Monday, May 24, 2010

BERTAMBAT-TAMBAT PERAHU ...

Baru balik makan angin ke KK, Sabah (19-22 Mei '10). Dekat 40 tahun tak ke sana.  Lamanya! Tapi   bukan nak cerita ziarah KK. Nak cerita baiknya hidup berjimat cermat. Tercetus dalam benak lepas balik dari KK.

Orang besar MAS dulu, Datuk Idris Jala (DIJ), sangat tekankan supaya MAS berjimat cermat. Akhirnya akaun MAS berubah, dari merah ke hitam. Memang diakui, ada langkah-langkah lain yang DIJ turut ambil. Tapi, pasti ada juga betulnya kata-kata "Bertambat-tambat perahu, berderetan di tepian; Berjimat-jimat selalu, berkeuntungan sepanjangan!"

Agaknya DIJ pernah wajibkan, bila tukar sarung kusyen,  guna kain 'jualan murah' (maaf gurau, Dato'!). Tak payahlah nak kira warnanya 'matching' atau tidak. Juga, ganti sarung yg rosak saja! Ganti dengan colour yang dapat dibeli. Jangan kira warna apa! Jangan kisah walau tak matching.


DIJ juga mungkin amat yakin, cara menghidang makanan (dan makanannya) yang dulu-dulu itu, terlebih mewahnya. Banyak benda kena basuh, jaga atau perbaiki. Rugi! Tak termasuk kerugian benda-benda berlogo MAS yang lesap dijadikan cenderamata oleh penumpang. Semuanya sebabkan laba tak datang, kerugian memanjang!

Jadi, cara sekarang, macam di bawah, lebih 'best'lah, tak? Cara dan isinya simple. Yang penting -  sedap makanan, baik layanan.


Yang kutahu, dulu-dulu, penumpang kapal terbang = penumpang berkelas. Tak macam penumpang teksi. Apa lagi penumpang bas! Penumpang kapal terbang pakai 'baju coat' dan tali leher. Sebab itu layanan pun mesdti yang terbaik untuk mereka.

Hari ni orang tak kisah dah. Naik kapal terbang dah macam naik bas juga. Apa lagi bila tambang kapal terbang juga dah rendah. Yang orang kira, nak sampai tempat dituju. Dengan tambang termurah. Orang tak kira nak makanan hebat, atau perkhidmatan terlalu canggih.

Semasa penerbanganku ke KK,  kurasakan sempurnalah makanan dan layanan anak kapal MAS. Tentulah lebih sempurna dalam business class. Tapi hari itu, aku rasa lebih gembira.   Kerana seorang pramugarinya bekas anak didikku. Memang aku tak cam. Dia yang menegur . Penuh sopan. Sambil menghulurkan paket mertabak ayam yang kuminta, dia menyapa,

 "D* ?" Aku kaget kecil. Pramugari tahu dari mana?
Dia bertanya, "D* mengajar di U*M?"
Kujawab, "Ya. Pernah, di U*M".
Dia senyum. "D* pernah mengajar saya. D* beri saya A untuk subjek D*!"
Kujawab balik, "Oh, ya ka? Awak baguslah tu! You must be good!"
Kusambung, "Program apa di U*M?"
Dia menjawab, "Diploma Pembangunan Manusia".

Walau disebutnya tahun graduasi, tidak berapa kedengar pula. Aku cuma mahu memikirkan masa itu, bagaimana graduan Diploma dalam bidang Pembangunan Manusia boleh 'tinggi di awan' kerjayanya! Walau apapun, Alhamdulillah!

Sayangnya, nama pada baju bekas pelajar yang molek wajah dan budi pekerti itu tak kuperhatikan. Juga terlupa nak kutanya. Walaupun gambarnya sempat kurekodkan.


Semasa dalam  MAS, balik ke KL dari KK, entah di lokasi mana, aku ternampak kapal  Dato' Tony Fernandez di bawah. Macam seekor ikan Japanese Carp dalam kolam yang luas. Tapi dia di depan! Namun MAS 737 yang kunaiki dapat memotongnya. Macam ada perlumbaan di ruang angkasa pula!


Dalam hatiku teringat, MAS pun sudah belajar berjimat cermat.  Berjimat dengan banyaknya. Caj MAS juga sudah jadi rendah. Sudah ketara: untungya bertambah. Kelajuannya,  dalam terbang meniru arah dan cara orang lain, juga terserlah.

Pun begitu, aku tertanya-tanya juga. Bolehkah MAS terus mengatasi cara bisnes angkatan 'kapal merah' Dato' Fernandez? Bersaing sihat,  sambil benar-benar berjimat cermat? Dari segi kelajuan terbang tadi nyata dia boleh berjimat, dari segi  kadar masa penerbangan. Dia pun 'orang' lama dan besar. Tentu lebih berkemampuan dalam banyak hal.

