Saturday, March 19, 2011

PARIT MATI, YANG MATI, YANG TAK MATI..........

Hujung minggu lepas, aku hadiri kenduri kahwin anak saudaraku di Kg. Parit Mati, Bagan Datoh, Perak.



Namanya saja Kg. Parit Mati. Tapi ia tak mati. Belum mati. Disebut belum mati sebab mungkin dia akan mati juga. Seperti kampung-kampung lain sekawasan yang penduduknya habis memigrasikan diri.

Parit Mati masih punyai penghuni, sekalipun jumlahnya kini, pada anggaranku, tidaklah sampai sepertiga daripada jumlah pada tahun-tahun 50-an dulu. Rumah juga sudah jadi 'jarang-jarang'.

Enam adik beradik anak saudaraku yang kendurinya ku hadiri telah berkeluarga sendiri. Semuanya berstatus 'migran desa-bandar'. Tinggal dua orang lagi adikberadiknya yang masih di kampung, bekerja kampung, sambil menunggu ibu mereka. Bapa mereka (abang saudaraku) telah meninggal dunia. Ku jangka, suatu hari nanti, mereka bertiga yang tinggal ini juga akan meninggalkan Parit Mati.

Bila itu berlaku, dan yang lain patuh mengikuti, perlahan-lahan tapi pasti, Parit Mati akan mati.

Kata penghuni Parit Mati, perusahaan kelapa di kampung mereka pun sebenarnya sudah hampir mati. Sama seperti di kampung-kampung lain di kawasan itu. Pekebun kecil di situ berusaha sendiri (mereka kata, 'polah dewek'!), tanpa bantuan sesiapa, menukar kelapa yang berupa tanaman asal dengan kelapa sawit. Sebab tukar tanaman? Kerana ‘janji’ pulangan ekonominya yang dipercayai lebih baik.

Sementara menunggu kelapa sawit ‘hidup’ dan berbuah, matilah sumber pendapatan pekebun. Mereka menanam pisang sebagai tanaman selingan. Ada yang mengekalkan kelapa tua mereka, supaya ada juga hasil sementara kelapa sawit membesar.

Sebenarnya, bila ada dua 'tanaman utama', campur pokok pisang lagi,  berubahlah ekologi kebun (teringatlah aku akan kisah agricultural involution di Jawa, tulisan antropologis Clifford Geertz lama dulu).  Kebun-kebun kecil di Parit Mati jelas menjadi lebih padat, sesak, begitu ditekan, didesak, dipaksa, untuk mengeluarkan hasil dengan (pula tu!) pelaburan input pertanian yang paling minimum!

Lalu, pun nampak 'banyak' punca pendapatan, pulangan sebenarnya adalah rendah. Lalu lebih ketaralah juga padaku, peri parahnya keadaan sebenar sumber-sumber ekonomi yang ada bagi penduduk menyambung kehidupan. Dan peri praktikalnya mereka mematikan kampung dengan berhijrah.

                                                               oooo0000oooo

Ke kisah kenduri sedikit lagi.

Di Parit Mati, nampaknya belum mati lagi amalan menjemput orang dari banyak kampung di sekeliling. Juga jemputan untuk seluruh keluarga (bukan jemput Hj. Jemputan & Isteri sahaja!). Tapi agak ketara juga, kanak-kanak yang selalunya membanjiri kenduri kendara kampung, amat sedikit bilangannya. Rakan bercerita, saiz famili kampung sudah lama mengecil. Sekolah rendah di dua kampung terdekat pun hanya 50-60 sahaja jumlah pelajarnya.




Bila saiz famili menurun, dan para famili memigrasikan diri, mudahlah juga sekolah rendah kampung menjadi mati.

Rakan-rakan ceritakan, belum mati lagi amalan gotong royong memasak makanan kenduri di kampung, seperti di Parit  Mati. Sekalipun sudah biasa juga orang buat kenduri cara catering.

Tapi, ‘Syarikat Pinggan Mangkuk’ kampung Parit Mati agaknya sudah mati, atau jarang diaktifkan. Ku lihat, pinggan mangkuk polistrin sudah mengambil alih pinggan mangkuk siramik dulu-dulu.

Jelas masih hidup amalan ‘dua bangsal berasingan’ untuk tetamu lelaki dan perempuan. Tapi bangsal ini khemah! Sudah puluhan tahun mati amalan gotong royong membuat bangsal tradisional, seperti amalan zamanku dulu (guna buluh, atap nipah, lantai papan atas tanah, dsb). Canopy dan kerusi plastik sudah mengambil alih tempat bangsal lama yang amat mesra-alam dan memesrakan hubungan.



