Banyak lidah perkara lidah. Dalam Kamus Besar Bahasa Melayu (Utusan), panjang disenaraikan istilah berkaitan lidah. Antaranya: lidah air, lidah api, lidah bengkok, lidah bercabang, lidah biawak, lidah bicara, lidah buaya, lidah dacing, lidah fasih, lidah hantu, lidah jin, lidah katak, lidah kelu, lidah keras, lidah lembut, lidah manis, lidah masin, lidah ombak, lidah panjang, lidah patah, lidah pendeta, lidah pengarang, lidah rasmi, lidah rusa, lidah tajam, dan lidah tergalang. Banyaknya! Tahu maksud semuanya?
Yang menarik, lidah yang maksudnya berlapis-lapis.
Bila terlihat lidah-lidah di luar rumah, banyak perkara melintasi kepalaku. Ada 3 lidah kat luar tu. Pertama, Lidah Biawak.
Orang takut sikit pada Lidah Biawak sebab ia menggatalkan badan (bukan hati). Namun, orang tetap jadikannya tanaman perhiasan. Sebab ia cantik. Ada macam-macam pattern. Juga, si Lidah Biawak mudah membiak. Mudah dijaga. Ada dikatakan cecair dan juga rebusan batang atau daunnya punyai hasiat tinggi bagi mengubati beberapa jenis penyakit.
Orang yang dipanggil 'lidah biawak', tidak digemari ramai. Orang sangsikan dia, kan? Dia jenis pembohong. Dolak-dalik cakapnya. Berubah-ubah pendiriannya. Dan rajin tak menepati janji.
Simpulan bahasa 'lidah biawak' diibaratkan lidah kepunyaan 'sang rangkak mini' di bawah ini (yang rajin berziarah ke kawasanku). Lidah dia memang boleh berputar 360 darjah dan sentiasa 'keluar masuk' tenggoroknya. Lidah yang mudah berputar dan keluar-masuk serupalah kot dengan 'lidah berbelit' atau 'lidah bercabang'.
Simpulan bahasa 'lidah biawak' diibaratkan lidah kepunyaan 'sang rangkak mini' di bawah ini (yang rajin berziarah ke kawasanku). Lidah dia memang boleh berputar 360 darjah dan sentiasa 'keluar masuk' tenggoroknya. Lidah yang mudah berputar dan keluar-masuk serupalah kot dengan 'lidah berbelit' atau 'lidah bercabang'.
Kedua, kat luar ada juga Lidah Buaya (serasi duduk dekat dengan si Rosemary).
Orang suka menanam Lidah Buaya untuk perhiasan. Kalau tumbuhnya subur dan menghijau muda, memang anggun, macam yang selalu diperagakan di shopping malls. Lidah Buaya juga ditanam orang secara komersil. Agar-agar (jeli) di dalam daunnya punyai efikasi tinggi sebagai bahan ubat, kosmetik, makanan dan juga minuman. Akarnya juga berhasiat sebagai ubat pelbagai jenis penyakit.
Orang yang prihatin dengan kesihatan tak mahu jadi 'lidah buaya'. Ungkapan 'lidah buaya' bermaksud orang yang kuat makan atau banyak makan. Hasilnya, memang boleh jadi mengganggu-gugat kesihatan. Ada juga yang mengatakan orang lidah buaya, tak 'dan' dan 'tak susah' memilih makanan. Anything goes! Ada juga betulnya tak, tanggapan si 'lidah buaya', biar mati makan, jangan mati tak makan? Ishhh, ye ke? Gurau cakap saja tu!
Lidah ketiga di luar rumahku, kalau ikut buku, dipanggil Lidah Kucing.
Ada juga yang memanggilnya Bunga Pukul Sepuluh. Sebab bunganya mula mengembang pukul 10 pagi. (Tak berapa perhati pula!) Bunga, juga daunnya yang direbus atau disapukan kepada anggota badan, dipercayai boleh mengubati macam-macam penyakit. Lidah Kucing, kalau ditanam dalam rumpunan yang besar memang cantik, apa lagi tatkala bunga-bunganya yang berwarna kuning diraja itu mengembang.
Rasanya tak ada simpulan bahasa 'lidah kucing'. Tapi, aku berminat nak simpulbahasakan juga si bunga ni. Nak kukatakan si 'lidah kucing' itu orang yang obliging. Kucing selalu bersedia, dan sentiasa berkata, 'mau, mau, mau'. Maka, siapakah yang tak sayang kucing?
Lidah keempat dalam ceritaku ini selalu berada di dalam rumah. Namanya 'Lidah Cucu'. Maaf, dalam gambar di bawah ni, termasuk juga 'yang bukan lidah'!
Lidah cucu ni baru empat bulan umurnya! Bunyi darinya masa ni hanya rengekan saja. Tak lama nanti pasti lebih jelas - bunyi 'cucu, cucu, cucu', yang bukan bermaksud 'cucu Tok Wan' atau grandchild, tapi susu! Sekarang, melalui rengekan, tak payah sebut jelas, pun dapat!
Lidah cucu yang amat sangat mudanya ini belum tahu berperang (bertikam lidah). Bagusnya, ia juga belum mampu (janganlah mampu!) jadi lidah tajam, lidah biawak, atau lidah panjang. Minta-minta si cucu akan punyai lidah lembut, lidah fasih, lidah manis. Dan juga lidah pendeta.
Janganlah dalam hidupnya, 'kerana lidahnya badan merana; kerana lidahnya hidup sangsara'.
P. Ramlee ada mengingatkan kita, supaya kita bersifat sabar dan hidup bertolak-ansur. Satu lagunya bersenikata, 'sedangkan lidah lagi tergigit ...'
*** Rakanku kata, dia menanti sms rakannya, yang menyatakan kelapangannya untuk dihubungi.
Tapi, katanya juga, sms itu macam tak mungkin tiba! ***