Wednesday, November 9, 2011

POTUTI GOLONGAN ATASAN

Bila baca cerita Raja Satong yang Adry@Daun paparkan pada 3 November tempoh hari (http://adrydaud.blogspot.com),  teringat aku akan si POTUTI (pokok tumbuh tanpa izin @ pokok tumpang tanpa izin) di belakang rumahku. 

Yang mana satu dalam gambar ni?


Kat bawah ni mungkin lebih jelas. Yang berdaun panjang, menumpang pada pokok teh pagar aku itulah! Entah siapa namanya, binnya, atau bintinya, aku pun tak tahu. 


Segar bugar kan si dia tu?

Aku memang pernah berjanji paparkan wajahnya, supaya Adry boleh tolong kenalpasti siapa dia. Juga ceritakan, kalau-kalau ada gunanya.  Aku memang seronok membaca cerita tumbuh-tumbuhan dalam blog Adry. Sungguh informatif. Yang kusukai, aku jadi tahu banyak jenis pokok yang kusangka racun, rupa-rupanyanya penawar!

Entah-entah nanti Adry kata, si dia tu boleh dijadikan pil 'penggembira hati', untuk ubati hati yang resah!?


Lihat si POTUTI tu di bawah, dari sudut lain. Nampak tak dia miliki satu 'tapak bulat', yang melekapkan dirinya dengan kukuh pada batang pokok yang ditumpangi?


Selayaknya si dia dipanggil POTUTI golongan atasan. Sebab dia menempel erat di sebelah atas batang pokok lain. 

Dia bukan POTUTI yang melata di atas tanah, di celah-celah pokok atau rumput, bagaikan si jembel atau si gelandang. Dilihat pada tapak bulatnya, dia jenis pegang tak lepas!

Saturday, November 5, 2011

HUJUNG BENUA

 Sudah bertahun-tahun timbul keinginan ke Hujung Benua Asia ni. Namanya (dah ramai tahu pun!),
Tanjung Piai. Satu kawasan hutan bakau yang telah digazetkan sebagai Taman Negara.

Dengan izin Allah,  pada penghujung bulan Oktober yang lepas, aku dengan
isteri (yang tak berapa berani dengan kawasan hutan) sampai ke situ.

 Tak terangsangkah untuk mengail ikan di hujung Benua Asia? Ikan-ikannya tentu istimewa.

Kebetulan pada hari kami ke situ, tak ramai pengunjung. Ada yang baru beredar pulang. 
Famili yang di bawah ni baru saja sampai. Gembiralah aku, ada geng masuk bersama ke hutan! 


Ucapan Selamat Datang di Hujung Benua mudah difahami pelancong internasional.

 

Sungai Mengalir Lesu (ingatkah novel A. Samad Said?) di persekitaran sebelum memasuki
hutan bakau. Air ceteknya menandakan air laut di hutan bakau belum pasang lagi.

 Tinggi betul 'tugu' Hujung Benua. Papan penunjuk arahnya amat membantu!



  Hutan bakau memang memukau.


Lihatlah hijau dan segarnya persekitaran

 Hijau segar dan memukau. Tapi, bila air pasang besar, hati pasti gusar. Apa lagi bagi yang
tak biasa, dengarkan bunyi air saja pun akan kecutlah tali perutnya.


 
Di barisan depan pertahanan, ada yang longlai dibaham badai 

 "Air laut dah naik tinggi, bang. Pasang besar dua tiga hari ni. Tak boleh pergi ke
Globe dah." Begitu kata pemancing-pemancing di kawasan berdekatan 'Globe'.
Mujur boleh ambil gambar. Kusekalikan menggambar famili di belakang tu.



Pukulan air ke kawasan bakau meyakinkan aku peri pentingnya hutan bakau. Peri hebatnya
rolnya sebagai penjaga tebing pantai supaya tak direntap si air laut yang acap berang. 

Ternyata para bakau sendiri amat perlu mengukuhkan 'kuda-kuda' mereka untuk bertahan
daripada diserang. Lihatlah kehebatan akar yang menjadi kuda-kuda itu! 

Banyaknya kaki-kakiku, kuda-kudaku! Boleh meninggi sehingga 14 kaki!

Setahuku, 'padang' bakau juga sujud ke tanah oleh gergaji maling. Dalam fikiran bingungku, para 
maling inilah, bukan pokok bakau yang ditumbangkan, yang wajar dijadikan kayu arang!

Sedikit cerita sebelum sampai ke Hujung Benua. Sebenarnya kami 'tersimpang' ke pekan Kukup.
Barulah aku tahu, dari situ orang boleh ke tanah seberang. Sayang tak ada masa.
Ke Pulau Kukup yang berdekatan pun tak sempat nak singgah. Masa itu memang mahu
cepat-cepat ke hutan bakau. Bimbangkan kalau-kalau hujan mencurah di sana sini.

