedua, kakak telah sempat meraikannya dengan tiga orang anaknya dan keluarga mereka yang telah balik kampung sebelum raya lagi. Kakakku ini tinggal bersendirian setelah suaminya meninggal dunia kira-kira 15 tahun yang lampau.
Walau lemah terbaring, kaku leher dan berat badan serta kepalanya, kakak tetap mempastikan anaknya menyediakan makanan tengahari untuk kami.
Lepas makan, kami ke rumah arwah kedua orang tuaku, dekat situ juga, untuk solat dan berehat sekejap. Rumah kosong ini sekarang juga dijadikan ruang rekreasi oleh para PATI. Bukan pendatang dari seberang, tapi para 'ta ya kap wau sin' tempatan!
Risau juga hati melihat macam-macam lagi baki barang tinggalan arwah kedua orang tuaku yang masih belum sempat diuruskan. Memang ada barang yang selalu menjadi sasaran para PATI, termasuklah pakaian dan karpet.
Lepas solat, kami ke rumah ibu saudara di kampung berdekatan. Dia isteri arwah bapa saudaraku, sebelah ibu, yang telah meninggal dunia berpuluh-puluh tahun dulu. Si ibu saudara ini sudah bertahun-tahun uzur dan tidak boleh berdiri. Mengesotlah dia apabila ingin bergerak.
Kemudian kami menuju ke arah kampung asalku. Dekat di situ juga. Gembiralah hati dapat melihat tempat tumpah darah! Masih ada aktiviti pertanian di kampung itu. Malah boleh dikatakan lebih rancak dari zaman aku kanak-kanak di situ dulu. Cuma, kini ia wujud tanpa penghuni.
Kampung itu kuanggap telah 'mati'. Insya-Allah, bila tiba masanya nanti, akan ada entri mengenai kampungku yang mati itu. Dan itu kujangka adalah entri terakhir untuk NUKILANku.
Seterusnya kami singgah ke kampung berdekatan, mengunjungi adik saudaraku. Adik saudara sebelah ibu. Dia dan isterinya mengajar di sekolah kebangsaan di situ. Untungnya, bekerja di kampung sendiri!
Rumah terakhir dalam siri ziarah raya di kampung, rumah ibu saudara juga. Suaminya, bapa saudaraku sebelah ibu, telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Syukurlah, ibu saudara ini sihat dan masih mampu berniaga santan kelapa dengan anaknya.
Semasa mahu balik ke Bangi, keluarga adikku baru sampai dari Grik. Stesyennya di kampung tentulah rumah arwah kedua orang tua kami. Esoknya keluarga abangku pula balik dari Melaka dan berkumpul di situ. Macam aku, adik dan abangku juga lewat balik ke kampung untuk beraya.
Memang benarlah, bila 'orang tua sudah tiada', tiadalah tarikan kuat untuk berhariraya awal di kampung. Sekalipun ada adikberadik di situ. Lagi pula, kita sendiri pun sudah menjadi 'orang tua'. Kenalah menunggu kedatangan para anak dan cucu di kediaman kita sendiri.
Kalau ada rezeki hayat, masa dan tenaga, insya-Allah, lain kali keluargaku dan keluarga adikberadikku, mungkin boleh sama-sama balik ke kampung sebelum raya. Kemudian sama-sama jadikan rumah kosong tinggalan kedua orang tua sebagai ruang untuk berkumpul sehari dua. Di situ boleh sama-sama dihidupkan suasana 1 Syawal dan lebih dieratkan lagi hubungan di kalangan ahli 'keluarga besar' yang saban tahun tambah mengembang bilangannya.
Gambar-gambar raya di Bangi, sebelum hari balik ke kampung.
Terima kasih kepada kerabat, kenalan, dan jiran yang datang.
..... dan selepas balik dari kampung .....
Terima kasih kepada jiran dan kerabat yang mengunjungi kami .....
|
Paparan ini kudedikasikan kepada para cucu dan cucu saudara yang kusayangi dengan doa semoga Allah mengizinkan Rakaman Raya 1433H dan seterusnya
|