Wednesday, December 7, 2011

CORET-CORET CAMERON HIGHLANDS - I

Dengan suhu ada kalanya menurun sampai 18o C tempoh hari, Cameron Highlands memang menyejukkan badan jugalah. Kira dapat jugalah 'cari sejuk' kat situ. Cara ekonomi. Sebab jika 'cari sejuk Switzerland' tentulah jauh lebih mahal!

Cadangannya tu hari, naklah menginap di Tanah Rata, di tempat 'yang gambarnya di bawah' ni. Bolehlah dapat rasa macam duduk dalam traditional cottage di England. Tentu ramai yang kepingin melapangkan jasad dan fikiran di 'boutique hotel' ni.

 

Tapi tak banyak bilik pula tempat tu! Tapi, juga, sebenarnya cadangan ke situ pun tak serius. Poket pun kata, tak mengapalah jadi tangkai jering. Yang dikatakan tempat eksklusif tu pun, 'bungalo'nya betullah England, tapi tempatnya, tanahnya,  bukan England! Hihihi.

Jadilah, walaupun dapat setakat makan angin di sekeliling taman 'design hotel', atau 'lifestyle hotel'  tu. Tanaman dan bunga-bunganya memang menarik. Menenangkan. Tersangkut hati tak bila melihat si kembang-kembang di situ macam yang kat bawah ni?

 
Bila tak dapat ruang dan peluang menginap di 'Rumah Asap' (SMOKEHOUSE) yang diidami, kenalah cari tempat lain yang sikit-sikit boleh bayangkan suasana tanah tinggi dengan cuaca sejuk.

Yang di bawah ni yang kudapati sesuai. Termasuk dari segi RMnya! Ada pokok-pokok pine sekelilingnya, pokok tanah tinggi! Lokasinya pun strategik, di kawasan pekan, dekat dengan pelbagai tempat tumpuan pelancong.



Petang sampai di Tanah Rata, kami menziarahi Kg. Sedia, 'perkampungan' orang Melayu. Nanti coret-coret sikit dalam coretan II mengenainya.

Sementara itu nak cerita sikit keterujaanku melihat si Lily (maaf kalau namanya tak tepat atau tak lengkap) di belakang tempat penginapan. Memanglah yang namanya pokok, termasuklah si pokok bunga, dan apa lagi bunganya, amat mudah menggamit mataku. 

Tengok, di bawah ni, sebahagian daripada depa yang subur makmur dan come' lote tu! 









Pasal tergamit, lusanya kubeli kerabat si Lily tu di kawasan Taman Rama-Rama. Masa itu, satu ada sekuntum bunganya yang sudah kembang (yang merah). Satu lagi berstatus 100% 'kudup' (yang merah jambu).


Dan bila dah turun ke tanah rendah, berubahlah wajah kedua-duanya. Di bawah nilah, kutayangkan paras rupa si Lily merah dan si Lily merah jambu yang mekar segar dua tiga hari selepas mereka dihijrahkan ke tanah bawah dari tanah atas.





Punya inspirasi nak berpantun pula, bila lihat para Lily yang bugar-bugar ni!




Berkudup bunga di tanah tinggi
Mekar kembang di tanah rendah
Redup rasanya hati sepagi
Hingga ke petang tidak berubah.

Sehingga Coret-Coret II, insya-Allah.

Monday, November 28, 2011

MUNGKIN PINTU GERBANG BERUBAH WAJAH.....SIAPA YANG BERTUAH?

Terima kasih kepada semua yang sudi menyumbang pandangan, berhubung bagaimana mungkin kutiadakan ‘tiang-tiang’ pintu gerbangku, agar tiada rintangan bagi kereta kudaku lalu di bawahnya (Paparan berkaitan bertajuk “CAN SOMEBODY HELP ME, PLEASE?”, bertarikh 14 Oktober 2011).



Setujulah aku dengan rakan-rakan, tidak mungkin boleh diapa-apakan ‘tiang-tiang’ pintu gerbang itu. Pembuangan tiang samalah dengan tindakan mempunahkan  pintu gerbang.

Ada saranan agar usahlah diapa-apakan pintu gerbang itu. Aku kurang setuju pula. Tidak wajarlah ‘binaan’ itu terus kukekalkan dengan nama pintu gerbang. Masakan pintu gerbang punyai barisan ‘tiang’ yang begitu banyak, sehingga menghalang  lalulintas?

Sebenarnya sudah lama aku punyai angan-angan. Usah berpintu gerbang lagi! Aku terfikir untuk melakukan intervensi ke atas binaan yang sedia ada itu. Merubahnya menjadi sebatang titi pendek.