Terminal Feri Antarabangsa Kukup

Pekan Kukup sememangnya kecil, tapi cantiklah juga. Dipenuhi kedai-kedai tangkapan
dari laut yang dikeringkan. Juga restoran-restoran yang menonjolkan makanan laut.

Kat bawah ni lihatlah gambar sebuah restoran makanan laut di Kukup. Cukup besar. Mula bisnes
 jam 11 pagi. Halal, kata tuannya. Tapi kami taklah sempatkan diri untuk makan di situ.

Nampak tak Pulau Kukup yang 'jauh saujana mata memandang' tu?

Setelah sampai di Hujung Benua, sebelum sampai ke kawasan hutan bakaunya, kami 
juga singgah sekejap di kawasan 'resort'nya. Ada kedai-kedai minuman dan tempat 
penginapan di situ, tapi tak kelihatan ada pengunjung.



Kawasan kebun kelapa di persekitaran Hujung Benua amat mengingatkan aku 
kepada kampung tumpah darahku. Di sini terdapat juga 'homestay'. Tak tahulah aku, laku tak lakunya.

Pokok-pokok kelapa di sini jelas sudah bertaraf warga emas. Tertanya-tanya juga dalam hati,
mengapa di kawasan kelapa ini ditanami pokok pinang sebagai tanaman selingan.
Dan mengapalah agaknya disimpan pokok-pokok pinang itu sehingga demikian tinggi!



Kebetulan sebelum pulang, kelihatan wakil  penduduk hutan bakau Hujung Benua Tanjung Piai
(yang juga menjadi penyebab isteriku takutkan kawasan hutan),  mondar mandir.
Dia cuba menghampiriku, dan aku pun bergegas menjauhkan diri.



Mungkin dia mahu menyatakan "Bye-bye, see you again." Atau mengingatkan aku akan hak
istimewanya sebagai penduduk tempatan. Cubalah baca di bawah ini, apa yang mereka 
boleh buat, yang kita tak boleh buat, di persekitaran hutan bakau Hujung Benua.

Hak mereka menyampah akan terkekang, kalau kita tak bawa sampah!

Ayunya Tanjung Piai, hujung Benua Asia. Di situ aku nampak
nama tanjungnya. Aku tak nampak pokok piainya.

Friday, October 21, 2011

TETAP BUKAN ULAM AKU



Tentu ramai orang kenal pokok Ulam Raja ni, kan? Kebelakangan ini aku jadi geraguk ulam, terutama ulam-ulam tempatan, termasuk jenis yang orang panggil 'ulam kampung'. Banyak juga yang aku kenal, tapi memang tak pernah kucicipi, termasuklah si Ulam Raja.


Sebatang daripada secekak pokok yang (pertama kali) kubeli dari pasaraya tak lama dulu kupacakkan dalam pasu. Lepas layu beberapa hari, ia bangun! Kemudian kupindahkan ke atas tanah.


Hajatku membeli Ulam Raja memanglah untuk mengetahui rasa aslinya. Jadi, resepi pertamaku, 'makan kosong'! Ia kunikmati tanpa dicampur dengan ulam-ulam lain. Dia + sambal saja (apa lagi kalau tak SAMBEL, iaitu si sambal belacan).

Selepas itu, kucuba juga dengan mencampurkannya (setelah dihiris halus) dengan dua tiga jenis daun salad dari Cameron Highland + minyak zaitun, kismis, hirisan tomato tanpa lendir & biji dalamnya + hirisan halus cabai merah yang dibuang bijinya. 

Phew! Bila dijadikan lauk, macam sanggup pula aku menukar diri menjadi 'vegetarian'!

Rasanya wajarlah aku mula menternak lebih banyak jenis ulam sekarang.

Peluang membiakkan Ulam Raja, khususnya, cerah. Keratan dari 'yang sebatang yang sedia ada' itu pun boleh ditancapkan di mana-mana. Malah, daripada biji benihnya pun pembiakan boleh berlaku pantas. Insya-Allah.


Teringat juga, satu hari nanti mungkin si Ulam Raja boleh kucampurbaurkan, namun tetap dengan harmonisnya, dengan pucuk Penai (dan buahnya!) yang memang 'bersedia berkhidmat' untukku.



Mungkin juga boleh diberi kesempatan kepada si Tenggek Burung, yang memang telah lama mengembangkan cabang-cabangnya, untuk turut menumpangkan rasa hebat pucuk mudanya dalam resepi 'Rangkaian Ulam'ku itu.


Balik kepada cerita Ulam Raja.....

Ada rakan-rakan suruh aku mencuba kerabu Ulam Raja. Bolehlah nanti kucari di internet, resepi kerabu Ulam Raja yang bermertabat hebat.

Ulam Raja atau kerabu Ulam Raja..... walau aku yang menyediakannya, (dan tentulah yang mengidam menikmatinya), ia tetap Ulam Raja. Bukan Ulam Aku!