Friday, June 11, 2010

CERITA BULUH

Semasa 'mengemas-ngemas' pokok buluh kuningku di tepi rumah pagi tadi, teringat ingin merapu pasal buluh dalam paparan hari ini.

Buluh kuningku itu memang kusayangi. Tak jemu mataku memandang bebatangnya. Begitu susung dengan hati! Cantiknya urat-pamur hijau di sekeliling bebatang itu, kecil dan besar. Bagaikan tinta yang dialirkan penuh seni, dari ruas ke ruas.


Dalam Kamus Besar Bahasa Melayu (UTUSAN) disebut buluh punyai ganti nama bambu, aur, ok, puputan, awi, ampel, sarik. Jenis-jenisnya pula, ada buluh akar (pelang), buluh apus (kuning, gading), buluh batu (tumpat), buluh betung (besar), buluh karah (betung, besar), buluh kasap (kecil). Jika dirujuk literatur mengenai buluh di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), pastilah pemerihalan mengenainya lebih komprehensif.

Pastinya ramai pembaca budiman yang amat akrab dengan pesanan berharga orang tua-tua kita, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Kujangka, tentulah ramai juga yang akur bahawa ini merupakan satu pendekatan sosialisasi yang amat wajar.

Sosialisasi secara mudah kita ertikan sebagai proses mengenalkan ahli kelompok kepada budayanya. Dalam kes mendidik anak, contohnya, supaya boleh menjadi ahli kelompok yang berfungsi, pastilah lebih mudah pendidikan itu dilakukan dari sejak dia kanak-kanak lagi. Malah kita diberitahu, dalam Islam, anak sepatutnya dididik semenjak berada dalam rahim ibu lagi. Anak yang masih ‘rebung’, secara relatifnya, tentulah lebih mudah dilentur berbanding tatkala dia sudah mula menjadi ‘buluh’, apatah lagi ‘buluh matang’!


Pastilah rebung si buluh kuningku itu mudah dilentur. Rupa buluhnya pun belum ketara. 
Kalau disuruh melentur buluh yang telahpun amat matang di sebelahnya 
(gambarnya kuambil di Kawasan Rekreasi Stesen Mata Air Panas Poring, Sabah, Mei 2010 yang lalu),
pasti menderitalah aku. Mungkin kalau nak kugergaji pun, boleh jadi sakit asabat seluruh jasad!

Sekarang, ramai terdapat pakar yang mengajar orang (termasuklah kita) untuk mengajar orang! Ceritera sosialisasi jugalah tu. Yang indahnya, ada yang mengajar kita endah kepada kaedah 'melentur buluh pasca-rebung'. Buluh yang betul-betul sudah jadi buluh! Malah mungkin sudah jadi buluh tua!

Itu bukan tugasan enteng. Macam suami mahu melentur isteri, atau sebaliknya. Masing-masing pula sememangnya sudah berstatus pasca-rebung. Alahai, apalah lagi kalau masing-masing sebelum bersatu pernah berstatus buluh duda, buluh janda atau buluh balu. Masing-masing telah tersosialisasi dalam acuan tertentu, lantas menua dengan personaliti tertentu dan tersendiri yang amat kebal. Camana ya kaedah melenturnya? Ada yang bilang, melalui pengalaman, 'pengamalan pujuk rayu' ada labanya. Boleh dicuba andai punyai daya kesabaran yang melangit. Insya Allah.

Ayuh merapu lagi mengenai buluh. Hal buluh-buluh ini, ramai orang gemari. Ramai orang kepingin suara buluh perindu kala menyanyi. Juga  ngilerkan bunyi seruling buluh atau angklong buluh, mengiri lagu warisan yang anggun. Juga rindu berakit buluh menyelusuri kali.  Ramai pula yang mimpikan pondok persinggahan di kebunnya berlantai, berdinding, bertangga dan bertiang buluh. Malah, penghuni rumah serba moden dan mewah pun, ramai  yang mahukan set buluh untuk bersantai.

Sampai musim, ramai pula orang yang mengidam mainan lama ini  - bermeriam buluh, juga berpanjut buluh, menandakan datangnya raya. Tanpa menghitung musim, ramai berminat menanak dalam buluh  -  lemang, nasi, ubi, atau  juga lauk pauknya.

Juga ramai yang teruja melayan selera, bersepit buluh. Atau mengorek gigi dengan buluh (eeii!). Atau memagar juga menghias taman rumah dengan buluh (kering atau hidup!). Takkan kulupa juga, ramai yang mahu nama tempat mereka mengandungi perkataan buluh. Kerana mungkin dirasakan ada keramatnya!

Oh, tentulah  - ada juga buluh-buluh yang orang tak ingini. Macam buluh darah atau buluh nadi yang sempit (meledaklah bp!). Atau buluh nafas (tenggorok) uzur, hinggakan diri menjadi pemilik suara buluh pecah! Kalau buat bisnes, pastilah pula orang berabad berdoa,  tak jadi peniaga buluh kasap, hilang hujung pangkal lesap!

