Tentu ramai orang kenal pokok Ulam Raja ni, kan? Kebelakangan ini aku jadi geraguk ulam, terutama ulam-ulam tempatan, termasuk jenis yang orang panggil 'ulam kampung'. Banyak juga yang aku kenal, tapi memang tak pernah kucicipi, termasuklah si Ulam Raja.
Sebatang daripada secekak pokok yang (pertama kali) kubeli dari pasaraya tak lama dulu kupacakkan dalam pasu. Lepas layu beberapa hari, ia bangun! Kemudian kupindahkan ke atas tanah.
Hajatku membeli Ulam Raja memanglah untuk mengetahui rasa aslinya. Jadi, resepi pertamaku, 'makan kosong'! Ia kunikmati tanpa dicampur dengan ulam-ulam lain. Dia + sambal saja (apa lagi kalau tak SAMBEL, iaitu si sambal belacan).
Selepas itu, kucuba juga dengan mencampurkannya (setelah dihiris halus) dengan dua tiga jenis daun salad dari Cameron Highland + minyak zaitun, kismis, hirisan tomato tanpa lendir & biji dalamnya + hirisan halus cabai merah yang dibuang bijinya.
Phew! Bila dijadikan lauk, macam sanggup pula aku menukar diri menjadi 'vegetarian'!
Rasanya wajarlah aku mula menternak lebih banyak jenis ulam sekarang.
Peluang membiakkan Ulam Raja, khususnya, cerah. Keratan dari 'yang sebatang yang sedia ada' itu pun boleh ditancapkan di mana-mana. Malah, daripada biji benihnya pun pembiakan boleh berlaku pantas. Insya-Allah.
Peluang membiakkan Ulam Raja, khususnya, cerah. Keratan dari 'yang sebatang yang sedia ada' itu pun boleh ditancapkan di mana-mana. Malah, daripada biji benihnya pun pembiakan boleh berlaku pantas. Insya-Allah.
Teringat juga, satu hari nanti mungkin si Ulam Raja boleh kucampurbaurkan, namun tetap dengan harmonisnya, dengan pucuk Penai (dan buahnya!) yang memang 'bersedia berkhidmat' untukku.
Mungkin juga boleh diberi kesempatan kepada si Tenggek Burung, yang memang telah lama mengembangkan cabang-cabangnya, untuk turut menumpangkan rasa hebat pucuk mudanya dalam resepi 'Rangkaian Ulam'ku itu.
Balik kepada cerita Ulam Raja.....
Ada rakan-rakan suruh aku mencuba kerabu Ulam Raja. Bolehlah nanti kucari di internet, resepi kerabu Ulam Raja yang bermertabat hebat.
Ulam Raja atau kerabu Ulam Raja..... walau aku yang menyediakannya, (dan tentulah yang mengidam menikmatinya), ia tetap Ulam Raja. Bukan Ulam Aku!