Tuesday, September 22, 2009

L A R A

Salam semua

LARA tu maksudnya Laporan Raya. Bukan lara sedih. Maaf, LARAnya tak interesting, Ringkas. Pasal tahun ni, untuk setakat ni (sbb Syawal kita sebulan), tak aktif.


Hari pertama lepas sembahyang raya, raikan raya di rumah dengan keluarga anak sulung (lelaki). Dah 4 anak dia! Juga dengan anak perempuan & suaminya (baru lebihkurang 4 bulan berkahwin).


Hari kedua banyak melengung kat rumah. Didatangi keluarga bisan dari Batu Pahat Johor. Dengan cucu-cucunya. Ramai juga. Juga rakan isteri, Dr. Siva dan keluarganya. Dan Pn. Hiroko dengan anak perempuannya (dia & suaminya yang juga warga Jepun memeluk Islam & bernikah di Surau An-Nur/Surau Harun Din di Bandar Baru Bangi).


Punya bingung, tak langsung kuambil gambar tetamu-tetamuku itu untuk kenang-kenangan! Itu bahana keletihan puasa kot.


Hari ketiga, ke rumah 2 orang kakak dan 2 orang ibu saudara di Perak. Ramai jumpa saudara mara lain di sana. Nak kirakan memang ada berpuluh-puluh adik beradik saudara kat Perak tu, tapi memang tak bertempah nak ziarah. Kot ziarah, kena semua! Lagi pun, sebab kena balik hari. Kakak ipar yang mobilitinya terhad tinggal seorang di rumah.


Kagum lihat peri banyaknya "kereta masuk kampung"! Juga bertambahnya "kampung-kampung berjalan batu". Malah makin melebar jalan batunya. Juga seronok dengan "rumah-rumah dah berapi letrik" belaka, "rumah-rumah berair paip", dan juga "tv radio bergumandang di udara". Perubahan! Pembangunan! Para politikus gemar benarlah istilah-istilah tu.


Teringat aku zaman tinggal di kampung lebih 4 dekad dahulu -- zaman jalan tanah liat muat-muat roda basikal, berbasikal pun dah kira mewah sangat, zaman bertelaga & berkolam -- sebab air paip orang pekan punya, zaman pelita minyak penerang pondok, zaman istilah tv entah di mana, zaman radio hanya sebiji dua di kampung! Dan kita tumpang dengar "Sendiwara di Radio" di rumah 'orang kaya'. Aku bersyukur merasai kesemua "himpitan" itu, hingga insya Allah, dapat pula kurasakan peri bernilainya sedikit-sedikit 'kemewahan' yang Tuhan izinkan untukku hari ini.


Sedihnya, dalam perjalanan beraya di kampung, ada beberapa bekas kemalangan yang mengecutkan hati. Kelihatan antaranya, kereta 4WD terbalik bersalut rumput & lecah (kereta berat pun boleh terlentang!), motorsikal tercampak sampai ke tepi parit, kereta remuk tak menentu rupa .... Entah apalah terjadi kepada pemandu atau yang bersama pemandu. Mengapalah setiap musim perayaan kita begitu?
Tapi, melihat gelagat sesetengah orang di jalan raya, agak pasti juga kita akan punca besarnya. Kita sendiri tak sudi berhati-hati. Kita sendiri tak berhati. Kita sendiri beraja di hati. Maka kemalangan terjadi.

Wednesday, September 16, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI













السلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

کڤد سموا يڠ دملياکن


داوچڤکن سلامت هاري راي عيدالفطري

معاف ظاهير دان باطين



سموݢ کاليان سموا صيحت سجهترا
دان برݢمبيرا برهاري راي برسام کلوارݢ، سودرا مارا دان صحابة هندي


Ingatan mesra berpanjangan daripada TEMUK
1 Syawal 1430H.

Sunday, September 6, 2009

PANTUN 1: R A M A D H A N

Salam semua
Beberapa kerat pantun Ramadhan. Sambil menjemput tanaman di sekeliling rumah. Jadi pembayangnya! Andai ada yang sudi memberi reaksi, silalah .... pantun juga, tak?


Bunga betik si anak bemban
Kembang siantan kuning wajahnya
Kemunting Cina berbintik merah
Pejam celik dah hujung Ramadhan
Sedikit amalan melempah doa
Semoga semua diterima Allah













Pandan hiasan sirih merumpun
Semanggar pinang masaknya mengkal
Kuntum senduduk putih menyerlah
Sepanjang Ramadhan memohon ampun
Arah disasar syurga yang kekal
Semoga hajat dikabulkan Allah
















Sehingga ketemu lagi. Selamat menjalani ibadah puasa fasa penamat. Insya Allah.