Dalam mengarang paparan ini, aku teringat pula miang buluh kuningku. Tenunglah kelopak-kelopak berlugut hitam halus di bawah. Beranikah diusapi jari jemari halus anda dengannya, yang orang kata juga  (dulu-dulu) jadi bahan penting santau si penjahat?

Juga pasal miang buluh  - mengapalah agaknya bila ada pak tua yang agak nakal, orang kata dia miang keladi, bukan miang buluh? Mungkin sebenarnya buluh tak senakal keladi. Tapi kujeling juga, sekalipun buluh itu mungkin kecil, dia mampu manayangkan kenakalannya meliliti Roman pillarku.



Berakit buluh ke hulu, berenang-renang ke tepian
Bersakit luluh dahulu, bersenang-senang kemudian. 

24 comments:

Unknown said...

Salam Temuk,

Bila cerita fasal buluh, teringat masa budak sekolah dulu, suka main meriam buluh. Bahaya tetapi nasib baik tak jadi apa-apa. Ada jenis pokok buluh ni kalau ditanam di halaman rumah cukup cantik. Tetapi kena selalu sapu sebab banyak daun kering

azieazah said...

Dulu masa saya kecil, kami juga ada serumpun buluh di tepi rumah. Sentiasa menjadi tumpuan, orang datang minta sebatang buat kail pancing, sbb kecil jer tak leh buat lemang..

sungguh terkenang...

Pak Idrus said...

Temuk, Thanks for the writeup, it does relived my growing up period where the rebung has always been one of the dish that I loved. It is common for folks to plant bamboo at one end of the orchard or in whatever land area they have, thus it became sort of a cultural appendix of the Malay in the Kampong.

Bamboo is a very versatile plant and could be use for various purposes including for the making wall and floor of the traditional Malay houses but nowadays it has been used only for decorative purposes only.

In China bamboo are planted for commercial purpose, there are many such plantation along the route from Hong Kong to Kwantung. I hope our government would take steps to commercialized this versatile plant, which I believe could be an export product as well.

Thanks and do have a nice day.

Temuk said...

Salam Dato' Luahfikiran
Mencari buluh utk meriam bukan kerja ringan. Parang, duri, ular, & macam2lagi, semuanya membahayakan. Namun barisan meriam hijau, dgn tingkah letupannya, menyahut letupan jiran2 sekampung, membuat para kanak2 teralpa adanya bahaya, teruja seronoknya permainan.

Temuk said...

Salam azieazah,
Serumpun buluh kail sebatang
Indah sungguh kisah dikenang.

Have a lovely weekend!

Hjh Noralenna Abbas said...

Salam Temuk,
Wah, sudah bertukar wajah 'rumah' Temuk, ada corak polka dot lagi dan warna pun sesuai. Satu penerangan yang menarik tentang 'buluh'. 'Buluh' dengan 'nibung' sama famili tak, Temuk? Dan nak tanya, bagaimana agaknya suara buluh perindu? Jaga diri bila kemas-kemas rumpun buluh kuning, takut-takut terkena miangnya!

Temuk said...

Salam Pak Idrus
Thank you for your interest in cerita buluh. Oh, oh, how could I forget about the rebung buluh dish?! You are right. Rebung buluh is a very special food item that Malays love to cook, despite its unique smell! Rabung buluh cooked in coconut milk, with shrimps or meat, and hot(!) chillies added to it, will make a fabulous dish that could turn our eyes red and klik klak!

I agree with you that we should give more attention to bamboo growing in Malaysia. We have a lot of suitable land for this purpose, especially in Sabah & Sarawak. I wonder what FRIM has to say about this. Have a nice weekend!

ahmad humairi said...

Salam,

Saya tak main meriam buluh, tapi main buluh bedil. Habis merah berbintat badan bila kena bedil dengan peluru cermai....apa taknya main tak berbaju.

Benar. Mudah melentur buluh dari rebung, mudah pula rebung menukar arah lenturan (tak tenru arah) kerana masih lembut. Jangan tersilap arah!.

Boleh saja kita melentur buluh yang sudah keras kematu. Ianya memerlukan kesabaran dan sedikit sentuhan seni. Bila dah dibentuk, bentuknya agak kekal dan sukar diubah.

Cantikkan bakul buluh, seruling, tikar buluh, bidai dan berbagai hasil seni darinya.

Akan tetapi, jangan lakukan kerja seperti menarik aur songsang!

Wah! lawa rumah baru...sangat kemas. Ayuh! jom tengok naga di laman saya.

Buatkan buluh bedil untuk Faiq...jom main tembak-tembak dari peluru kertas!!!

Temuk said...