Terfikir aku sedemikian rupa kerana lengkungan jambangan daun si pintu gerbang yang asal kurasa mudah diolah, diperlihatkan sebagai lantai titi, atau dindingnya. Kemungkinan boleh juga di’bina’ ruang orang berhenti rehat di bahagian tertentu titi, untuk menikmati udara di sekelilingnya. Tiang-tiang yang sedia ada tentunya boleh dikekalkan.  Titi yang kukuh kan perlukan banyak tiang!

Reaksi seorang rakan blogger secara tidak langsung memberiku satu idea lain pula. Idea tentang satu struktur 'alternatif' yang boleh kuhasilkan. Di bawah ini kuturunkan reaksinya yang menarik.

Hjh Noralenna Abbas said...
Arch and pillars..unique feature in your garden, Temuk.....reminds me of the Chinese dragon dance. You know the 'dragon' with dancers holding the 'feet' (poles)...and up and down goes the dragon dancing along with the music. Does your 'dragon arch' has flowers? Let it be there, just trim the 'dragon'. Thank you.
October 16, 2011 7:24 PM

Lalu terfikir jugalah aku, kemungkinan si pintu gerbang dirombak menjadi 'sang naga yang menari'.

Pastilah sukar untuk menenun gerbangan daun pohon-pohon yang sedia ada menjadi sang naga, dengan memperlihatkan lengkungan-lengkungan sekujur tubuhnya. Agar ia kelihatan bagaikan menari, menurun dan menaikkan bahagian-bahagian tertentu badannya. Memang besarlah cabarannya untuk mengolah, menata, menggunting, atau mengapa-apakan sahajalah lengkungan dedaun itu mengikut kewajaran,  bagi menghasilkan bentuk yang dikehendaki.


Kurasakan mungkin kuranglah masalah merapikan tiang-tiang pintu gerbang supaya kelihatan seperti deretean kaki naga yang kukuh, yang menyangga dan menurun-naikkan serta juga melenggok-lenggokkan sekujur tubuhnya, mengikut kehebatan seni dan budi orang-orang yang kemas menggenggamnya!

Entah bilalah boleh dijelmakan angan-anganku. Bila terjelma, ia mungkin berupa titi yang pendek, atau sang naga yang menari. Amat mungkinlah juga, angan-angan akan hanya tinggal angan-angan sepanjangan.....

Walau apa pun, dengan ucapan tahniah, sukacitalah kusampaikan nanti hadiah kecil yang dijanjikan kepada pemblog Hjh Noralenna Abbas. Terima kasih, Hjh!

(Maaf kepada semua kerana lambatnya ‘keputusan’ dikeluarkan. Untuk kalian diucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana sudi memberi reaksi. Untuk makluman kalian yang budiman, ‘bahan binaan’ pintu gerbang yang dipaparkan itu adalah pohon Kelat Paya. Ia belum pernah berbunga, mungkin kerana selalu dipotong pucuknya).

Thursday, November 17, 2011

NONA-NONA ZAMAN SEKARANG

Hari ni, cuma ingin rekodkan cerita si nona zaman sekarang ni.

Zaman dulu pun dia dah ada, tentunya. Aku saja yang tak menjumpainya, atau tak ambil endah mencarinya.






Tu hari kubeli nona cantik di atas tu di satu pasaraya Shah Alam. Tak pula kuperiksa, lokal atau pendatang dengan izin.

"Cukup ke sebiji, encik?". 

Aku senyum, mulut menjawab, "Cukup. Beli sebiji dapat banyak biji dalamnya!"

Memang lama nak cari nona keturunan lain. Terjumpa keturunan hijau pula. Nyata jenis ni lebih baik. Isinya cukup manis dan banyak. Bijinya ada 14 saja. Kaya isi, miskin biji. 

Sebelum rosak, cepat semai! 

 
Yang pernah kubeli setahun dulu, nona merah. Saiznya lebih kecil. Tak kedekut biji. Ada kira-kira 40 biji dalam sebiji buah! Tapi dia kedekut isi. Kaya biji, miskin isi. Tekstur isinya lebih kasar dan rasanya, mengikut citarasaku, tak seenak nona hijau. (Cerita nona merah ni ada dalam entri 7 Julai 2010).

Lebih letihlah kita bila berhajat menikmati nona keturunan merah ni. Kena berhati-hati. Bimbang tertelan sedikit isi, tapi terlebih biji!

Hasil semaian biji nona merah, ni lah, kat bawah ni. Adalah lebihkurang 7 bulan dah umurnya. Penjagaan tak rapi, tanahnya pula berbatu!



Lain kali, wajib lebih tajamkan mata bila ke pasaraya. Biar boleh nampak, kot-kot ada nona-nona zaman sekarang jenis lain yang lebih hebat!