Institusi 'gejobos' (pelayan/pekerja sukarela majlis kenduri) nampaknya sudah melemah. Bolehlah dianggap sudah hampir mati. Ku perhatikan, memang sudah tak ketara gerombolan gejobos dan hiruk-pikuk atau simpang siur mereka menatang talam hidangan. Orang kampung sudah biasa dengan cara layan diri, atau cara 'mangan njokok dewek' sepertimana orang Parit Mati kata.




Di Parit Mati, nampaknya belum mati lagi amalan memberi ‘berkat’ kepada para tetamu. Tetapi sudah jauh berubah ‘berkatnya’. Sekarang, lebih simple dan practical. Kalau tidak, sebab yang berkenduri keturunan Jawa, memang boleh dijangka akan ada bekalan balik (namanya ‘bontrot’) berupa nasi dan lauk pauk, di samping kuih-kuih kering. Remehnyalah membontrotkan, walhal, terutama zaman bontrot dibungkus dengan daun pisang, sampai di rumah adalah yang ba alif sin ya dan tak dimakan!

Masa itu, bunga telur (orang Parit Mati panggil kembang ndok) juga satu kemestian. Telur dicucuk tengah-tengahnya dengan sebilah buluh kecil yang diraut, sebesar straw, yang diikatkan pada hujungnya bunga kertas hiasan.

Tak mati juga di Parit Mati amalan ‘menyumbang’ para jemputan kepada tuan rumah. Sumbang duit dalam envelop atau 'sarung duit raya'.

Teringat pula dulu-dulu, wang sumbangan dibungkus dengan kertas surat khabar. Kata arwah ibuku, dulu-dulu macam zaman-zaman aku ‘dikendurikan’ (lebih nak kisahkan ‘zaman’nya!), biasalah tetamu menyumbang seringgit dua kepada orang yang menjemput. Yang menghulur ‘kupang-kupang’ pun ada juga. Kalaulah ada yang hulur $5 masa itu, memang hebat sangatlah. Namun, kata orang kampungku dulu, apa yang penting bukan makannya, bukan berkatnya, dan bukan sumbangannya. Tapi perkumpulannya!

Juga jelas tak mati, yang aku mesti catatkan di sini, rasa keakraban hubungan. Sekalipun dengan orang yang telah puluhan tahun tak ditemui. Kenduri di Parit Mati menemukan aku dengan beberapa orang rakan yang puluhan tahun tak ku hubungi. Antaranya Hamid Hitam (rakan sedarjah 1-6 dalam tahun-tahun 50-an). Mesranya perbualan, dengan kisah silam yang berbagai-bagai.



Juga ku temui Rani dan Asmawi (mereka senior setahun). Juga Bakhtiar, Mansur, Salleh. Malah juga rakan-rakan lama lain yang tinggal di kampung-kampung sekeliling. Terujanya berjumpa mereka, yang memang ku muliakan sebagai pelangsung kehidupan kampung.

Pastilah tidak mati kasih sayang dan kasih mesra di Parit Mati.





Begitulah sedikit kisah Parit Mati. Dan yang berkaitan dengannya, yang mati dan tak mati.

Saturday, March 5, 2011

PASTI ADA KALI PERTAMANYA ..........

Tak ku sedari pun selama ni. Masa cuci rumput di kawasan belakang tadi, ternampak si dia. Dah menguntum!


Selepas entah berapa tahun, itulah kali pertama pokok Kantanku mengeluarkan bunganya. Kali pertama, satu kuntum. Jadilah.


Kata rakan 'blogger tumbuh-tumbuhan', Sdra. Adry (http://adrydaud.blogspot.com/), pokok Kantan memerlukan tanah yang lembab. Kesihan jugalah pokok Kantanku, menderita bersesak-sesak dengan anak pinaknya (juga tumbuhan-tumbuhan lain) di lereng tanah yang gersang, yang kaya dengan batu dan pasir.

Kalaulah ada tanah yang luas, dengan kawasan yang macam-macam keadaannya, yang sesuai dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan (seronoknya tontoni  kawasan Sdra. Zulbahri , http://zulbahrihussin.blogspot.com/), tentulah tak akan merasa jemu untuk bercucuk tanam.

Memang tak sampai hati nak memarahi pokok Kantan walaupun tak berbunga, atau berbunga hanya sekuntum selepas begitu lama, sebab keadaan persekitarannya yang begitu dhaif.

Dulu, Periuk Keraku memang ku marahi di khalayak ramai, sebab lama ditanam tapi tak berperiuk. Nampaknya selepas kali pertama dia berperiuk, sampai sekarang tak tahu pula dia nak berhenti.