Salam Hjh Nora
Rupanya senang tukar-tukar rumah sekarang ni. Berbloglah, kan? Setahu saya, nibung sefamili dgn pinang. Batangnya jauh lebih kukuh & tahan dari batang pinang. Hehehe, saya tak gerun dgn miang buluh kuning tu berbanding dgn miang keladi. Kata orang, miang keladi menyebabkan garuan menjadi-jadi? Oh, nak tahu bunyi suara buluh perindu? Serupa sangat dgn suara orang BC menyanyi 'Tanya sama hati ...'. Have a great weekend!

Temuk said...

Salam Cikgu Humairi
Saya pun teringat, bermain bedil buluh kecil memang menyeronokkan. Saya dulu guna peluru kertas dgn terung pipit! Terpekik terlolonglah arwah emak, bimbang terkena mata! Buluh yg ada di rumah la ni tak sesuai pula nak dijadikan bedil utk Faiq! Pulak tu, dia asyik dgn robot2 plastik!

Benar, rebung yg dilentur boleh menukar arah. Rebung tak makan samanlah ni. Atau pelenturnya tak cukup tauliah?

Buluh tua yg dilentur lazim kekal ikut lenturan. Setuju. Teringat pula saya akan buluh2 tua kecil yg dilentur dengan memanaskan ruas2 yg perlu supaya buluh jadi lurus. Ini, orang kampung saya dulu gunakan untuk dijadikan galah (yg disambung2) untuk mengait kelapa.

Memang, jgn buat kerja macam menarik buluh songsang. Buluh jadi remuk, kita jadi teruk!

Segala produk dari buluh memang indah bagi yg endahkannya. Nanti nak tebang sebatang buluh dulu utk dijadikan 'penyelamat' sebelum mengintai naga cikgu. Semoga ceria selalu!

Hajah Zainab bt Abdullah said...

salam Temuk,

wah! rumah baru yer...

saya nak bagi pujian kat temuk kerana rajin explain all the details about buluh...saya ada juga pokok buluh..taht small species, ada tiga rumpun..

Temuk said...

Salam Hjh Zainab
Alahai, saya tak pandai buat & elokkan rumah ni. Perlahan2lah belajar sendiri. Kalau Hjh baca reaksi rakan2, banyak perkara mengenai buluh yg saya lupa sebut. Memang komen rakan2 mengkayakan entri asal kita. Nanti kita dengar kisah 3 rumpun buluh kecil molek Hjh. Selamat berhujung minggu.

Ann @ DN said...

Salam Temuk,

Bace n3 tntang buluh ni...mengingatkn N mase kecik2 dlu selalu temankn 'makwo' (panggilan nenek di kg dlu2) pg mencari n menebang buluh lemang...sambil cari rebungnya jgk, selalu N 'kemiangan' sbb degil x nk dgr 'bebelan' nenek :)

Temuk said...

Salam Pn N
Mungkin kelebihan kita berbanding dgn anak2 ialah bila kita melihat sesuatu di sekeliling sekarang ini, kita boleh terkenang sesuatu yang indah, di suatu ketika dulu yang menyeronokkan, di suatu tempat (yg lazimnya adalah kampung tumpah darah) yg penuh sejarah. Kenangan lama memang menyeronokkan hati. Ceria selalu!

Temuk said...
This comment has been removed by the author.
Othman Juliana said...

uncle Temuk,teringat rotan buluh yang digunakan untuk merotan anak-anak buah. Oh, makcik yang garang.

Temuk said...

Salam Othman Juliana
Thanks for dropping by.
Buluh sebagai rotan? Wow, besar bekas sentuhannya tu! Tapi pasti besar juga kesannya dlm mendidik anak-anak buah. Andakah makcik yg garang tu? Garang pun pasti pukulannya lembut & hatinya sayang!

Al-Manar said...

Cikgu,
Being a senior citizen myself, I enjoy reading subjects which can bring memories back to days gone by, and to the young generation, something they never had to go through. This posting and the like of ‘papan batu’ are what our younger generation should read and understand, the history of our people, their forefathers. It was not just a piece of cake.
Salaam from Pakcik

Temuk said...

Salam Pakcik
Thank you for dropping by and sorry for the late reply. I'm still learning how to put in that 'gadget' that can trace new comments in our old entries. Also thank you for your interest in cerita dulu-dulu. Certainly these stories have lots of hidden messages for our younger generation.

Pak Idrus said...

Temuk, Go to the Setting site of your Blog and then click the [Email and Mobil]. In the window below put the email address that you want your posting to be send to. Try it and your would not missed any comment to you site. Have a nice day.

Temuk said...

Hi Pak Idrus, Thanks a lot. I will surely try that.

AUR said...

Salam Pakcik..

Cemane la saya bleh tak perasan cerita pasal 'member' saya ni...hehehe...

Temuk said...

Salam AUR
Ingatkan Pakcik ceritakan hal 'adikberadik'! Rupanya pasal 'member' saja, ya? Tak mengapalah. Diharap menghiburkan sikit peniaga muda JB yg gagah & gigih tu. Ceria selalu!

Anonymous said...

site officiel www. dolabuy.co son explication Chrome-Hearts Dolabuy contenu répliques de sacs 7a en gros