Tuesday, April 17, 2012

POKOK-POKOK ORKID LIARKU

Pokok-pokok orkid liarku, ada dua jenis (dua pokok saja pun!).  Jenis yang
di bawah ni aku temui melekat pada pokok palma di depan rumah. 
Aku pindahkan ia ke pasu, bimbang kalau-kalau terjatuh bersama-sama dengan 
pelepah palma yang kering.


Yang satu lagi, yang di bawah ni, aku temui dekat dengan 
pokok  pinang. Ku cabut ia dari tanah dan selepas itu aku 
pasukan. Asalnya dua pokok, satu mati. 

Yang  hidup baru saja berbunga, walaupun 
cuma sejambak. Saiz bunga-bunganya sangat kenit sekali. 
Susah nak diambil gambarnya.

Dipersilakan, hayati.



 Walaupun liar dan kecil, yang sudah berbunga, ketaralah 
keorkidannya. Menyeronokkan. Sekalipun aku 
rasa, bunga-bunga kecil itu akan segera jatuh berderai.

Tuesday, April 10, 2012

MENGAPA BUNGA KETAWA?

Mengapa bunga KETAWA?


Maksud sebenarnya, mengapa si bunga KEnanga TAk WAngi?
Itulah kenanga terbaruku. Hasil tuaiannya di atas tu. Dan pokoknya yang  ku beli
beberapa bulan lalu, di bawah ni. Sudah pun ku pasukan.


 Mengapa kenanga jiran, walau  cuma sekuntum, walau kecil, walau di sebalik
tembok (walau temboknya rendah), walau pokoknya kerdil, walau terbiar saja di pasu
kecil, wanginya tetap menusuk hidung, bila aku lalu lalang di tepinya?

Tapi, tak mengapalah. Paling kurang, kenanga baruku itu berbunga juga!

Kenanga yang dulu, di bawah ni, amat "gila daun". Tapi tak pula dia "gila bunga".
Aku pun buang daunnya sampai botak. Kemudian ku ikat-tarik batangnya
dengan tali supaya dia berpanas, tak diteduhi si kelat paya. Sepatutnya dia
berbunga bila dapat lebih cahaya matahari.


 Bila tak juga berbunga, ku pindahkan dia ke pasu. Dengan jangkaan,
lebih mudah nak beri baja, nak siram, juga nak menjaganya.


Tapi sampai akhir hayatnya, tak juga dia berbunga. Mungkin dia marah.
Kena ikat-tarik, kena pindah randah.

Dari yang mati tanpa bunga, baiklah yang hidup, dengan bunga. Walaupun tak wangi.


Entah-entah, lubang hidung pemilik kenanga yang ada masalah!

Monday, April 2, 2012

JARUM EMAS yang bukan JARUM EMAS

Orang kata, namanya jarum emas. 

Kalau ia betul-betul jarum yang dibuat daripada emas, masa harga emas terus menaik sekarang ini, alahai, akan kembung selalulah dompetku.

 
Sudah bertahun-tahun si jarum emas ini tumbuh di kawasan rumahku. Bila rumput menghijau balik selepas dimesin, si jarum emas pasti akan menjengul di sana sini.

Ada orang kata, jarum emas boleh dijadikan ubat. Termasuk untuk kembalikan tenaga. Direbus dan diminum airnya.

Walaupun acap keletihan, tak bermaya, aku tetap masih belum berani nak cuba air rebusan jarum emas tu. Pernah seorang rakan bercerita, kawannya jegang seluruh badan selepas minum air jarum emas. Dia kemudiannya dihospitalkan!

Masalah "ubat" buatan sendiri ini banyak berkait dengan sukatan "lebih kurang"nya - masa menyediakannya, juga masa hendak memakannya. Kita tak tahu dengan tepat, contohnya, banyak mana air atau ramuan daunnya yang diperlukan, banyak mana ubat perlu diambil, sekerap mana, dan macam-macam lagi.

Tentulah kita berasa lebih jelas bila diarahkan menelan "1 biji pil paracetamol, seberat 500mg, 4 kali sehari". Sifar elemen "lebih kurang"nya.

Tapi Ah Chai, tukang rumahku dulu, tidak bermasalah dengan masalah "lebih kurang".

Kata dia, dalam hidup ni, mana boleh kita selalu mahu "betul-betul kira"!

Ah Chai amat percaya kepada efikasi jarum emas. Pantang dia nampak jarum-jarum tu terpacak di sana sini di kawasan rumahku. Pasti dituainya. Kemudian, dimasaknya. 

Katanya,  banyak air dengan pokok, kira lebih kurang. Minum pun!

Ada juga aku terkenang, seronok-seronok. Kalau aku keringkan jarum emas ni, entah-entah singseh akan beli "RMTinggi" daripadaku, tak? 

Tapi, entah-entah singseh akan kata yang dia tak beli "rumput" tu!