Tapi, dia memang dimuliakan di buaian teduh. Bukan dipaksa melata di bumi dangkal.

Sunday, February 27, 2011

MUDAHNYA BERKIRA..... SENANGNYA NAK KIRA......

Dengan jiran, buat apalah hendak berkira.

Apa lagi kalau yang melompat sempadan tembok dan menyelusup ke ruang kita tu si cantik manis macam Pseudokalima ni.


Pun dia cuma si Bouggainvillea.... yang kita biasa panggil bunga kertas tu.......siap dengan jarum-jarum tajamnya.....tak mengapalah juga, kot. (Takkan aku tak sedar, kaktusku pun menyeberangi sempadan. Kepak-kepaknya yang bersimpang siur tu boleh jadi sangat menyimpangsiurkan pandangan dan perut jiranku).




Pun dia si Pakis Besar.... Kan nampak gagah, tu!


Allamanda Kuning ni (yang orang Putih panggil Yellow Bell.... Golden Trumpet.... Buttercup Flower tu) yang tumpang menjuntai ke tamanku (bukan taman larangan pun!) amat ku Selamat Datangkan. Segar meriahnya empat sekawan. Tentu lebih menceriakan kalau berjuntaian satu platun!


Yang menyeberang sempadan tu semua memang jadi penyeri ruang tamanku. Tentunya juga ruang mata dengan padang hatiku. Tak payah berkeringat dapat pemandangan ayu percuma. Tak payah bermodal, berhias taman secara FOC!

Jadi, dalam suasana begini, kalau misalnya sepelepah dua daun pinang jiran 'terterbang' ke lapangan terbang kita, mungkin tak payah berkiralah. Begitulah rasaku (mudah-mudahan bukan dengan hasrat tunjuk baik, tapi dengan tujuan wujudkan suasana baik). Kalau nak berkira, memang senang sangat. Terbangkan sajalah si pelepah itu semula ke arah berpatutan......


Memang, kalau nak kira pun senang sangat juga. Sebabnya, sesekali kira, bukan sampai sepuluh pelepah pun. Malah lima, malah tiga, malah dua pun tak sampai. Senang kira, tapi nak kira untuk apa?

Tak teringat hati nak berkira atau mengira. Jiran pun jenis yang amat menyanjung warisan bahasa berperi-peri kita.... 'Orang berbudi kita berbahasa....'.

Dek kerana itu, dengan pemantauan yang kadang-kadang adalah juga kealpaannya (kenakan NC  - non compliance - ke atas diri sendirilah!), ku biarkanlah juga Raya Kuncupku, dengan rakannya si Kaktus, mengembangkan sayap ke pekarangan jiran berbudi, jiran berbahasa.



Juga si Senduduk Putih kat bawah ni. Yang malahan, ada keturunannya yang bercambah di pangkal, yang telah jiran tanam di ruang tamannya.


Juga ku biarkan si Kertas Orkid yang ku cantumkan dengan si Kertas Kuning ni....


Juga dia ni.... Alahai, siapa pula namanya? (Tolong.... Adry ke, sesiapa saja kat luar tu....!)


Memang, sesekali rasa risau mengetuk pintu hati juga. Manalah tahu, 'para penceroboh sempadan' dari sebelah kita mungkin lebih agresif, atau paras rupa mungkin kurang anggun, atau masing-masing tu asyik mencemari ruang orang pula. Alahai..... baik sangkalah!

Yang kurang ku fikirkan kala ni, reaksi 'jiran' yang seorang lagi ni. Yang lotnya kosong ni. Di manalah dia bermastautin.....


Buat sementara waktu ini ku biarkan para dahan, ranting dan kembangku melebarkan penyelusuran ke kawasannya. Kalau dia datang menetap, mungkin ku lainkan cerita.

Lihatlah antara para 'penjelajah' yang ku biarkan merayap-rayap tu....... si Alamanda Ungu.


Si Kertas Merah......


Si Tasbih, yang selesa berpayungkan Kertas Merah.....


Malah juga si Siantan.... yang orang juga namakan Jarum-Jarum....... Pecah Periuk.


Juga, seperti yang adik kandungnya ada disebut awal tadi ..... si Kaktus.  Kebetulan, yang ini, rajin sekali dia berbunga.


Bila nak lainkan cerita, kalau perlu, kenalah jelas dan pasti sebabnya. Ikhlas tujuannya. Hatta, faham akibatnya. Berkira atau mengira, atau pun sebaliknya, memang senang. Tapi tak semestinya menyenangkan.

Berkira atau mengira mestilah lurus haluannya, kaedahnya tak berkait bagaikan kelingking, tak bengkok pula hasratnya, tak huru hara penghujungnya.