Sunday, May 16, 2010

HARI GURU, 2010



KEPADA PARA GURU DI SELURUH NEGARA



dengan takzimnya diaturkan ucapan

TAHNIAH!

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2010

ANDA KALIAN PEMBINA BANGSA
MEMBAKAR DIRI MENERANGI MAYA

TERIMA KASIH DAUN PALAS
JASA SUMBANGSIH TAK DAPAT DIBALAS!

Friday, May 14, 2010

DULU MENGGAMBAR, SEKARANG DIGAMBAR

Sikit cerita dua kamera SLR lama. Belum bertaraf antik. Juga sebiji kamera pin-hole yang dah lebih 50 tahun umurnya. Dulu, dengan mereka bertiga itulah (terutama dengan yg SLR), ke sana sini, klik klak, klik klak, mengambil bermacam gambar. Beribu juga, termasuk slaid. Dulu, mereka bertiga menggambar. Sekarang gambar mereka pula kita ambil!

Kamera pertamaku, ASAHI PENTAX Spotmatic II. Beli tahun 73, lepas dua tahun bekerja. Barulah ada sikit duit untuk berkamera.









Kemudian, perlahan-lahan, berkeupayaan pula, seronok-seronok tambah tripod, tele lens, wide-angle lens, lens extender. Teringat juga beli  flash gun. Tapi entah mana pergi dah. 

Ada beberapa gambar yang si Asahi klik klak, yang ingin kuabadikan di sini -  gambar di kampung lama bersama arwah ayahbonda, gambar kala mencari ilmu di negeri orang, gambar rumah serta anak pertama, gambar mobil pertama, gambar ketika tinggal di rumah sewa + TV sewa (!), serta gambar kawasan  rancangan pemulihan kebun kecil kelapa.


Kamera keduaku, Nikon FE. Beli, rasanya, tahun 1979. Melalui pos.  Masa tu tengah sambil cari ilmu di negeri orang juga. Ada pula tambahan wide-angle lens, juga flash gun kemudian. Lagi terujalah, klik klak klik klak ke sana sini, sambil mengabadikan persekitaran tempat asing.










Antara yg si Nikon tangkap, ada beberapa gambar yg kuhargai. Termasuklah gambar mendiang Prof. Tan Sri Milton Barnett (dgn isteriku dan arwah Profesor Razali), gambar  'abah, emak dan anak-anak, semua kena sekolah!', serta gambar arwah Wak Ramlah (bidan kampung) dan sebuah Klinik Desa di Perak.












Kamera terbaruku (tetapi tertua umurnya) dibeli pada tahun 79, atau mungkin 80.  Berjenama Kodak, model  Brownie Hawkeye. Siap dengan flash gun, tapi sudah tak boleh digunakan lagi. Mentolnya (yg bila dah flash akan terbakar!), dah tak dijual. Beli masa garage sale. Harga tak sampai RM10 duit kita.

Uniknya si Kodak ni. objek dilihat melalui tetingkap kaca di sebelah atas. Gambar yang dihasilkan berbentuk empat segi. Oklah kualitinya. Antara yg sempat kurakam menggunakan si Kodak adalah gambar dua bujangku. Dulu, memang merekalah yang selalu jadi sasaran.

 
Dengan munculnya teknologi digital hari ni, dan dengan berakhirnya perkhidmatan 'cuci negatif/gambar' di semua kedai gambar di kawasanku, maka berehatlah si Asahi, si Nikon dan si Kodak.

Ribuan gambar yang AsaNiKo telah kilik klak kini jadi pembantu jujur menyingkap zaman. Membantu memutarkan semula kerencaman pengalaman - himpitan hidup, kekangan peluang, keterbatasan pandangan dan miskinnya bimbingan. Namun, syukurnya, tidak pula dirasakan pedihnya! Longgokan gambar juga sedia dan setia mengimbaukan kembali berbagainya gaya, beranekanya langkah dan beragamnya silat, ketika berpayah menungkah keadaan. Juga, ketika girangnya hati,  menyesuaikan diri dengannya, sekalipun penghujungnya mungkin tak seberapa. Pastilah aku, dengan izin-Nya jualah segala yang berlaku telah berlaku.

Ramai kalian di luar sana,  yang pastinya juga berkamera lama. Malah lagi banyak, lagi antik pula. Makanya, kujangka lagi berpeti-petilah gambarnya. Lebih melaut pulalah kisah di sebaliknya!

(Nota: Maaf gambar2 kurang jelas. Kecuali gambar2 kamera, yg lainnya adalah gambar2 lama yg diambil semula menggunakan kamera kompak).