Friday, March 9, 2012

SI BUNGA KUNYIT, KU keRABU KHAMIS KELMARIN

Sudah biasa bersambal belacan. Juga bersambal kicap. Tak payahlah ku nikmati bunga kunyit dengannya. Nak pasangkan ia dengan budu, tak pula ku temui budu yang ku yakini, yang dari Pantai Timur.

Jadi, ikutlah saranan blogger kakzakie (zakiepurvit.blogspot.com). Dan si bunga kunyit itu pun ku keRabu Khamis kelmarin.

 
Tapi, tahu sajalah, kerja sura rumah (bukan suri rumah). Dengan jari jemara (tak samalah dengan jari jemari), usahlah jangkakan hasil yang murni.

Tips kakzakie jadi panduan. Ku sediakanlah bahan-bahan cili merah, bawang merah, udang kering, kacang panjang, kacang botor, daun cekur, tauge, dan si bunga kunyit,  selain daripada kerisik dan parutan kelapa.
 
 
Cili merah, bawang, udang kering, parutan kelapa, kerisik, dan sedikit gula pasir, ku olah dalam lesung batu. Jadilah macam kat bawah ni.

Ulam-ulamnya diricih-ricih, di mayang-mayang. Termasuklah si bunga kunyitnya.


Caraku, sukatan ikut suka, ikut rasa. Termasuk tak tentukan dengan tepat berapa batang tauge. Yang ku pastikan, singkirkan ekornya. Dan cilinya, buang biji-biji pedasnya!

Bila yang dalam lesung batu digaul mesra dengan bahan-bahan lain yang telah disediakan, campur sedikit garam, siaplah keRabu bunga kunyitku. 

Kualiti rasa? Pembuatnya pasti kata A1, mengikut citarasanya. Citarasa orang lain tentulah dia tak tahu.

 
Bila suri rumah menjengah dapur, ku berilah peluang ambil bahagian. Buat 'gaul penyudah'! Juga tolong carikan keRabu hari Khamisku itu bekas kegemaranku. 

Eh, nak tunjuk kat peminat keRabu, kenalah ada dekorasi!

Dan apalah yang lebih cocok dijadikan penghias, kalau bukan lebihan si bunga kunyit sendiri!



(Andai berkelapangan, silakan  ke blog kedua saya, "AROUND US"  di http://mypics-temuk.blogspot.com. Di situ, cerita  pokok dan bunga sahaja, ikut cara orang kampung, bukan cara pakar hortikultur atau pertanian)






Wednesday, March 7, 2012

AYUNYA TURKI

Paparan ini, sekadar merekodkan gambar-gambar yang sempat kuambil
semasa di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) pada 1.3.2012,
menyaksikan Ekspo "Eyes On Turkey".
Yang dipamerkan merangkumi, antaranya, barang-barang untuk rumah, dapur, pertanian, dan perkilangan, serta beberapa jenis perkhidmatan termasuk pelancongan dan pembinaan.
Tidaklah sebanyak yang kujangkakan.
Pameran bertujuan lebih untuk memperkenalkan produk Turki kepada orang bisnes
di Malaysia yang ingin wujudkan rangkaian perniagaan dengan para pengeluar barangan dan perkhimatan di sana.Walaupun begitu, pengunjung bukan orang bisnes tetap dialu-alukan. 

 
 
 

Sambil pusing-pusing, kami dapat menecicipi bermacam-macam makanan keluaran Turki
secara percuma, termasuk aiskrimnya yang unik (dan amat liat) dan pelbagai bentuk
'baklava' yang amat sangatlah manisnya!

 
 
Juga menarik, satu kaedah melukis dengan cecair khusus, tanpa kertas. Lukisannya memang unik.
Unik macam juga hasil kreativiti si peniup  kacanya. Boleh nampak tak patung-patung
kaca para penari whirling Darvish dance berhampiran si ayu di bawah ni?

Layanan ahli rombongan eksponya juga ayu. Macamlah juga paras wajah mereka.

Hai, bilalah agaknya nak sampai ke tanah besar Turki?

Masa lawatan sambil belajar ke pulau Cyprus di selatannya tahun 1974 dulu pun
tak berpeluang melawat Turkish Republic of Northern Cyprus, 
 yang orang Turki kata mereka punya.






Saturday, March 3, 2012

NAK BUAT APA PADA YANG SEJAMBAK NI?

Aku siram pokoknya hampir setiap hari. Tapi mata tak terpandang pun kat yang sejambak unik ni.
Mustahil ada yang tak kenal bunga ni, kan? Memang unik. Cantik kelopak-kelopak hijau mudanya. Macam warna daunnya juga.












Juga unik, sebab ada bunga dalam bunga.
 
Ubi dengan akarnya biasalah aku lihat orang gunakan dalam masakan. Tapi bunganya tak pernah. Sura rumah ingin tumpang bertanya kepada para suri rumah, ada pengalaman yang boleh dikongsi?

Alahai, minta-minta adalah yang sudi beri cerita, sebelum si jambak tu layu!